Tuesday, December 2, 2014

Sorotan Konvensyen 50 Tahun SBM (Bahagian 1)






Dari 28 November (Jumaat) hingga 30 November (Ahad), Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) telah menganjurkan Konvensyen 50 Tahun SBM. Konvensyen ini bersempena dengan ulang tahun penubuhan SBM yang ke-50 tahun pada tahun ini. Bagi saya, konvensyen ini merupakan kemuncak kepada sambutan ulang tahun ke-50 SBM. Sebelum ini satu lagi aktiviti juga turut dianjurkan untuk tujuan yang sama iaitu Ekspedisi Kinabalu (Kinabex). Sayangnya atas sebab-sebab tertentu para pesertanya tidak berjaya menjejakkan kaki mereka ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara tersebut.

Berbalik kepada Konvensyen 50 tahun SBM, saya turut terlibat selaku salah seorang ahli jawatankuasa penganjur untuk konvensyen berkenaan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Cikgu Mohd Fekkeri yang juga merupakan Timbalan Presiden SBM kebangsaan. Selain kami berdua, Cikgu Saifuddin dan juga Sdr Mohd Amin Md Noor (Abang Amin) juga merupakan AJK penganjurnya.



Secara keseluruhannya, konvensyen ini telah dipenuhi dengan pembentangan sebanyak 3 kertas kerja, sesi bengkel dan juga forum. Di akhir konvensyen, sesi pembacaan dan penerimaan resolusi konvensyen turut diadakan.

Kertas kerja pertama telah dibentangkan oleh Dr. Wong Huey Siew. Beliau merupakan salah seorang anggota dalam Majlis Presiden SBM. Beliau juga merupakan seorang cacat penglihatan yang sedang bertugas selaku pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia (MOU). Dalam kertas kerjanya, Dr. Wong telah menyorot kembali sejarah awal penubuhan SBM serta beberapa cabaran yang dihadapi ketika itu. Selain itu, beliau juga turut menyenaraikan beberapa nama yang juga merupakan pengasas SBM pada tahun 1964 yang ketika itu dikenali sebagai Selangore Society Of The Blind (SSB). Di samping itu, Dr. Wong turut mengenengahkan beberapa pencapaian SBM dalam tempoh 50 tahun penubuhannya.

Kertas kerja kedua pula telah dibentangkan oleh En. Daud Amin. Beliau merupakan mantan Setiausaha Agung dan mantan Naib Presiden SBM sekitar dekad 80-an dan 90-an. Dalam pembentangannya, En. Daud banyak memfokuskan kepada bagaimana untuk memastikan SBM sentiasa relevan dengan cabaran semasa. Antara yang menarik ialah beliau menggesa SBM supaya menyediakan golongan ahli muda sebagai pemimpin pelapis SBM. Ia untuk mengelakkan SBM daripada ketandusan pemimpin pada masa hadapan. Selain itu, beliau turut menekankan betapa pentingnya untuk SBM mengadakan kursus dan latihan yang sesuai kepada AJK atau kakitangan secara berterusan. Tujuannya bagi memastikan kecekapan pengurusan dapat ditingkatkan dari semasa ke masa.

Pembentangan kertas kerja ketiga pula telah dilakukan oleh Saudara Ahmad Shamsuri Muhamad. Selain seorang yang masih muda, beliau cuba mengenengahkan aspirasi dan harapan golongan ahli muda dalam SBM. Beliau turut berkongsi statistik golongan ahli muda yang terdapat di peringkat kawasan/cawangan SBM. Selain itu, beliau turut mengenengahkan beberapa saranan untuk membolehkan golongan ahli muda SBM dapat maju ke hadapan dan seterusnya mampu berganding bahu dengan ahli yang lebih senior.

Di sebelah petang 29 November (Sabtu) pula, sesi perbengkelan telah dilaksanakan. Para peserta konvensyen telah dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan telah ditugaskan untuk berbincang tajuk yang telah ditentukan dan seterusnya membentangkan hasil perbincangan tersebut untuk dibahaskan pula oleh ahli-ahli dari kumpulan lain. Bagi saya, sesi ini cukup menarik dan sememangnya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Semaklum saya, semua peserta konvensyen telah mengambil bahagian secara aktif sama ada sewaktu perbincangan di peringkat kumpulan mahupun semasa pembentangan kumpulan dilaksanakan.



Pada sebelah pagi 30 November (Ahad) pula, sesi forum telah diadakan. Saya telah diberi tanggungjawab selaku pengerusi forum. Perbincangan forum berkisar kepada 50 tahun SBM, antara pencapaian dan cabaran. Tiga orang ahli panel forum berkenaan terdiri daripada En. Ivan Ho Tuck Choy (mantan presiden SBM kedua), En. Mohd Amin Md Noor (mantan presiden SBM keempat) dan juga Cik Chok Siew Lee (bekas kakitangan SBM yang telah berkhidmat selama 22 tahun dan telah pun bersara pada awal tahun 2011).



Menerusi forum ini, para peserta dapat mendengar secara langsung daripada En. Ivan Ho sebab-sebab SBM perlu ditubuhkan 50 tahun lalu sedangkan pada masa itu sudah pun ada sebuah badan bukan kerajaan lain yang telah memberikan perkhidmatan kepada golongan cacat penglihatan di Malaysia. Untuk maklumat bersama, En. Ivan Ho merupakan antara pengasas SBM. Oleh itu, apa yang beliau perkatakan amat penting dan mempunyai signifikan yang tersendiri.



Manakala En. Mohd Amin pula banyak memberi fokus kepada beberapa pencapaian utama SBM dalam tempoh 50 tahun yang lepas. Beliau juga turut menekankan kepentingan dan peranan ahli selaku komponen penting dalam memastikan SBM terus bersatu ke arah kejayaan. Pada masa yang sama, beliau turut meluahkan kekecewaan kecilnya mengenai sikap kurang menghargai sumbangan dan peranan golongan pengasas SBM.



Cik Chok Siew Lee pula memberi penekanan kepada kepentingan memperkasakan kecekapan kakitangan setiap masa. Menurutnya lagi, kakitangan SBM sama di ibu pejabat mahupun di pejabat-pejabat cawangan/kawasan harus sentiasa ditingkatkan kecekapan mereka bagi membolehkan setiap dasar yang telah ditentukan oleh AJK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi.

Menerusi konvensyen ini, pelbagai perkara telah disampaikan oleh golongan ahli peringkat akar umbi. Pelbagai cadangan, saranan dan juga harapan telah mereka nyatakan dengan satu hasrat iaitu demi kejayaan SBM. Kejayaan SBM akan membuktikan kejayaan golongan cacat penglihatan di negara ini mengangkat martabat mereka kerana pertubuhan ini diuruskan sepenuhnya oleh golongan cacat penglihatan untuk golongan mereka juga.



Walaupun dalam pembentangan kertas kerja dan juga sewaktu forum berlangsung, acapkali juga berlaku celahan, telahan, sampukan dan seumpamanya, tetapi ia telah dilakukan secara berhemah dan secara sopan. Bahkan celahan dan telahan yang berlaku lebih ke arah menceriakan suasana konvensyen. Tiada siapa pun yang terasa hati dengan celahan dan telahan yang dilakukan kerana masing-masing bukan berada dalam keadaan emosi terganggu. Ia jauh berbeza daripada apa yang pernah saya alami ketika mempengerusikan satu mesyuarat di sebuah lagi badan bukan kerajaan pada hujung tahun lepas.

Saya juga suka mengambil kesempatan ini untuk mengulangi semula idea yang telah saya lontarkan di akhir sesi forum. Salah satu cara untuk mengabadikan nama mantan-mantan presiden SBM ialah dengan mengabadikan nama-nama mereka dengan sesuatu anugerah cetusan SBM. Sebagai contoh, setiap tahun SBM ada menganugerahkan Anugerah Cemerlang Akademik kepada murid cacat penglihatan terbaik dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM. Elok rasanya jika anugerah berkenaan dinamakan dengan nama salah seorang mantan presiden SBM sendiri, umpamanya Anugerah Kecemerlangan Ivan Ho. Selain itu, saya juga suka menyarankan agar ibu pejabat SBM dan juga di setiap pejabat SBM peringkat cawangan/kawasan seharusnya ada nama dan foto setiap mantan presiden SBM. Ia bukan sahaja dapat ditatap oleh setiap ahli SBM, bahkan dengan cara sedemikian ia juga dapat ditatap sama oleh masyarakat luar yang mengunjungi pejabat-pejabat SBM.

Di akhir konvensyen, sejumlah resolusi telah dibacakan oleh ketua jurulapor, Dr. Zakaria Osman. Ia dibahagikan kepada aspek-aspek tertentu. Adalah diharapkan semoga pihak Majlis Presiden akan cuba sedaya-upaya untuk melaksanakan sebanyak yang boleh resolusi yang telah diluluskan menerusi konvensyen 50 tahun SBM.

Mengenai resolusi yang telah diluluskan, saya juga suka mencadangkan agar ia diterbitkan sama ada dalam bentuk tulisan Braille mahupun dalam bentuk tulisan cetak. Seterusnya setiap ahli dibolehkan untuk memiliki senaskah seorang. Tujuannya supaya mereka boleh sama-sama membantu pihak Majlis Presiden dan pengurusan SBM dalam pelaksanaan setiap resolusi berkenaan. Memang benar iaitu bukan semua resolusi yang telah disetujui itu akan dapat dilaksanakan, tetapi adalah tidak masuk akal juga jika keseluruhan resolusi berkenaan langsung tidak dapat dilaksanakan.

Sebagai perkongsian bersama, pembentangan resolusi tersebut boleh ditonton dengan klik di




Barang diingat, saya telah pun menyertai SBM sebagai ahli sejak penghujung dekad 80-an lagi. Saya mula menyertai PERTIS sebagai ahli bermula tahun 1996. Kini saya adalah ahli biasa/bawahan kedua-dua organisasi berkenaan.


No comments: