Bualan Daripada Kawan Sebelah
Petang semalam, saya telah ke sebuah kedai komputer di Plaza imbi. Oleh kerana barangan yang saya beli itu agak besar, pemilik kedai berkenaan bersetuju untuk menghantar barang tersebut terus ke rumah saya. Ini bermakna, saya akan pulang ke rumah bersama-sama beliau. Lebih kurang jam 7.15, saya dan pemilik kedai berkenaan pun meninggalkan Plaza Imbi untuk menuju ke rumah saya.
Dalam perjalanan, beliau yang banyak bercerita. Katanya, untuk sambutan tahun baru Cina tahun ini, beliau akan ke Bandung sahaja. Katanya lagi, beliau dan keluarganya sering menyambut tahun baru Cina di luar negara. Menurutnya lagi, beliau pernah ke Bangkok, Bali, Jakarta, Hanoi serta beberapa tempat lain.
Menurut kawan saya itu, di kebanyakan tempat yang beliau kunjungi, beliau temui ramai orang berbangsa Cina. Walau bagaimanapun, katanya, ramai juga di antara mereka yang tidak lagi fasih berbahasa Cina. Ada juga di antara mereka yang tahu bahawa mereka berbangsa Cina, tetapi dari segi bahasa dan adat resam, golongan tersebut sudah banyak dipengaruhi dengan adat setempat. Ramai juga di antara orang Cina di negara lain yang tidak lagi mahir menulis dan membaca tulisan Cina.
Kawan saya itu meneruskan, setelah beliau menyaksikan sendiri mengenai orang Cina di luar negara, baginya, Malaysia adalah tempat terbaik dari aspek mengamalkan kepercayaan, bahasa serta adat ibunda masing-masing. Katanya lagi, di sesetengah negara, penduduk Cina dipaksa untuk menukar nama masing-masing supaya selaras dengan nama yang digunakan oleh masyarakat setempat. Katanya, hal sedemikian tidak pernah terjadi di Malaysia.
Akhirnya, tanpa diminta, beliau membuat kesimpulan sendiri. Katanya, Malaysia adalah negara paling baik sebagai tempat tinggal. Di sini, semua orang masih bebas untuk mengamalkan kepercayaan, bahasa serta adat warisan bangsa masing-masing. Katanya lagi, di sini dia sendiri tidak perlu menukar namanya kepada “Ahmad” atau “Ali”. Mendengarkan itu, saya tertawa sedikit.
Demikianlah antara bualan kawan saya yang mungkin ada sesuatu yang boleh kita fikir dan renungkan. Ada kalanya kita tidak dapat merasai kemanisan sesuatu nikmat itu sehinggalah nikmat itu hilang dari kita.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
hang jgn percaya kata2 org kafir ni... manis d mulut jer tu... ada udang sebalik batu. pas ni hang kena slalu beli barang kat kedai dia la nampaknya! alisetan BBT
Post a Comment