Wednesday, June 8, 2011

Sembang Malam

Ragam Politik Melayu

Muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-57 telah berakhir pada hujung minggu lalu. Antara faktor muktamar kali ini mendapat perhatian ialah kerana telah berlangsungnya pemilihan pucuk pimpinan tertinggi yang akan mengendalikan parti tersebut sehingga tahun 2013. Ia juga bermakna, barisan pimpinan yang telah dilantik juga akan mengemudikan parti berkenaan untuk menempuh pilihanraya umum ke-13 kelak. Ia sekaligus memberi tanggungjawab yang cukup besar untuk digalas oleh barisan pimpinan yang baru dilantik untuk menentukan jaya atau gagalnya parti tersebut dalam pilihanraya berkenaan.



Walaupun muktamar berkenaan sudah hampir seminggu berakhir, tetapi apa yang menimbulkan sedikit kehairanan dalam hati saya ialah ulasan dan kritikan terhadap PAS khususnya dari musuh politik tegar PAS dan sekutu-sekutunya seakan belum hendak berhenti. Setiap hari, khasnya menerusi media perdana, pelbagai ulasan dan kritikan terhadap muktamar serta keputusan pemilihannya boleh kita sama-sama tatap. Walhal yang telah menganjurkan muktamar berkenaan bukannya orang lain, orang Melayu dan umat Islam juga, dan yang begitu ghairah mengulas dan mengkritik juga bukannya orang lain, orang Melayu dan umat Islam juga. Demikianlah hebatnya orang Melayu dalam berpolitik.

Kehebatan dan keghairahan orang Melayu dalam berpolitik tidak lagi mengira siapa, suasana, tempat, kedudukan dan juga usia. Ada yang sudah pencen dan sepatutnya sudah lama tutup mulut juga tidak mahu ketinggalan. Air liurnya akan kering dan lidahnya akan menggelupas kalau tak dapat mengulas dan mengkritik mengenai muktamar PAS yang sudah berlalu. Nikmat kesihatan yang berbaki telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melontarkan kritikan dangkal terhadap barisan pimpinan baru dalam PAS.

Bagi sesetengah orang Melayu, musuh politik adalah musuh segala-galanya. Bahkan ada puak tertentu dalam kalangan orang Melayu yang berpersepsi musuh politik lebih bahaya daripada musuh negara atau musuh bangsanya sendiri. Sebab itulah, apabila tercetusnya permusuhan politik antara dua puak Melayu, kedua-dua pihak akan saling hentam- menghentam, bedil-membedil, tikam-menikam dan cerca-mencerca sampai ke akar umbi atau ke tulang sumsum. Kumpulan berkenaan tidak pernah memikirkan kesan dan musibah yang bakal menimpa bangsanya sendiri akibat daripada persengketaan yang berpanjangan di antara mereka. Baginya, kumpulan siasah dokongannya lebih diutamakan daripada bangsanya sendiri. Bilakah permusuhan antara keduanya akan berhenti?

Berbalik kepada muktamar PAS yang hampir seminggu sudah berakhir, hakikatnya, siapa pun yang menang dan menjadi peneraju baru kepada parti tersebut akan dikritik oleh musuh politiknya. Dalam pemilihan lalu, oleh kerana ramai tokoh bukan ulamak (mengikut kaca mata sesetengah orang) yang menang, maka timbullah kritikan kononnya golongan ulamak sudah diketepikan, tidak lagi mendapat tempat, dan macam-macam lagi. Seandainya golongan ulamak pula yang menyapu bersih semua kerusi kepimpinan, puak berkenaan akan melontarkan pula kritikan kononnya golongan bukan ulamak dalam PAS tidak mendapat tempat. Nasib baiklah tidak ada dalam kalangan mereka yang menang baru-baru ini calon orang kelainan upaya (OKU). Kalau ada, tentulah akan ada yang mengkritik, sudah tak ada calon lain lagi ke sampai terpaksa memilih calon OKU?



Seperkara lagi yang menarik perhatian saya ialah mengapa musuh-musuh politik PAS begitu beriya melontarkan ulasan dan kritikan terhadap barisan pimpinan terbaru parti berkenaan? Bila sesuatu itu diperkatakan berkali-kali dan berhari-hari serta oleh mereka yang bersatus tokoh-tokoh negara pula, tentu ia mempunyai keistimewaan yang sangat istimewa sehingga ia diulas dan dikritik sebegitu rupa. Adakah barisan kepimpinan terkini PAS cukup menggerunkan lawan-lawannya? Adakah barisan yang ada kini dilihat berpotensi besar untuk mengharu-birukan lawan-lawan politik mereka? Adakah para pemimpin PAS yang telah terpilih baru-baru ini sememangnya penggempur ampuh dalam pilihanraya umum akan datang? Kalau tak tumbuh takkan melata. Tun Mahathir mungkin ada jawapannya. Sebab itulah beliau bukan main lagi mengulas mengenai barisan pemimpin baru PAS.

Beginilah antara ragam orang Melayu bila berpolitik. Mereka lebih berpolimik daripada berpolitik. Menerusi pelbagai jenis media, anak Melayu yang masih kecil sudah diajar bermain api yang akhirnya akan membakar hati dan naluri mereka sendiri. Sama-samalah kita beringat, kerana sengketa sesama kita, bumi yang dipijak tidak mustahil akan menjadi milik orang lain semula. Walaupun nenek moyang kita kaya-raya suatu ketika dahulu, namun kerana tiada sepakat antara kita, orang Melayu mungkin akan merintih sekali lagi di bumi sendiri. Kita yang tidak mahu belajar dari sejarah silam bangsa sendiri, mungkin akan dihukum dengan mengalami semula keperitan dan kehinaan sebagaimana yang pernah kita alami suatu masa dahulu.

Salam dari Kuantan.

No comments: