Buang Bayi Semakin Ganas
Dua tiga hari lepas, kita semua dikejutkan dengan berita seorang bayi telah dibuang dengan cara dicampakkan dari tingkat yang tinggi dari sebuah pangsapuri. Kejadian tersebut diberitakan berlaku di Kuala Lumpur. Keadaan bayi berkenaan setelah dicampak amat menyedihkan. Apalah dosa bayi tersebut? Kalau ikutkan patut, orang yang telah mencampakkan bayi berkenaan sepatutnya dicampakkan semasa dia masih bayi lagi!
Kejadian buang bayi di negara kita bukanlah perkara baru. Ia telah berlarutan sejak sekian lama. Pihak yang berkuasa telah mengambil beberapa langkah ke arah mencegah perbuatan buang bayi berkenaan, tetapi setakat ini langkah-langkah yang telah diambil seolahnya masih belum menjadi. Mengapa agaknya?
Sebelum ini, kita sering mendengar, bayi yang dibuang ditinggalkan di masjid atau surau. Ada juga bayi yang diletakkan dalam tong sampah. Tidak kurang juga bayi yang ditinggalkan di tepi-tepi jalan, di kawasan rekreasi atau di tempat-tempat tertentu. Kebiasaannya bayi-bayi yang hendak dibuang, akan diletakkan di tempat awam. Mungkin tujuannya agar ada orang lain yang akan menyelamatkanbayi berkenaan. Walaupun membuang bayi adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan, tetapi cara meninggalkan bayi di kawasan awam menunjukkan sipembuangnya masih ada pertimbangan kemanusiaan yang berbaki satu dua peratus lagi. Bagi saya, bahkan saya rasa orang lain yang masih berperikemanusiaan juga mungkin bersetuju, cara membuang bayi dengan cara mencampakkannya dari tingkat yang tinggi sangat zalim, kejam dan naluri kemanusiaannya sudah turun ke tahap negatif.
Pada zaman jahiliyah dahulu, mereka hanya membuang bayi perempuan sahaja dengan menanamnya hidup-hidup. Manakala pada masa sekarang pula, bayi dibuang tanpa mengira jantina lagi. Bayi berkenaan tidak lagi ditanam hidup-hidup, bahkan sudah ada yang berani mencampakknya dari tempat yang tinggi.
Segarang-garang harimau dan buaya, mereka tetap menjaga anak yang baru dilahirkan dengan penuh kasih sayang mengikut naluri kehaiwanan. Cubalah ganggu anak kucing yang baru dilahirkan, pasti kita akan dicakar oleh ibunya dengan penuh kegarangan. Ini menunjukkan kasih sayang ibu seekor haiwan kepada anak yang baru dilahirkannya.
Apabila seorang makhluk bernama insan sudah tergamak membuang bayinya sendiri, ia menunjukkan naluri kasih sayang yang ada pada insan berkenaan lebih rendah daripada haiwan. Fenomena inilah yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita.
Di sini, saya tidak berhasrat untuk membincangkan sebab-musabab mengapa fenomena di atas semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Lagipun segala sebab-musabab kepada fenomena di atas sudah acapkali diperkatakan oleh para ilmuwan yang lebih berkepakaran dalam bidang berkenaan. Saya rasa, sehingga kini, kita boleh mengumpulkan seratus atau seribu sebab yang menjadi punca kepada fenomena di atas. Tetapi kalau itu sahaja, ia sama sekali tidak dapat mencegah perbuatan durjana itu daripada terus berleluasa.
Bagi saya, yang lebih penting, kita harus menilai semula adakah langkah-langkah pencegahan yang telah dilaksanakan selama ini benar-benar memberi kesan atau sebaliknya. Apabila kes buang bayi masih berlaku, ia menunjukkan ada yang tidak kena pada langkah-langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan. Maknanya, kita sebagai sebahagian daripada masyarakat, harus memikirkan langkah-langkah alternatif yang lain bagi mencegah kejadian buang bayi yang semakin mendukacitakan. Hendak diharap kepada peraturan dan undang-undang, nampaknya ia tidak menggerunkan sipembuang bayi. Akhirnya yang termampu kita sama-sama lakukan ialah sekadar membilang dan mengumpul statistik kes buang bayi. Itu sahaja.
Kalau ditelek dan direnung, rasanya kes buang bayi yang berlaku hari ini lebih dahsyat daripada semasa zaman jahiliyah dahulu.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment