Friday, December 25, 2009

Bicara Jumaat

Ulamak Tidak Dipedulikan



Daripada Sahlin bin Sa’ad As-Sa’idi (R.A.) berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda, “Ya Allah janganlah Engkau temukan aku dan mudah-mudahan kamu (sahabat) tidak bertemu dengan satu zaman di mana para ulamak tidak diikutkan lagi; dan orang penyantun sudah tidak disegani lagi. Hati mereka seperti hati orang ajam (pada fasiqnya), lidah mereka seperti lidah orang Arab (pada fasihnya).
(Riwayat Ahmad)

Keterangan.

Mungkin zaman sekarang ini sudah mendekati keadaan yang telah digambarkan oleh Rasulullah S.A.W. ini. Masyarakat sudah agak jauh dari para ulamak. Mereka takut mendekati para ulamak kerana khuatir perbuatan mereka akan ditegur. Orang tidak segan lagi membuat maksiat walaupun di hadapan orang yang tinggi akhlaknya. Terkadang sengaja perkara maksiat itu dibuat di hadapan para ulamak untuk menyatakan rasa ego dan sekaligus untuk menyinggung perasaan meeka. Golongan ini juga pandai bercakap dan sering memutarbelitkan kenyataan. Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain padahal hati mereka adalah hati harimau yang sedia menerkam mangsanya atau musuhnya.


(Sumber: Hadith Ke-32 dalam buku 40 Hadith Akhir Zaman)



Nabi telah berdoa ke hadhrat Allah supaya tidak bertemu dengan zaman sebagaimana yang digambarkan dalam hadith di atas. Jika direnung-renung secara warasn, tertanya pada diri ini, adakah kita sekarang mula memasuki zaman sepertiyang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadithnya tadi?

Hari ini, para ulamak telah dihina dan dicaci secara terbuka. Gelombang cacian dan hinaan tersebut ditsunamikan lagi oleh peranan media tanpa sempadan ini. Orang sudah tidak malu lagi untuk berbuat dosa dan maksiat, bahkan ia sudah menjadi satu kebanggaan pula.

Situasi yang lebih menggawatkan lagi ialah bilamana ahli maksiat ini menjadi golongan tersanjung dalam masyarakat. Percakapan golongan ini dipercayai, atau dipaksa untuk dipercayai; perbuatan mereka dipermuliakan; aksi mereka pula jadiikutan dan teladan.

Manakala para ulamak pula akan dikecam, diperkolotkan, dicuragai, dan acapkali dilemparkan dengan kata-kata sinis.

Sesungguhnya situasi di atas merupakan antara tanda tiupan sangka kala kian hampir.

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih di atas perkongsian bermanfaat sebegini. Semoga kita sekalian beroleh manfaat dan berkat yang mampu menolak kita ke arah tingkah laku yang diredhai, bukan sebaliknya.

Benar sekali; golongan ulama kita kini semakin tertekan dik manusia yang zahirnya sahaja manusia, tetapi batinnya telah kehaiwanan, malah lebih sesat lagi. Semua itu, gara-gara tamakkan keduniaan sehingga tiada takut lagi akan akhirat. Pernah hukum Allah dikecam secara terbuka di media arus perdana oleh pemimpin tertinggi kerajaan. Malah, sehingga kini, sepanjang pengetahuan saya, dia tu suka kecoh kuman dan atom nun jauh, walhal gajah, singa, harimau ... pelbagai binatang buas depan mata ..., tak mahu pun diambil pusing. Inikah "role model"?

Justeru, marilah kita sekalian, tanpa mengira siapa dan apa kedudukan kita, sedar, segala perilaku kita sedang dalam perhatian. Mempersendakan ulama sama darjatnya dengan mempersendakan para Nabi dan Rasul, kan? Kenang dan syukurilah rahmat-Nya kepada kita selama ini, contohnya, dikurniakan iklim sederhana yang membolehkan kita mudah memperolehi apa yang rasanya payah benar diperolehi negara lain lantaran faktor iklim mereka. Kepada yang telah terlanjur, masih belum lewat lagi, insha Allah, untuk kembali bertaubat; itupun jika memang ada keinginan. Ingatlah, perutusan ulama kepada sesebuah masyarakat, sama motifnya dengan perutusan Rasul, untuk mensejahterakan masyarakat dan negara. Hargai dan sayangilah mereka agar kita kekal dalam rahmat, berkat dan ampunan-Nya.

Terima kasih.