Saturday, December 19, 2009

Sepintas Lalu Mengenai Alquran Braille Di Malaysia

Alquran Braille ialah kitab suci Alquran yang menggunakan sistem tulisan Arab Braille sebagai kaedah penulisannya. Dari segi bentuk tulisan sudah tentulah ia berbeza daripada Alquran biasa kerana bentuk huruf dalam sistem tulisan Braille itu sendiri berbeza daripada bentuk tulisan biasa. Walau bagaimanapun, bila Alquran Braille itu dibaca maka ia semestinya akan menghasilkan bunyi yang seratus peratus sama sebagaimana Alquran biasa dan tidak boleh berbeza walaupun sebesar zarrah. Ini bermakna, walaupun wujud perbezaan dari segi bentuk tulisannnya, tetapi apa yang terkandung di dalamnya sama sekali tidak berbeza daripada Alquran bertulisan biasa.



Justeru, pada Alquran Braille daripada negara-negara Arab sekalipun akan tertera kalimah “Alquran” dalam tulisan Arab Braille. Ini menjelaskan bahawa orang-orang Arab juga turut mengiktiraf Alquran Braille sebagai sebuah kitab Alquran yang sama taranya dengan Alquran bertulisan biasa.

Di Malaysia, Alquran Braille pertama yang dapat dikesan ialah sebuah Alquran Braille yang berasal dari Jordan. Pada Alquran tersebut tercatat tarikh penerbitannya iaitu pada tahun 1952. Sekolah Princess Elizabeth merupakan antara institusi pendidikan khas (cacat penglihatan) yang terawal menerima naskah Alquran Braille berkenaan. Alquran Braille dikatakan telah pun tiba di Sekolah Princess Elizabeth pada tahun yang sama (1952) atau mungkin lewat sedikit. Walau bagaimanapun, pada tahun 1954, naskah lengkap Alquran Braille tersebut telah pun ada di sekolah berkenaan.



Pada awal dekad 60-an, apabila mesin cetak Braille yang dikenali sebagai thermoform mula digunakan di sekolah Princess Elizabeth di Johor Bharu, maka peercetakan Alquran Braille juga turut bermula. Walau bagaimanapun, oleh kerana pelbagai kekurangan yang ada, percetakan yang dilakukan ketika itu bukanlah mencetak keseluruhan Alquran Braille. Apa yang telah dilakukan ialah mencetak sekadar mengikut keperluan sahaja. Lagi pun, pada masa yang sama, guru agama Islam ketika itu juga terpaksa mencetak bahan-bahan lain yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan ketika itu di sekolah tersebut. Hal ini disukarkan lagi apabila guru agama yang ada di sekolah tersebut waktu itu hanya seorang sahaja, iaitu Cikgu Sulaiman bin Shafie (Allahyarham).

Satu kaedah pengajaran Alquran Braille yang dipraktikkan waktu itu ialah di mana murid-murid sendiri dikehendaki menyalin ke dalam bentuk Braille ayat-ayat Alquran yang akan dipelajari. Setelah ayat-ayat berkenaan siap disalin, barulah pelajaran membaca pula dilaksanakan. Walaupun agak sukar untuk murid-murid ketika itu untuk khatam Alquran lantaran pelbagai kekurangan yang ada, setidak-tidaknya dengan menggunakan kaedah yang ada, murid-murid dari sekolah berkenaan dapat mempelajari Alquran Braille menerusi dua kaedah secara serentak, iaitu menerusi penulisan dan pembacaan. Yang pastinya, kaedah ini telah memberi kesan yang besar lagi tersendiri untuk jangka panjang. Saya sendiri merasai akan kesannya!

Pada sekitar tahun 70-an, surah/ayat Alquran yang mampu disalin ke dalam bentuk Braille masih lagi terhad. Pada ketika itu, hanya surah/ayat yang ingin dipelajari sahaja yang akan dicetak ke dalam bentuk Braille dengan menggunakan mesin cetak thermoform serta dengan menggunakan kertas yang dikenali sebagai Braillon. Saya masih ingat lagi, antara surah/ayat yang telah disalin dan dicetak ialah Surah Albaqarah ayat 1 hingga 108. Juzuk ke-30 juga ada dicetak tetapi ia tidak merangkumi semua surah yang terdapat dalam juzuk berkenaan.

Walau bagaimanapun, kaedah ini masih lagi tidak sepantas mana. Lagipun, mencetak dengan menggunakan mesin thermoform harus dilaksanakan secara sehelai-sehelai dan secara manual pula. Ini bermakna pertukaran setiap muka surat harus dilakukan secara tangan dan bukan secara automatik. Walaupun rintangan sebegini harus ditempuh, pengajaran dan pembelajaran Alquran untuk murid-murid cacat penglihatan dengan menggunakan Alquran Braille tetap diteruskan. Bagi saya, jika tenaga pengajarnya ketika itu patah semangat atau putus asa, sudah tentulah pengajaran dan pembelajaran Alquran untuk murid-murid cacat penglihatan sudah lama terbengkalai.



Bagi mengatasi masalah kesukaran untuk mendapatkan Alquran Braille yang lengkap, sekitar dekad 70-an kebanyakan pengguna cacat penglihatan di Malaysia telah memperolehinya dari Indonesia. Di samping itu, naskah-naskah Alquran Braille cetakan daripada Indonesia turut ditemui di beberapa institusi pendidikan khas seperti di sekolah, di perpustakaan kendalian Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), DI TEMPAT SOLAT Pusat Latihan Gurney (GTC) DAN SEBAGAINYA. Setakat yang saya maklum, Indonesia telah berjaya menghasilkan Alquran Braillenya sendiri seawal tahun 1959 lagi. Abdullah Yatim merupakan antara tokoh yang unggul dalam mengusahakan penyalinan dan penerbitan Alquran Braille di Indonesia pada peringkat awal. Abdullah Yatim merupakan seorang yang berpenglihatan tetapi sangat berminat dengan Alquran Braille.

Pada tahun 1980, En. Mohd Nor bin Awang Ngah telah berjaya menyalin Alquran Braille secara lengkap iaitu 30 juzuk. Naskah Alquran Braille berkenaan telah disalin dengan menggunakan kertas Braille, kemudian ia telah dicetak dengan menggunakan kertas khas yang dikenali sebagai Braillon dan dengan menggunakan mesin pencetak yang dikenali sebagai thermoform. Setakat yang saya maklum, naskah ini merupakan naskah Alquran Braille pertama yang berjaya disalin secara lengkap di Malaysia dan oleh orang Malaysia sendiri. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab tertentu alquran Braille tersebut tidak dapat digunakan.

Sekitar tahun 1986, Saudara Zahari bin Ghani (Allahyarham) telah berjaya menyalin naskah Alquran Braille secara lengkap. Salinan ini lebih teliti dan disemak oleh rakan-rakan beliau yang dirasakan berkelayakan. Walau bagaimanapun, beberapa juzuk (jilid) dari naskah asal Alquran Braille berkenaan telah didapati hilang terutamanya selepas kematian beliau pada tahun 1991. Ini menyebabkan naskah Alquran Braille berkenaan tidak dapat dicetak.

Selaras dengan perkembangan pesat dalam bidang ICT terutamanya dalam kalangan golongan cacat penglihatan pada awal dekad 90-an, maka usaha untuk menyalin Alquran Braille secara berkomputer turut dimulakan. Pada masa itu, kepakaran, peralatan/perisian khas ICT untuk Alquran Braille di negara kita sememangnya masih belum ada lagi. Apa yang ada ialah peralatan komputer serta perisian pembaca skrin biasa yang bukan khas untuk Alquran Braille ataupun untuk bahasa Arab. Namun demikian, ia bukanlah penyudah segala-galanya. Setelah usaha yang tidak pernah kenal penat dilakukan, akhirnya Tuan Haji Muhammad Lee telah berjaya menyalin Alquran Braille secara berkomputer. Alquran Braille yang disalin itu merupakan naskah yang lengkap dengan 30 juzuk. Seorang rakan beliau turut membantunya dalam memastikan agar Alquran Braille tersebut benar-benar sahih dan sesuai untuk digunakan oleh golongan sasar tanpa ragu.

Setelah Alquran Braille berkomputer siap, satu permasalahan pula perlu diselesaikan. Permasalahan yang dimaksudkan ialah, pihak mana pula yang mempunyai authoriti untuk menentukan kesahihan Alquran Braille berkomputer berkenaan? Tuan Haji Muhammad Lee dan rakannya telah membuktikan kemampuan mereka untuk menyalin Alquran Braille ke dalam bentuk soft copy, tetapi mereka tidak berkeupayaan untuk menentukan kesahihan soft copy Alquran Braille yang telah mereka usahakan itu. Perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius agar unsur “Alquran itu sentiasa terpelihara” sentiasa terpelihara walaupun ia Cuma naskah Alquran Braille.

Akhirnya, setelah melalui perbincangan, kedua-dua mereka (Tuan Haji Muhammad Lee dan rakannya) telah bersetuju untuk melibatkan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Sekitar tahun 1995, satu perbincangan antara kedua mereka dengan kepimpinan PERTIS ketika itu telah diadakan dan kedua-dua belah pihak telah bersetuju, antara lain:

1. Tuan Haji Muhammad Lee dan rakannya bersetuju untuk mengamanahkan soft copy Alquran Braille yang telah diusahakan hanya kepada PERTIS sahaja.

2. Pihak PERTIS pula bersetuju untuk mengambil tanggungjawab Bagi menyemak dengan pihak/badan yang difikirkan sesuai dan berkelayakan dan seterusnya membuat apa-apa pembetulan, jika perlu, ke atas soft copy Alquran Braille berkenaan.

3. Pihak PERTIS turut diamanahkan untuk mencetak Alquran Braille berdasarkan soft copy berkenaan dan semua perolehan daripadanya diserahkan kepada PERTIS sepenuhnya.

4. PERTIS juga telah diamanahkan supaya tidak sekali-kali menyerahkan soft copy berkenaan kepada mana-mana pihak lain.

Perlu saya nyatakan di sini bahawa persetujuan di atas dibuat secara lisan dan atas saling percaya mempercayai antara kedua-dua belah pihak. Maklumlah, ianya berkaitan dengan Alquran (walaupun ia Cuma Alquran Braille). Jadi, rasanya tidak mungkin akan berlaku penipuan, pencurian, pengkhianatan atau yang seumpamanya. Demikianlah apa yang telah berlaku pada ketika itu! Semuanya telah disaksikan dan bersaksikan Allah Yang Maha Tidak Pelupa!

Setelah persetujuan sebagaimana tersebut di atas dicapai, maka pihak PERTIS telah mengadakan perbincangan pula dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Hasil daripada perbincangan tersebut, maka satu penal penyemak telah ditubuhkan. Objektif utama penal berkenaan ialah untuk menyemak teks Alquran Braille yang telah dihasilkan yang berdasarkan kepada soft copy yang telah diusahakan oleh Tuan Haji Muhammad Lee.

Penal penyemak tersebut diketuai oleh Yang Berbahagia ustaz Azahari bin Osman dari JAKIM. Keanggotaannya terdiri daripada 2 kumpulan utama, iaitu mereka yang berpenglihatan dan juga mereka yang tidak berpenglihatan. Kedua-dua kumpulan tersebut semestinyalah berkemahiran tinggi dalam hal ehwal penulisan Alquran. Manakala saya sendiri ketika itu bertanggungjawab untuk melakukan apa-apa jua pembetulan pada soft copy yang ada pada PERTIS iaitu setelah mendapat pengesahan daripada penal berkenaan. Usaha ini rupa-rupanya lebih rumit daripada sewaktu menyalin Alquran Braille ke dalam bentuk soft copy. Kerana itu jugalah proses ini telah memakan masa beberapa tahun lamanya.

Akhirnya sekitar tahun 1998, penal penyemak berkenaan telah berjaya menyiapkan tugas mereka. Ia disusuli dengan perakuan secara rasmi oleh pihak JAKIM mengenai kesahihan soft copy Alquran Braille yang ada pada PERTIS. Dokumen perakuan tersebut telah dikeluarkan oleh JAKIM kepada pihak PERTIS dan saya sendiri telah mendapat satu salinan dokumen berkenaan selaku Naib Yang Dipertua dan Pengerusi Biro Penerbitan PERTIS ketika itu. Salinan dokumen berkenaan masih lagi tersimpan rapi dalam simpanan saya.

Dengan itu, bermula dari saat itu hinggalah kini, PERTIS merupakan satu-satunya organisasi yang menyimpan soft copy Alquran Braille sebagaimana yang telah disahkan oleh pihak JAKIM. Sebagai menghormati pemilik asal soft copy tersebut dan juga sebagai tanda terima kasih kepada beliau, saya turut menyerahkan satu salinan soft copy Alquran Braille yang telah disahkan oleh JAKIM kepada Tuan Haji Muhammad Lee. Dengan adanya soft copy serta dengan kemudahan percetakan Braille moden yang dikenali embosser, Alquran Braille boleh dicetak dengan lebih banyak secara mudah dan cepat.



Pengedaran Alquran Braille telah menempa sejarahnya yang tersendiri apabila pada tahun 2005 Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia telah menaja sejumlah 469 naskah untuk diedarkan kepada para pelajar sekolah di seluruh negara.



Selepas itu, pihak JAKIM pula turut menaja Alquran Braille untuk diedarkan kepada para penggunanya di seluruh Malaysia. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 300 naskah Alquran Braille telah ditaja oleh JAKIM. Selain itu, individu-individu tertentu turut terlibat dalam penajaan percetakan Alquran Braille untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar. Antara penaja individu termasuklah YTM Tengku Sharif Panglima Perlis serta Tengku Puan Panglima Perlis, YM Raja Aisyah binti Raja Adnan serta beberapa individu lain.

Di samping itu, Alquran Braille yang dicetak oleh PERTIS turut mendapat tempahan dari beberapa buah negara luar. Antaranya termasuklah Brunei Darul Salam, Singapura, Thailand, Afrika Selatan, Indonesia, India dan yang terbaru dari Kazakstan.



Jika pada masa lalu, Sekolah Princess Elizabeth satu-satunya institusi yang mengajar Alquran Braille kepada golongan cacat penglihatan, kini kursus berkaitan penulisan Alquran Braille turut mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan IPT pertama yang telah memperkenalkan kursus mengenai penulisan Alquran Braille. Kursus berkenaan telah mula dilaksanakan di USIM bermula pada tahun 2008. Uniknya ialah, penuntut yang mengikuti kursus berkenaan di USIM terdiri daripada mereka yang berpenglihatan.



Bagi saya, yang terlebih aula di sini ialah melalui Alquran Braille, ia dapat melahirkan generasi yang celik Alquran walaupun tanpa penglihatan. Saya yakin dan percaya, dengan dokongan dan sokongan daripada mereka yang ikhlas dan berpandangan positif kepada golongan yang cacat penglihatan, perkembangan Alquran Braille di negara kita pasti akan menempa sejarahnya yang lebih agung pada masa-masa akan datang, insha Allah.

No comments: