Monday, June 27, 2011

Sepintas Lalu Mengenai Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Ke-16



Sebagaimana yang semua mungkin sudah maklum, Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS) kali ke-16 telah pun berlangsung pada 25 Jun 2011 (Sabtu) yang lalu. Mesyuarat berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Mesyuarat berkenaan telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan telah berakhir pada kira-kira jam 6.00 petang. Berdasarkan rekod pendaftaran, seramai 201 orang telah menghadiri mesyuarat agung tahunan kali ini.



Pada umumnya, mesyuarat berkenaan telah dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua. Bahagian pertama merupakan majlis perasmian. Ia telah berlangsung bermula jam 8.30 pagi dengan para ahli mesyuarat mula berkumpul di dalam dewan. Manakala bahagian kedua pula merupakan sesi mesyuarat agung. Pada jam 1.20 tengah hari, mesyuarat telah berhenti rehat untuk makan dan solat zohor. Pada jam 2.29 petang, sidang mesyuarat telah disambung semula dan berterusan hinggalah ke hampir jam 6.00 petang.



Sepatutnya, majlis perasmian kali ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tuan Haji Othman bin Mustapha. Namun demikian, saya dimaklumkan di saat-saat akhir beliau terpaksa membatalkan jadualnya ke majlis berkenaan kerana menguruskan satu urusan yang lebih aula. Beliau sebaliknya telah mewakilkan Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM.

Sekitar jam 9.15 pagi, majlis perasmian pun bermula. Selepas ucapan aluan daripada pengerusi Majlis, Saudara Zaki Yusoff pula mengambil giliran untuk memimpin bacaan doa.



Setelah itu, Ahmad qusairi pula mengambil giliran untuk memperdengarkan bacaan ayat suci Alquran Al-karim. Memang suara Qusairi sungguh merdu apabila mengalunkan bacaan Alquran. Lebih istimewa lagi, kali ini, qusairi membaca Alquran dengan menggunakan panel E-Braille Quran yang telah dibangunkan oleh para penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama daripada PERTIS. Alhamdulillah alat tersebut telah berjaya digunakan dengan baik. Seingat saya, ini kali pertama panel E-Braille quran telah digunakan dalam khalayak ramai dan dalam majlis rasmi pula.



Selesai Ahmad Qusairi memperdengarkan bacaan Alquran, tiba pula giliran saya untuk menyampaikan ucapan. Teks penuh ucapan saya telah pun saya postingkan menerusi blog ini. Jadi tidak perlulah saya memperkatakannya lagi.



Selepas selesai saya berucap, tiba pula giliran Datuk Zamani (Setiausaha Dewan Negara) selaku penasihat PERTIS menyampaikan ucapannya. Dalam ucapannya, Datuk Zamani menaruh harapan yang besar agar jabatan Orang Kurang Upaya yang pada masa ini berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat akan berkembang dan berupaya menjadi sebuah entiti sendiri dengan diketuai oleh seorang yang berstatus ketua pengarah. Selain itu, beliau juga berharap agar kepimpinan JAKIM yang baru akan dapat membantu PERTIS untuk beroperasi di bangunan yang lebih sesuai.

Nampaknya, isi ucapan Datuk Zamani kali ini ada sedikit kelainan. Tidak seperti dalam siri ucapan beliau sebelumnya yang mana beliau sering menyentuh mengenai penjual tisu. Oleh kerana isi ucapannya hampir serupa dalam siri ucapannya sebelum ini, dalam kalangan sesetengah orang buta, beliau mula dikenali sebagai “Datuk Tisu”.



Setelah itu, tampil pula Ustaz Mohd Ali Sarbini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM berucap. Beliau mengucapkan tahniah kepada PERTIS kerana baginya berjaya menganjurkan satu majlis yang besar dan baik. Menurut beliau, majlis ini dianggapnya besar kerana kehadiran yang ramai dan memuaskan. Setelah berucap, beliau pun merasmikan mesyuarat agung tahunan kali ini. Cara beliau merasmikan majlis ada sedikit kelainan. Beliau telah meminta hadirin supaya membaca surah Alfatihah. Setelah selesai, barulah beliau mengatakan, dengan bacaan tersebut dan dengan kalimah bismillah, beliau merasmikan mesyuarat agung kali ini.

Upacara perasmian diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah khas. Ini merupakan kali kedua PERTIS memberikan Anugerah Khas kepada pihak yang terpilih. Pada tahun ini, Anugerah Khas telah dianugerahkan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan juga kepada pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sebenarnya Anugerah Khas diberikan kepada individu atau pihak yang telah memberikan perkhidmatan atau jasa yang besar kepada PERTIS dan juga kepada golongan cacat penglihatan khasnya yang beragama Islam.

MAIDAM dipilih kali ini kerana sumbangannya yang besar khasnya terhadap PERTIS Terengganu. MAIDAM telah menaja program Celik Alquran untuk ahli PERTIS Terengganu. Selain itu, sumbangan kewangan yang dihulurkan MAIDAM kepada PERTIS Terengganu juga semakin besar.



Manakala pasukan penyelidik dari FKM UTM pula dipilih di atas sumbangan besar mereka dalam penyelidikan sehingga terhasilnya panel E-Braille Quran. Alat canggih ini memang besar guna dan manfaatnya khususnya kepada teknologi perkakasan khas untuk golongan yang cacat penglihatan.



Selesai acara Anugerah Khas, tiba pula acara sumbangan Alquran Braille tajaan. Kali ini, pihak Malaysia Building Society Bhd (MBSB) telah diberi penghormatan untuk mengiringi KPP JAKIM untuk menyampaikan Alquran Braille tajaan mereka kepada dua penerima. Sebenarnya, pihak MBSB sedang menaja penerbitan 62 naskah Alquran Braille untuk diedarkan secara percuma kepada pengguna yang layak.

Majlis perasmian ini telah diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan juga sidang akhbar. Selepas itu, para tetamu jemputan telah menikmati jamuan ringan di bilik yang telah disediakan.



Bahagian kedua mesyuarat agung kali ini telah dimulakan pada jam 11.40 pagi, iaitu terlewat kira-kira 35 minit. Bagi saya, pada keseluruhannya, mesyuarat telah berjalan lancar. Untuk sesi soal jawab pula, saya rasa ia tidaklah semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Mungkin antara kelemahan yang timbul di sini ialah ketidakcukupan dokumen mesyuarat yang diedarkan. Insha-Allah kelemahan sebegini akan diatasi pada masa yang akan datang.



Selain itu, saya juga ada terdengar beberapa soalan yang kononnya akan ditanya ketika bermesyuarat, tetapi setelah mesyuarat selesai, soalan yang berkenaan tidak ditimbulkan langsung. Bagi saya, kalau kita mempunyai fakta, data dan bukti, tidak menjadi kesalahan bahkan amat saya alu-alukan untuk sebarang persoalan dikemukakan. Saya yakin, kita semua mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk memantapkan lagi organisasi kita. Inilah antara tujuan utama kita bermesyuarat. Bagi saya, menyoal, menjawab dan berbincang adalah elemen yang akan memeriah dan menyemarakkan mesyuarat. Selaku pengerusi mesyuarat dan juga Yang Di-Pertua organisasi, saya tetap berkeyakinan penuh iaitu mengkritik bukan bermakna menentang dan memuji bukan bermakna menyokong.



Dalam mesyuarat kali ini, 4 orang AJK muka baru telah dipilih untuk menganggotai barisan kepimpinan tertinggi PERTIS sehingga tahun 2012. Mereka ialah:



En. Mohd Nasir bin Mohamed Yusoff selaku Naib Yang Di-Pertua;
Pn. Sariyah binti Nordin selaku AJK Pusat Biasa;
Pn. Arilzoh binti Mokhtar selaku AJK Pusat Biasa;
En. Azizan Salleh juga selaku AJK Pusat Biasa.



Manakala Cikgu Mohd Fekkeri dan Cikgu Saifuddin merupakan juruaudit dalaman untuk tempoh setahun. Lain-lain jawatan iaitu Yang Di-Pertua, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat masih kekal disandang oleh muka lama.



Sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, sekitar jam 6.00 petang barulah mesyuarat berakhir. Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan supaya mesyuarat kali ini berjalan dengan baik dan lancar. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada seluruh saf kepimpinan PERTIS sama ada yang lama mahupun yang baru. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh kakitangan PERTIS yang telah bekerja keras ke arah menjayakan mesyuarat kali ini. Ucapan yang serupa juga saya tujukan kepada seluruh sukarelawan yang tidak bosan dan jemu dalam melayan karenah ahli PERTIS yang agak pelbagai.

Kepada semua, terima kasih daun keladi saya ucapkan.

No comments: