Ulasan Isu
Beberapa hari yang lalu, saya terbaca tulisan oleh Cikgu Mohd Jais yang bertajuk “MALU MENGAKU SEBAGAI GURU YANG MENGAJAR PELAJAR CACAT”. Tulisan tersebut termuat dalam blognya Mesra Bicara pada posting yang bertarikh 6 Disember 2009 lalu. Pagi tadi, kketika bertemu dengan Cikgu Mohd Jais di sekolah, saya telah bertanya lebih lanjut mengenai apa yang beliau telah paparkan dalam blognya.
Bagi saya, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan kerana mungkin setelah berpengalaman beberapa tahun mengajar murid-murid cacat, guru berkenaan masih gagal mencintai, apatah lagi untuk menjiwai golongan insan yang menjadi anak-anak muridnya. Bahkan yang lebih mendukacitakan ialah guru yang seperti ini pula yang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Beginikah jiwa dan persepsi seorang guru pendidikan khas yang telah mendapat APC terhadap golongan insan cacat?
Kalau guru yang berkenaan terasa malu mengajar murid-murid cacat, mengapa beliau tidak mohon untuk bertukar sahaja ke sekolah biasa? Mengapa Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia masih memeram guru-guru yang seperti ini di sekolah-sekolah pendidikan khas? Apa yang hendak ditetaskan daripada guru seperti ini? Adakah guru seperti ini hanya ingin kekal dalam bidang pendidikan khas semata-mata kerana lebih mudah untuk mendapatkan apa-apa anugerah seperti APC?
Sebenarnya, dalam bidang pendidikan khas, guru seperti ini tak berguna walau satu sen pun. Hampas kelapa mungkin lebih baik daripada orang seperti ini kerana ayam dan itik masih boleh mendapat manfaat daripadanya. Guru berkenaan masih berada dalam bidang pendidikan khas mungkin kerana berkepentingan atau kerana terpaksa semata-mata. Sepatutnya bidang pendidikan khas harus bersih daripada guru-guru seperti ini. Walau bagaimanapun, seribu tahun lagi pun, pembersihan seperti yang diharapkan tidak akan berlaku!
Namun demikian, saya masih berkeyakinan bilangan guru seperti ini dalam bidang pendidikan khas masih kecil. Setidak-tidaknya guru-guru saya pada masa lalu tidak seperti guru tadi. Guru-guru berkenaan bukan sahaja ikhlas dan tidak malu mengajar murid-murid cacat, bahkan mereka merasa bangga pula. Sebab itu, pada masa itu, ada guru-guru yang dengan bangga telah memperkenalkan anak-anak murid mereka kepada sanak saudara guru berkenaan.
Demikianlah guru-guru dalam pendidikan khas pada masa lalu. Rupa-rupanya tiada lagi pada zaman ini. Yang patah tak tumbuh lagi, yang hilang tak berganti, yang tetap malang golongan cacat juga. Saya dan kami semua tidak malu ditakdirkan cacat, tetapi kami terasa malu bila berdampingan dengan golongan hipokrit seperti ini.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Iye ada yang malu mengaku cikgu kepada murid khas? Biasa la manusia, macam-macam ada. Ada kat mana artikelnya aku nak baca jugak. Aku tak malu jadi cikgu kepada murid khas, daripada ajaq budak blind sekarang ajaq budak ld. Dua-dua sama bestnya, cabarannya pun lain dari yang lain. Cikgu aliran perdana mungkin beri 100% kepada budak-budaknya, cikgu murid khas kena bagi 200%. Ye lah, aliran perdana set soalan periksanya yang sighted saja tapi blind kena ada sighted, large print, braille, siap ada gambar rajah timbul lagi. Kalau ld pulak macam aku ngajar math masa buat soalan peksa, satu kelas 8 orang tu seorang trace nombor 1, 2, 3, seorang warna nombor, seorang buat tambah saja, seorang buat tambah tolak, lain-lain buat tambah tolak bahagi. Kalau hari tu budak ld tu angin dia kurang baik sikit soalan tambah dia ingat tolak, darab dia ingat tambah, macam-macam. Headcount tak terpakai di sini keh keh keh. Malu jadi cikgu murid khas aku rasa satu saja caranya, KPM kena ada keluarkan borang mohon tukar ke aliran perdana, itu je. Buat apa paksa orang yang tak nak berkhidmat kepada murid2 khas? Tapi jangan tukar cikgu-cikgu macam ni ke jabatan pulak, nanti dia jadi pegawai semberono naya weh...
Post a Comment