Sudut Bacaan Di gerai Makan
Di kebanyakan tempat, gerai makan tepi jalan seperti ini adalah pemandangan dan fenomena biasa. Oleh kerana tarafnya hanya sebuah gerai, maka kemudahan sampingan yang disediakan untuk para pelanggan juga kebiasaannya terhad dan minimum. Biasanya yang ada di gerai-gerai seumpama ini ialah peti TV yang berbunyi kuat. Adakalanya sukar untuk pelanggan lain berbual kerana kuatnya bunyi TV yang dibuka.
Namun begitu, ada sedikit kelainan pada Kak Yan Warung yang terletak di Taman Melati kerana di gerai ini ada disediakan sudut bacaan. Sementara menanti makanan yang telah dipesan tiba, para pelanggan boleh menyantap minda dengan bahan-bahan bacaan yang disediakan di sudut ini. Mungkin itulah yang diharapkan oleh pemilik gerai ini daripada sudut bacaan yang disediakan.
Setakat yang sempat kami belek, bahan-bahan bacaan yang tersedia tidaklah berat sangat. Kepelbagaiannya juga masih boleh ditambah. Walau bagaimanapun, kita harus dapat membezakan di antara perpustakaan lengkap dengan sudut bacaan di gerai makan.
Dari apa yang dapat saya perhatikan (melalui pendengaran), sebahagian besar para pelanggan di sini masih lagi berborak dan ketawa sambil menanti pesanan mereka tiba. Ini bermakna mereka tidak memegang sebarang bahan bacaan. Adakah mereka tidak perasan kewujudan sudut bacaan berkenaan? Ataupun mereka masih berpersepsi sudut berkenaan lebih merupakan sudut perhiasan daripada sudut bacaan! Yang pastinya, ia menunjukkan bahawa tabiat membaca masih jauh untuk menjadi budaya dalam masyarakat kita.
Adalah diharapkan, dengan adanya sudut bacaan seperti ini mungkin suatu hari kelak ia dapat mengubah budaya masyarakat kita yang kebiasaannya datang ke gerai makan hanya untuk berborak dan menyumbat perut semata-mata. Bagi saya tidak salah, bahkan patut digalakkan untuk melakukan aktiviti santapan minda walaupun di gerai-gerai makan seperti ini.
Untuk mengesahkan apa yang saya perhatikan tadi, saya sempat bertanya kepada pekerja gerai ini mengenai sambutan pelanggan terhadap sudut bacaannya. Kata pekerja berkenaan, setakat ini sambutannya belum lagi ke tahap menggalakkan. Katanya lagi, penambahbaikan akan diusahakan ke atas sudut bacaan berkenaan. Saya sempat bertanya kepada beliau, bila buku Braille boleh diletakkan di sudut bacaannya? Mungkin kakitangan berkenaan tidak menyangka soalan cepumas sebegitu boleh ditanyakan. Beliau terdiam seketika, akhirnya beliau menjawab: “Insha-Allah bang, suatu hari nanti kami usahakan”.
Sesungguhnya, kewujudan sudut bacaan di Kak Yan Warung patut dipuji dan harus disokong oleh semua pihak. Walaupun ia hanya bertaraf gerai tepi jalan, tetapi usahanya untuk memupuk “budaya membaca” dan “masyarakat berilmu” telah mengungguli sebilangan restoran makanan yang bersar, ternama lagi berjenama.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Sudut bacaan sebegini selalu dijadikan tempat untuk meletakkan bahan bacaan picisan dan berbentuk hiburan. Buku-buku berbentuk ilmiah jarang sekali dipaparkan sebagai bahan tarikan kepada para pengunjung. Sungguh pun begitu, idea mewujudkan sudut bacaan ini patut dipuji. Senario ini menggambarkan tahap kesedaran terhadap budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sebagai tanda sokongan, hari ini saya seisi keluarga akan pergi menikmati makan malam di gerai berkenaan. alisetan
Post a Comment