Wednesday, December 17, 2014

Musim Tengkujuh




Sebagaimana kelazimannya, bulan November dan Disember setiap tahun merupakan musim hujan atau juga dikenali musim tengkujuh. Dalam bulan-bulan ini hujan turun dengan lebatnya dengan membawa taburan hujan yang banyak. Negeri-negeri pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang serta pantai timur Johor merupakan antara kawasan yang terjejas teruk dengan kedatangan musim tengkujuh. Pada musim ini, banyak juga aktiviti yang terjejas. Kalau hendak berpergian atau melancong pun kena buat perkiraan yang betul agar tidak rugi masa, wang dan tenaga.

Semenjak berumah tangga dengan orang Kuantan, kini saya agak biasa dengan suasana musim tengkujuh. Boleh dikatakan setiap hujung tahun kami sekeluarga akan menghabiskan sebahagian cuti di Kuantan dan juga di kawasan sebelah pantai timur Tanah Melayu. Justeru, saya agak biasa dengan hujan sepanjang hari dan sepanjang malam tanpa henti untuk beberapa hari. Yang saya masih belum biasa ialah bermain dengan air hujannya.

Pada Ahad lepas, saya telah berpergian ke Kuala Terengganu dari Kuantan. Beberapa hari sebelum saya ke Kuala Terengganu, cuaca agak baik. Ini memungkinkan saya untuk meneruskan perjalanan saya ke Kelantan sebagaimana yang telah saya rancang sebelumnya. Namun demikian, setibanya saya ke Kuala Terengganu, hujan mula turun mencurah-curah. Bahkan ghara-gara hujan yang turun tanpa henti pada 15 Disember lalu, rancangan saya untuk menziarahi sebuah makam ulamak terkenal di Kuala Terengganu terpaksa saya batalkan. Gara-gara hujan juga saya turut terpaksa membatalkan ancangan untuk menziarahi dua pusara rakan kita di sekitar Kuala Terengganu. Sesungguhnya saya dan kita semua tidak mampu melawan takdir.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah, sewaktu saya di Kuala Terengganu, saya dapat melaksanakan dua daripada tiga matlamat saya ke sana kali ini. Saya dapat menziarahi Saudara Samsudin dan juga dapat mengendalikan bengkel anjuran PERTIS Terengganu.

Sepertimana yang saya katakan, rancangan untuk terus ke Kelantan terpaksa saya tangguhkan. Memandangkan cuaca yang semakin tidak baik, pada 16 Disember saya terpaksa berpatah balik ke Kuantan. Adik ipar saya memujuk saya supaya teruskan ke Kelantan. Namun demikian, setelah membuat perkiraan dan perhitungan teliti, saya telah memutuskan untuk kembali semula ke Kuantan. Ini juga bermakna, rancangan yang telah saya atur rapi untuk menziarahi beberapa makam para ulamak dan pahlawan Melayu di sana terpaksalah saya tangguhkan.

Ada juga rakan-rakan pernah bertanya mengapa saya gemar menziarahi makam dan kubur? Sebenarnya saya bukan gemar menziarahi semua makam atau kubur secara sembarangan. Saya hanya akan menziarahi tiga jenis kubur sahaja, iaitu pusara keluarga dan sahabat, makam para ulamak dan makam para pembesar dan pahlawan. Sepertimana yang pernah saya catatkan sebelum ini, walaupun saya tidak pernah mengenali mereka secara peribadi, sekurang-kurangnya saya dapat menemui pintu di mana tokoh-tokoh berkenaan mula melangkah masuk ke alam akhirat. Sebesar mana pun taraf kita di dunia, sehebat mana pun kepahlawanan kita, setinggi mana pun ilmu kita, akhirnya kita akan ke tanah juga. Melalui ziarah seperti ini, ia sangat memberi kesan kepada saya, insha-Allah.

Bermula daripada perjalanan balik ke Kuantan lagi hujan turun tanpa henti. Kadangkala ia lebat dan kadangkala ia gerimis. Keadaan sedemikian berterusan hinggalah ke petang tadi. Manakala adik ipar saya yang sudah pun berada di Kelantan sekarang sedang pening kepala memikirkan cara untuk kembali semula ke Kuantan.

Pada musim tengkujuh ini juga kelazimannya harga hasil laut seperti ikan, udang dan sotong akan menjadi lebih mahal daripada harga ayam. Maklumlah laut bergelora dan ini mengakibatkan para nelayan terpaksa berehat untuk beberapa hari. Walaupun harga ayam akan lebih murah secara relatifnya, saya tetap tidak akan menjamahnya.

Pada musim tengkujuh ini juga, semua pihak diminta agar berwaspada setiap masa. Banjir bukan bermakna pesta air. Kalau kita masih ingat, kehilangan nyawa dalam kalangan OKU penglihatan juga pernah berlaku beberapa tahun yang lalu gara-gara banjir. Oleh itu, marilah kita sama-sama beringat sebelum kena dan berhati-hati sebelum ia terjadi.


No comments: