Friday, December 18, 2009

Bicara Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431

Hari ini adalah 1 Muharram tahun 1431 Hijrah (18 Disember 2009). Sekaligus ia merupakan hari pertama kepada kalendar Islam. Pengiraan kalendar Islam berasaskan kepada peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W. dari kota Makkah ke kota Madinah. Khalifah Umar Al-Khattab iaitu khalifah kedua dalam kalangan khulafa Al-Rasyidin merupakan orang pertama yang memulakan pengiraan tahun Hijrah berasaskan kepada peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W.



Dalam zaman Rasulullah S.A.W., terdapat 3 peristiwa hijrah, iaitu hijrah daripada kota Makkah ke Habsyah (Ethiopia), hijrah dari kota Makkah ke Taif dan hijrah dari kota makkah ke Yathrib (kemudiannya dinamakan semula sebagai Madinah Al-Munawwarah oleh Rasulullah S.A.W.). Di antara ketiga-tiga peristiwa hijrah tersebut, penghijrahan ke Madinah merupakan peristiwa paling penting dan telah memberi kesan yang cukup besar dan bermakna, bukan sahaja kepada perkembangan islam, tetapi kepada dunia umumnya.

Sewaktu Rasulullah S.A.W. dan saidina Abu Bakar berhijrah daripada Makkah ke Madinah, banyak peristiwa yang telah kedua-duanya lalui yang turut meninggalkan pengajaran yang berguna kepada kita hari ini. Ia bermula dengan mesyuarat dan rancangan untuk membunuh Rasulullah, keberanian Saidina Ali untuk tidur di tempat tidur Rasulullah pada malam Rasulullah mula berhijrah, peristiwa tatkala Rasulullah S.A.W. mula meninggalkan rumah untuk berhijrah ketika dikepung oleh para pemuda quraisy, persembunyian Rasulullah dan Saidina Abu Bakar di gua Thur, kegagalan percubaan Surakah bin Malik untuk membunuh Rasulullah di pertengahan jalan, kebenaran janji Rasulullah kepada Surakah dan lain-lainnya. Semua peristiwa tersebut mempunyai sesuatu yang perlu kita teladani pada hari ini.



Sebelum tiba ke Madinah, Rasulullah telah berhenti di satu tempat bernama Quba. Di sini baginda telah membina sebuah masjid yang terkenal dengan nama Masjid Quba. Masjid ini merupakan antara tempat ziarah yang penting hari ini.



Akhirnya Rasulullah S.A.W. dan Saidina Abu Bakar telah selamat tiba di Madinah. Ketibaan baginda dan sahabat karibnya telah mendapat sambutan hangat daripada para penduduk Madinah. Sambutan yang diterima lebih hebat daripada sambutan secara permaidani merah.

Setelah berlakunya peristiwa hijrah ke Madinah, maka dakwah islamiyah telah dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna. Negara islam juga telah dapat diasaskan. Peradaban Islam telah dapat ditegakkan, dan akidah Islam telah dapat diperkukuhkan. Penghijrahan Rasulullah S.A.W. juga telah melenyapkan penguasaan dan monopoli golongan Yahudi terhadap orang Arab khususnya di sekitar Madinah.

Hari ini, peristiwa hijrah telah diterjemahkan kepada pelbagai situasi. Berubah daripada buruk kepada baik juga dikatakan hijrah. Berubah daripada baik kepada lebih baik, atau daripada lebih baik kepada yang terbaik juga boleh dikaitkan dengan hijrah. Pertukaran daripada busuk hati kepada wangi hati juga boleh dikaitkan dengan hijrah. Bahkan saya rasa, perubahan daripada tak tahu Braille kepada mahir dengan Braille juga boleh dikaitkan dengan hijrah!

Sesungguhnya hijrah yang terbaik ialah apabila ia dilakukan semata-mata kerana Allah. Perubahan yang terbaik ialah perubahan yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Jika kita melakukan sesuatu hanya semata-mata untuk menarik perhatian makhluk yang bernama manusia, maka pada akhirnya nanti kita pasti akan kecewa dan gagal. Lagipun, ia hanya sekadar sementara sahaja.

Bersempena dengan kedatangan tahun baru Hijrah 1431, marilah kita sama-sama kuatkan usaha, bulatkan tekad dan beristiqamah untuk beroleh kebahagiaan di dunia, kebahagiaan di akhirat dan terpelihara daripada azab siksaan neraka yang amat pedih itu. Mudah-mudahan pada tahun 1431 ini, kita dapat melaksanakan penghijrahan (perubahan) yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insha Allah.

Salam maal Hijrah.

No comments: