Sehingga petang tadi, saya telah terbang bersama pesawat kendalian Malaysia Airline System (MAS) sebanyak 22 kali. Bukan hendak menunjuk, tetapi ada sesuatu yang ingin saya kongsikan. Seingat saya, sebanyak 12 kali saya menaiki penerbangan MAS secara sendirian tanpa diiringi oleh keluarga atau rakan. Manakala 10 kali saya menaiki penerbangan MAS adalah secara kumpulan, sama ada bersama rakan-rakan setugas atau rakan-rakan biasa.
Walaupun kadar tambang penerbangan MAS agak tinggi sedikit, tetapi bagi golongan seperti saya, ada sesuatu yang istimewa bila menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS. Kemesraan layanan daripada kakitangan dan petugas MAS akan mula dirasai sebaik sahaja saya mendaftar masuk di kaunter syarikat berkenaan. Setelah urusan pendaftaran selesai dan jika masih ada masa lagi, petugas yang berkaitan akan membawa saya duduk lebih dahulu. Bila sampai waktunya pula, petugas berkenaan akan membawa saya terus ke kapal terbang. Acapkali juga saya akan naik dahulu daripada penumpang lain. Walau bagaimanapun, semasa ketibaan, saya adalah antara penumpang terakhir yang akan meninggalkan pesawat.
Sewaktu ketibaan pula, Petugas di pesawat akan mengiringi saya hingga ke pintu pesawat. Manakala kakitangan MAS di lapangan terbang yang berkaitan pula sudah sedia menanti saya di pintu kapal terbang dan terus membawa saya ke bangunan terminal. Setelah itu, petugas berkenaan akan bertanya saya ke mana destinasi saya seterusnya. Maksudnya, jika saya ingin mendapat perkhidmatan teksi, petugas berkenaan akan membawa saya hinggalah saya naik teksi. Begitu juga jika saya ingin menggunakan perkhidmatan bas atau ERL. Jika saya memberitahu ada orang yang akan menanti saya di lapangan terbang, petugas berkenaan akan membawa saya ke tempat menunggu. Maknanya, Bila saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS, keselesaan dan keselamatan saya akan dijaga bermula saya mendaftar masuk sehinggalah saya meninggalkan lapangan terbang sewaktu ketibaan. Di sepanjang 22 kali saya menggunakan perkhidmatan MAS, tidak pernah sekali pun para petugas MAS mengabaikan saya.
Dari aspek yang lain pula, kebiasaannya para petugas MAS amat mesra, mudah membantu dan juga tidak kekok bila berkomunikasi dengan penumpang seperti saya.
“Encik Zakaria, saya hendak beri kacang, sila hulurkan tangan kanan.”
“Encik Zakaria, sila hulurkan tangan kanan kerana saya hendak beri minuman.”
“Encik Zakaria, ini butang yang perlu encik tekan (sambil mengambil tangan saya dan menyentuh pada butang yang dimaksudkan) sekiranya encik perlukan bantuan.”
“Encik Zakaria, sekiranya berlaku sebarang kecemasan, saya yang akan bertanggungjawab ke atas encik.”
Demikianlah antara pengalaman yang telah saya lalui dalam penerbangan MAS dari JB ke KL petang tadi. Pengalaman manis sebegini acapkali saya lalui ketika terbang bersama pesawat MAS.
Pernah juga pada masa yang lain saya disuruh oleh paramugari yang bertugas untuk mengira langkah dari pintu kecemasan hingga ke kerusi tempat saya duduk. Saya faham, segalanya bertujuan untuk memastikan saya sentiasa selesa dan selamat di sepanjang penerbangan.
Pengalaman yang telah saya lalui bersama penerbangan MAS mungkin berbeza dengan orang lain. Namun demikian, itulah yang pernah saya lalui setiap kali saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS. Oleh itu, setinggi pujian layak saya berikan kepada MAS di atas keprihatinan mereka terhadap penumpang seperti saya. Sebab itulah juga, apabila saya menggunakan perkhidmatan penerbangan MAS, saya akan lebih yakin, gembira dan langsung tidak risau dan ragu.
Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada MAS di atas keprihatinan mereka terhadap penumpang seperti saya. Saya yakin, apa yang telah dilakukan oleh petugas MAS bukan kerana terpaksa atau dipaksa, sebaliknya ia terbit daripada keikhlasan serta tanggungjawab antara sesama insan.
Setelah saya terbang sebanyak 22 kali bersama pesawat MAS, setakat ini belum sekali pun saya mendapat layanan sebagaimana layanan yang saya terima daripada si bodoh di lapangan terbang Kota Bharu sekitar tiga bulan yang lalu.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment