Wednesday, June 1, 2011

Menghadiri Bengkel Pembelajaran Alquran Braille Di Paroi

Pagi tadi, saya telah menghadiri satu bengkel yang dinamakan sebagai Bengkel Amalan Pembalajaran Alquran Braille. Bengkel berkenaan telah berlangsung di Pusat Dakwah Islamiyah di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Penganjur utama bengkel berkenaan ialah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.



Antara tujuan utama bengkel berkenaan ialah untuk mengenengahkan Alquran Braille dalam khalayak masyarakat umum khususnya di Negeri Sembilan. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan sebagai asas kepada kelas pembelajaran Alquran Braille yang telah dirancang untuk diadakan dalam masa yang terhampir. Bengkel ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengalaman individu tertentu dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille selama ini.



Antara peserta bengkel ini ialah kakitangan Pusat Dakwah Islamiyah Paroi sendiri serta kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan. Selain itu, beberapa orang ahli PERTIS Negeri Sembilan turut hadir dalam bengkel berkenaan.

Bengkel ini akan berjalan selama dua hari, iaitu hari ini (Rabu) dan juga esok)Khamis). Beberapa orang telah dan akan berkongsi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman masing-masing mengikut topik yang telah diberi. Saya sendiri telah diamanahkan selaku pembentang kertas kerja yang pertama untuk hari ini.



Topik yang telah diberikan kepada saya untuk dikongsikan dengan para peserta lain ialah “Alquran Braille Cetakan Malaysia: Satu Pengenalan”. Dalam membicarakan tajuk ini, saya telah cuba berkongsi mengenai sejarah Alquran Braille khususnya di Malaysia. Saya juga turut berkongsi mengenai sejarah ringkas penyalinan dan penerbitan Alquran Braille dari sejak ianya bermula sehinggalah kepada yang terkini.



Selain saya, antara pembentang lain termasuklah daripada Darul Quran Kuala Kubu Baru, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pasukan penyelidik daripada UTM Skudai yang akan membuat pembentangan pada petang esok. Selain itu, Ustaz Fauzi daripada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma, Pulau Pinang, turut akan berkongsi mengenai software Iqra’ untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan yang telah beliau bangunkan.



Bagi saya, bengkel seumpama ini amat bermanfaat. Ia telah dapat mengenengahkan kepentingan dan kegunaan Alquran Braille khasnya kepada mereka yang cacat penglihatan. Selain itu, menerusi bengkel ini juga, ia dapat membetulkan persepsi sebahagian masyarakat kita yang mengatakan Braille hanya untuk mereka yang cacat penglihatan semata-mata. Sebenarnya Braille adalah untuk mereka yang meminati dan mencintainya. Guru-guru saya pada masa lalu sebahagian besarnya adalah merupakan mereka yang berpenglihatan.



Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ustaz Norakyairee Mohd Raus daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah bekerja keras untuk menjayakan bengkel kali ini. Katanya, bengkel kali ini merupakan siri 1. Siri-siri yang berikutnya akan menyusul pada masa yang akan datang.

Oleh kerana ada beberapa urusan lain lagi yang perlu saya uruskan, maka selepas makan tengah hari saya sekeluarga terpaksa meninggalkan Pusat Dakwah Islamiyah Paroi dan kembali semula ke Kuala Lumpur.

No comments: