Harakah Daily Online adalah dirujuk:
Mat Indera dapat tauliah agama dari kerajaan Johor
Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 2 Sept: Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari kerajaan negeri Johor, kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).
"Umno dan penjajah yang tuduh Mad Indera komunis," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 500 perantau Terengganu yang pulang beraya di kampung semalam.
Beliau mengulas serangan Umno dan medianya yang bertubi-tubi terhadap timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang mancadangkan agar sejarah negara dikaji semula.
Ini berikutan dari dakwaan bahawa Umno melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya tetapi bukan cerita yang sebenar.
Mohamad Sabu berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 telah diceritakan Umno sebagai penjahat menyerang hero iaitu polis yang mempertahankan balai itu.
Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong pula berdasarkan persepsi itu.
Antara yang menyerangnya adalah kumpulan yang dipimpin oleh Mat Indera di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu.
Polis ketika itu adalah bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu.
Antara pihak yang menentang Inggeris adalah pejuang Islam yang dipelopori oleh Abu Bakar Al Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan juga komunis.
Namun kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan dan melawab bagi pengkisah sejarah negara yang dipimpin Umno tetapi yang menjadi hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman.
Padahal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British.
Seminar sejarah
Akibat salah faham ini, Abu Bakar Chik yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pihaknya akan menganjurkan satu seminar khas bagi mengkaji balik sejarah ini.
"Kita akan adakan seminar untuk mengkaji balik sejarah ini, antaranya kes Mat Indera yang akan kita kaji semula.
"Kita akan kaji dan nilai siapa pejuang kemerdekaan sebenarnya," kata beliau dalam majlis itu.
Bagi beliau, apa yang cuba dikatakan oleh Mohamad Sabu adalah meminta rakyat negara ini mengkaji semula sejarah yang ditulis selama ini oleh kerajaan Umno untuk kepentingan politik parti itu.
Nampaknya isu kenyataan kontrovesi mengenai tragedi Bukit Kepong yang telah ditimbulkan oleh Haji Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, masih hangat dan seakan tidak mahu reda. Beberapa individu, khususnya dalam PAS sendiri telah mula mengeluarkan pelbagai kenyataan yang rata-rata membela kenyataan yang telah dibuat oleh Muhammad Sabu. Oleh kerana kenyataan yang telah dibuat oleh Haji Muhammad Sabu sebenarnya berlatarbelakangkan sejarah, maka seeloknya ia dilihat dari perspektif sejarah. Sebagaimana yang pernah saya tulis menerusi blog ini, membaca sejarah bukan macam membaca novel. Kalau mengeluarkan kenyataan sekadar untuk membela rakan separti tetapi tiada fakta baru yang sahih yang boleh menyokong kenyataan sedemikian, maka kenyataan sebegitu bukan sahaja bersifat bias (berat sebelah) bahkan kenyataan sedemikian hanya menonjolkan sifat dangkal sesetengah pihak khususnya dalam mengenengahkan satu-satu fakta dan isu.
Menurut Harakah Daily Online, 2 September, salah seorang AJK PAS Pusat ada mencadangkan supaya satu seminar diadakan bagi mengkaji perjuangan Mat Indera. Antara tujuan penganjuran seminar yang dicadangkan itu ialah untuk mengkaji bentuk perjuangan orang seperti Mat Indera. Selain itu, AJK yang sama juga turut mendakwa bahawa Dato’ Onn Jaafar adalah menteri besar Johor yang dilantik oleh Inggeris. Selain itu, menurut AJK itu lagi, Mat Indera telah mendapat tauliah daripada kerajaan Johor.
Mengenai tauliah kepada Mat Indera oleh kerajaan Johor, saya tidak begitu pasti kerana saya tidak pernah bertemu dengan dokumen sahih yang mengesahkan mengenainya. Namun demikian, saya pernah bertemu dengan seorang tua yang masih hidup lagi hingga hari ini. Menurut orang yang saya maksudkan, Mat Indera adalah kawan baik suaminya (Allahyarham). Menurut orang berkenaan lagi, Mat Indera adalah seorang guru agama yang pernah sama-sama mengajar agama dengan suami beliau di sekitar Johor. Walau bagaimanapun, saya yakin, kalau pun Mat Indera beroleh tauliah daripada kerajaan Johor, tauliah tersebut adalah tauliah untuk melayakkan beliau mengajar agama di Johor dan bukannya tauliah untuk Mat Indera mengangkat senjata bersama-sama dengan PKM. Kesilapan Mat Indera di sini ialah dengan memilih PKM sebagai landasan perjuangannya. Saya tidaklah sampai mengatakan bahawa Mat Indera ialah komunis totok.
Selain itu, kesangsian kesahihan fakta yang cuba diketengahkan oleh Haji Muhammad Sabu terutamanya mengenai tragedi Bukit Kepong baru-baru ini semakin ketara bilamana AJK PAS Pusat mencadangkan supaya satu seminar dianjurkan bagi mengkaji semula sejarah terutama mengenai perjuangan Mat Indera. Ini bermakna, status fakta yang cuba dikemukakan oleh Haji Muhammad Sabu masih lagi di peringkat baru hendak dikaji dan ia bermakna ia masih belum sahih lagi. Jika itulah tahap dan status fakta yang cuba hendak dikemukakan oleh Haji Muhammad Sabu, bagi saya, seeloknya dianjurkan seminar dahulu dan setelah kesahihannya terbukti baru fakta sedemikian diketengahkan beserta dengan bukti sahih yang ada.
Untuk ke sekian kalinya saya ingin menegaskan iaitu persepsi bahawa sesiapa sahaja yang bekerja dengan Inggeris adalah boneka dan tali barut Inggeris dan sesiapa sahaja yang menentang Inggeris adalah pejuang adalah satu jeneralisasi yang kurang tepat. Saya telah pun jelaskan dalam tulisan saya sebelum ini mengapa generalisasi sedemikian kurang tepat. Lagi pun, jika jeneralisasi sedemikian diguna pakai, isu ini akan bertambah panjang, akan semakin keliru dan ia turut akan melibatkan ramai pihak. Sudah bersediakah pihak-pihak terutamanya yang telah menimbulkan kenyataan kontrovesi ini untuk menghadapinya? Satu soalan yang boleh difikirkan bersama, siapakah yang telah memetrai perjanjian sehingga negeri-negeri Melayu menjadi negeri-negeri naungan Inggeris? Sedarkah kita bahawa dalam proses penjajahan ke atas Tanah Melayu, pihak Inggeris lebih berjaya menjajah negeri-negeri Melayu menerusi perjanjian daripada pertempuran? Siapakah yang telah menandatangani perjanjian-perjanjian berkenaan? Pada waktu ini, beranikah pihak-pihak yang berkenaan mengatakan bahawa pihak-pihak yang telah menandatangani perjanjian sebagaimana yang saya maksudkan di atas adalah juga pengkhianat bangsa? Sudah bersediakah pihak-pihak yang berkenaan untuk mengatakan bahawa pihak yang telah memetrai perjanjian dengan Inggeris sehingga negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British adalah golongan bacul kerana tidak berani mempertahankan tanah air dengan darah dan senjata? Sudah bersediakah untuk itu?
Ada ke yang tidak faham dengan istilah “jeneralisasi”? Saya memahami istilah tersebut ketika saya mengambil kertas Teori Dan Kaedah Sejarah. Sebab itulah saya sudah katakan, membaca dan memahami sejarah sama sekali berbeza daripada kita membaca novel.
Saya juga tertarik dengan dakwaan AJK PAS Pusat yang sama yang mengatakan bahawa Dato’ Onn Jaafar adalah menteri besar Johor yang dilantik oleh Inggeris. Untuk pengetahuan kita bersama, Johor adalah negeri Melayu pertama yang mempunyai undang-undang tubuhnya sendiri secara bertulis iaitu sejak tahun 1895 dan ia diikuti oleh terengganu pada tahun 1911. Antara kandungan dalam undang-undang tubuh Johor, pelantikan menteri besar Johor adalah hak mutlak ke bawah Duli Sultan Johor. Ini bermakna, menurut undang-undang berkenaan, Sultan Johor mempunyai kuasa dan budibicara baginda sendiri untuk melantik sesiapa sahaja dalam kalangan rakyat Johor sebagai menteri besar. Untuk pengetahuan kita bersama juga, status pegawai tertinggi British yang ditugaskan di Johor sejak tahun 1914 lebih rendah daripada seorang residen di negeri-negeri Melayu yang lain. Johor berjaya mengekalkan kedaulatan negerinya kerana hubungan baik yang terjalin antara keluarga diraja Johor dengan keluarga diraja Britain sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi. Dengan situasi yang ada, Johor dapat mengekalkan sebahagian besar kuasa sultannya ini termasuklah pelantikan menteri besarnya tanpa campur tangan daripada pihak Inggeris. Bahkan kalau kita mengkaji latar belakang sejarah Dato’ Onn terutama sewaktu kecilnya, sejak dari bangku sekolah lagi beliau sudah bersifat tidak sukakan Inggeris. Hanya kerana beliau anak kepada seorang menteri besar, pihak atasan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sifat dan sikapnya itu.
Dalam ilmu sejarah, satu-satu fakta itu tidaklah bersifat statik. Ia boleh berubah jika ada penemuan baru atau ada bukti terkini yang sahih. Apabila satu-satu fakta sejarah itu sudah berubah, maka tafsiran dan huraian mengenainya juga akan turut berubah. Beberapa tahun sebelum ini dan berdasarkan fakta yang ada ketika itu, ramai mempercayai bahawa kesultanan Melaka merupakan kerajaan Islam yang awal di Tanah Melayu. Berdasarkan fakta yang ada ketika itu, apa yang ramai percayai ketika itu tidak menjadi kesalahan. Walau bagaimanapun, dengan penemuan batu bersurat Terengganu (1303 Masihi), maka ia sekaligus telah mengubah fakta yang ada sebelumnya. Berdasarkan bukti yang lebih terkini menunjukkan bahawa kewujudan kerajaan Islam di Terengganu lebih awal daripada Melaka. Dari sudut ilmu sejarah, filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jim Syamsuddin bukanlah bahan utama atau primary sources. Demikianlah sejarah.
Dalam konteks tragedi Bukit Kepong pula, sepatutnya kemukakan dahulu fakta baru jika ada untuk dianalisis. Setelah ianya sahih bahawa pihak penyerang bukan komunis dan merupakan para mujahid Islam yang berjuang menentang British ketika itu, barulah kenyataan mengenainya dibuat. Demikianlah adab dan adatnya dalam ilmu sejarah. Dalam hal ini, apa yang seolah-olahnya berlaku ialah kenyataan telah dibuat, tetapi seminar mengenainya baru hendak dianjurkan dan kajian mengenai perjuangan Mat Indera baru hendak dilakukan. Apa ini!!!
Justeru, tidak menghairankan bilamana kenyataan Haji Muhammad Sabu telah mendapat bantahan daripada ramai pakar sejarah negara. Sesetengah pakar sejarah negara berkenaan bukannya ahli politik pun. Mereka bercakap/membantah berdasarkan kepakaran/keilmuan yang ada pada mereka. Jika Haji Muhammad Sabu atau rakan-rakan yang sewaktu dengan beliau berupaya mengemukakan fakta terkini dan bukti sahih mengenai apa yang didakwa, saya amat yakin golongan pakar sejarah negara berkenaan akan berlapang dada dan tidak keberatan untuk bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan. Saya boleh mengatakan demikian kerana saya memang mengenali sesetengah daripada mereka.
Dari aspek siasah pula, kenyataan oleh Haji Muhammad Sabu sama sekali tidak membawa keuntungan kepada PAS atau Pakatan Rakyat (PR). Bahkan ia telah membuka ruang yang luas terutamanya kepada musuh-musuh politik parti pembangkang untuk membantai dan membelasah PR. Seharusnya dalam situasi tarikh pilihanraya semakin menjadi teka-teki, para pemimpin PR sepatutnya mengurangkan daripada membuat kenyataan-kenyataan yang akan memakan diri sendiri. Dalam hal ini, strategi UMNO/BN nampaknya semakin berkesan. Mereka tidak memberi peluang, sebaliknya menanti peluang untuk membantai dan membelasah musuh politiknya sebagaimana yang sedang berlaku sekarang.
Pada masa yang sama juga, saya sama sekali tidak menafikan bahawa dalam menukilkan sejarah negara terutamanya di peringkat sekolah, pensejarahannya lebih banyak memberi penekanan kepada tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan UMNO dan Perikatan sahaja. Ketokohan Dato’ Onn Jaafar sendiri hanya diberi penekanan semasa beliau dalam UMNO, tetapi setelah Dato’ Onn meninggalkan UMNO, sumbangan dan ketokohannya tidak lagi diberi perhatian yang sewajarnya. Saya turut bersetuju bahawa tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof. Zulkifli Muhammad, Ishak Haji Mohamad, Haji Ahmad Fuad Hassan serta Haji Ahmad Tuan Hussein perlu diketengahkan buat tatapan generasi masa kini. Tokoh-tokoh ini turut berjuang dan menyumbang ke arah kemerdekaan Tanah Melayu tetapi sumbangan mereka setakat ini masih dipinggirkan.
Suka saya jelaskan di sini, saya bukan bersekongkol dengan mana-mana media. Sebaliknya apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan sedikit pengetahuan sejarah yang ada pada saya. Saya amat-amat mengalu-alukan jika ada fakta baru yang hendak dikongsikan. Namun begitu, kita harus faham perbezaan antara fakta dengan emosi.
Insha-Allah, pagi esok saya akan kembali semula ke KL.
Salam dari Jasin, Melaka.
No comments:
Post a Comment