Semalam (14 Mac), saya sekeluarga dengan disertai 4 pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengunjungi Cikgu Mohamed Ismail di rumahnya. Keempat-empat pensyarah yang dimaksudkan ialah Prof. Madya Dr. Mohamed bin Hussein, Dr. Mohd Zarhamdy Md Zain, Tn. Hj. Mohd Yunus Abdullah dan En. Abdul Rahman Musa. Kami bertolak dari hotel penginapan pada sekitar jam 8.15 malam dengan 2 buah kereta. Rumah Cikgu Mohamed terletak di Wakaf Mempelam. Untuk mencari rumahnya, ia bukanlah susah sangat. Kalau saya pergi seorang pun, saya yakin boleh mengarah orang yang menjadi pemandu untuk tiba ke rumahnya, insha-Allah.
Kunjungan kami sebenarnya atas pelawaan Cikgu Mohamed sendiri. Semasa rombongan UTM dan PERTIS Pusat melawat ke PERTIS Terengganu pagi semalam, Cikgu Mohamed telah “membisikkan” kepada saya supaya mengajak para pensyarah berkenaan ke rumahnya pada sebelah malam. Mulanya saya Cuma menganggap ajakan tersebut sekadar ajak-ajak ayam sahaja. Namun demikian, setelah Cikgu Mohamed mengulanginya beberapa kali, maka fahamlah saya, ajakan tersebut merupakan pelawaan ikhlas daripada Cikgu Mohamed.
Bagi saya sekeluarga, saya sendiri tidak dapat mengingati ini kali yang ke berapa saya ke rumah Cikgu Mohamed. Boleh dikatakan, setiap kali saya ke Kulala Terengganu, jika ada kesempatan, saya sekeluarga pasti akan mengunjungi Cikgu Mohamed di rumahnya. Pernah juga pada bulan Jun 2007, sewaktu saya bermesyuarat di Kuala Terengganu (kedatangan saya tanpa disertai keluarga), Cikgu Mohamed pula yang membawa saya keluar untuk makan-makan. Demikianlah akrabnnya kami hingga ke hari ini.
Di rumahnya, kami telah dilayan mesra oleh Cikgu Mohamed dan isterinya. Topik perbualan tidak berat, sekadar cerita mengenai pengalaman Cikgu Mohamed terutama dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang cacat penglihatan dan mengajar di sekolah murid-murid yang berpenglihatan sekitar 30 tahun.
Dalam diam, saya sedaya upaya cuba memerhati (dengan cara saya sendiri) gelagat para keempat-empat pensyarah berkenaan ketika di rumah Cikgu Mohamed. Dapatlah saya rumuskan, mereka langsung tidak kekok berada di rumah seorang yang tidak berpenglihatan. Apa yang dihidangkan, mereka makan dan minum. Maklumlah sesetengah orang tidak mahu makan dan minum di rumah orang buta. Alasannya macam-macam. Kotorlah, bahan makanan mungkinn tercemarlah, tak selesalah, dan macam-macam lagi. Kalau benar-benar kotor dan tercemar tak mengapalah, tetapi kelazimannya ia lebih daripada prasangka daripada hakikat. Hal ini saya ketengahkan berasaskan pengalaman sebilangan rakan senasib yang lain sebelum ini.
Setelah sekitar sejam kami berada di rumah Cikgu Mohamed, kami pun minta diri untuk pulang semula ke hotel penginapan. Bagi saya, kunjungan ini mempunyai maknanya sendiri. Setidak-tidaknya saya dapat menghubungkan silatul rahim di antara Cikgu Mohamed dengan para pensyarah berkenaan. Kata orang tua-tua, berkawan biar seribu! Lagi pun, projek penyelidikan E-Braille Quran ini dimulakan semasa Cikgu Mohamed merupakan Yang Di-Pertua PERTIS lagi.
Oleh kerana masing-masing sudah keletihan, maka hasrat kami untuk menikmati ICT kami batalkan. Kata orang, kalau ke Kuala Terengganu dan tidak menikmati ICT seolah-olah kunjungan tersebut macam tak sah. Lagipun, masih ada masa lagi untuk menikmati ICT sebelum pulang nanti.
(Maklumat tambahan: ICT ialah ikan celup tepung).
Salam dari Kuala Terengganu.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Cikgu ni mengajar subjek sejarah di sekolah saya dahulu.. Hari ni.. Kami dpt khabar berita.. Dia telah tiada.. Al fatihah buat cikgu
Post a Comment