Saturday, December 31, 2016

Ahmad Abdullah Kembali Ke Rahmatullah




Seawal jam 3.52 pagi tadi, saya telah menerima SMS daripada salah seorang rakan yang memberitahu bahawa salah seorang rakan senasib, Ahmad Abdullah, telah kembali ke rahmatullah pada sekitar 11.30 malam tadi. Saya kurang pasti berapa usia sebenar Allahyarham, tapi saya menjangkakan mungkin sekitar 70 tahun. Allahyarham pernah bertugas di Persatuan Orang Buta malaysia (MAB) untuk satu jangka masa yang lama.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua rakan yang telah berkongsi berita ini dengan saya. Saya tidak dapat menziarahi jenazah Allahyarham kerana pada masa ini saya di Kuantan lantaran ibu mertua saya yang kian uzur.

Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, saya ucapkan takziah dan sentiasa bersabar dengan pemergian beliau. Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allahyarham ditempatkan bersama dengan mereka yang solihin serta diampuni Allah akan segala dosa beliau.

Alfatihah ....



Thursday, December 22, 2016

Muhammad Kassim Kembali Ke Rahmatullah




Antara orang yang sempat saya temui semasa saya mengendalikan ceramah di Nur Laman Bestari tempoh hari ialah Saudara Bakri Mohd Said, pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang. Beliau memaklumkan kepada saya iaitu Saudara Muhammad Kassim, salah seorang ahli biasa PERTIS Pahang telah kembali ke rahmatullah sekitar seminggu yang lalu. Saya agak terkejut dengan berita berkenaan kerana setelah beberapa hari beliau (Muhammad Kassim) kembali ke rahmatullah, beritanya masih tidak kedengaran ke telinga saya.

Allahyarham Saudara Muhammad Kassim merupakan ahli biasa PERTIS Pahang. Beliau pernah menjadi AJK PERTIS Pahang untuk beberapa penggal. Di akhir hayatnya, beliau telah menghidap penyakit kencing manis sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong. Walaupun pendidikannya tidaklah setinggi mana, tetapi komitmennya terhadap PERTIS khususnya di Pahang cukup tinggi.

Selain itu, saya juga turut dimaklumkan, Tok Empat Kampung Chatin, Mentakab, juga telah kembali ke rahmatullah beberapa bulan yang lalu. Saya memang kenal dengan Allahyarham. Boleh dikatakan setiap kali PERTIS Pahang menganjurkan aktiviti, kelibat beliau sering kelihatan. Sokongan beliau selaku ketua kampung dan juga masyarakat setempat terhadap PERTIS Pahang cukup besar.

Saya berdoa semoga Allahyarham kedua-duanya akan tergolong bersama-sama para solihin, mendapat keampunan Allah dan dicucuri rahmat sepanjang masa.

Alfatihah ....


Kem Pemantapan Organisasi Anjuran PERTIS




Pada 20 Disember (Selasa) lalu, saya telah diundang oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk menyampaikan satu ceramah (lebih kepada berkongsi pengalaman serta sedikit pengetahuan). Ceramah tersebut adalah bersempena dengan kem yang sedang berlangsung di Nur Laman Bestari, Ulu Yam, mengenai pemantapan organisasi. Tajuk yang diamanahkan kepada saya ialah “Ke Arah Mengarusperdanakan PERTIS Sebagai NGO Islam Cacat Penglihatan”.

Dalam perkongsian tersebut, saya telah menekankan 3 perkara prasyarat penting sebelum PERTIS berada di landasan arus perdana. Selain itu, saya turut berkongsi pandangan iaitu sekurang-kurangnya 8 perkara penting yang perlu direalisasikan oleh PERTIS ke arah mengarusperdanakan organisasi berkenaan. Antaranya termasuklah pemantapan dalaman dalam organisasi, pengurusan kewangan yang baik, hubungan luar yang luas, memaksimumkan penggunaan ICT, meluaskan lagi perkhidmatan yang sedia ada, dan saya juga tidak lupa menyarakan iaitu sudah tiba masanya untuk PERTIS menjalin hubungan di peringkat global pula.

Sebagaimana biasa, bila saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah di mana-mana sekali pun, saya akan menggunakan slide (Power Point). Walaupun majoriti audien saya adalah mereka yang cacat penglihatan, tetapi masih ada sebilangan kecil audien yang berpenglihatan penuh. Jika mata/penglihatan mereka tidak “dijamu”, mungkin fokus mereka terhadap apa yang saya sampaikan akan berada di tahap minimum. Selain itu, saya juga harus peka dengan kehadiran mereka yang berpenglihatan dalam sesi ceramah yang saya kendalikan sebagaimana saya sering mengharapkan golongan mereka juga peka dengan kehadiran orang seperti saya bila mereka pula menyampaikan ceramah.

Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya AJK Pusat PERTIS yang masih ingat dan masih sudi untuk mengundang saya bagi perkongsian yang kecil ini. Mudah-mudahan juga, apa yang saya kongsikan tempoh hari ada manfaatnya untuk kebaikan bersama.

Di bawah ini, saya turut kongsikan beberapa foto berkaitan slot ceramah berkenaan.





Tuesday, December 13, 2016

Ucapan Tahniah Ke Bawah Duli Yang Di-Pertuan Agong Ke-15




Dengan penuh takzimnya, patik merafakkan syukur ke hadrat Allah serta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ke bawah Duli Tuanku Sultan Muhammad V bersempena dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-15.




Doa patik semoga negara tercinta ini akan bertambah barakah daripada-Nya terutamanya di sepanjang pemerintahan Tuanku selaku Yang Di-Pertuan Agong.

Mudah-mudahan dengan sifat zuhud yang sedia ada pada diri tuanku, maka akan kian terbukalah pintu keberkatan untuk negara tercinta ini sama ada di bumi mahupun di langit.

Mudah-mudahan juga dengan tinggi budi pekerti ke bawah duli tuanku, para pemimpin dan sekalian hamba rakyat akan bertambah tinggilah kasih sayang antara sesama kita selaku pewaris tanah air tercinta ini.

(Klik di sini untuk mendengar lagu untuk raja Kelantan)

Sesungguhnya antara tuanku dan sekalian hamba rakyat berpisah tiada. Mudah-mudahan segala sifat dan sikap terpuji yang dikurniakan Allah kepada ke bawah duli tuanku akan menjadi ikutan pula kepada sekalian pemimpin serta sekalian hamba rakyat.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!


Tahniah Untuk Zulkifli




Zulkifli Mohd Yusuf merupakan seorang lagi ahli kumpulan penyelidik dalam projek E-Braille, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kalau saya tidak silap, beliau juga merupakan antara ahli kumpulan yang awal terlibat dengan projek berkenaan. Kalau tidak salah ingatan saya, secara peribadi saya sudah pun mengenali beliau sejak tahun 2010 lagi.




Baru-baru ini, setelah bertungkus-lumus dengan penuh tekun dan sabar, Zulkifli telah berjaya memperolehi ijazah doktor falsafah (phD) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kejayaan berkenaan sudah tentulah menggembirakan beliau serta keluarganya. Maklumlah sebelum ini beliau terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan ujian, bukan sahaja untuk menghabiskan pengajiannya di peringkat phD, malahan cabaran dalam keluarganya sendiri. Akhirnya dengan berkat sabar dan tabahnya, kejayaan yang menjadi idamannya kini sudah pun dalam genggaman. Selaku rakan, saya juga turut tumpang gembira dengan kejayaan yang beliau capai.




Mudah-mudahan kejayaan yang telah dicapai akan menguatkan semangat serta kesungguhannya untuk terus menyokong projek E-Braille di UTM dengan apa cara sekali pun. Saya juga perlu jelaskan di sini bahawa beliau juga antara orang yang mahir terutamanya untuk membaiki mesin embosser selain Dr. Zarhamdi.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Dr. Zulkifli atas kejayannya. Mudah-mudahan beliau tidak lupa untuk berkongsi ilmu dan kemahirannya kepada masyarakat seperti saya. Kalau tak dapat melapah sama hati gajah, dapat mencecah sedikit hati kuman pun sudah memadai.


Monday, December 12, 2016

Salam Maulidul Rasul 1438 Hijrah



Hari ini, (12 Rabi'ul-Awwal) merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Pelbagai cara dilakukan bagi menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah yang sama-sama kita kasihi.

Sesungguhnya kasih dan sayang serta rindu dan cinta kita terhadap baginda tiada mengenal usia, masa, tempat dan juga bangsa. Setiap kelompok masyarakat ada cara masing-masing dalam mempamirkan rasa cinta dan rindu masing-masing kepada baginda.

Sekurang-kurangnya ada tiga perkara yang harus kita lakukan sebagai tanda kita benar-benar cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah, iaitu, perbanyakkan selawat, laksanakan apa yang baginda suruh dan tinggalkan apa yang baginda tegah. Marilah kita laksanakannya tanpa berdolak-dalih lagi.

Salam Maulidul Rasul 1438 Hijrah.

Wednesday, December 7, 2016

Kekuatan UMNO




Hari ini, setelah 70 tahun penubuhannya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) masih merupakan parti politik yang unggul dan masih mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Walaupun pelbagai cabaran, masalah, karenah, gelombang dan taufan pernah melanda parti berkenaan, setakat ini ia masih utuh dan mampu menghadapinya dengan jaya. Tentulah UMNO ada kekuatan tersendiri sehingga berhasil menghadapi apa jua halangan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, sekiranya parti-parti politik pembangkang salah membuat percaturan, hasrat UMNO untuk terus berada di tampuk kekuasaan terutamanya di peringkat Persekutuan akan mampu dicapai menerusi pilihanraya umum selanjutnya.

Antara kekuatan UMNO yang penting ialah ia masih mendapat sokongan dan dokongan daripada majoriti pengundi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar. Ini terbukti bilamana kebanyakan kerusi yang berjaya dipertahankan oleh UMNO adalah kerusi-kerusi yang terletak di kawasan berkenaan. Walaupun kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar semakin terlepas daripada genggaman UMNO, sokongan padu daripada pengundi kawasan luaer bandar masih merupakan penyelamat kepada UMNO setakat ini.

Di samping itu, kekuatan UMNO juga turut disumbangkan oleh kumpulan pengundi Melayu yang berusia separuh abad dan ke atas. Mereka merupakan antara penyokong dan pendokong asal UMNO. Ada antara mereka yang pernah menyaksikan sendiri perjuangan UMNO sejak dari awal. Mereka pernah menyaksikan pengorbanan para pemimpin UMNO pada masa lalu. Mereka juga pernah menyaksikan ketidakadilan penjajah khasnya ke atas orang Melayu. Kini, walaupun banyak perubahan yang telah berlaku dalam UMNO itu sendiri, tetapi golongan pendokong tegar UMNO ini tidak mungkin berubah lagi. Bagi mereka, corak kepimpinan UMNO yang ada sekarang tidak berubah dan sama seperti dahulu. Mereka tetap percaya, keikhlasan, pengorbanan serta latar belakang perjuangan pemimpin sekarang saling tak tumpah sebagaimana para pemimpin UMNO yang terdahulu. Mereka juga turut berkeyakinan, apa yang disebarkan oleh golongan pembangkang merupakan fitnah dan sekadar ingin meruntuhkan UMNO selaku parti keramat orang Melayu. Mungkin bila pupusnya generasi seperti ini, barulah akan turut sama pupusnya sokongan tegar terhadap UMNO.

Faktor kekuatan UMNO seterusnya ialah parti tersebut bersama-sama parti-parti dalam komponen dalam Barisan Nasional (BN) masih lagi berada di tampuk kekuasaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di kebanyakan negeri di Malaysia. Keadaan ini memberi banyak kelebihan kepada parti berkenaan. Oleh kerana masih berkuasa, maka secara umumnya UMNO boleh menentukan tarikh pilihanraya umum yang paling kondusif untuk kemenangan parti berkenaan. Sebagai contoh, tarikh pilihanraya umum pilihanraya umum ke-13 telah diadakan pada bulan Mei 2013 kerana tarikh itulah sahaja yang boleh nmenjamin pengekalan kekuasaan UMNO/Bn pada perkiraan UMNO. Sekiranya pilihanraya umum diadakan lebih awal, ia berkemungkinan UMNO boleh kalah lebih banyak kerusi. Kita harus faham, parlimen (Dewan Rakyat) boleh dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada perdana menteri.

Di samping itu, gabungan pelbagai parti politik konsep BN juga satu lagi faktor kekuatan UMNO. Sejak era Perikatan lagi, konsep pakatan murni yang menjadi teras kukuh kepada perpaduan BN telah membuktikan keutuhan dan kekukuhan perpaduan yang tiada tolok bandingnya. Walaupun pernah dilanda masalah dan cabaran namun BN terus utuh meredah masa sehingga kini. Parti-parti pembangkang pernah cuba mewujudkan gabungan stail mereka tetapi ia tidak berkekalan. Lihat sahaja apa yang sudah terjadi kepada gabungan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat dan juga Pakatan Rakyat. Semuanya berakhir dengan perpecahan dan kehancuran. Hal yang serupa juga mungkin bakal menimpa Pakatan Harapan jika terjadi lagi salah percaturan.

Gagasan pelaksanaan hukum hudud merupakan satu lagi faktor kekuatan untuk UMNO. Dengan strategi tertentu, UMNO telah berjaya melunakkan barisan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bekerjasama secara senyap dengan UMNO. Sokongan dan kerjasama secara senyap sebegini amat penting bagi survival UMNO yang semakin berada dalam keadaan telur di hujung tanduk. Walaupun pelaksanaan hukum hudud turut ditolak oleh parti-parti politik dalam BN tetapi ia tidak sampai memecah-belahkan BN itu sendiri. Ini sama sekali berbeza dengan parti-parti pembangkang kerana hanya dengan cadangan pelaksanaan hukum berkenaan, ia bukan sahaja ditolak oleh parti tertentu bahkan ia turut menjadi antara punca kehancuran Pakatan Rakyat. Di sinilah tersiratnya keampuhan strategi halus UMNO dalam mendepani cabaran rumit dan kompleks seperti cadangan pelaksanaan hukum hudud.

Bagi umat Islam, kita sepatutnya sentiasa berusaha agar hukum Allah itu akhirnya berjaya dilaksanakan di tanah air umat Islam seperti negara kita. Semua orang Islam, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik sepatutnya bersatu atas nama Islam. Sama ada kita faham atau tidak dengan hukum berkenaan, kita harus memberi sokongan secara total ke arah pelaksanaannya. Itulah yang sepatutnya berlaku.

Kewujudan Parti Tindakan Demokrasi (DAP) juga turut menyumbang kepada kekuatan UMNO. DAP sering digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Menyokong DAP sama seperti bersetuju supaya negara ini diperintah oleh Cina sepenuhnya. Bila Cina yang memerintah Malaysia, maka segala yang bernama Melayu akan dihapuskan secara perlahan-lahan. Demikianlah kepercayaan sebilangan orang Melayu.

Bagi sebilangan orang Melayu, apa yang dinyatakan ada kebenarannya. Dalam hal ini, mereka akan segera menuding ke negara jiran di seberang tambak untuk dijadikan contoh. Ciri-ciri kemelayuan di sana semakin terhapus sedikit demi sedikit. Hari ini, ramai orang Melayu di sana yang lebih selesa untuk berbahasa Inggeris daripada bahasa sendiri. Istana Kampung Gelam bukan lagi jadi tempat tinggal keturunan Sultan Hussein, bahkan ia sekadar jadi pusat warisan orang Melayu sahaja. Penempatan orang Melayu di sana sengaja “diselerakkan” supaya orang Melayu tidak boleh membentuk satu masyarakat yang kuat. Laungan azan di sana pula sudah lama tidak berkumandang secara terbuka. Sedangkan laungan azan secara terbuka yang masih diamalkan di negara ini masih gagal mengimarahkan masjid terutamanya pada waktu subuh.

Bagi sebilangan orang Melayu, mereka sangat gerun sekiranya hal yang serupa yang sedang terjadi di negara jiran akan terjadi pula di negara sendiri. Walaupun pihak yang satu lagi boleh berhujah iaitu hal sedemikian tidak terjadi di Pulau Pinang yang sedang diperintah oleh DAP, tetapi sebilangan orang Melayu berhujah pula iaitu hal yang amat digeruni itu bakal terjadi bilamana kerajaan Persekutuan dikuasai oleh DAP dan mereka yang bersekongkol dengannya. Demikianlah. Berbeza dengan MCA, parti berkenaan langsung tidak boleh diperkudakan untuk menakutkan orang Melayu kerana ia merupakan antara komponen penting BN.

Perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang juga merupakan faktor penyumbang kepada kekuatan UMNO dan BN. Semakin serius perpecahan yang balaku, maka semakin utuhlah kedudukan UMNO/BN. Ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan membuatkan strategi satu lawan satu ke atas UMNO/BN dalam pilihanraya umum yang akan datang semakin sukar. Keinginan Perkasa kononnya untuk meletakkan 50 calonnya dalam pilihanraya umum akan datang juga mengakibatkan pelaksanaan strategi satu lawan satu semakin jauh panggang dari api. Ia sekaligus memberi kekuatan tambahan kepada UMNO/BN bagi sekurang-kurangnya mengekalkan kuasa mereka walaupun dengan majoriti mudah.

Jika diteliti parti-parti seperti UMNO, PKR, PAN dan PAS, ia merupakan parti-parti politik yang sedang didominasi oleh Melayu. Pada masa yang sama, parti-parti ini pula sedang menghadapi pelbagai masalah. Sedangkan jika parti-parti ini bersatu, maka kuasa politik Melayu di tanah air sendiri tentunya kukuh dan tidak akan tergugat lagi. Impian dan kenyataan adakalanya tidak serupa. Kita mengimpikan satu bangsa yang kuat, kukuh dan bersatu padu. Kenyataannya ialah bangsa kita sedang berpecah-belah, berkelahi dan saling bersetruan. Sudahlah kita sudah lama hilang kuasa ekonomi di bumi sendiri, kini kuasa politik yang ada dalam genggaman kita pula sedang terhakis secara perlahan-lahan. Peristiwa terlepasnya pulau Batu Putih dari genggaman bangsa kita sama sekali belum menyedarkan kita betapa pentingnya perpaduan antara sesama kita.

Lagu Tanah Pusaka kini hanya sekadar nyanyian semata-mata tanpa makna lagi. Kalau diteliti lirik dalam lagu berkenaan, bukan maih gahnya bangsa kita. Hakikatnya tanah yang tak sampai pun sekangkang kera pun gagal kita pertahankan, bagaimana pula untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini.

(Untuk menonton/mendengar lagu Tanah Pusaka, sila klik
Di sini

Eloklah lirik akhir lagu berkenaan,
“Biar putih tulang jangan putih mata”
Ditukar kepada,
“sebelum putih tulang kita sudah putih mata”.


Tuesday, December 6, 2016

Mengunjungi Pak Lang Yusuf Di JB



Pada 5 Disember (Isnin), sekitar 4 jam setengah selepas ketibaan saya sekeluarga di JB, saya berkesempatan mengunjungi Pak Lang Yusuf, seorang bapa saudara saya yang besar jasanya kepada saya terutama sewaktu saya bersekolah rendah dahulu. Sebagaimana biasa, bila saya ke JB, merekalah antara orang yang seakan wajib saya ziarahi bila ada kelapangan.




Kali akhir saya menziarahi kedua-duanya ialah juga pada bulan Disember 2014 lalu. Seingat saya, Pak Lang saya ini sudah berusia melebihi 80 tahun. Namun demikian, secara umumnya keduanya kelihatan sihat, kata orang sihat orang tua.

Walaupun pertemuan kami semalam sekitar 40 minit sahaja, namun saya cukup puas terutama bila mendapati keduanya masih sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Mereka berdua inilah serta keluarganya antara insan yang sering saya selitkan dalam doa saya terutamanya selepas solat.

Mudah-mudahan ini bukan pertemuan kami yang penghabisan.

Sunday, December 4, 2016

Beseri Di PPUM





Sekitar jam 9.00 malam tadi (3 Disember), isteri Saudara Beseri (Kak Jamilah) ada menghubungi saya. Lama juga Beseri atau ahli keluarganya tidak menghubungi saya. Kak Jamilah memberitahu saya yang Saudara Beseri kini di PPUM sudah hampir sebulan. Puncanya kerana Saudara Beseri terjatuh di bilik air. Kejadian itu mengakibatkan beliau tidak boleh bangun hingga sekarang. Katanya lagi, Saudara Beseri hilang selera makan.


(Foto lama Saudara Beseri)


Kemudian anaknya pula telah menghantar SMS kepada saya dengan memaklumkan lokasi Saudara Beseri dirawat seperti berikut:

Salam pkcik..abah dekat wad 8TD menara timur ppum..katil nombor 7..

Sesiapa dalam kalangan pembaca blog ini atau rakan-rakan lain yang berkesempatan dan ingin menziarahi Saudara Beseri, bolehlah berbuat demikian. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia akan dapat meringankan penderitaan yang sedang ditanggung oleh rakan kita ini.

Sementara itu, kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan berbentuk kewangan, ia boleh disalurkan ke akaun seperti yang tertera di bawah, iaitu berdasarkan SMS anaknya juga kepada saya seperti berikut:

Salam..nombor akaun BSN abah:1416029888105457..terima kasih..

Mana-mana badan bukan kerajaan khasnya yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan juga boleh mengambil inisiatif untuk membantu Saudara Beseri dengan apa cara sekali pun.

Selaku rakan senasib, kitalah yang harus tampil dahulu untuk membantu Saudara Beseri.

Saturday, December 3, 2016

Hospital Besar Melaka




Pada 30 November (Rabu) yang lalu, saya bersama isteri telah menghantar ibu saya ke Hospital Besar Melaka. Kami berdua turut disertai oleh adik perempuan saya serta seorang anak perempuannya yang baru sahaja habis menduduki peperiksaan SPM. Tujuan utama kami ialah untuk menemui doktor pakar sebagaimana yang telah dijadualkan sebelum ini berkaitan kesihatan ibu saya.

Sebagaimana yang telah saya catatkan secara ringkas sebelum ini, kesihatan ibu saya sejak akhir-akhir ini semakin merosot. Walaupun ibu saya berusaha untuk menunjukkan dirinya sihat terutama ketika saya pulang ke kampung, namun saya faham dan cukup mengerti bahawa kesihatannya kian merosot.




Setibanya kami di lobi hospital, kami disambut oleh seorang kakitangan hospital dan terus bertanya sama ada ibu saya memerlukan kerusi roda atau sebaliknya. Sememangnya ibu memerlukan kerusi roda. Kaedah yang dilaksanakan oleh pihak hospital sebegini amat memudahkan pesakit seperti ibu saya. Kami tidak perlu mencari-cari bantuan kerana ia sudah pun disediakan di lobi. Maka itulah juga kelihatan banyak kerusi roda disediakan di lobi. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak Hospital Besar Melaka.




Pemeriksaan kesihatan ibu saya berjalan lancar. Walaupun kami harus menanti sejam setengah sebelum dapat masuk berjumpa doktor pakar, ia bukanlah masalah besar. Memang begitu keadaannya di mana-mana hospital kerajaan.




Pertemuan dengan doktor pakar hari ini lebih menjurus kepada perbincangan. Doktor memberitahu tahap kesihatan ibu saya. Ibu saya harus menjalani satu pembedahan dalam masa terdekat. Untuk melancarkan perbincangan (kerana ibu saya juga turut serta), adakalanya saya terpaksa berbahasa inggeris. Saya memberitahu doktor sejak awal lagi ibu saya tidak mahu menjalani pembedahan tersebut. Manakala saya pula tidak berkemampuan untuk memaksa ibu saya supaya bersetuju dengan pembedahan berkenaan. Setelah doktor berkenaan memahami maksud saya, beliau dengan lembut, bersopan dan cukup profesional telah memujuk ibu saya agar memikirkan dengan mendalam tentang keperluan menjalani pembedahan berkenaan. Panjang lebar juga doktor berkenaan memberi penerangan kepada ibu saya. Di akhir perbincangan, ibu saya nampak berubah fikirannya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada doktor berkenaan.

Sesungguhnya Hospital Besar Melaka juga mempunyai kenangan peribadi tersendiri buat saya. Sekitar 44 tahun yang lalu, ibu saya sering membawa saya ke hospital ini bagi membuat pemeriksaan mata saya. Waktu itu, kehidupan kami amat susah. Kata ibu saya, beliau dan ayah saya terpaksa menjual ubi kayu bagi mencari tambang untuk membawa saya ke hospital ini. 44 tahun kemudian (tahun 2016), giliran saya pula untuk membawa ibu saya ke hospital yang sama untuk urusan kesihatan ibu saya pula. Apa yang saya lakukan bukanlah untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu saya, tetapi ia lebih kepada melaksanakan tanggungjawab saya sebagai anaknya. Sampai bila-bila pun, jasa dan pengorbanan ibu dan bapa tidak mungkin dapat dibalas dengan apa cara sekali pun!


Sunday, November 27, 2016

Khalid Samad Diserang Di Kawasan Parlimen: Sekadar Ulasan Kecil



Beberapa hari lalu, seluruh negara dan dunia dapat menyaksikan rakaman video yang tersebar dengan begitu cepat dan meluas tentang ahli parlimen Shah Alam diserang di kawasan parlimen Malaysia.

(Untuk menonton video kejadian, sila klik
Di sini)

Berdasarkan rakaman video tersebut, ternyata bahawa mereka yang terlibat dengan kekecohan di atas berasal dari Pasir Salak. Pelbagai kata maki dan nesta dihamburkan ke atas ahli parlimen Shah Alam. Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak profesional, bahkan ia lebih menjurus kepada sikap gangsterisme dan ala samseng sahaja.

Kawasan sekitar parlimen sepatutnya aman dan tenang daripada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. Setiap ahli parlimen sepatutnya tidak boleh diganggu atas tujuan yang tidak baik ketika mereka berada di kawasan parlimen. Dalam hal ini, sekalung tahniah harus ditujukan kepada pasukan keselamatan parlimen yang telah menjalankan tugas mereka dengan cukup baik dan profesional.

Dewan Rakyat juga turut membincangkan isu berkenaan pada hari yang sama. (Untuk menonton perbincangan ringkas di parlimen mengenai isu sama, sila klik
Di sini)

Hal yang dibincangkan dalam Dewan tidak sepatutnya terbawa-bawa hingga ke luar dewan, terutamanya oleh para penyokong dan pendokong ahli parlimen dan parti politik yang terlibat. Para penyokong dan pendokong seharusnya bertindak lebih rasional dan profesional. Ada ketikanya ahli dewan boleh bertegang urat macam nak putus urat ketika perbahasan di dalam Dewan, tetapi bila mereka keluar dewan, adakalanya mereka boleh duduk minum kopi semeja sambil bergelak ketawa. Jadi tidak perlu rasanya para penyokong dan pendokong di luar parlimen terlalu beremosi sehingga ke tahap lebih sudu dari kuah.

Sesiapa pun akan berpandangan bahawa tindakan menyerang mana-mana ahli parlimen di kawasan parlimen merupakan tindakan yang salah dan tidak profesional. Oleh kerana isu ini melibatkan seorang ahli parlimen daripada parti pembangkang, maka isu ini lebih meriah diperkatakan di media sosial sahaja. Kejadian yang hampir serupa pernah menimpa ke atas ahli parlimen Bukit Gelugor pada tahun 2009 lalu. Oleh itu, satu tindakan yang lebih berkesan perlu diambil oleh pihak yang berkenaan bagi menjamin keselamatan setiap ahli parlimen terutamanya ketika mereka berada di kawasan parlimen. Ia selaras dengan usul yang diluluskan secara sebulat suara pada permulaan setiap sesi parlimen yang menjamin kebebasan dan perlindungan ke atas setiap ahli parlimen daripada sebarang anasir yang cuba melakukan kacau ganggu.

Pasir Salak memang cukup terkenal dengan darah kepahlawanannya. Di sanalah Birch, seorang penjajah British dibunuh. Namun demikian darah pahlawan yang masih mengalir di Pasir Salak tidak seharusnya dicemari dengan tindakan ala samseng dan gangsterisme yang mengaibkan. Kelak nanti kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga.


Ustaz Zamani Berpindah Sekolah



Ustaz Mohd Zamani Ibrahim merupakan antara guru yang sememangnya tidak asing lagi di sekolah tempat saya bertugas. Selain seorang ustaz, beliau juga merupakan salahseorang warden asrama selama bertahun-tahun lamanya. Selain itu, beliau juga merupakan ketua warden sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Beliau juga merupakan salah seorang guru disiplin yang tegas.


(Ustaz Zamani)


Setelah bertugas selama lebih kurang 16 tahun di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, akhirnya permohonan Ustaz Zamani untuk berpindah telah diterima. Beliau dan isterinya, Cikgu Maisarah, yang juga bertugas di sekolah yang sama akan mula bertugas di sekolah barunya pada awal Januari 2017. Ustaz Zamani merupakan anak Kelantan. Maka itu, beliau telah memohon untuk berpindah ke negeri asalnya iaitu kelantan. Khabarnya sekolah barunya nanti di Kota Bharu.

Selaku rakan sejawat, saya dan semua guru lain tidak dapat nafikan bahawa Ustaz Zamani merupakan seorang guru yang cukup baik, ringan tulang, mudah membantu rakan sejawat, mudah untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh murid seperti tidak hadir ke kelas tambahan walaupun pada hari yang beliau tidak bertughas selaku warden.

Antara perkara yang tidak mungkin saya lupakan ialah pada tahun 2005 di mana kami berdua harus menghadiri satu kursus di Kota Bharu, Kelantan. Oleh kerana Kelantan adalah negeri kelahirannya dan kursus itu pula diadakan seminggu sebelum sekolah bercuti, maka Ustaz Zamani telah mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu dengan kereta persendirian sahaja. Beliau turut mempelawa saya untuk mengikutnya ke Kota Bharu. Sudah tentulah pelawaan sebegini tidak akansaya tolak.

Sewaktu di Kota Bharu, selain menghadiri setiap slot dalam kursus seperti yang telah dijadualkan, Ustaz Zamani turut membawa saya berjalan-jalan ke bandar Kota Bharu, ke rumah kakaknya di Kadok, membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah, makan-makan di Pantai Cahaya Bulan dan sebagainya. Boleh dikatakan semua kos yang terlibat ditanggung sepenuhnya oleh Ustaz Zamani kecuali membeli-belah sedikit di Pasar Siti Khadijah. Di akhir kursus, sebelum saya berlepas pulang ke Kl, saya bertanyakan jumlah wang yang harus saya kongsikan dengan beliau untuk perjalanan ke Kota Bharu. Beliau dengan selamba mengatakan tidak perlu bayar. Puas saya mendesak, beliau tetap istikamah dengan kata-katanya. Bukan sekadar kos perjalanan, ia turut merangkumi kos makan sewaktu dalam perjalanan. Agaknya setelah bosan dengan pertanyaan saya yang berulang, akhirnya Ustaz Zamani berkata, jangan tanya lagi.


(Ustaz Zamani dan saya)


Selain itu, seperkara lagi yang tidak dapat dinafikan ialah, Ustaz Zamani merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menghidupkan surau serta solat secara berjemaah di asrama. Dalam hal sebegini beliau memang bersikap tegas sebagaimana sepatutnya. Setiap kali menjelang bulan Ramadhan, Ustaz Zamani merupakan tonggak dalam pelaksanaan program ihya’ Ramadhan selain kerjasama daripada guru-guru pendidikan Islam yang lain. Beliau juga antara tenaga penting dalam menggerakkan pembinaan surau baru di sekolah.

Mulai tahun 2017, saya dan seluruh warga SMPK Setapak akan kehilangan seorang rakan sejawat yang cukup baik dari awal hingga akhir. Semoga hubungan silatul rahim yang sedia terjalin tidak akan putus walaupun antara kami akan dipisahkan oleh jarak dan masa. Semoga Allah akan melimpahkan barakah dan rahmat-Nya kepada Ustaz Zamani dan keluarganya buat selama-lamanya.


Friday, November 25, 2016

Selamat Bercuti Sekolah Hujung Tahun




Hari ini (25 November) merupakan hari terakhir persekolahan bagi tahun 2016. Mulai 26 November, sekolah akan bercuti selama 5 minggu sahaja. Sekolah akan dibuka semula pada 3 Januari 2017 nanti bagi kebanyakan negeri di Malaysia.

Kepada semua murid, diucapkan selamat bercuti hujung tahun. Gunakanlah masa cuti persekolahan ini secara berfaedah. Kepada rakan sejawat pula, selamat bercuti juga diucapkan. Namun begitu, kita tidaklah bercuti sebagaimana murid-murid kita bercuti. Ada ketikanya kita kena ke sekolah juga untuk menyelesaikan pelbagai tugasan lain dalam tempoh cuti hujung tahun seperti ini. Manakala pada minggu terakhir cuti persekolahan nanti, kita akan kembali semula ke sekolah untuk menghadiri pelbagai mesyuarat, menyiapkan pelbagai tugasan bagi memastikan hari pertama sekolah dibuka, murid sudah boleh belajar dan pelaksanaan PdP akan dapat dilakukan dengan sempurna.

Selamat bercuti semua!


Friday, November 4, 2016

1 November




Pada 1 November lalu, seluruh rakyat Malaysia telah beroleh habuan lagi. Antaranya ialah harga petrol yang naik sebanyak 15 sen bagi seliter. Selain itu, harga minyak masak (kecuali yang dibungkus) juga turut naik kerana subsidinya ditarik. Ia berlaku pada 1 November lalu. Nasib baiklah harga minyak atar belum naik lagi!

Kenaikan harga yang berlaku tanpa belas kasihan ini akan sentiasa mengingatkan saya kepada kenyataan seorang timbalan menteri tak berapa lama dahulu, iaitu katanya, “kerana GST harga akan turun”. Kenyataan tersebut diulanginya untuk kali kedua dengan berani (sebenarnya sombong). Untuk ke sekian kalinya, mari kita sama-sama dengar nada butir kata timbalan menteri berkenaan sebagai halwa telinga bersama seperti di bawah ini

Kenyataan Datuk Ahmad Maslan

Dalam keadaan harga barangan naik berterusan sekarang, apakah perasaan sang timbalan menteri berkenaan terutamanya dengan kenyataan yang pernah dihamburkannya suatu ketika dahulu! Atau, adakah beliau ini memang seorang individu yang tiada perasaan langsung! Kalau orang yang berperasaan waras, sudah tentulah rasa malu dan rasa aib yang teramat sangat menyelubungi benaknya.

Sebenarnya apa yang berlaku sekarang ialah, apabila harga barangan naik dan terus naik dan ditambah lagi dengan GST, yang turun ialah kuasa beli golongan marhaen.


Thursday, October 13, 2016

Takziah Untuk Ustaz Kalam Mazad




Pada 11 Oktober (Selasa), saya dihubungi oleh Ustaz Kalam Mazad. Beliau memberitahu saya bahawa ibunya telah pun kembali ke rahmatullah pada 9 Oktober (Ahad) yang lalu. Katanya lagi, beliau tidak dapat memberitahu saya lebih awal kerana kesedihan yang teramat sangat dan juga keadaan yang tidak mengizinkan terutamanya pada hari ibunya kembali ke rahmatullah. Untuk maklumat bersama, Ustaz Kalam Mazad merupakan seorang cacat penglihatan yang sedang bertugas di Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya.


(Ustaz Kalam Mazad)


Secara peribadi saya serta keluarga memang rapat dengan keluarga Ustaz Kalam lebih dari sedekad lamanya. Bukan sahaja dengan Ustaz Kalam, bahkan dengan kedua-dua ibu bapanya serta 3 adik-beradiknya yang lain. Selain itu, kami sekeluarga juga turut mesra dengan 2 orang ipar Ustaz Kalam.

Kami juga agak kerap singgah di rumah keluarga Ustaz Kalam di Keluang, Johor. Seingat saya, saya sekeluarga pernah bermalam sekali di rumah berkenaan pada tahun 2005 kerana kebetulan ada urusan rasmi di SMK Sultan Abdul Jalil ketika itu. Setiap kali saya dan keluarga bertamu di rumahnya, pasti kami akan diberi layanan yang cukup mesra dan sangat baik, terutamanya oleh kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam. Anak saya sering dilayan macam cucunya sendiri. Kami akan dijamu dengan hidangan yang pelbagai. Kalau kebetulan musim buah, maka sibuklah kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam menjamu kami dengan buah-buahan pula. Oleh kerana kemesraan dan keikhlasan yang dapat saya dan keluarga rasakan daripada kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam terutamanya tatkala kami bertamu di rumahnya, maka itulah saya tidak pernah serik untuk datang dan terus bertamu di rumah mereka di Keluang.


(Ibu Ustaz Kalam Mazad)

Kepada Ustaz Kalam dan keluarga, takziah saya ucapkan. Sebesar mana sekalipun sayang kita kepada arwah, Allah lebih lagi menyayanginya.


Kini ibu Ustaz Kalam sudah dijemput Ilahi. Saya dan keluarga kehilangan seorang insan yang cukup baik, sangat mesra dan amat terasa keikhlasan layanannya. Saya sekeluarga berdoa semoga Makcik Nab akan sentiasa beroleh keampunan dan perlindungan daripada Allah setiap masa. Semoga rohnya akan dihimpunkan bersama-sama dengan mereka yang solihin, insha-Allah.

Alfatihah ....



Tuesday, October 11, 2016

10 Muharram



Tarik 10 Muharram banyak melakarkan peristiwa penting dalam sejarah Islam dan dunia. Selain itu, tarikh 10 Muharram juga dikhabarkan bakal berlakunya beberapa peristiwa penting pada masa yang akan datang.

Bulan Muharram juga merupakan satu daripada empat bulan yang diharamkan berperang bagi umat Islam. Selain Muharram, bulan-bulan lain ialah Rajab, Zulqaidah dan Zulhijjah. Namun demikian, kenyataannya hari ini, sebilangan umat Islam sudah tidak peduli lagi pada hal sedemikian. Mereka terus-menerus berperang bahkan sesama sendiri walaupun pada bulan Muharram serta bulan-bulan lain yang diharamkan untuk mereka berperang.

Pada 10 Muharram juga dikatakan berlakunya banjir besar pada zaman Nabi Allah Nuh sehingga tenggelamnya seluruh dunia ini. Hanya yang selamat pada ketika itu ialah bahtera Nabi Nuh serta yang berada di dalamnya.

Pada 10 Muharram juga Nabi Allah Musa serta kaumnya Bani Israel telah diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman firaun dan bala tenteranya. Setelah menderita dengan pelbagai penyiksaan dan setelah pelbagai bentuk penderhakaan yang dilakukan oleh firaun serta kaumnya, akhirnya Allah telah memerintahkan agar Nabi Musa serta Bani Israel meninggalkan Mesir menuju tanah Palestin dengan melintasi Laut Merah. Dengan qudrah dan iradah Allah, Nabi Musa dan kaumnya telah dapat melintasi Laut merah dengan selamat. Manakala firaun dan bala tenteranya pula telah tenggelam tatkala melintasi laut berkenaan semasa cuba mengejar Nabi Musa dan kaumnya. Peristiwa penuh bersejarah ini dikhabarkan oleh Allah dalam Alquran menerusi ayat 90-92, Surah Yunus (juzuk 11).

Pada 10 Muharram ini juga Allah telah selamatkan Nabi Yunus dengan baginda berjaya keluar daripada perut ikan paus (nun). Sebelumnya baginda Nabi Yunus telah ditelan oleh ikan berkenaan dan para mufassirin bersalahan pendapat mengenai berapa lama baginda berada dalam perut ikan berkenaan.

(Untuk menonton/mendengar ceramah tentang peristiwa Karbala, boleh klik
di sini)

Pada 10 Muharram juga berlaku tragedi pembunuhan ke atas Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, cucunda baginda Nabi Muhammad. Peristiwa malang tersebut telah berlaku di Karbala, dalam negara Iraq sekarang. Sejak itu, para pengikut Shiah telah meratapi kematian Saidina Hussein dengan pelbagai cara. Peristiwa ini juga merupakan titik hitam dalam sejarah Islam. Ia juga merupakan antara peristiwa yang menyukarkan untuk kesatuan semula antara pengikut Sunni dan Shiah hinggalah ke hari ini.

(Untuk mendengar/menonton berkaitan 10 Muharram, antaranya boleh ikuti ceramah oleh Maulana Johari
di sini)

Jika kita selusuri Youtube, memang banyak lelaman yang mengisahkan tentang peristiwa Karbala serta tarikh 10 Muharram. Hanya terpulang kepada kita untuk mendengar/menontonnya. Apa yang saya ketengahkan hanya sekadar satu perkongsian dan antara lelaman yang saya sudah menontonnya sahaja.

Sesungguhnya tarikh 10 Muharram telah pergi dan akan datang kembali mengikut putaran masa seperti yang telah ditetapkan oleh Allah. Terpulanglah kepada kita untuk meneladani atau menyempadani segala peristiwa yang pernah mewarnai tarikh tersebut.


Sunday, October 9, 2016

Tanah Airku




Hari ini, realitinya negara kita sedang meredah jalan yang semakin berliku. Satu pihak mengatakan bahawa situasi di negara kita semakin baik. Ekonominya tidak jatuh seperti negara lain. Rakyatnya masih dapat hidup seperti biasa, dan macam-macam lagi kenyataan yang seumpamanya. Benarkah realiti kehidupan sebenarnya seperti itu?

Biar apa sekali pun kenyataan yang dihebahkan oleh pihak tertentu, hanya rakyat biasa dan marhaen sahaja yang lebih merasai keperitan hidup yang kian meningkat. Hari ini, di sana sini kita semakin kerap mendengar pelbagai keluhan tentang kepayahan hidup yang dijalani. Harga pelbagai barangan keperluan semakin naik dan seakan mustahil untuk turun lagi. Jaminan pihak tertentu sebelum ini bahawa harga barangan akan turun terutamanya selepas pelaksanaan GST kini tak ubah bagai sembilu yang memeritkan gegendang telinga sahaja.

Selain itu, keluhan mengenai kesukaran untuk mendapat kerja juga semakin lantang kedengaran. Hanya mereka yang sengaja bersikap pekak sahaja yang akan mengatakan keluhan sedemikian mereka tidak dengar. Adakah tanah air yang sama-sama kita cintai ini sedang menuju ke jurang bencana yang lebih dahsyat?

(Mari kita sama-sama dengar dan teliti seni kata lagu nyanyian Akhir Hayy
di sini)

Dari sudut politik, khususnya politik orang Melayu, ia semakin menjurus kepada perpecahan. Walhal peribahasa orang Melayu sendiri mengajar kita bersatu teguh bercerai roboh. Kalau dahulu orang Melayu sekadar terbahagi kepada dua parti politik utama iaitu UMNO dan PAS sahaja, malangnya kini mereka sudah terpecah kepada sekurang-kurangnya 4 kumpulan politik yang 99 peratus berteraskan orang Melayu iaitu UMNO, PAS, PAN dan yang terkini PPBM. Kehilangan kedudukan majoriti dua pertiga oleh UMNO/BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Semua orang tahu, Johor adalah tanah leluhur UMNO selama berdekad-dekad lamanya. Di situlah UMNO lahir dan adakah di situ juga UMNO akan mula secara perlahan-lahan menemui noktahnya? Selain Johor, negeri lain yang diperintah oleh UMNO/BN dengan kurang dua pertiga majoriti ialah Kedah, Terengganu dan Perak.

Manakala amalan rasuah pula rupa-rupanya sudah lama menjadi darah daging sebilangan orang tertentu. Tindakan dan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berusaha keras untuk membanteras amalan keji itu sehingga ke akar umbi amat dipuji dan patut disokong oleh semua pihak. Berdasarkan pembongkaran demi pembongkaran yang dilakukan, ternyata amalan kotor itu bukanlah perkara baru. Mungkin sesetengah pihak merasakan ia adalah amalan biasa, maka itulah mereka tidak ada langsung perasaan malu tatkala melakukannya. Mungkin rasa malu hanya timbul setelah perbuatan buruknya itu dibongkar dan diviralkan ke tengah khalayak masyarakat. Mereka terlupa pepatah Melayu yang sering mengajar kita dengan ungkapan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Selaku rakyat yang membenci rasuah, tentulah harapan kita kepada SPRM amat tinggi. Selain daripada menyokong tindakan dan usaha SPRM selama ini, kita juga amat berharap agar usaha sedemikian akan dapat dilipatgandakan tanpa mengenal sesiapa. Rasuah adalah amalan yang boleh memusnahkan negara pada masa akan datang. Banteraslah ia tanpa memilih bulu.

Sementara itu, tanah air kita juga mula dilanda dengan penyakit yang tidak pernah didengar sebelum ini. Terkini virus zika yang mula menerobos masuk ke negara kita. Selepas ini entah apa lagi penyakit dan virus yang akan menyerang tanah air kita.

(Mari kita sama-sama dengar dan teliti lirik yang terkandung dalam lagu Sekeping Coretan Buat Kekasih nyanyian Sohaimi Mior Hassan
di sini)

Sebenarnya pelbagai peringatan sudah dan terus diberi kepada pihak yang berkaitan dalam pelbagai kaedah. Mereka sering diingatkan supaya berlaku jujur, jangan menipu, jangan menganiaya, jangan sombong dan bongkak, jangan mengambil yang bukan hak, harus sentiasa adil dan amanah. Bahkan jika difikirkan dengan teliti, Tuhan juga turut memberikan peringatan kepada kita semua. Bila kita ingkar dan terus bongkak, maka peringatan yang lebih keras dan dahsyat mungkin akan diturunkan yang mungkin dalam bentuk bencana dan bala. Adakah pihak yang berkaitan ingin sangat menanti kehadiran peringatan yang dahsayat itu?

Berdasarkan situasi yang ada, tentulah kita akan tertanya sendirian, adakah wawasan 2020 akan dapat dicapai pada 1 Januari 2020 nanti?


Thursday, October 6, 2016

Coretan Malam



Sudah sebulan saya tidak menitipkan sebarang catatan pada blog ini. Kesuntukan masa merupakan penyebab utama hal sedemikian berlaku. Apatah lagi waktu sekarang saya sememangnya sibuk dalam mempersediakan murid-murid saya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan tiba sekitar sebulan sahaja lagi. Mata pelajaran Sejarah yang saya ajar merupakan mata pelajaran wajib diduduki dan wajib lulus pula. Sekiranya mana-mana calon gagal dalam mata pelajaran Sejarah, maka dia akan gagal seluruhnya. Demikianlah.

Di samping itu, saya juga harus memberi masa untuk menziarahi ibu saya di kampung kerana sejak akhir-akhir ini kesihatannya semakin menurun. Ibu saya sentiasa merahsiakan keadaan kesihatan terkininya daripada saya. Namun demikian, saya dapat memperolehi maklumat terkini mengenai kesihatan ibu saya melalui adik perempuan saya yang tinggal di kampung. Kini saya semakin faham, sebesar mana sekalipun kasih kita kepada ibu kita, ia tidak mungkin dapat menandingi kasih, sayang serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibu kita kepada kita buat selama-lamanya.

Banyak perkara, peristiwa serta isu yang terlepas untuk saya ulas menerusi blog ini. Situasi UMNO masa kini, kemungkinan yang mungkin berlaku kepada beberapa parti politik dalam pilihanraya umum yang akan datang, penubuhan dan pendaftaran PPBM, kembalinya Datuk Dr. Harun Din ke rahmatullah, sambutan Hari Malaysia, politik orang Melayu, kembalinya rakan senasib ke rahmatullah, isu-isu yang berkaitan dengan golongan senasib dan banyak lagi, semuanya tidak dapat saya ulas kerana masa yang tidak begitu mengizinkan.

Namun demikian, jika masa mengizinkan, saya akan tetap meriahkan blog ini dengan catatan cara saya seperti biasa. Maklumlah blog inilah sahaja jaringan sosial yang saya ada.


Monday, September 5, 2016

Mahathir Dan Anwar Bersalaman





Hari ini, media sosial meriah dengan berita Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar bersalaman antara kedua-duanya. Peristiwa berkenaan berlaku di mahkamah tinggi Kuala Lumpur. Untuk menonton peristiwa berkenaan, sila klik
Di sini

Rata-rata penganilisis menganggap ia merupakan peristiwa bersejarah. Setelah bersetru selama lebih kurang 18 tahun, kini mereka boleh berjabat tangan semula. Ia juga merupakan tanda politik tanah air kini sudah memasuki ke fasa seterusnya.

Walaupun kedua-duanya sudah berjabat tangan, namun antara kedua-dua tokoh tersebut masih terpisah oleh tembok utuh dan tirai besi. Namun demikian, peristiwa petang tadi cukup penting dalam konteks kesatuan dan perpaduan dalam kalangan parti-parti pembangkang. Kini mereka nampaknya semakin senada dan sehaluan dalam menghadapi setru politik yang sama.

Peristiwa bersalaman antara dua tokoh yang bersetruan selama 18 tahun sebelum ini petang tadi tetap mempunyai implikasinya yang tersendiri. Tempoh menunggu bagi parti politik baru yang sedang proses pendaftaran mungkin akan berlangsung lebih lama daripada yang dijangkan sebelum ini. Selain itu, adalah dijangkan juga pembebasan Datuk Seri Anwar tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Mungkin bagi pihak yang satu lagi, pembebasan Datuk Seri Anwar hanya akan meletakkan nyawa politik mereka berada dihujung tanduk. Selain itu, serangan politik yang lebih agresif mungkin akan berlaku terutamanya ke atas Tun Dr. Mahathir. Kisah persetruan antara Tun Dr. Mahathir dengan Datuk Seri Anwar mungkin akan diungkit kembali. Tujuannya supaya penyatuan penyokong kedua-dua tokoh berkenaan dapat dihalang.

Dalam senario politik yang ada kini, nampaknya parti siasah yang semakin tersisih ialah PAS. Sttrategi menongkah arus yang dilaksanakan sejak akhir-akhir ini mula memakan diri sendiri. Nampaknya PAS juga harus mencari rakan politik yang lebih berpengaruh dan boleh menjamin masa depan yang gemilang untuk politik PAS itu sendiri. Rakan politik yang ada sekarang nampaknya belum boleh diharap lagi. Blok ketiga yang dicanang sebelum ini seakan tidak menjadi.

Saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.


Semua Ketentuan Dari Allah




Sekitar jam 4.00 pagi tadi, saya menerima berita pemergian salah seorang ibu saudara saya, iaitu adik kepada ibu saya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Beliau sudah terlantar di hospital berkenaan sejak 17 Ogos lalu. Petang semalam saya sekeluarga sempat menziarahi beliau di hospital sebelum menghantar Luqman pulang ke asramanya. Alhamdulillah jenazah telah selamat dikebumikan sebelum zohor tadi. Saya sempat menyembahyangkan jenazahnya di Masjid Zubair Awwam, Cheras pada sekitar jam 11.00 pagi tadi.





Ibu saya telah menziarahi ibu saudara saya sekitar dua minggu yang lalu. Pada kali ini, beliau tidak dapat hadir untuk menatap wajah adiknya buat kali terakhir kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Pada 1 Ogos lalu, kami sekeluarga kehilangan salah seorang ibu saudara sebelah isteri saya. Arwah ialah adik kedua kepada ibu mertua saya. Kalau saya tidak silap, usianya hampir mencecah 90 tahun. Jenazah telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Termerloh, Pahang pada hari yang sama.

Pada 23 Julai lalu, kami sekeluarga kehilangan abang ipar saya, iaitu abang kepada isteri saya. Beliau meninggal dalam usia 51 tahun. Beliau telah menghembuskan nafas akhirnya di Kuantan. Jenazah telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Kehilangan beliau amat saya rasai kerana keakraban hubungan kami. Setiap kali beliau ke KL, maka rumah saya akan jadi tempat persinggahannya. Kini beliau tidak akan singgah lagi di rumah saya buat selama-lamanya.

Pemergbian ibu saudara sebelah isteri saya dan juga ibang ipar saya amat dirasai terutamanya oleh ibu mertua saya. Maklumlah seorang adik dan seorang anak. Kedua-duanya dijemput Ilahi dalam jarak masa yang sangat dekat.

Pada 24 Mac lalu pula, salah seorang bapa saudara sebelah isteri saya telah kembali ke rahmatullah. Usianya hampir mencecah 80 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Kampung Tekal, Temerloh, pahang pada hari yang sama.

Saya amat insaf semua yang telah berlaku adalah ketentuan Allah yang Maha Kuasa. Tiada siapa pun yang mampu menahannya. Daripada Dia kita semua datang dan kepada Dia jugalah kita semua akan kembali. Sebesar mana pun kasih dan sayang kita kepada mana-mana insan, akhirnya kita akan berpisah juga dengan orang yang paling kita kasihi itu.

Kami sekeluarga memang redha dengan ketentuan Ilahi. Saat untuk mereka dijemput oleh Pencipta sudah pun tiba. Saat untuk kita pula untuk mengikuti mereka akan tiba. Hanya waktunya sahaja yang menjadi rahsia. Walau siapa pun kita, setinggi mana pun pangkat, jawatan serta kedudukan kita di dunia ini, akhirnya kepada Dia kita semua akan kembali. Demikianlah.


Saturday, September 3, 2016

“New 5 Dollar Bank Note”





Di negara kita, sebenarnya kita masih tercari-cari kaedah yang paling mesra oku (khususnya yang cacat penglihatan) bagi membolehkan mereka dapat mengenali wang kertas dengan lebih cepat, mudah dan berkesan. Saya tidak menafikan usaha-usaha yang telah dilakukan sebelum ini oleh beberapa pihak bagi membantu golongan berkenaan untuk mengenali wang kertas edengan lebih cepat dan mudah. Namun demikian, sehingga kini, masih belum bertemu dengan kaedah yang paling berkesan ke arah itu.

Sebelum ini, pada wang kertas kita kononnya ada huruf Braille. Malangnya ia bukan untuk golongan cacat penglihatan tetapi sekadar untuk dilihat oleh mereka yang berpenglihatan sahaja. Selepas itu, diperkenalkan pula alat untuk mengukur mata wang. Ia mungkin boleh digunakan tetapi terpaksa mengambil masa untuk melakukannya. Dalam keadaan yang bersegera atau tergesa-gesa, alat itu juga kurang efektif penggunaannya.

Bagi golongan cacat penglihatan pula, mereka terpaksa menggunakan pelbagai kaedah peribadi untuk tujuan di atas. Ada yang akan menyusun dengan meletakkan di ruang yang berasingan bagi setiap nilai not wang kertas dalam dompet masing-masing. Misalnya wang RM1 di letakkan di ruang yang berbeza dengan not wang RM10. Ada juga yang mengenali not wang kertas menerusi saiznya, tetapi ia agak sukar bagi not wang RM10 dengan RM20.

Apa yang dilakukan di Australia mungkin boleh dijadikan panduan. Mereka nampaknya lebih prihatin dan peka dengan permasalahan yang sering dihadapi terutamanya oleh mereka yang cacat penglihatan. Untuk tontonan bersama, sila klik
Di sini

Mudah-mudahan setelah menontonnya, ia dapat menjana idea yang lebih kreatif kepada pihak yang berkenaan.


Makan-makan




Awal malam tadi, saya sekeluarga telah menjamu selera di sebuah restoran Cina Muslim yang terletak di Wangsa Maju. Makan-makan seumpama ini memang menjadi kegemaran saya dan keluarga. Maklumlah kami keluarga kecil. Jadi kalau hendak masak selalu di rumah kurang ekonomikal sedikit. Kebetulan pula, malam ini malam minggu. Jadi ada masa sedikit untuk bersantai.




Kewujudan restoran ini sudah pun saya dengar sebelum ini. Sebelum ini pun, ada rakan-rakan sejawat di sekolah memberitahu tentang keenakan makanan di restoran ini. Baru-baru ini, Cikgu Rizal Tan, salah seorang rakan sejawat di sekolah telah menjamu selera di restoran yang sama. Beliau telah memberitahu saya dengan agak trperinci tentang jenis-jenis makanan yang terdapat di restoran berkenaan. Katanya lagi, walaupun ia merupakan restoran masakan China, tetapi makanannya bukan makanan biasa yang biasa ditemui di restoran Cina sebelum ini. Masakannya lebih kepada makanan orang-orang Islam yang tinggal di sebelah barat China seperti wilayah Sinjiang.




Teruja dengan apa yang disampaikan oleh Cikgu Rizal Tan, maka awal malam tadi saya dan keluarga telah menjamu selera di restoran berkenaan. Ternyata ia tidak menghampakan. Walaupun yang menjamu selera kami berlima (termasuk dua orang rakan sekelas Luqman), tetapi harganya baru RM119.00 sahaja. Banyak juga makanannya yang berasaskan kambing. Makanannya pula beraneka jenis sama ada nasi, mee, pelbagai sup, serta lauk-pauk yang lain. Seperti juga di restoran masakan China di tempat lain, di restoran ini juga ada menyediakan air minuman percuma iaitu chinese tea. Suasananya pula tidak bising dengan muzik kerana memang tiada muzik. Maknanya kita boleh menjamu selera dengan aman di restoran berkenaan.

Luqman pula, dengan nakalnya telah berkongsi juadah yang kami makan dengan ahli keluarga yang lain menerusi whatsapps. Ada juga yang terliur. Apakan daya mereka jauh di Kuantan sana.

Kesimpulannya, memang tanggung puas bila menjamu selera di restoran ini. Lain kali boleh bawa saudara-mara yang lain ke restoran ini untuk menjamu selera pula.


Thursday, September 1, 2016

Sambutan Ambang Malam Merdeka Peringkat SMPK Setapak 2016 (Catatan Lewat)




Pada 30 Ogos lalu, sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan sambutan ambang kemerdekaan peringkat sekolah. Secara terperincinya, sambutan ini adalah di bawah anjuran pihak asrama. Namun demikian, pelbagai pihak telahmemberi kerjasama yang baik dalam memastikan agar acara berkenaan berjalan lancar. Sambutan berkenaan turut dihadiri oleh semua murid yang tinggal di asrama. Selain itu, barisan pentadbir serta sebilangan guru juga turut hadir bersama-sama dengan keluarga masing-masing.

Acara sambutan telah bermula pada sekitar jam 9.30 malam. Pelbagai persembahan telah diadakan bagi menanti detik 12 malam 31 Ogos. Antaranya termasuklah nyanyian, lakonan, dan pelbagai persembahan lain. Tema utamanya ialah patriotisme dan 1Malaysia.

Acara sambutan pada malam berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh murid. Daripada pengacara majlis sehinggalah ke persembahan nyanyian, lakonan dan sebagainya, semuanya dikendalikan oleh murid. Manakala para guru pula, mana yang terkena untuk buat persembahan pula, tidak keberatan untuk melakukannya. Spottinglah katakan. Ternyata mereka mempunyai bakat yang cukup besar jika diberi kepercayaan dan latihan untuk mengendalikan majlis rasmi tetapi santai seperti ini.

Selain pelbagai persembahan, malam berkenaan juga turut disertakan dengan jamuan beraneka makanan. Antaranya termasuklah kambing bakar yang cukup menyelerakan, nasi lemak serta pelbagai jenis kuih-muih. Makanan berkenaan adalah sumbangan daripada warga sekolah sendiri.

Akhirnya, setelah sampai masanya, kiraan detik 12 tengah malam pun bermula. Semua yang hadir memang teruja dan penuh debar ketika detik tersebut dikira secara beramai-ramai oleh seluruh hadirin. Bila tiba saatnya, seluruh warga sekolah yang hadir bersorak kegirangan, seolah-olahnya macam baru dapat kemerdekaan lagaknya. Demikianlah.

(Untuk menonton kiraan detik 12 tengah malam, sila klik
di sini).

Sesungguhnya semangat patriotik yang ditunjukkan dan disemarakkan oleh murid-murid sekolah tempat saya bertugas sama taranya dengan sambutan yang sama di tempat lain. Sebab itulah kemeriahan yang terserlah cukup sebanding dengan majlis yang serupa di tempat lain. Pendedahan, latihan serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk mengendalikan majlis sambutan seperti ini tidak pernah mereka sia-siakan. Sokongan untuk mereka daripada semua pihak terutama daripada para guru bagi memupuk sikap yakin diri sememangnya penting. Asasnya ialah para guru di sini memang yakin bahawa murid-murid kami memang boleh melakukannya bila kepercayaan diberi.

Sebagai tatapan bersama, di bawah ini saya kongsikan beberapa keping foto berkaitan dengan sambutan malam ambang kemerdekaan di sekolah tempat saya bertugas yang sempat diambil.






Wednesday, August 31, 2016

Datuk Husam Musa Menyertai PAN: Sekadar Catatan Ringkas




Menjelang ambang malam merdeka malam tadi, Datuk Husam Musa mengumumkan bahawa beliau kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN). Pengumuman berkenaan telah dibuat dalam satu majlis makan malam di Cyber Jaya. Untuk berita mengenai pengumuman tersebut, sila klik
di sini

Pengumuman Datuk Husam untuk menyertai Amanah akan memberi kesan besar terutamanya terhadap masa depan politik PAS dan PAN. Bagi PAN, penyertan Datuk Husam mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Penyertaan beliau bakal memperkukuhkan lagi bukan sahaja PAN tetapi juga Pakatan Harapan (PH). Datuk Husam yang sememangnya jarang kering idea ketika berdepan dengan cabaran, sudah tentu berupaya untuk melonjakkan lagi sokongan orang ramai terhadap PAN. Dengan kehadiran Datuk Husam secara rasmi bersama-sama PAN, maka saya yakin pelbagai perancangan dan strategi akan diatur dan dilaksanakan bagi memastikan kejayaan PAN terutamanya dalam menghadapi PRU ke-14 nanti.




Manakala PAS pula buat masa ini mungkin masih tidak merasai kesan kehilangan tokoh seperti Datuk Husam. Namun demikian, untuk jangka panjang, PAS tetap akan merasai bahana kesan daripada pemecatan Datuk Husam daripada parti berkenaan. PAS sama sekali tidak boleh bergantung kepada nama baik dan reputasi yang telah ditinggalkan oleh tokoh seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz semata-mata. Walaupun PAS masih belum dapat melahirkan tokoh seperti Allahyarham pada masa ini, kehilangan tokoh seperti Datuk Husam bakal mengakibatkan PAS semakin dirundung malang.

Tokoh seperti Datuk Husam inilah yang akan melonjakkan PAN yang akhirnya berupaya untuk menjadi parti politik alternatif kepada PAS tidak lama lagi.


Monday, August 29, 2016

Siti Haida Akan Meninggalkan PERTIS




Menurut satu sumber maklumat, Siti Haida Hamedan, salah seorang kakitangan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), akan meninggalkan persatuan berkenaan selaku kakitangan. Menurut maklumat itu lagi, notis pemberhentian telah dihantar kepada pihak yang berkaitan di PERTIS pada Jumaat lalu. Menurut sumber maklumat itu lagi, perletakan jawatan beliau akan berkuat kuasa pada 1 Oktober nanti.


(Siti Haida dan suaminya)



Siti Haida mula berkhidmat dengan PERTIS selaku kakitangan tetap pada pertengahan tahun 2008. Beliau pernah ditempatkan di bahagian penerbitan serta di bahagian pentadbiran. Beliau mempunyai pengalaman yang agak luas dalam bidang penerbitan, terutamanya penerbitan buku teks Braille. Selain itu, beliau juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang agak luas dalam soal berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan, terutamanya dengan Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan. Selain itu, Siti Haida juga sering diberi kepercayaan untuk memberi latihan jangka pendek kepada para penuntut, terutamanya daripada institusi pengajian tinggi berkaitan dengan Braille jawi dan Arab. Setakat ini, saya sendiri tidak pasti sebab sebenar beliau meletakkan jawatan di PERTIS.

Dalam hal ini, PERTIS harus bertindak secara betul khususnya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Siti Haida. Pada hemat saya, kakitangan gantian sama ada secara sementara atau secara tetap harus segera dicari supaya segala perancangan dan tugasan yang sedang berjalan tidak akan tergendala. Dalam hal ini juga, cara mengisi kekosongan yang ada janganlah dibuat secara tangkap muat semata-mata. Kriteria tertentu harus ada untuk dijadikan panduan agar kakitangan baru benar-benar memenuhi keperluan sebenar di PERTIS.

Kepada Siti Haida, diucapkan selamat berjaya dalam apa jua bidang yang akan anda ceburi selepas ini. Selain itu, kita juga jangan lupa pada sejarah iaitu ada kakitangan yang telah meletakkan jawatan di PERTIS, kemudiannya kembali untuk berkhidmat di PERTIS semula. Hal yang serupa juga tidak mustahil boleh berlaku untuk kali keduanya.


Sunday, August 28, 2016

Rakan-rakan Senasib Yang Telah Kembali Ke Rahmatullah




Dalam tempoh sekitar lima hari ini, setakat yang saya maklum sudah 2 orang rakan senasib yang telah kembali ke rahmatullah. Pada 24 Ogos (Rabu) yang lalu, seorang rakan iaitu Subki Ibrahim telah kembali ke rahmatullah. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di negeri kelahirannya iaitu Kelantan. Beliau menghidap pelbagai penyakit.

Pada 27 Ogos (semalam), seorang lagi rakan senasib, Saudara Sobri juga telah kembali ke rahmatullah. Sebelum ini saya memang ada mendapat berita beliau telah dimasukkan ke hospital tetapi tidak dapat menziarahi beliau. Beliau sebelum ini pernah bertugas di UIA. Semasa hayatnya beliau juga aktif terutamanya dalam PERTIS.

Semoga roh mereka sentiasa dalam keampunan dan mendapat limpah rahmat Allah sepanjang masa serta ditempatkan bersama-sama para solihin.

Alfatihah ......


Wednesday, August 24, 2016

Pengiktirafan Untuk Kompas Kiblat




Sebagaimana kita semua sudah maklum, para penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan kompas untuk mencari arah kiblat khusus untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan. Sejak ia diperkenalkan dan diedarkan kepada golongan sasar, ia telah memberi kesan yang cukup positif kepada golongan berkenaan. Kini, masalah untuk mencari arah kiblat yang lebih tepat bagi golongan berkenaan terutamanya bila berada di tempat yang baru semakin berkurangan. Kompas ciptaan dan inovasi tempatan ini semakin diperlukan bilamana seseorang yang cacat penglihatan berada di tempat yang baru dan berseorangan pula. Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Mohd Zarhamdy serta ahli kumpulan penyelidiknya.




Baru-baru ini, kompas berkenaan telah mendapat pengiktirafan pula daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui suratnya kepada pihak yang berkenaan di FKM UTM bertarikh 15 Ogos 2016. Ini bermakna, kompas kiblat yang dihasilkan telah diiktiraf oleh pihak berkuasa agama di peringkat Persekutuan iaitu JAKIM. Tahniah diucapkan kepada Dr. Zarhamdy serta FKM dan UTM.




Walau bagaimanapun, menurut kandungan surat berkenaan, pengiktirafan yang diberi terikat pula dengan 2 syarat, khususnya untuk para penggunanya, iaitu kompas berkenaan hanya untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan sahaja. Selain itu, sekiranya terdapat perbezaan arah kiblat antara kompas berkenaan dengan arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri, jabatan ukur atau jabatan mufti, maka arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri, jabatan ukur atau jabatan mufti hendaklah diguna pakai. Ini bermakna kompas kiblat yang dihasilkan sama sekali tidak boleh digunakan untuk menyemak arah kiblat yang telah ditentukan oleh jabatan mufti atau jabatan ukur dan pemetaan.

Oleh yang demikian, selaku pengguna, kita sememangnya sangat bersyukur dengan inovasi yang berjaya dihasilkan. Pada masa yang sama, kita juga harus akur dengan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa seperti JAKIM. Bila kita ke masjid, surau atau mana-mana tempat yang telah ada arah kiblat yang telah disahkan oleh pihak berkuasa agama, pejabat mufti atau jabatan ukur dan pemetaan dan jika ia tidak sama dengan arah kiblat yang ditunjukkan oleh kompas kiblat, maka arah kiblat yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa hendaklah diguna pakai.

Untuk maklumat bersama, pihak FKM UTM sedang menghasilkan satu lagi inovasi untuk kegunaan mereka yang cacat penglihatan. Mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan usaha mereka dan inovasi terkini akan dapat dihasilkan dalam masa terdekat untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar.

(Untuk menonton pengedaran kompas kiblat kepada murid-murid cacat penglihatan di Kuala Terengganu, sila klik
di sini )


Sembang Senja




Tengah hari tadi, saya bersama-sama 2 lagi rakan setugas menggunakan perkhidmatan grab car untukpulang ke rumah. Pemandunya baik, peramah dan sopan. Dari mula naik hinggalah sampai ke rumah saya, beliau tak henti bercakap. Ada sahaja ceritanya terutama yang lucu.

Setiba saja di hadapan rumah, saya pun menghulurkan jumlah tambang yang perlu dibayar. Pemandu berkenaan menolaknya dengan alasan dia ingin membantu. Saya beritahu beliau, saya bekerja, jadi tiada masalah untuk membayar tambangnya. Beliau tetap menolak tambang berkenaan dengan alasan sudah berniat untuk membantu saya dan dua rakan saya tadi.

Apabila saya terus ingin menghulurkan jumlah tambangnya, pemandu berkenaan pun berkata: “Bang, berilah saya peluang untuk dapat pahala”. Terdiam sebentar saya dibuatnya dengan kata-kata beliau itu. Nampaknya beliau begitu ikhlas. Saya tidak mampu lagi menahannya.

Sebelum turun saya sempat mendoakan agar ditambahkan berkat untuknya.

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.


Friday, August 19, 2016

Musim Haji Tiba Lagi




Musim haji kini tiba lagi. Mereka yang berkemampuan, sudah berdaftar dan sudah sampai giliran masing-masing (khusus di tanah air sendiri) kini mula berangkat sekapal demi sekapal ke tanah suci. Memang seronok kalau dapat menunaikan haji terutamanya semasa badan masih muda dan sihat. Apakan daya buat masa ini saya dan keluarga masih belum berkemampuan lagi. Jadi sekadar mendengar sahajalah tentang keberangkatan bakal haji ke tanah suci.

Dalam kalangan kerabat terdekat saya, rasanya tidak ada yang ke tanah suci tahun ini. Namun demikian, dalam kalangan mereka yang saya kenali memang ada yang berpeluang untuk menunaikan haji pada musim kali ini.

Lazimnya, bila tiba musim haji seperti ini, lagu Panggilan Haji nyanyian Hajjah Nurasiah Jamil (almarhumah) sering berkumandang. Setidak-tidaknya ia menghidupkan suasana musim haji di luar tanah suci khasnya di tanah air sendiri. Bahkan seingat saya, lagu inilah yang sering berkumandang sejak dekad 70-an lalu setiap kali tibanya musim haji.

(Untuk mendengar lagu Panggilan Haji oleh Hajjah Nurasiah Jamil, sila klik
di sini

atau

di sini)

Manakala dalam kalangan rakan senasib pula, setakat ini tidak terdengar oleh saya mereka yang berpeluang untuk menunaikan haji kali ini. Mungkin ada, tapi tidak sampai ke pengetahuan saya sahaja. Mungkin maklumat tersebut ada dalam pengetahuan pihak Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Biasanya PERTIS akan menghulurkan sedikit habuan kepada ahlinya yang berpeluang untuk menunaikan haji. Demikianlah yang pernah dilaksanakan dahulu. Mudah-mudahan polisi yang baik itu akan diteruskan.

Mudah-mudahan musim haji kali ini akan berjalan dengan aman dan baik. Tiada sebarang musibah yang tidak diingini berlaku seperti tahun lepas. Semuanya akan selamat dan akan dapat melaksanakan semua rukun dan wajib haji dengan lancar dan sempurna.

Kepada mereka yang berpeluang ke tanah suci kali ini, syukur dan tahniah diucapkan. Marilah kita sama-sama iringi keberangkatan mereka dengan doa semoga semuanya akan beroleh haji yang mabrur, insha-Allah, aamiiiin!


Wednesday, August 17, 2016

Amalan Rasuah




Semua orang tahu, rasuah adalah antara perbuatan paling keji dalam kalangan manusia. Islam amat melarang keras perbuatan rasuah. Bahkan, dinyatakan orang yang memberi dan menerima rasuah, kedua-duanya akan ke neraka. Demikian mafhum satu hadith.

Perbuatan rasuah mempunyai kesan yang sangat buruk dan besar terhadap keluarga, masyarakat dan juga negara. Sejarah telah mengajar kita bahawa gara-gara perbuatan rasuah, sebuah empayar boleh runtuh dalam sekelip mata. Bukan itu sahaja, gara-gara perbuatan rasuah juga, sebuah negara yang kaya sumber ekonominya tidak akan ke mana dan sebarang kemajuan tidak akan tercapai. Rakyat jelata tetap hidup miskin dan merana angkara rasuah.

Justeru, perbuatan rasuah harus dibanteras dari awal. Walaupun rasuahnya secara kecil-kecilan, ia tidak harus dibenarkan sama sekali. Rasuah adalah candu yang turut boleh mengakibatkan ketagihan kepada sama ada pemberi mahupun kepada penerimanya.

Jika perbuatan rasuah tidak dibanteras sejak dari awal, maka ia bukan sahaja akan merebak ke seluruh pelusuk masyarakat, bahkan yang lebih malang lagi ialah apabila perbuatan keji itu dianggap tidak salah dan menjadi lumrah dan amalan biasa. Bahkan jika ia dibiarkan berleluasa, ada pihak yang berpersepsi kononnya hanya dengan jalan rasuah sahaja hajat dan cita-cita mereka boleh tercapai. Sebagai contoh, hanya dengan jalan memberi rasuah sahaja sesuatu permohonan itu boleh diluluskan.

Di negara kita, badan yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah perbuatan rasuah ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebelumnya badan berkenaan dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR). Kalau saya tidak silap, suatu ketika dahulu badan berkenaan juga pernah dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN).

Usaha SPRM untuk menbanteras gejala rasuah sehingga ke akar umbinya harus disokong oleh semua pihak. Seluruh rakyat, pemimpin di semua peringkat, orrang-orang politik, agensi penguatkuasaan dan sebagainya, sewajibnya memberikan apa juga bentuk bantuan, sokongan serta kerjasama kepada SPRM dalam usaha badan berkenaan untuk mencegah dan membanteras amalan rasuah di negara kita.

Sejak SPRM diterajui oleh ketua pesuruhjayanya yang baru, Datuk Zulkifli Ahmad, badan berkenaan telah menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk membanteras amalan rasuah hingga ke akar umbi. Penahanan beberapa orang penjawat awam yang bergelar sehari dua ini antara bukti kesungguhan SPRM ke arah itu. Sebagai rakyat marhaen, saya memang gembira dengan usaha sedemikian. Pada masa yang sama, saya tidaklah menafikan usaha selama ini yang telah dilaksanakan oleh SPRM sebelum ini.

Oleh itu, SPRM serta seluruh warga kerjanya mesti konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Perasaan gentar dan takut untuk menjalankan tugas seharusnya tidak ada walau sebesar zarrah sekali pun. Di samping itu, sikap pilih bulu dalam melaksanakan tugas juga harus dibuang jauh-jauh. Sesiapa sahaja yang telah terbukti melakukan amalan rasuah harus diberkas, ditangkap dan seterusnya didakwa supaya hukuman yang setimpal dan adil dapat dijatuhkan ke atas mereka yang terlibat.

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, SPRM mesti bersikap adil, tegas dan sentiasa komited dalam tugas. Jangan pelaku rasuah yang berstatus ikan bilis sahaja yang dikejar, diberkas dan didakwa. Pelaku dalam kalangan ikan jerung dan ikan paus (jika ada) juga harus diberkas, ditangkap dan didakwa dan hukuman yang setimpal harus dijatuhkan ke atas mereka yang didapati bersalah. Jika ini dapat dilaksanakan dengan telus dan saksama tanpa memilih bulu, barulah negara kita akan aman daripada amalan rasuah suatu hari nanti.

Pihak yang berkuasa juga harus memberikan kerjasama yang telus kepada SPRM. Badan berkenaan harus dibiarkan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Sikap berkecuali dan tidak memihak badan berkenaan juga tidak seharusnya diganggu-gugat dengan apa jua cara dan kaedah. Penukaran para pegawai dan kakitangan SPRM tanpa sebarang sebab yang munasabah, atau dengan cara yang boleh mendatangkan apa juga keraguan, harus dielakkan.

Orang ramai juga harus memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka dengan selesa dan saksama. Memanglah kita semua amat berharap agar semua yang terlibat dengan amalan rasuah harus diberkas, ditangkap dan didakwa tanpa mengira siapa, sama ada menteri, timbalan menteri (jika ada), ahli-ahli politik yang lain, golongan berprofil tinggi dan sebagainya. Namun demikian, proses untuk mengheret mereka ke muka pengadilan bukanlah satu perkara yang mudah. Segala bukti dan saksi harus dikumpulkan terlebih dahulu. Semua proses dan prosedur harus dikuti dengan teliti agar pendakwaan akan dapat dilaksanakan secara berkesan dan beroleh kejayaan. Justeru, masa dan kesempatan yang secukupnya harus diberikan kepada SPRM supaya mereka dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan jaya.

Kadang-kadang kita ada bukti tetapi kita tidak mahu memberikan bukti yang kita ada kepada SPRM. Kadang-kadang kita rasa bukti sudah ada, tetapi kita tidak faham bukti yang ada itu masih belum cukup kukuh untuk melaksanakan pendakwaan. Oleh itu, seperti yang saya telah nyatakan, masa yang secukupnya harus diberikan kepada SPRM supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.

Selain daripada penguat kuasa undang-undang, pendidikan dan kesedaran dari awal harus diketengahkan kepada masyarakat. Pendidikan pencegahan amalan rasuah harus dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Semua media, sama ada arus perdana, media sosial dan sebagainya harus bersepakat dan bekerjasama dalam mengenengahkan keburukan amalan rasuah kepada masyarakat. Jika ini dapat dilakukan secara berterusan, barulah orang ramai dapat membezakan antara rasuah dan hadiah. Barulah juga orang ramai tidak akan memberi hadiah sebagai rasuah.

SPRM juga digesa supaya tidak menjalankan tugas sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Ketegasan dan sikap tidak memilih bulu dalam melaksanakan amanah yang dipikul hendaklah berjalan secara berterusan. Jangan sekali-kali melaksanakan tugas secara bermusim. Ia sama sekali tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada negara. Sekiranya ada bukti, cukup saksi dan segala prosedur untuk mendakwa sudah dipatuhi, maka pihak yang terlibat dengan rasuah harus diheret ke muka pengadilan tanpa berlengah lagi.

Saya aku usaha untuk menbanteras rasuah bukanlah satu perkara yang mudah. Selain itu, usaha untuk mendidik masyarakat agar menjauhi rasuah juga tidaklah semudah seperti yang disangka. Namun demikian, sekiranya ia tidak dimulakan dari sekarang, maka usaha untuk mendidik dan membanteras gejala rasuah akan sentiasa menemui jalan sukar.

Adalah amat menghairankan dan juga memalukan bilamana berdasarkan indeks rasuah antarabangsa, lazimnya negara-negara yang bukan Islam sering menjuarai carta negara yang kurang amalan rasuah. Manakala sebilangan negara Islam pula sering berada di kedudukan kebelakang. Walhal Islam dengan jelas meletakkan rasuah sebagai antara kesalahan besar yang patut dijauhi buat selama-lamanya.

Selamat bertugas kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.