Monday, December 15, 2014

Pantai Teluk Cempedak kuantan





Setiap kali saya pulang ke Kuantan, jika berkesempatan saya pasti akan pergi ke pantai Teluk Cempedak. Kebetulan letaknya pula sekitar 10 minit dari rumah kami. Semasa saya muda dahulu (dah tua ke saya ni?) saya pernah juga ke pantai berkenaan sekitar jam 1.00 pagi bersama isteri iaitu pada musim cuti sekolah atau pada malam minggu. Bukannya apa, sekadar ingin melihat (mendengar) suasana di pantai berkenaan pada awal pagi. Memang nyata sekitar pantai tetap hidup dengan para pengunjung dengan aktiviti masing-masing. Kalau masa air pasang, deruan ombaknya cukup kuat membadai pantai. Angin pula bertiup agak kuat. Itu semasa zaman muda dahulu, kini saya tidak lagi ke pantai berkenaan pada awal pagi seperti itu. Lebih baik saya melayan keperluan rehat yang semakin mendesak tatkala usia semakin di penghujung.



Antara sebab saya gemar ke pantai Teluk Cempedak ialah suasananya yang sentiasa hidup dengan pelbagai aksi oleh para pengunjungnya. Selain itu, saya dapat menikmati bunyi ombak dan deruan angin yang cukup menenangkan fikiran. Adakalanya saya akan berjalan di atas pepasirnya yang halus dan sekali-sekala kaki saya akan disapa percikan air laut yang sesat. Bagi seorang pujangga sudah tentulah fenomena seumpama ini akan memperkayakan lagi sumber ilham yang bakal diterjemahkan oleh sang pena dalam bentuk tulisan yang pelbagai genre.



Ada ketikanya saya akan bertemu dengan orang-orang yang saya kenal atau mengenali saya di pantai ini. Saya pernah bertemu dengan bekas murid yang pernah belajar di sekolah tempat saya bertugas sambil bermain muzik di pantai ini. Saya kenal bekas murid saya dan dia pun kenal kepada saya. Tatkala itulah muncul dalam hati kecil saya suatu pertanyaan yang sukar untuk dijawab, apakah ini hasil usaha saya selama ini?

Pelbagai aksi daripada para pengunjungnya turut menambah lagi daya tarikan asli di pantai ini. Ada yang sekadar berjalan-jalan sahaja. Ada yang duduk-duduk sambil berbual. Ada juga yang berjalan sambil berpimpinan tangan seperti saya, bezanya kedua-duanya masih boleh melihat. Walau bagaimanapun, saya rasa mereka merupakan pasangan suami dan isteri seperti saya juga.

Pantai Teluk Cempedak juga tempat mencari rezeki oleh orang-orang tertentu dengan pelbagai cara. Ada yang menjual pelbagai barangan cenderahati. Ada juga yang melukis dengan pelbagai aksi. Ada juga yang bermain muzik seperti yang saya nyatakan di atas.

(Foto ini diambil pada Disember 2009)


Saya masih ingat lagi, beberapa tahun lalu, spesies monyet turut pernah melancong di pantai ini. Bilangannya ketika itu agak banyak. Inilah antara keunikan pantai Teluk Cempedak kerana berjaya menarik kedatangan pelancong daripada pelbagai jenis makhluk Tuhan.

Di samping itu, pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak yang berkuasa menambah lagi daya tarikan para pengunjung. Pelbagai jenis tempat makan turut tersedia kepada pengunjung. Hampir kesemuanya berjenama. Selain itu, terdapat hotel yang juga ada nama tidak jauh dari pantai berkenaan.



Pada masa lalu, saya suka juga pergi ke satu lagi pantai. Ia terletak di kawasan perkampungan. Kawasannya agak sunyi kerana kurang pengunjung. Kalau ada pun pengunjung, kebanyakannya terdiri daripada penduduk sekitar ataupun mereka yang ingin mencari ketenangan dalam sunyi seperti saya. Bahkan saya sekeluarga sering juga mandi di pantai berkenaan. Namun demikian, sejak saya mendengar ada kejadian pasir jerlus di pantai berkenaan, saya sekeluarga tidak lagi mengunjungi pantai berkenaan.

Mengunjungi pelbagai lokasi dengan kepelbagaian suasana sedikit sebanyak akan dapat memberi ketenangan fikiran kepada kita. Kalau belum berkemampuan untuk ke tempat yang jauh nun di luar negara sana, negara kita masih kaya dengan tempat-tempat yang masih menarik untuk kita sama-sama kunjungi. Sesungguhnya golongan yang cacat penglihatan juga ada cara kami sendiri untuk melancong dan mengembara di bumi Allah yang terbentang luas ini. Sebab itulah keindahan dan kecantikan fenomena alam bukan untuk dinikmati oleh mereka yang berpenglihatan sahaja. Dengan sifat adil Tuhan yang Maha Esa, keindahan dan kecantikan alam maya ini turut sama dapat dinikmati oleh mereka yang tidak berpenglihatan dengan cara dan stail mereka yang tersendiri. Wallahu A’lam.




No comments: