Thursday, December 18, 2014

Ke Arah Memperkasakan Kelas Alquran Braille Kendalian PERTIS Terengganu




Rasanya tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu kelas pengajian Alquran Braille di bawah kendalian Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu merupakan antara kelas yang paling tersusun, sistematik serta berwawasan. Justeru bantuan serta kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu merupakan suatu kerjasam pintar yang memberi kelebihan serta manfaat bagi kedua-dua pihak, sama ada PERTIS Terengganu mahupun kepada pihak MAIDAM itu sendiri. Kelas pengajian berkenaan sentiasa dimantapkan dari masa ke masa bagi memastikan agar objektif utama kelas pengajian berkenaan iaitu untuk melahirkan individu cacat penglihatan yang berkeupayaan untuk membaca Alquran dengan kaedah sistem tulisan Braille akan tercapai.

(Kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu pada 2013)



Sejak dari awal permulaan pengajiannya, para pelajar di kelas berkenaan sudah pun dibahagikan kepada kelas mengikut tahap masing-masing. Ada tahap asa, tahap pertengahan serta tahap yang lebih tinggi. Bahkan, kelas untuk menghafaz Alquran juga sudah pun dimulakan. Tujuannya ialah untuk melahirkan golongan hufaz yang terlatih dalam kalangan cacat penglihatan khususnya di Terengganu.

Kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu berjalan tiga kali seminggu. Setiap sesi pula, kelas akan berlangsung selama sekitar 2 jam. Kelas Alquran akan diadakan pada setiap Ahad, Isnin dan Selasa iaitu bermula pada jam 10.00 pagi. Semua kelas dijalankan di pusat kegiatan PERTIS Terengganu.

(Kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu 2013)


Para pelajar untuk kelas pengajian ini terdiri daripada ahli-ahli PERTIS Terengganu sendiri yang datangnya daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan usia. Ada juga dalam kalangan mereka yang sudah pun berusia melebihi 50 tahun. Namun begitu, oleh kerana keinginan mereka yang begitu mendalam untuk akrab dengan kitab suci Allah walaupun sudah berusia lewat, hasrat dan keinginan mereka sentiasa cuba dipenuhi oleh PERTIS Terengganu. Pelbagai usaha, kaedah serta galakan sentiasa diberikan asalkan niat dan hasrat para pelajar untuk terus mendampingi Alquran Braille sentiasa membara dan tidak padam di pertengahan jalan.

Kelas pengajian ini juga turut disertai oleh ahli-ahli PERTIS yang tidak pernah menerima pendidikan formal sebelumnya. Ini bermakna, mereka tidak pernah terdedah dengan kaedah membaca atau menulis dalam sistem tulisan Braille. Untuk maklumat bersama, bagi golongan yang cacat penglihatan, kami akan membaca tulisan Braille menerusi hujung jari. Hujung jari telunjuk dan jari hantu merupakan hujung jari yang paling sensitif dan sering digunakan untuk merasa titik-titik Braille. Kepekaan kepada titik-titik Braille lebih mudah untuk dilatih jika seseorang itu mendapat pendedahan lebih awal iaitu seusia kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.

Sejak dari awal lagi, PERTIS Terengganu tidak pernah menolak keinginan ahli-ahlinya yang berminat untuk mempelajari Alquran dengan kaedah Braille walaupun ada dalam kalangan mereka yang sudah pun berusia lanjut. PERTIS Terengganu juga tidak pernah menjadikan latar belakang mereka yang tidak pernah menerima pendidikan formal dan juga ketidakmahiran mereka dalam sistem tulisan Braille untuk menolak hasrat dan niat golongan sedemikian untuk akrab dengan Alquran dengan kaedah Braille. Sebaliknya pelbagai kaedah dan cara sentiasa dicuba bagi membantu golongan berkenaan supaya sama-sama akan beroleh manfaat daripada mukjizat teragung ini menerusi kebolehan dan kemahiran membaca.



Untuk itu, selain daripada membahagikan kelas mengikut tahap, satu lagi kaedah yang digunakan ialah dengan memperkenalkan huruf-huruf Braille melalui alat paku dan kayu. Alat ini dicipta sendiri oleh ahli-ahli PERTIS Terengganu. Menerusi alat ini, pangkal-pangkal paku akan disusun di atas kayu yang dibuat khas dan susunannya adalah mengikut susunan bentuk titik-titik Braille. Kaedah ini telah pun digunakan seawal tahun 2009 lagi. Kaedah ini didapati berkesaan untuk melatih mereka yang sudah berusia dan tidak pernah mendapat pendedahan dengan huruf-huruf Braille sebelumnya. Melalui kaedah inilah PERTIS Terengganu berjaya memperkenalkan huruf-huruf Braille dan seterusnya Alquran Braille kepada ahli-ahlinya yang selama ini keciciran dalam aspek pendidikan.

Untuk memastikan objektif pelaksanaan pengajian Alquran Braille ini benar-benar tercapai, maka proses dokumentasi juga tidak pernah diabaikan. Saya difahamkan, setiap bulan, laporan prestasi akan disediakan. Ia bukan sahaja untuk rekod PERTIS Terengganu, bahkan laporan ini juga perlu dihantar kepada pihak MAIDAM selaku badan yang merupakan penaja utama kepada aktiviti pengajian ini. Setiap pelajar akan dicatatkan prestasi masing-masing sama ada secara harian mahupun secara mingguan. Manakala guru-guru yang mengajar pula bertanggungjawab untuk memastikan agar sebolehnya prestasi semua pelajar akan sentiasa dapat ditingkatkan.

Untuk memastikan keberkesanan pengajian benar-benar terlaksana, maka ujian untuk setiap pelajar mengikut tahap juga turut diperkenalkan. Untuk itu, pelaksanaan sesi ujian akan dilaksanakan pada setiap hujung sesi pembelajaran. Setakat yang saya maklum, hanya pelajar yang lulus ujian sahaja akan naik ke tahap seterusnya. Manakala bagi mereka yang gagal pula, peluang kedua akan diberikan. Walau bagaimanapun, peluang yang diberikan ada hadnya. Jika didapati gagal juga untuk tempoh tertentu, mereka terpaksa dialihkan pula ke tahap lain iaitu pengajaran melalui hafalan sahaja. Demikianlah.

Bagi memantapkan lagi kelas pengajian Alquran Braille, pihak PERTIS Terengganu turut memberi penekanan kepada tenaga pengajarnya. Untuk itu, semua tenaga pengajarnya sentiasa diberi kursus jangka pendek dalam bidang yang berkaitan. Antaranya, setiap tenaga pengajarnya pernah didedahkan dengan pengajian ilmu tajwid, tafsir dan sebagainya. Sesi ini diadakan secara berasingan daripada kelas pengajian untuk pelajar. Manakala guru yang bertanggungjawab untuk memberi latihan kepada tenaga pengajar pula merupakan individu yang berpenglihatan dan sememangnya mendapat tauliah daripada pihak MAIDAM.

Malahan salah seorang tenaga pengajar kelas Alquran Braille PERTIS Terengganu sudah pun pergi lebih jauh daripada itu atas inisiatif dan usaha sendiri. Cikgu Zaki, yang juga seorang yang cacat penglihatan sekarang sedang mengikuti pengajian lanjutan tentang Alquran di IQ Terengganu. Cikgu Zaki merupakan seorang pesara guru. Walaupun beliau seorang yang cacat penglihatan, di sepanjang perkhidmatannya sebagai seorang guru selama puluhan tahun, beliau tidak pernah berpengalaman berkhidmat di sekolah pendidikan khas untuk murid-murid yang senasib dengan beliau. Jika ada kesempatan lain, saya akan cuba mengenengahkan kisah mengenai beliau nanti, insha-Allah.

Setelah beberapa tahun kelas pengajian ini berjalan, hasilnya mula dapat dirasai. Antaranya, bilangan golongan cacat penglihatan khususnya di Terengganu yang berkemampuan untuk membaca Alquran Braille telah bertambah dengan pesat. Selain itu, ada dalam kalangan tenaga pengajarnya hari ini merupakan bekas pelajar kelas itu sendiri. Pengajian kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu turut mendapat perhatian daripada pihak luar atas pelbagai tujuan. Ada pihak yang menjadikan pelaksanaan kelas pengajian ini sebagai model untuk menganjurkan kegiatan yang serupa di tempat lain. Ada juga pihak yang pernah menjadikan pelaksanaan kelas pengajian kelas ini sebagai bahan untuk penyelidikan. Kelas pengajian ini juga pernah digunakan untuk menguji keberkesanan teknologi E-Braille Quran Teaching Aid sekitar 3 tahun yang lalu.



Antara perkembangan terkini kelas pengajian ini ialah di mana usaha sedang dilakukan bagi membolehkan semua tenaga pengajar yang terlibat dalam kelas pengajian ini akan mendapat sijil dan tauliah daripada pihak MAIDAM. Untuk itu, saya dimaklumkan, satu temu duga akan diadakan oleh pihak MAIDAM untuk semua tenaga pengajar yang terlibat dengan kelas pengajian ini dalam masa yang terdekat. Maka itulah, pihak PERTIS Terengganu telah mengundang saya untuk mengendalikan satu bengkel khusus untuk mendedahkan kepada para tenaga pengajarnya mengenai beberapa kaedah lain penulisan Alquran Braille yang sedang digunakan oleh beberapa negara Islam yang lain. Saya juga turut memberi pendedahan mengenai sejarah ringkas tentang tulisan Arab Braille dan juga tulisan Alquran Braille. Di samping itu, saya juga turut berkongsi tentang kaedah Rasam Uthmani serta kaitannya dengan kaedah penulisan Alquran Braille. Respon daripada tenaga pengajar yang hadir cukup memberangsangkan. Di samping menerima input, mereka juga turut mengajukan pelbagai soalan yang berkaitan. Ada ketikanya soalan-soalan yang diajukan mencabar juga. Daripada soalan-soalan yang diajukan, ia telah menyerlahkan lagi minat dan kesungguhan para tenaga pengajarnya untuk berbakti kepada rakan-rakan yang senasib dengan penuh ikhlas dan secara amanah dan bertanggungjawab. Untuk maklumat bersama, bengkel berkenaan telah pun berlangsung pada 15 Disember lalu di pusat kegiatan PERTIS Terengganu. Bengkel telah berlangsung sekitar 3 jam lamamnya.

Usaha PERTIS Terengganu untuk mendapatkan sijil dan tauliah daripada pihak MAIDAM untuk tenaga pengajar kelas Alquran Braille kendaliannya merupakan suatu usaha yang cukup berwawasan dan amat berpandangan jauh. Usaha ini menunjukkan PERTIS Terengganu tidak mahu kelas pengajian Alquran Braille kendaliannya sekadar di tahap syok sendiri dan hanya terkurung dalam kepompong sendiri semata-mata. Dengan berhasilnya usaha ini nanti, bukan sahaja kelas pengajian Alquran Braille yang ada sekarang akan beroleh pengiktirafan daripada pihak luar, malahan saya optimis para pelajarnya nanti akan dapat melangkah dengan lebih jauh lagi pada masa akan datang. Setidak-tidaknya mereka akan dapat diterima sebagai bilal atau imam di masjid atau surau di sekitar negeri Terengganu. Di samping itu, pentauliahan daripada MAIDAM ini juga diharap akan lebih memudahkan lagi usaha-usaha untuk melahirkan generasi cacat penglihatan yang celik Alquran khususnya di Terengganu, insha-Allah.

Satu lagi perkembangan terkini mengenai kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu yang harus saya ketengahkan ialah di mana salah seorang tenaga pengajarnya, iaitu Cikgu Hanafi, telah berjaya menghasilkan nota tajwid dalam bentuk audio format MP3. Kebetulan saya berkesempatan mendengar nota yang beliau hasilkan. Bagi saya ia merupakan suatu usaha dan kreativiti yang mengkagumkan. Cikgu Hanafi melakukan usaha sedemikian secara sukarela tanpa sebarang imbuhan pun. Menurut Cikgu Hanafi, beliaumelakukan usaha tersebut bagi memenuhi keperluan pelajarnya yang tidak begitu mahir dengan tulisan Braille. Oleh itu, salah satu kaedah untuk mendedahkan mereka dengan ilmu tajwid ialah menerusi pendengaran. Maka itulah beliau terfikir untuk menghasilkan nota berkenaan dalam bentuk audio format MP3.

Kalau sebelum ini ahli PERTIS Terengganu telah menggunakan kreativiti sendiri dengan menghasilkan alat paku dan kayu bagi menyelesaikan masalah mereka yang kurang mahir dengan titik-titik Braille, kali ini mereka telah mengusahakan nota tajwid format MP3 pula untuk membantu pelajar kelas Alquran Braille untuk mendalami ilmu tajwid. Usaha dan kreativiti mereka bukan sahaja tidak menerima sebarang imbuhan, bahkan apa yang mereka usahakan juga tidak pernah menerima apa jua bentuk geran penyelidikan.

Sewaktu saya masih sebagai YDP PERTIS dahulu, bila saya ke Terengganu, saya pasti akan melawat PERTIS Terengganu terutamanya kelas pengajian Alquran Braillenya. Tujuan saya bukan sahaja untuk melihat/mendengar sendiri perjalanan kelas berkenaan, tetapi saya juga turut meneliti perkembangan kelas berkenaan setiap tahun. Maka itulah saya sering ke Terengganu setiap tahun.



Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh ahli PERTIS Terengganu yang telah memberikan sokongan jitu terhadap pengendalian kelas Alquran Braille. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua tenaga pengajarnya yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan sabar. Tanpa kalian sudah tentulah pengendalian kelas seumpama ini akan timbul pelbagai kecacatan di sana sini. Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada pengerusi PERTIS Terengganu, En. Mohd Fauzi Mansor di atas pandangan jauhnya terutama dalam soal menentukan hala tuju kelas pengajian Alquran Braille berkenaan. Memang tidak dapat dinafikan iaitu kelas pengajian Alquran Braille PERTIS Terengganu dapat berada di tahapnya sekarang adalaah kerana pandangan jauh serta wawasan yang jelas mengenai masa hadapan kelas berkenaan.

Saya sentiasa berdoa semoga kelas pengajian Alquran Braille khususnya yang dikendalikan oleh PERTIS Terengganu akan sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah daripada Allah. Mudah-mudahan daripada kelas ini akan lahir golongan cacat penglihatan yang sentiasa akrabg dengan Alquran. Usaha untuk memperkasakan kelas Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu merupakan suatu usaha berterusan sepanjang masa. Ia juga merupakan suatu usaha yang tidak akan sunyi daripada cabaran dan dugaan. Dalam apa jua yang kita lakukan, apakah lagi jika ia adalah untuk kebaikan, cabaran dan dugaan pasti ada. Tempuhilah ia dengan tabah, sabar dan tawakal. Kepada pihak-pihak lain, kalian tidak perlu curiga dan ini dengan pelaksanaan dan perjalanan kelas pengajian Alquran Braille kendalian PERTIS Terengganu. Sepatutnya kita harus sama-sama sokong dan bantu setakat yang kita mampu. Dalam masyarakat cacat penglihatan yang serba kecil dan lemah ini, adalah amat merugikan bilamana satu aktiviti yang sama dari kepala hingga ke ekor tetapi dianjurkan oleh dua badan yang berbeza.




No comments: