Pahit Manis Kenangan Silam
Tatkala malam semakin larut begini, berbagai kenangan silam melintas ingatan. Bila diimbas semula, ia boleh membuatkan kita tersenyum atau merasa sedih secara spontan. Entah mengapa, kali ini kenangan tatkala menggunakan pengangkutan awam pula yang mengetuk pintu ingatan.
Saya mula terdedah dengan pengalaman menggunakan pengangkutan awam terutamanya bas secara meluas sewaktu saya di sekolah menengah. Maklumlah ketika itu oleh kerana jarak antara sekolah dan asrama agak jauh, maka menggunakan pengangkutan awam untuk berulang-alik di antara asrama dan sekolah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Pelbagai pengalaman suka duka telah saya tempuh dan tempa.
Suatu hari, oleh kerana sesuatu sebab, saya telah pulang dari sekolah bersendirian. Dari sekolah saya berjalan kaki mengikut seorang rakan yang berpenglihatan ke Lebuh Ampang. Oleh kerana destinasi kami yang berbeza, maka kami terpaksa naik bas yang berbeza juga. Walau bagaimanapun, rakan saya tersebut telah membantu dan menunggu hingga saya naik bas. Saya masih ingat lagi, bas tersebut bernombor 166 dan destinasi akhirnya ialah Taman Bunga Raya. Pada masa itu, agaknya rasa malu masih menebal dalam diri saya. Sepatutnya saya memaklumkan kepada konduktor bas tempat saya seharusnya turun. Oleh kerana malu, saya tidak berbuat seperti yang sepatutnya. Akhirnya bas tersebut sampai juga ke destinasi akhir iaitu Taman Bunga Raya. Konduktor menghampiri saya dan bertanya: “Lu mau turun mana?” Saya jawab: “Sekolah Vokasional.” Konduktor tersebut berkata: “Apa pasal lu tak cakap? Lu tak ada mata ke lu tak ada mulut?” Pedih telinga saya mendengarnya, tapi waktu itu saya masih sekitar 14 tahun, jadi diam sajalah. Konduktor tersebut meneruskan leterannya: “Lain kali cakap mana mau turun ... lu ada mulut ... bikin susah orang saja.”
Pada suatu hari yang lain pula, saya di satu perhentian bas yang agak sibuk. Saya ingin naik bas pulang ke asrama. Saya minta tolong dengan seorang awam dengan menyatakan nombor bas yang ingin saya naiki. Saya berpesan kepadanya, kalau bas yang bernombor sekian datang, beritahu saya. Orang tersebut bersetuju. Walau bagaimanapun, setelah lebih setengah jam, orang yang tadinya bersetuju untuk menolong saya masih lagi tidak memberitahu saya mengenai bas yang ingin saya naiki. Saya mula rasa tak sedap hati. Lalu saya bertanya dengan agak kuat, “Encik, bas yang saya hendak naik sudah tiba ke?” Orang yang tadinya bersetuju untuk menolong saya tidak bersuara lagi. Bahkan orang lain pula yang bertanya, saya hendak naik bas nombor apa. Tertanya juga dalam hati ini, ke mana perginya orang tadi? Mungkin basnya telah datang lebih awal dan beliau naik basnya dan terlupa untuk memberitahu saya. Nasib baik jugalah saya bertanya semula, jika tidak, entah berapa jam pula saya akan tercegat di situ.
Pada suatu ketika, di sebuah perhentian bas, saya telah meminta tolong dari seorang awam untuk memberitahu saya sekiranya bas sekian datang. Orang berkenaan bertanya ke mana saya hendak pergi? Saya jawab, saya hendak ke Sekolah Vokasional. Tidak lama kemudian, orang berkenaan pun menyuruh saya naik sebuah bas, katanya bas yang ini lalu di Sekolah Vokasional. Setelah beberapa ketika bas tersebut bergerak, saya pun memberitahu konduktor yang saya hendak turun di Sekolah Vokasional. Malangnya konduktor tersebut memberitahu saya, bas ini tidak lalu di Sekolah Vokasional. Jadi, saya terpaksa turun di hentian bas yang terdekat untuk menunggu bas yang lain pula.
Pada suatu ketika yang lain pula, saya naik bas seperti kebiasaan. Kali ini saya telah memaklumkan kepada konduktor bas yang saya hendak turun di Sekolah Vokasional. Konduktor berkenaan memberitahu saya, bila sampai nanti dia akan memaklumkannya kepada saya. Senang rasanya dalam hati. Walau bagaimanapun, mungkin kerana teralpa, konduktor telah memaklumkan kepada saya setelah bas melepasi dua bus-stop dari hentian Sekolah Vokasional. Jadi, terpaksalah saya turun juga dan berjalan kaki sejauh dua bus-stop sebelum tiba ke asrama penginapan.
Saya akui pengalaman-pengalaman sebegini akhirnya akan mendewasakan kita. Ia akan menjadikan kita lebih berani, sabar dan tabah dalam menghadapi karenah dan ragam manusia yang pelbagai di sekeliling kita. Bagi saya, apa bila berhadapan dengan situasi sebegini, jangan mengeluh, jangan mengalah dan jangan menyesal. Anggap saja itu semua lumrah dan rencah kehidupan yang mesti ditempuhi.
Hari ini, walaupun saya dapat mengecapi sedikit nikmat dengan berkenderaan sendiri bersama isteri, namun semua pengalaman silam tatkala menggunakan pengangkutan awam tak mungkin luput dari ingatan. Bahkan bila diimbas kembali kenangan silam sebegini, ia menambah dorongan dan kekuatan supaya saya menjadi insan yang bersyukur, insha Allah.
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
1 comment:
sekarang dah ada Kak Pah!! cakap jer nak g mana nanti ada special driver yang hantarkan...
Post a Comment