Thursday, December 18, 2008

Ingatan Silam

Kisah Bersama Seorang Pemandu Teksi

 

            Secara tiba-tiba sahaja, kisa saya bersama seorang pemandu teksi muncul dalam ingatan.  Kisah ini berlaku entah sudah berapa belas tahun yang lalu.  Tatkala itu saya masih menuntut di UM.  Pada masa itu juga, pintu utama perpustakaan UM masih menghadap Fakulti Pendidikan lagi.

 

             Sekali peristiwa, saya telah menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke kampus, iaitu ke perpustakaan utama.  Sewaktu menaiki teksi berkenaan, pemandunya bertanya: "Awak tahu ke di mana hendak berhenti sebab UM tu besar."  Secara spontan saya terus menjawab: "Encik jangan risau, nanti bila tiba di UM saya akan tunjukkan di mana saya nak berhenti."

 

            Tanpa banyak soal lagi, pemandu tersebut terus memandu teksinya hinggalahtiba di pintu utama UM.  Sebaik sahaja saya menyedari teksi berkenaan melalui pintu utama saya pun terus berkata: "Ok, jalan terus".  Pemandu itu akur sahaja.  Teksi berkenaan terus meluncur melalui hadapan kolej pertama, kolej kedua dan selepas ia melalui Fakulti Kejuruteraan iaitu tatkala berada di simpang 4 (waktu itu), saya pun berkata: "Pusing kanan".  Jika pusing kiri ia akan menuju ke PJ Gate.  Pemandu tersebut akur lagi.  Setelah tiba di persimpangan selanjutnya saya pun berkata lagi: "Pusing kiri".  Jika pusing kanan ia akan melalui DTC.  Dengan jarak yang tidak begitu jauh iaitu tatkala teksi berkenaan melalui di hadapan Fakulti Sains di sebelah kanan, saya pun berkata lagi: "Pusing kiri lagi."  Pemandu itu diam dan terus akur.  Dengan jarak yang tidak begitu jauh juga dan tatkala saya yakin teksi tersebut melalui hadapan pintu utama Main Library, saya pun menyuruh pemandu tersebut berhenti.

 

            Setelah memberhentikan teksinya, tiba-tiba pemandu tersebut terus memegang tangan saya dengan agak kuat sambil bertanya: "Sekarang tolong beritahu secara jujur, awak ni sebenarnya nampak atau tidak?"  Saya agak terkejut dengan soalan beliau.  Saya pun terus bertanya kembali: "Kenapa encik tanya begitu?"  Pemandu teksi itu berkata: "Macam mana awak boleh tahu jalan lurus, pusing kanan, pusing kiri dan tempat mana nak berhenti?"

 

            Demi untuk memuaskan dan meyakinkan pemandu berkenaan, saya pun terus memberi penerangan yang agak panjang lebar bagaimana saya boleh tahu keadaan jalan, di mana patut pusing dan di mana harus berhenti.  Saya tidak pasti sama ada pemandu teksi tersebut berpuas hati atau tidak dengan penerangan yang saya berikan.  Walau bagaimanapun, saya berkeyakinan pemandu teksi tersebut telah mempercayai apa yang telah saya terangkan walaupun mungkin tidak seratus peratus.  Keyakinan ini saya dasarkan kepada sesiapa yang melihat mata saya, dia pasti tahu bahawa orang ini cacat penglihatannya.

 

            Berdasarkan kisah di atas, ada kalanya bila seseorang cacat penglihatan menggunakan sedikit kebolehan yang ada padanya untuk kehidupannya sendiri, ia mungkin boleh menimbulkan salah sangka pula daripada sebahagian masyarakat umum.  Saya tidak sekali-kali menyalahkan pemandu teksi tersebut.  Beliau mungkin ada pengalaman diperdaya dengan situasi yang hampir sama, sebab itulah beliau lebih berhati-hati.

 

            Sebenarnya dalam konteks kisah di atas, agak panjang untuk saya huraikan bagaimana saya berupaya mengesan keadaan jalan yang saya lalui, di mana patut pusing dan di tempat mana harus berhenti.  Mungkin sewaktu di peringkat sekolah rendah dahulu, saya telah didedah dan diajar dengan betul oleh guru-guru yang benar-benar mahir cara bergerak dalam keadaan selamat dan cara berkomunikasi yang betul dan berkesan dengan keadaan sekeliling melalui satu bidang (ilmu) yang dikenali sebagai Orientasi Dan Mobiliti (O & M).  Jika golongan cacat penglihatan telah diajar dan dilatih dengan secukupnya menerusi bidang ini, dia pasti mampu untuk mempunyai sikap keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, mampu untuk berdikari, berupaya untuk bergerak dengan cara yang selamat, boleh berkomunikasi dengan lebih berkesan dan dapat mengagak situasi sekelilingnya dengan cepat.  Bidang ini juga mampu menjauhkan golongan cacat penglihatan daripada takut, malu tanpa sebab, beku dan kaku khususnya bila melibatkan pergerakan dan pergaulan.

 

            Untuk membolehkan bidang O & M ini benar-benar berkesan dan dapat dimanfaatkan oleh golongan cacat penglihatan semaksimumnya, maka ia haruslah diajar oleh jurulatih (termasuklah dalam kalangan guru) yang benar-benar bersikap positif terhadap mereka yang cacat penglihatan, punya persepsi yang betul serta yakin dengan kemampuan dan kebolehan golongan cacat penglihatan.  Untuk pengetahuan bersama, sewaktu saya di sekolah rendah, bidang O & M ini telah didedah dan diajarkan kepada saya oleh guru-guru yang berpenglihatan dan memiliki sikap, sifat dan kebolehan seperti yang saya nyatakan tadi.

 

2 comments:

Unknown said...

Salam bahagia rakan-rakan sekalian,

Memang benar. Pendedahan terhadap Orientasi dan Mobiliti (O&M) merupakan antara resepi kejayaan seorang cacat penglihatan. Menerusi kisah itu, memang kita patut boleh belajar daripadanya, bahawa bukanlah kecacatan yang menjadi punca kegagalan. Dalam hal ini, persepsi masyarakat terhadap OKU penglihatan ini sudahpun patut berubah selaras separuh abad merdekanya negara dan bukan makin sempit lagi terhimpit. Ini ditambah perbezaan darjah pencapaian intelektual seseorang dengan seseorang lain. Umpamanya, saya dalam bidang O&M ini agak lambat, memerlukan pendedahan berjalan dan/atau berkenderaan dengan agak kerap sambil diberi gambaran akan halatuju yang sepatutnya dilintasi.

Oleh itu, elok rasanya jika kita mewajibkan murid-murid sekolah khas penglihatan ini menguasai O&M seawal sekolah rendah. Dari sini, pelbagai ilmu lain boleh turut diterapkan seperti budi bahasa, sopan-santun, sabar, keseriusan tumpuan, dan sebagainya. Sekaligus, masyarakat umum akan lebih terdedah dengan kita yang dengannya mudah-mudahan mencerahkan lagi peluang kerjaya, seterusnya melahirkan insan OKU penglihatan yang mampu berdikari seperti rakan taulan dan ahli keluarga mereka yang normal. Usahlah kita hanya pandai merancang di atas kertas atau menuturkan sesuatu yang kelihatan gah, tetapi realitinya, masih jauh ketinggalan atau memang tak mampu untuk dilaksanakan. Bersamalah kita renungkan kisah realiti ini agar kita sama-sama beroleh kejayaan lagi keberkatan di dunia dan akhirat.

Tai said...

Ya kadang, orang celik nak percaya bahawasanya, kita yang tak nampak ni, mampu mengenali tempat yang kita lalui. Saya juga pernah mengalami situasi yang sama sewaktu nak balik ke rumah dari Tanjong.