Cukai 6 peratus ditangguh - Rais
Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my
Dr. Rais Yatim (tengah) bermesyuarat dengan pengerusi syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia mengenai caj cukai sebanyak 6 peratus ke atas pengguna prabayar di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam. - bernama
________________________________________
KUALA LUMPUR 12 Sept. - Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual Khamis ini, ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.
"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.
Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee. Menurut Rais, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kajian sama ada cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengguna yang membeli pek permulaan talian prabayar atau mengenakannya setiap kali pengguna membuat tambah nilai kredit.
"Saya rasa lega apabila mereka bersetuju menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti waktu terbaik bagi melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut," katanya.
Menurutnya, kajian berhubung caj tersebut akan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat komunikasi terlibat yang turut sama akan membincangkan kadar yang sepatutnya dikenakan.
"Jadi, isu-isu yang berbangkit ini akan saya bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelak untuk menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan data dan fakta yang lengkap," katanya. Rais berkata, beliau juga akan menyarankan kepada kerajaan untuk memberi penghargaan di atas sumbangan dan peranan yang dibuat syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut terhadap cukai perkhidmatan selama ini.
"Jumlah yang disumbang syarikat-syarikat itu terhadap cukai perkhidmatan amat besar dan boleh saya anggarkan jumlahnya bernilai hampir RM6 bilion bermula dari 1998 sehingga kini kepada hampir 26 juta pengguna talian prabayar di negara ini," katanya.
Justeru itu, Rais berharap isu cukai perkhidmatan tersebut tidak lagi dibangkitkan kerana syarikat telekomunikasi terbabit sudah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan caj tersebut.
Kita perlu faham, yang diputuskan ialah tangguh dan bukannya batal. Ini bermakna, kalau pun tidak Khamis ini, caj berkenaan akan dinaikkan juga pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian kelak.
Setakat yang kita semua maklum, syarikat-syarikat telekomunikasi yang berkaitan mendapat untung besar setiap tahun. Pada masa yang sama, perkhidmatan yang disediakan tidaklah sebaik mana dan perlu diperbaiki lagi khususnya di kawasan luar bandar.
Kalau beberapa dekad lalu telefon bimbit merupakan antara barang yang melambangkan kemewahan, tetapi ia tidak lagi pada masa ini. Mempunyai telefon bimbit kini semakin merupakan satu keperluan. Jadi tidak menghairankan bilamana golongan berpendapatan rendah juga memiliki telefon bimbit. Ramai daripada golongan sedemikian memilih untuk menggunakan perkhidmatan prabayar supaya ia dapat diseimbangkan dengan jumlah pendapatan bulanan mereka.
Sewaktu sembang-sembang dengan seorang dua rakan, ada yang berkata kononnya kenaikan caj 6% hanyalah sekadar gimik pilihanraya sahaja. Bila timbul bantahan, kerajaan akan meminta supaya ia diturunkan semula. Bila saya tanya, apa untungnya kerajaan berbuat demikian, kata rakan-rakan saya, tujuanya untuk menunjukkan kepada rakyat yang kerajaan peka dengan permasalahan mereka.
Saya sendiri tak pasti sejauh mana kebenaran pendapat rakan-rakan saya itu. Namun demikian, itulah suara golongan bawahan yang jauh dari gapaian golongan orang besar seperti menteri. Dari satu sudut, ada benarnya bila caj berkenaan dinaikkan sudah pastilah sokongan kepada kerajaan UMNO/BN jika berlaku pilihanraya umum dalam masa terdekat akan terjejas. Justeru, sesuatu perlu dilakukan supaya kesetiaan sokongan rakyat sekurang-kurangnya dapat dikekalkan. Untuk itu, kerajaan UMNO/BN harus menunjukkan bahawa ia benar-benar prihatin dan peka terhadap keperluan rakyat terutama golongan bawahan. Lagi pun, berdasarkan apa yang telah berlaku sebelumnya, sesetengah rakyat memang mudah terasa termakan budi bila keprihatinan dan kepekaan yang bersifat sementara sedemikian ditonjolkan oleh pihak yang berkuasa.
Sebaliknya, bagi saya, jika caj berkenaan dibatalkan terus, ia lebih baik. Ia menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin kepada majoriti pengguna yang merasa terbeban dengan kenaikan caj 6% berkenaan. Lagi pun, pihak-pihak yang berkenaan tidak dapat mengemukakan kewajaran sebenar mengapa kenaikan caj 6% harus dilaksanakan. Sama ada tangguh atau batal, ia tiada maknanya jika caj berkenaan dikuatkuasakan semula pada satu tarikh yang masih belum ditentukan lagi.
Agaknya negara kita sekarang sedang dilanda musim isu hangat!
No comments:
Post a Comment