Sunday, June 26, 2011

Teks Ucapan

Semalam (25 Jun), telah berlangsung majlis perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali yang ke-16. Selaku Yang Di-Pertua PERTIS, saya telah menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian berkenaan. Selama ini, saya agak biasa juga menulis teks ucapan orang lain sama ada di tempat bertugas, atau di luar tempat bertugas. Jadi, bila diri sendiri yang kena berucap, malu pula untuk meminta orang lain menyediakan teks ucapan saya. Oleh itu, untuk ucapan saya semalam, saya yang menulis sendiri teksnya yang kemudiannnya telah saya sampaikan menerusi ucapan saya. Untuk maklumat bersama, bahagian teks yang berhuruf condong (italics) merupakan bahagian yang saya tambah secara spontan semasa saya menyampaikan ucapan. Di bawah ini, saya perturunkan teks ucapan saya yang lengkap yang telah saya gunakan untuk menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-16.


Teks Ucapan Yang Di-Pertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS)
Dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Ke-16


Tarikh : 25 Jun 2011M/23 Rejab 1432H (Sabtu);
Tempat : Dewan Utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.
Tema : PERTIS Meniti Cabaran.

1. Alu-aluan Dan Pendahuluan.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali bin Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Yang Berbahagia Datuk Zamani bin Sulaiman, Setiausaha Dewan Negara merangkap penasihat PERTIS, yang dihormati para pegawai dari JAKIM dan JAWI, Wakil-wakil daripada jabatan dan agensi kerajaan, wakil-wakil daripada badan-badan korporat, seluruh saf kepimpinan PERTIS di semua peringkat, seluruh ahli PERTIS dari seluruh negara, wakil-wakil dari pelbagai media massa, serta seluruh muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Terlebih dahulu, saya dengan segala kerendahan dan kekurangan yang sentiasa ada, ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan limpah kurnia-Nya, serta dengan taufik, hidayah dan inayah dari-Nya, kita semua telah diberi peluang dan kesempatan untuk hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) kali yang ke-16. Saya berdoa agar majlis kita ini akan sentiasa diberkati dan dirahmati Allah sepanjang masa dan ketika serta perjalanan mesyuarat kemudiannya akan dapat dilaksanakan dengan penuh ketertiban, lancar tanpa tergugat oleh apa jua perkara yang sama-sama tidak kita ingini hingga ke akhirnya, insha-Allah.

Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada Ustaz Mohd Ali yang mewakili Tuan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah sudi hadir dan seterusnya akan merasmikan mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ini. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih juga tidak lupa saya tujukan kepada wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan korporat, wakil-wakil badan bukan kerajaan, wakil media massa, seluruh ahli PERTIS serta para hadirin semua di atas kesudian menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PERTIS kali ke-16 pada hari ini. Sesungguhnya kesudian tuan-tuan dan puan-puan hadir ke majlis kami amat dihargai, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.

2. Latar Belakang Ringkas PERTIS.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Untuk pengetahuan kita bersama, PERTIS merupakan satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) untuk mereka yang cacat penglihatan yang berteraskan agama Islam di negara kita. Pada hari ini, keahlian PERTIS sudah mencecah sekitar 1,500 orang. Walaupun PERTIS adalah sebuah badan bukan kerajaan yang berteraskan Islam, tetapi berdasarkan kepada objektif penubuhannya sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan PERTIS, kegiatan-kegiatan persatuan ini boleh merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, sosial dan apa sahaja yang boleh memberi manfaat kepada golongan cacat penglihatan yang beragama Islam. Sesungguhnya ia juga selaras dengan dasar Islam itu sendiri yang merangkumi segala aspek dalam kehidupan.

Dari sudut keahlian pula, PERTIS mempunyai dua jenis keahlian yang utama, iaitu Ahli Biasa dan juga Ahli Sekutu. Ahli Biasa merupakan mereka yang cacat penglihatan dan beragama Islam. Manakala Ahli Sekutu pula merangkumi mereka yang berpenglihatan dan ingin turut sama bersama-sama kami untuk mencapai segala matlamat persatuan.

3. Kegiatan perTIS Secara Ringkas.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Dari sejak penubuhannya pada tahun 1996 hinggalah ke hari ini, pelbagai kegiatan telah dan sedang dianjurkan oleh PERTIS demi manfaat ahli-ahlinya dan juga golongan cacat penglihatan secara umum. Antara aktiviti yang dimaksudkan termasuklah penganjuran pelbagai majlis ceramah bersempena hari-hari kebesaran Islam, forum dan seminar, karnival tilawah, kelas-kelas pengajian, program Celik Alquran dan lain-lain lagi.

Di sini, saya ingin merafakkan kesyukuran yang sebanyak-banyaknya ke hadrat Allah Yang Maha Esa kerana dalam menganjurkan pelbagai aktiviti, kami sentiasa mendapat sokongan dan dokongan padu daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan-badan korporat serta daripada orang perseorangan. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan merupakan antara jabatan dan agensi yang sentiasa bersama PERTIS dalam memberikan bantuan khususnya dalam penganjuran pelbagai kelas pengajian, tajaan pelbagai majlis dan sebagainya. Di peringkat negeri pula, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh jabatan agama Islam juga tidak kurang hangatnya. Umpamanya, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sudah beberapa tahun menaja kelas pengajian Alquran Braile di Terengganu menerusi program Celik Alquran. Pusat Dakwah Islamiyah Paroi serta Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan telah memulakan langkah untuk menganjurkan kelas pengajian Alquran Braille bersama-sama PERTIS.

4. Kerjasama PERTIS Dengan Pihak Luar.

Pada tahun lalu, Bahagian Buku teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia, telah memberi kepercayaan kepada PERTIS untuk mentranskripsi, mencetak dan seterusnya mengedarkan buku teks Braille Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk mata pelajaran pendidikan Islam tahun satu bagi kegunaan tahun 2011. Alhamdulillah, sebesar-besar puji dipanjatkan ke hadrat Allah, walaupun ia merupakan pengalaman pertama PERTIS dalam memikul tanggungjawab sedemikian, dengan sokongan daripada semua pihak, PERTIS telah berjaya menyelesaikan tanggungjawab berkenaan sebelum tarikh akhir yang ditentukan. Selain itu, pada masa ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang bekerjasama erat dengan PERTIS untuk menerbitkan sekitar 5 ribu risalah kepenggunaan dalam bentuk Braille untuk diedarkan kepada golongan sasar tidak lama lagi. Sesungguhnya pengalaman sebegini amat berharga kepada PERTIS. Mudah-mudahan PERTIS akan diberi lagi kepercayaan sedemikian untuk memikul tanggungjawab yang sama pada masa-masa yang akan datang, insha-Allah.

5. “Seorang OKU Penglihatan, Senaskah Alquran Braille”.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Sejak tahun 2007 lagi, PERTIS telah pun melancarkan satu program yang bermatlamatkan “Seorang OKU Penglihatan, Senaskah Alquran Braille”. Matlamat utama program ini ialah untuk memastikan supaya setiap OKU penglihatan di negara ini akan memiliki satu naskah Alquran Braille. Untuk itu, PERTIS telah dan sedang mendapat kerjasama erat dari pihak kerajaan dan swasta bagi mencapai matlamat berkenaan. Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi Bahagian Buku Teks (BBT), telah dan sedang menaja penerbitan sekitar seribu naskah Alquran Braille untuk diedarkan kepada seluruh murid sekolah pendidikan Khas di seluruh negara. Menerusi program ini, setiap murid Islam akan dipastikan memiliki senaskah seorang sebelum mereka meninggalkan bangku sekolah. Pihak JAKIM sendiri telah pun menaja penerbitan 300 naskah Alquran Braille untuk diedarkan kepada golongan cacat penglihatan yang dewasa. Selain itu, Malaysia Building Society Bhd telah menaja penerbitan 62 naskah, manakala World Wide Holding Bhd pula sedang menaja penerbitan 300 naskah Alquran Braille. Pihak World Wide Holding juga turut menaja pembelian sebuah pencetak Braille (Braille embosser) yang harganya hampir mencecah 21 ribu ringgit. Sesungguhnya keinginan dan keterlibatan pihak-pihak yang berkenaan untuk seiring dan seganding dengan PERTIS dalam melaksanakan usaha dakwah amat memberangsangkan. Setinggi-tinggi syukur kita rafakkan ke hadrat Allah S.W.T.

Kepada seluruh ahli PERTIS pula, dengan segala yang telah kita ada, marilah kita sama-sama melipatgandakan usaha untuk memastikan diri kita supaya celik Alquran walaupun melalui Alquran Braille. Jika difikir-fikirkan, sebenarnya Allah sedang mempermudahkan golongan seperti kita untuk lebih akrab kepada-Nya menerusi pelbagai kemudahan, pertolongan dan bantuan daripada pelbagai pihak supaya kita tidak terpinggir untuk tergolongan dalam kalangan mereka yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Rasanya kita tidaklah serugi mana jika kita tidak celik penglihatann, tetami kita akan menjadi makhluk yang paling rugi jika kita gagal menjadi insan yang celik Alquran sedangkan kesempatan dan peluang untuk kita melakukannya sedang terbentang luas.

6. Pencurian Softcopy Alquran Braille PERTIS.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Saya serta sebilangan besar ahli PERTIS merasa begitu dukacita apabila tanpa disangka-sangka ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah telah mencuri soft copy Alquran Braille yang telah dihasilkan oleh ahli PERTIS dan telah diamanahkan hanya kepada PERTIS sahaja. Lebih jauh lagi, pihak yang tidak bermoral itu telah menggunakan soft copy yang telah dicuri itu dengan menerbitkan Alquran Braille keluaran mereka pula dan mempromosikannya pula dalam majlis yang besar serta mendapat liputan yang agak meluas daripada pihak media. Dalam liputan tersebut, nama PERTIS telah dipadam terus, bahkan nama NGO lain yang langsung tidak ada kena-mengena dengan Alquran Braille pula telah diwar-warkan. Untuk lebih lanjut, tuan-tuan dan puan-puan boleh merujuk rencana yang bertajuk “Satu Rumah, Satu Naskah” yang diterbitkan menerusi Berita Minggu pada 19 Disember 2010 yang lalu. Sehingga kini, pihakk yang tidak bertanggungjawab itu terus mempromosikan Alquran Braille yang telah mereka curi soft copynya itu daripada PERTIS untuk kepentingan sendiri. Sepatutnya, dengan Alquran kita akan menjadi lebih takut kepada Allah. Sayang seribu kali sayang, masih ada pihak yang tergamak menjadikan Alquran (walaupun Cuma Alquran Braille) hanya untuk kepentingan perut dan poketnya semata-mata.

7. Projek E-Braille Quran Teaching Aid.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Satu lagi program yang sedang berjalan pada masa ini ialah membangunkan Panel Electric Braille Quran Teaching Aid. Sebenarnya program ini sedang dilaksanakan oleh sepasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama daripada PERTIS sendiri. Jika selama ini Alquran bercetak Braille termuat dalam 6 jilid dan beratnya sekitar 10 kilogram, tetapi dengan terhasilnya panel ini nanti, Alquran Braille akan termuat dalam satu panel sahaja dengan beratnya di sekitar 1 kilogram sahaja. Penyelidikan dan penghasilan alat canggih ini sudah pun melebihi 90% siap. Saya dimaklumkan alat seumpama ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian,

Insha-Allah, PERTIS tidak akan leka dengan pencapaiannya selama ini. Lagi pun, apa yang telah dicapai masih lagi kecil dan sedikit. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh PERTIS untuk memenuhi keperluan golongan sasar. Oleh itu, PERTIS akan melipatgandakan usaha dengan membuat rancangan rapi supaya objektif penubuhan persatuan ini akan tercapai. Selaras dengan objektif persatuan ini, rasanya sudah tiba masanya PERTIS untuk meneroka bidang-bidang lain seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya untuk membantu dan memenuhi keperluan para ahlinya. Justeru, sokongan, dokongan sertan bantu dari kerajaan dan bukan kerajaan amat kami perlukan agar kami tidak keseorangan dalam membangunkan golongan cacat penglihatan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya suka mengambil kesempatan yang ada untuk mewakili seluruh ahli PERTIS menyampaikan ucapan takziah kepada Saudara Ramli bin Md Som serta keluarga beliau. Saudara Ramli ialah salah seorang Ahli Biasa PERTIS negeri Terengganu. Semasa beliau dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kl semalam bersama-sama dengan ahli PERTIS Terengganu yang lain, iaitu sewaktu bas yang dinaiki tiba di Sungai Ular, Kuantan, Saudara Ramli mendapat berita rumahnya di Marang terbakar. Keluarganya selamat. Dengan pertolongan daripada ahli PERTIS lain yang turut bersama beliau, Saudara Ramli dapat menaiki bas yang lain untuk kembali semula ke Marang. Sama-samalah kita berdoa semoga Saudar Ramli akan bersabar dan tabah dalam menghadapi musibah yang menimpa beliau dan keluarganya.

8. Penutup.

Akhirul kalam, sekali lagi, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang Berbahagia Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM yang mewakili Tuan Ketua Pengarah JAKIM, para tetamu jemputan serta hadirin sekalian di atas kesudian menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS kali ke-16. Jika kedapatan sebarang kekurangan dan kelemahan dalam majlis kami, jutaan ampun dan maaf kami pohonkan. Maklumlah kami umpama budak yang masih belajar, jika ada salah dan silap tolonglah perbetulkan.

Sekian, terima kasih.

No comments: