Hasrat Yang Tak Kesampaian
Hari ini (5 Disember), satu karnival bersempena Hari OKU peringkat kebangsaan diadakan di sekitar Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia di Brickfields. Sewaktu ke Brickfields petang semalam, saya sempat juga meninjau-ninjau persiapan yang sedang dilakukan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai jenis OKU bagi tujuan karnival bersempena Hari OKU esok.
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) turut dijemput untuk memeriahkan lagi karnival esok. Sebuah gerai telah diperuntukkan untuk PERTIS. Walau bagaimanapun, sewaktu meninjau-ninjau semalam, tak bertemu pula sama ada dengan gerai PERTIS ataupun para petugasnya. Sedangkan gerai-gerai lain sedang sibuk membuat persiapan terakhir.
Walaupun tiada jemputan rasmi untuk mana-mana AJK PERTIS, namun saya pasti akan datang esok untuk memeriahkan hari berkenaan. Walau bagaimanapun, saya telah merancang untuk ke satu majlis perkahwinan di Kelang terlebih dahulu. Selepas itu baru ke Brickfields. Begitulah rancangannya.
Sebenarnya saya telah kembali ke KL semalam dari Kuantan. Turut bersama kami ialah Kak Kamariah (biras saya) serta ipar saya, Abang Hussein (suaminya). Saya pernah menceritakan serba sedikit mengenai Kak Kamariah dalam posting yang bertajuk “Kunjungan Ke Pulau Ketam”. Pada 5 Disember, Kak Zaharah mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya di Kelang. Kak Zaharah dan Kak Kamariah merupakan anak-anak angkat yang telah dipelihara oleh kerabat diraja Selangor. Hubungan mereka tetap intim hingga kini. Oleh kerana kami akan ke Kelang terlebih dahulu, maka pada congakan saya, sekitar jam 4 petang baru saya akan berkesempatan untuk ke Brickfields.
Siang tadi, sekitar jam 12.15 tengah hari baru kami sekeluarga serta Kak Kamariah dan Abang Hussein bertolak ke Kelang. Kami ikut MRR 2 dan Lebuhraya KESAS. Jangkaan saya bahawa laluan ini tiada berlaku kesesakan nyata meleset. Sebaliknya jalan sesak terutamanya di MRR 2. Sekitar jam 1.45 tengah hari baru kami tiba di rumah Kak Zaharah. Saya memang sudah mengenali Kak Zaharah. Kalau tak salah ingatan, ini merupakan kali ke-4 atau ke-5 saya berkunjung ke rumahnya. Kak Zaharah juga pernah ke rumah saya sekali. Sewaktu kami tiba, Tengku Puan Terengganu baru hendak berangkat pulang. Maka berselisihlah kami di pintu pagar dan saling berkhabaranlah antara Kak Kamariah dengan Tengku Puan Terengganu. Tengku Puan Terengganu juga merupakan kerabat dekat keluarga diraja Selangor.
Pada perkiraan saya, majlis perkahwinan ini meriah. Oleh kerana tuan punya majlis ini anak angkat kepada kerabat diraja Selangor, maka tidak hairanlah ramai ahli kerabat berkenaan turut memeriahkan majlis ini.
tetamu yang bukan Melayu juga kelihatan turut sama memeriahkan majlis ini. Dalam majlis seperti ini juga, Kak Kamariah berpeluang untuk bertemu dengan adik-beradik angkatnya yang lain. Maklumlah setelah masing-masing berkeluarga, mereka tinggal di berlainan tempat. Biasalah, bila bertemu macam-macam cerita dan berita diperkatakan. Hanya saya sahaja yang tak henti-henti menelek waktu.
Sekitar jam 3 petang baru kami bergerak meninggalkan rumah Kak Zaharah. Saya kira kami akan terus sahaja ke Brickfields. Namun begitu, Kak Kamariah pujuk saya dan kami semua untuk menziarahi Ku Chik. Saya agak keberatan, tapi akhirnya kami ikut sahajalah. Dari rumah Kak Zaharah, kami berjalan kaki sahaja ke rumah Ku Chik.
Ku Chik merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Syah. Sewaktu kami tiba di rumahnya, Tengku Besar juga turut ada. Tengku Besar (gelarannya) merupakan adinda kepada Ku Chik. Kak Kamariah memang biasa dan mesra dengan keluarga ini.
Lebih kurang jam 3 20 petang, kami pun bergerak pula ke rumah Tengku Bendahara Selangor (Tengku Azman Ibn Sultan Hishamuddin Alam Syah). Saya sendiri sudah entah berapa puluh kali menelek jam di tangan. Saya sudah mula terasa, Brickfields semakin jauh. Kak Kamariah kata, tak baik kalau tak pergi ke rumah Tengku Bendahara Selangor. Sekali lagi, kami ikut sahajalah.
Ketibaan kami disambut oleh isteri tengku Bendahara, anak perempuannya (Tengku Insani) serta seorang anak lelakinya (Tengku Bahari). Di rumah Tengku Bendahara Selangor, saya kerap mendengar bahasa istana dituturkan. Ini trmasuklah santap, beradu, ayahanda, bonda dan sebagainya. Kebetulan pula, sewaktu kami tiba, Tengku Bendahara sedang beradu. Lagipun baginda itu tidaklah berapa sihat. Setakat yang saya maklum, Tengku Bendahara ini merupakan seorang yang kuat beribadat. Sewaktu badannya sihat, baginda sering ke masjid.
Panjang Kak Kamariah bercerita dengan keluarga ini. Saya sengaja mendiamkan diri. Dari perbualan mereka, saya dapat menangkap iaitu keluarga ini ada terasa hati dengan seseorang kerana orang berkenaan jarang menziarahi mereka. Barulah saya faham mengapa Kak Kamariah beriya benar mengajak kami untuk singgah dan menziarahi keluarga ini.
Sekitar jam 4.15 petang baru kami bergerak meninggalkan rumah Tengku Bendahara Selangor. Isteri saya pula agak terkial-kial memandu di bandar Kelang. Sekitar jam 4.45 petang, kami masih berlegar-legar di bandar kelang lagi. Jadi hasrat untuk ke karnival bersempena hari OKU di Brickfields sudah boleh saya lupakan. Sekitar jam 6.00 petang kami pun tiba semula di rumah. Jauh di sudit hati, saya agak kecewa juga kerana tak berkesempatan untuk ke karnival di Brickfields. Namun begitu, saya harus akur dengan takdir.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Salam. Saya tertarik dengan gambar2 terkini kerabat draja selangor (bersemayam di jalan kota raja) yang tuan paparkan. Arwah ayah saya, allahyarham megat kamaruzaman dan arwah ibu saya, membesar bersama dengan tg puan bdahara, YM tg thuraya sejak 1937 lagi. Saya sendiri membesar bersama keluarga tg bdahara sgor di situ, kami dari kota bharu kelantan.. Paling akhir saya menghadap tg thuraya adalah pada Ogos 8, 2009. Namun saya tidak kenali sangat Puan Zaharah atau kerabat2 tg bendahara seperti y.a.m tengku besar, Ku Chik. Tapi saya kenali almarhum bonda Ku Chik, Almarhum Che Kalsom. Thank you kerana gambar2 tersebut.
Post a Comment