Tuesday, October 6, 2009

Selamat Pergi Tok Ning

Pagi semalam (5 Oktober), tatkala saya sedang mengajar mata pelajaran
Sejarah di tingkatan 4D, tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon
dari isteri dan memaklumkan bahawa Tok Ning baru sahaja kembali ke
rahmatullah. Saya terus bergegas ke pejabat sekolah dan telah
dibenarkan untuk bercuti bagi menziarahi almarhumah buat kali
terakhir.

Lebih kurang jam 9.50 kami tiga beranak pun bertolaklah ke Kuantan.
Seperti biasa, isteri saya yang memandu kereta. Dalam keadaan begini,
saya wajib berada di sisi beliau, takut-takut dia memandu dengan
emosi. Lebih kurang jam 12.20 tengah hari, kami pun tiba di bandar
Kuantan. Kami terus ke rumah almarhumah. Seperti yang saya jangka,
memang orang sudah ramai.

Dalam keluarga kami (keluarga sebelah isteri saya), almarhumah Tok
Ning (nama sebenarnya Sharifah Zubaidah) merupakan orang yang paling
tua. Mengikut surat mati, usia beliau ketika meninggal dunia ialah 96
tahun. Namun begitu, saya berpendapat, usia beliau lebih tua dari
itu. Semasa hayatnya, saya pernah bertanya berapakah usia beliau?
Tok Ning tidak dapat mengingati berapa usia beliau yang sebenar. Lalu
saya bertanya lagi, di antara raja-raja Pahang, raja mana yang
mula-mula beliau ingat? Jawab Tok Ning, Sultan Mahmud. Sultan Mahmud
memerintah pahang antara tahun 1913-1917. Katanya lagi, memang beliau
pernah melihat sendiri Sultan Mahmud. Oleh itu, tatkala pemerintahan
Sultan Mahmud, usia tok Ning mungkin sekitar 7 atau 8 tahun. Ini
bermakna, mungkin Tok Ning telah lahir sekitar tahun 1907 atau 1908.
Itu sekadar jangkaan saya sahaja.

Tok Ning juga pernah bercerita kepada saya mengenai perihal
pemerintahan Sultan Mahmud. Mungkin apa yang pernah beliau ceritakan
kepada saya tidak tercatat dalam buku sejarah. Namun demikian,
biarlah saya simpan sahaja cerita Tok Ning tersebut.

Oleh kerana umur Tok Ning yang sudah begitu berusia, maka pada hari
seperti ini sudah tentulah ramai yang datang untuk menziarah buat kali
terakhir. Tok Ning mempunyai 14 orang anak. Beliau juga turut
mempunyai sebilangan cicit dan piut. Salah seorang kerabat Tok Ning
ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang. Saya memang kenal dan
rapat dengan ADUN berkenaan. Bila kami bertemu, tentunya hal dan
cerita politik tak lepas dari perbualan kami.

Setiap kali kami pulang ke Kuantan, kami sekeluarga pasti akan
menziarahi Tok Ning. Bila bertemu, tangannya akan saya cium. Saya
pasti tak akan melepaskan peluang untuk bertanya pelbagai kisah
terutamanya yang berlaku di Pahang ketika Tok Ning masih muda remaja.
Menurut ipar-ipar saya, ada kalanya bila lama kami tak pulang, Tok
Ning akan bertanyakan saya, isteri saya serta Luqman.

Selepas solat zohor, jenazah Tok Ning dibawa turun dari rumahnya.
Saya turut mengiringi jenazah beliau hingga ke perkuburan di Jalan
Bukit Ubi. Hanya sampai di sini sahaja saya dan kami mampu menghantar
Tok Ning. Di perkuburan inilah Tok Ning disemadikan dan akan terus
bersemadi sehingga hari kebangkitan nanti.

"Selamat pergi Tok Ning! Kami juga akan menyusul Tok suatu hari nanti".

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat dan rakan-rakan sekalian.

Sesungguhnya, daripada-Nya (Allah) kita datang dan kepada-Nyalah nanti kita akan dikembalikan. Takziah kepada kalian. Bersamalah kita doakan agar Almarhumah dirahmati, diberkati dengan pelbagai ganjaran dan nikmat serta diampuni salah dan silapnya ketika hayatnya. Terima kasih di atas kesudian berkongsi kisah sebegini; semoga mampu kita jadikan iktibar, insha Allah.

Benarlah, jika sampai tempoh, tiada terlewat mahupun tercepat walau sesaat. Saya percaya Almarhumah berjaya memanfaatkan kebanyakan masa hayatnya dengan perkara bermanfaat untuk diri serta masyarakat sekeliling, termasuk untuk kalian. Justeru, marilah kita bersama mempelajari hakikat, umur panjang, kesihatan nan berterusan dan kekayaan harta, sanak keluarga serta pangkat, jika tidak dimanfaatkan sebaiknya dengan dipersiakan, apatah lagi menaja kemungkaran, pasti akan kerugian. Bayangkan, terdapat umat manusia yang berangan-angan mahu hidup seribu tahun, konon boleh selamat daripada azab ... Sebab itulah, barangkali, umat akhir zaman ini dipendekkan jangkahayat mereka sekadar 60 ke 70 tahun. Oleh itu, saya percaya, Almarhumah begitu beruntung dikurniai Allah jangkahayat yang bagus, disertai banyaknya amal soleh. Antara buktinya, banyak kisah sejarah silam yang Almarhumah ingat. Dengan itu, marilah kita contohi Almarhumah akan amal solehnya; semoga kita turut digolongkan bersama golongan sedemikian, insha Allah.

Terima kasih.