Selamat Tahun Baru Masihi 2010
Bersempena dengan kedatangan tahun baru Masihi 2010, saya serta keluarga ingin mengucapkan selamat tahun baru Masihi 2010 kepada semua pengunjung blog ini. Semoga tahun baru ini akan menguatkan lagi iltizam, semangat, cita-cita, usaha serta wawasan kita untuk mencapai apa jua kebaikan duniawi mahupun ukhrawi.
Bila sebut sahaja tahun baru, ramai yang berbicara fasal azam. Mempunyai azam itu bagus. Tetapi ramai juga yang sekadar menjadikan azam sebagai hiasan hari pertama tahun baru sahaja. Bila tiba pada hari kedua, ia kembali semula ke takuk lama. Jadi, untuk golongan ini, azam yang paling relevan ialah supaya tidak kembali semula ke takuk lama.
Ada juga yang menjadikan tahun baru ini sebagai detik penyambung untuk mencapai azam yang masih di pertengahan jalan. Sikap golongan seperti ini harus dipuji kerana tidak mudah bagi mereka untuk membuat "hutang" baru. Selesaikan yang lama , kemudian mulakan yang baru.
Namun demikian, yang pastinya, kemunculan tahun baru bermakna usia kita semakin pendek. Saat untuk kita bertemu dengan-Nya semakin hampir. Saat untuk kita mengucapkan "selamat tinggal" kepada segala kenikmatan dunia ini semakin dekat. Seorang rakan saya yang kuat merokok pernah bermadah, katanya, usia kita umpama sebatang rokok, semakin dihisap, semakin pendek. Justeru, relevankah azam yang telah kita tanamkan dalam diri kita dengan semua hakikat ini?
Sesungguhnya tahun baru tidak pernah menjanjikan sesuatu yang baru untuk kita. Terpulang kepada kita, sama ada untuk mencari yang baru, atau terus kekal dengan yang lama.
Sekali lagi, saya mengucapkan selamat tahun baru kepada semua, khususnya kepada para pengunjung blog ini.
Salam dari Kuala Perlis.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Selamat tahun baru.
Post a Comment