Sudah sekitar dua minggu kenyataan kontroversi timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, diperkatakan di seluruh negara. Pihak yang heboh dan galak memperkatakannnya pula rata-ratanya orang politik Melayu yang beragama Islam. Sebut sahaja nama tokoh politik Melayu masa kini, boleh dikatakan hampir kesemuanya ada memperkatakan mengenai kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu. Mungkin sudah menjadi darah daging orang politik akan memberikan ulasan mengenai isu-isu sebegini. Kalau tidak, nanti dikatakan orang ahli politik tak ikut perkembangan pula. Jadi, mahu tak mahu, tahu atau tak tahu, ulas tetap kena ulas juga. Bentuk ulasan pula bukan berasaskan fakta sangat, tetapi lebih kepada aliran politik mana yang sedang dianuti. Demikianlah cara dan gaya bangsa Melayu berpolitik.
Kehangatan isu ini dipanaskan lagi bilamana ia turut menerobos ke segenap ruang pelbagai kategori media, sama ada yang bercetak, media elektronik dan yang paling hebat ialah menerusi ruang siber. Maklumlah di ruang siber kebebasannya tiada sekatan. Tulislah apa sahaja, tiada mana-mana pengarang atau ketua pengarang yang akan menapisnya. Terpulanglah sepenuhnya kepada golongan pembaca untuk menapisnya pula.
Kedua-dua pihak, sama ada UMNO mahupun PAS, mempunyai hujah masing-masing bagi menyokong pendapat dokongan setiap pihak. Waktu sebeginilah baru banyak pihak merasai akan kepentingan sejarah. Manakala bidang sejarah pula mempunyai kaedah tersendiri agar ia dapat difahami dengan cara yang betul. Sebab itu beberapa kali saya tegaskan membaca dan memahami sejarah bukan macam membaca novel atau cerpen! Waktu sebeginilah juga mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan sejarah akan dijadikan rujukan. Macam-macam soalan akan ditanya khususnya mengenai peristiwa Bukit Kepong tahun 1950. Guru-guru sejarah di sekolah juga tidak terkecuali.
Bagi sesetengah ahli PAS, Mad Sabu dianggap sebagai wira. Keberanian dan ketegasan Mad Sabu mempertahankan kenyataan kontroversinya amat disanjung tinggi oleh penyokong dan pendokongnya. Dalam mengenengahkan Mat Indera sebagai pejuang bangsa, dengan tak semena-mena Mad Sabu turut terangkat selaku wira PAS.
Manakala Prof. Bakar Hamid dan Datuk Ghani Osman pula terpaksa berhempas-pulas untuk mencari kewajaran mengapa dan bagaimana nama Mat Indera boleh berada setara dengan tokoh-tokoh lain dalam buku (jurnal) Pengukir Nama Johor. Saya pun hairan juga, macam mana hal sedemikian boleh terjadi. Itulah, lain kali jangan jadi tukang sign saha, kena teliti apa yang disign!
Konon khabarnya, esok Mad Sabu akan mula menyaman akhbar Utusan. Manakala Datuk Seri Mohd Nazri Aziz pula mengatakan, lebih ramai lagi orang yang akan menyaman Mad Sabu. Nampaknya isu ini sudah tiba ke tahap saman-menyaman. Yang akan menyaman Melayu dan yang akan kena saman pun Melayu juga. Agaknya beginilah cara bangsa Melayu menyelesaikan isu yang timbul di antara sesama mereka.
Nampak gayanya isu ini belum ada tanda akan reda dalam seminggu dua ini. Ada kemungkinan besar, isu ini akan dipanjangkan lagi entah sampai bila. Tidak terhenti dengan rentetan peristiwa yang sedang berlaku, saya rasa selepas ini pelbagai pihak akan menganjurkan pula pelbagai forum dan wacana ilmu bagi mencari kebenaran terhadap kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu.
Daripada interpretasi fakta sejarah mengenai tragedi Bukit Kepong, kini perdebatan masuk pula kepada topik sama ada Tanah Melayu pernah dijajah atau tidak. Ia ekoran daripada kenyataan bahawa negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah, sebaliknya ia pernah menjadi negeri-negeri naungan British sahaja. Di sini, sekali lagi ia menunjukkan keunikan disiplin sejarah sebagai satu bidang ilmu. Bagi sesetengah pihak, sama ada negeri naungan atau negeri jajahan, ia dilihat sama sahaja kerana pihak yang mengeksploitasi negeri-negeri Melayu ialah British yang dianggap sebagai penjajah. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang pernah menimba ilmu sejarah di dewan kuliah mana-mana universiti sebagai bidang pengajian utama (single major), sedikit sebanyak akan dapat memahami dan membezakan antara negeri naungan (protectorat states) dengan negeri jajahan (colonised states). Bagi saya, adalah kurang tepat kalau dikatakan negeri-negeri naungan tidak pernah dijajah. Apa yang berlaku ialah, wujud beberapa perbezaan dari segi bentuk penjajahan di antara negeri-negeri naungan dengan negeri-negeri jajahan.
Dalam konteks Tanah Melayu, Melaka, Singapura dan Pulau Pinang merupakan negeri-negeri jajahan. Manakala kebanyakan negeri Melayu yang lain merupakan negeri naungan British. Mungkin ada pula yang akan terkejut kalau saya katakan, Sarawak semasa era pemerintahan Brooke merupakan sebuah negeri yang merdeka!
Bagaimana status atau kedudukan sesebuah negeri Melayu yang dijajah itu ditentukan sama ada negeri jajahan atau negeri naungan? Ia boleh dilihat daripada dokumen perjanjian yang ditandatangani di antara pemerintah (raja-raja) sesebuah negeri Melayu dengan British. Ia juga turut ditentukan oleh pembahagian kuasa serta pelaksanaan kuasa di antara raja-raja dan para pembesar Melayu dengan British. Sebenarnya kalau hendak dihuraikan mengenai hal ini, memang unik dan kompleks. Inilah dia sejarah.
Seperkara lagi, mengapa kita menggunakan istilah “British” dan bukannya “Inggeris”? Inggeris atau English merujuk kepada orang England sahaja. Sedangkan para pegawai British yang pernah ditugaskan di Tanah Melayu datangnya dari pelbagai pelusuk Britain yang merangkumi Scotland, Wales atau Ireland Utara. Justeru, para sejarawan terutamanya yang mengkhusus dalam sejarah Tanah Melayu sependapat adalah lebih tepat untuk kita gunakan istilah British kepada pihak yang telah menjajah Tanah Melayu dan bukannya Inggeris. Itu baru satu istilah yang saya ketengahkan untuk perkongsian kita bersama. Demikianlah unik dan kompleksnya sejarah sebagai bidang ilmu. Bukanlah tujuan saya untuk memberi kuliah sejarah dalam tulisan ini, tetapi sekadar mengenengahkan keunikan disiplin sejarah sahaja agar kita lebih faham bagaimana untuk menilai satu-satu peristiwa itu dari kaca mata sejarah.
Berbalik kepada fakta serangan dan tragedi Bukit Kepong tahun 1950, fakta serta bukti sahih yang ada menunjukkan bahawa serangan telah dilakukan oleh gerombolan komunis. Tidak kiralah sama ada penyerang itu cina, Melayu, India atau kaum asli, selagi mereka menganut ideologi komunis maka anutan mereka adalah salah sama sekali. Tujuan utama komunis bukan untuk memerdekan tanah air, sebaliknya untuk menubuhkan rejim komunis di Tanah Melayu. Adakah halal haram komunisme tertakluk kepada bangsa para anggotanya? Maksudnya, bila anggota PKM itu Cina atau India ia menjadi haram. Sebaliknya jika bangsa anggota komunis itu Melayu atau beragama Islam maka ia menjadi halal pula. Begitu ke?
Justeru, apabila orang yang ada ilmu keagamaan (Islam) seperti Mat Indera memilih komunisme sebagai landasan perjuangan, ia menimbulkan seribu tandatanya. Dengan erti kata lain, Mat Indera gagal menggunakan ilmu agama (Islam) yang ada kepadanya untuk membuat pertimbangan yang betul ketika memilih landasan untuk melaksanakan perjuangannya. Jadi, apabila biodata Mat Indera turut termuat dalam jurnal Pengukir Nama Johor, ia juga turut menimbulkan seribu tandatanya. Adakah editor jurnal berkenaan telah cuai? Adakah Datuk Ghani Osman sekadar menurunkan tandatangan tanpa membaca keseluruhan isi kandungan jurnal berkenaan? Adakah Prof. Bakar Hamid dan Datuk Ghani Osman berlatarbelakangkan bidang sejarah?
Lihatlah apa yang terjadi kepada Vietnam Utara, oleh kerana para nasionalisnya menggunakan komunisme untuk berjuang membebaskan negara mereka daripada Perancis, maka itulah negara berkenaan telah menjadi sebuah negara komunis sebaik sahaja bebas daripada cengkaman penjajahan Perancis.
Dalam konteks Tanah Melayu, kita masih bernasib baik kerana majoriti para pejuang kemerdekaan kita tidak menggunakan landasan komunisme untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British. Walaupun tokoh-tokoh seperti Abu Bakar Al-Bakir, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan yang seumpamanya sering dicap sebagai golongan berhaluan kiri terutamanya oleh British dan pihak yang bersekutu dengannya, namun tokoh-tokoh berkenaan tidak pernah menggunakan komunisme sebagai wadah perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Tokoh-tokoh seumpama inilah yang harus kita angkat, kita ingat dan kita kenang sebagai pejuang kemerdekaan di samping tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak atau Tunku Abdul Rahman.
Permasalahan yang timbul kini ialah apabila fakta sejarah mula ditafsirkan mengikut aliran politik kumpulan siasah tertentu. Ia diburukkan lagi bilamana para pendokong aliran politik yang berkenaan turut menyokong tanpa hujah dan fakta yang jelas. Bila ditanya lebih lanjut mengenai pegangan dan sokongan mereka, jawapannya “Tanyalah pada Mad **** ”. Saya sangka selama ini hanya UMNO saja yang berjaya melahirkan golongan pak turut. Rupa-rupanya golongan sedemikian juga sudah bercambah dalam kalangan pengikut kumpulan siasah yang satu lagi. Mengapa kita harus menjadi pendokong dan penyokong secara taqlid?
Siapa sebenarnya yang sedang tersenyum lebar kerana beroleh untung besar bila isu kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu ini terus dipanjangkan?
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment