Sunday, September 18, 2011

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak YB ADUN Semantan

Semalam (17 September), saya sekeluarga telah berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak YB Adun Semantan. Pada awalnya saya teragak-agak untuk menghadiri majlis berkenaan. Maklumlah isteri saya baru beberapa hari keluar wad. Lagi pun, sehari sebelumnya (Jumaat) saya sekeluarga terpaksa menolak beberapa jemputan rumah terbuka lantaran kesihatan isteri saya yang belum benar-benar pulih. Ini termasuklah jemputan rakan lama saya di Shah Alam. Pertemuan dengan rakan lama yang ini memang amat saya nantikan kerana pada masa ini beliau merupakan salah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tentunya pertemuan berkenaan akan membuka peluang kepada kami untuk berbicara lebih lanjut mengenai isu yang masih hangat yang ada kaitannya dengan fakta sejarah. Namun begitu, seorang lagi rakan kami akan mengaturkan satu pertemuan lain dalam masa terdekat. Mudah-mudahan ia akan dapat dilaksanakan, insha-Allah.

Berbalik kepada majlis perkahwinan anak YB ADUN Semantan, setelah saya berpuas hati dengan tahap kesihatan isteri saya (macam doktor pulak), akhirnya pada jam 12.00 tengah hari semalam saya sekeluarga telah bertolak ke majlis berkenaan di Gau, Temerloh. Alhamdulillah, perjalanan lancar sahaja. Isteri saya juga dapat memandu seperti biasa.



Sebenarnya, saya telah pun menerima undangan daripada YB ADUN Semantan untuk majlis semalam menerusi SMS beberapa minggu lalu. Ini dituruti dengan undangan menerusi kad pada minggu lepas iaitu semasa kami sekeluarga sedang berkampung di hospital. Lagi pun ada sebab lain yang lebih kuat mengapa kami harus menghadiri majlis berkenaan jika tiada keuzuran.



Sekitar jam 1.30 tengah hari, saya sekeluarga pun tiba di rumah YB ADUN Semantan. Berdasarkan pendengaran saya, tetamu masih ramai dan kemeriahannya memang terasa. Sebaik sahaja melihat kedatangan saya, YB berkenaan terus menyeru nama saya dengan agak kuat. Kami berpelukan. Demikianlah yang sering berlaku bila sahaja kami berdua bertemu.



Setelah bertanya khabar secara ringkas, beliau terus menarik saya untuk duduk di meja VIP. Saya pula yang kurang selesa berada di meja berkenaan. Kebetulan pula, kakak ipar saya yang turut sama hadir datang dan memberitahu saya bahawa umi (ibu mertua saya) belum menjamah makanan kerana ingin makan bersama saya dan isteri. Jadi, saya punya alasan yang kukuh untuk meminta diri daripada meja VIP.



Sambil makan, telinga saya tetap fokus kepada keadaan sekitar. Ada juga tetamu yang bercakap fasal politik tetapi topiknya tidaklah seberat mana. Lagi pun, mereka yang terlibat dalam percakapan berkenaan tidak saya kenali. Selain itu, telinga saya turut dapat menangkap percakapan beberapa orang bukan Melayu. Ini bermakna, majlis ini turut dihadiri oleh tetamu pelbagai kaum. Selain itu, ramai sanak saudara jauh dan dekat turut menghadiri majlis ini. Sebab itulah saya katakan, menurut penangkapan telinga saya, tetamunya ramai dan majlis ini sungguh meriah.



Sewaktu saya sedang berdiri iaitu setelah selesai makan, tiba-tiba saya ditegur oleh seseorang. “Kenal tak?” Setelah mengamati suaranya, akhirnya saya ingat dengan pasti, “Mehdhar kan?” Mehdhar memberitahu saya, adik lelaki beliau kini adalah menantu kepada YB ADUN Semantan.

Mehdhar (Syed Mehdhar) merupakan ketua pemuda UMNO Cheras dan juga naib ketua pemuda UMNO Wilayah Persekutuan. Kami telah pun mengenali antara satu sama lain sekitar 30 tahun. Kami mula mengenali antara satu sama lain ketika kami bersekolah di sekolah yang sama iaitu di St. John’s Institution, Kuala Lumpur. Bahkan saya dan Mehdhar pernah belajar dalam satu kelas yang sama ketika di tingkatan 4 dan 5. Walaupun beliau seorang yang berpenglihatan sedangkan saya tidak, namun ia sama sekali tidak pernah menjurangkan persahabatan antara kami.

Setelah tamat sekolah menengah, saya dan Mehdhar mula mencari haluan masing-masing. Pun demikian, hubungan kami tetap tidak putus. Walaupun kami agak jarang bertemu, namun kami tetap berhubung menerusi telefon atau SMS. Setidak-tidaknya bertanya khabar. Sebelum kami berpisah, saya sempat berbisik kepada Mehdhar: “Walaupun kau UMNO, akhirnya kau cari anak orang PAS juga sebagai adik ipar kau.” Kami sama-sama gelak kuat kemudiannya.



Biasalah, kalau bertemu rakan sepersekolahan memang tak cukup masa. Ada sahaja perkara dan topik yang ingin dibicarakan. Namun apakan daya, masing-masing ada majlis lain yang harus dihadiri selepas ini. Mehdhar melahirkan keinginannya untuk bertemu dan berbual lagi dengan saya.



Setelah sekitar 45 minit, akhirnya saya sekeluarga meminta diri. Sekali lagi, sebelum berpisah saya dan YB ADUN Semantan berpelukan. Seingat saya, kali pertama YB ADUN Semantan memeluk saya ialah pada hari pertama saya memperisterikan anak saudara sepupunya.

No comments: