Saturday, June 4, 2011

Bertandang Ke Bumi Kenyalang

Sekitar jam 11.20 pagi semalam (3 Jun), penerbangan Air Asia AK5204 yang saya sekeluarga naiki telah selamat mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kuching. Seingat saya, ini kali kelima saya bertandang ke bumi kenyalang. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini ialah pada bulan September 1998. Ia juga bermakna, saya telah pun menggunakan perkhidmatan Air asia buat kali ketujuhnya. Alhamdulillah segalanya telah berjalan dengan lancar dan baik. Selain daripada saya sekeluarga, kami juga turut disertai oleh abang ipar saya bersama isterinya serta dua orang anak mereka. Setibanya kami di Kuching, anak buah kami yang sudah 6 tahun bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di sini telah sedia menanti dengan kenderaannya. Jadi, saya dan ahli keluarga yang lain tiada masalah untuk bergerak di sepanjang kami berada di Kuching nanti.



Setelah semua urusann di lapangan terbang selesai, kami pun terus bergerak menuju ke sebuah restoran iaitu Islamic Cafe. Kalau tak silap saya, restoran ini kepunyaan mamak. Mamak pun mamaklah. Apa-apa hal pun, kami harus mengalas perut dengan makanan ringan. Setelah itu, barulah kami yang lelaki ke masjid Batu 8 untuk menunaikan solat fardhu Jumaat.



Sekitar jam 2.00 petang, kami sekeluarga pun checked in di sebuah hotel yang terletak berhampiran dengan kawasan Water Front. Sebenarnya, pada tiga tahun lalu, semasa saya sekeluarga berkunjung ke sini, kami turut menginap di hotel ini.



Pada asalnya, tujuan kami ke Kuching adalah untuk menghantar salah seorang anak buah kami. Anak buah yang dimaksudkan telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Walau bagaimanapun, setelah semua persediaan ke Kuching selesai dibuat, termasuklah penempahan tiket penerbangan dan hotel, tiba-tiba beliau mendapat tawaran pula untuk melanjutkan pengajiannya ke Mesir dalam bidang yang sama iaitu bidang perubatan. Anak buah kami telah memilih untuk ke Mesir. Kami sekeluarga akur dengan pilihan yang telah dibuatnya sendiri. Beliau sendiri tidak menyertai kami ke Kuching kali ini kerana telah pun melaporkan diri di Shah Alam minggu lepas bagi mengikuti kursus persediaan untuk ke Mesir. Demikianlah. Kita hamya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang paling mutlak.



Jadi, bolehlah dikatakan, kedatangan kami ke Kuching kali ini adalah melancong tanpa dirancang. Kebetulan pula, buat abang ipar saya serta keluarganya, ini merupakan pertama kali mereka tiba ke Kuching. Jadi, nampaknya saya sekeluargalah seolah-olah yang jadi pemandu pelancongnya. Saya sendiri diserahkan untuk merancang tempat-tempat untuk kami semua kunjungi.

Salam dari Kuching.

1 comment:

H said...

assalammualaikum cikgu..
pernah datang sabah tak? he he he.