Monday, December 29, 2008

Sekadar Renungan

Kematian Satu Kepastian

 

            Petang tadi telah berlangsung istiadat pemakaman ke bawah duli Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang kesepuluh.  Sebelum itu, turut berlangsung juga istiadat pemasyhuran ke bawah duli Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang Dipertuan Besar yang kesebelas.

 

            Sebenarnya yang menjadi menungan dan renungan saya tatkala mengikuti siaran langsung istiadat berkenaan ialah mengenai kematian itu sendiri.  Kematian merupakan sesuatu yang wajib ke atas semua yang bernyawa.  Sama ada suka atau tidak, kita semua pasti akan ditemuinya.  Secanggih mana pun teknologi yang ada, namun ia tidak akan menemui kaedah untuk kita dapat mengetahui bilakah tarikh sebenar kematian kita.

 

            Walaupun sebilangan besar daripada kita maklum kematian itu suatu kepastian, namun ramai yang sering melupakannya.  Perbuatan dan perlakuan mereka seolah-olahnya mereka tidak akan menemui kematian.  Walhal, bila tiba sahaja saat yang telah dijadualkan, kematian pasti akan datang tanpa bertempoh lagi.

 

            Sekurang-kurangnya ada 3 perkara mengenai kematian yang tidak akan kita ketahui sampai bila-bila,  iaitu:

 

1.  Bilakah kita akan mati.

2.  Di manakah kita akan mati.

3.  Bagaimanakah kita akan mati.

 

            Bagi saya, adalah tidak benar apabila kita mengingati mati ia akan membuatkan kita menjadi pasif, layu dan tidak bersemangat untuk meneruskan hidup.  Sepatutnya, bila kita teringatkan kematian maka bersegeralah buat kebaikan, tak kiralah sama ada kebaikan itu kecil ataupun besar, seperti bercakap yang baik-baik, bersedekah jika mampu, atau setidak-tidaknya berfikir apakah kebaikan yang boleh kita lakukan sama ada untuk diri kita ataupun untuk orang lain.

 

Marilah sama-sama kita insaf, kematian adalah suatu kepastian yang telah dijadualkan tanpa pengetahuan kita.  Bila tiba tempohnya, kematian akan datang kepada kita tanpa mengira status sosial seseorang.  Jangan kita sekadar takut kepada kematian, tetapi takutlah akan kematian jika kita tidak cukup bekal untuk menghadapinya.

 

1 comment:

Tai said...

Suatu artikal yang hebat.