Thursday, December 25, 2014

Pak Lang Yusuf




Saya ada seorang bapa saudara. Beliau tinggal di Johor Baru. Nama penuhnya ialah Tn. Hj. Yusuf. Dalam keluarga, kami selaku anak buah memanggilnya sebagai Pak Lang Usup. Kini beliau dan isterinya yang saya panggil Mak Lang merupakan seorang pesara kerajaan. Usianya baru mencecah 80 tahun. Saya pun tidak pasti sudah berapa lama beliau bermastautin di JB. Seingat saya, sewaktu saya belajar di SKPK Princess Elizabeth (PES) dahulu, beliau telah pun menetap dan bertugas di JB.



Bagi saya, Pak Lang Usup sangat istimewa dan sangat besar jasanya kepada saya. Sewaktu saya belajar di PES dahulu, seingat saya Pak Lang Usup merupakan waris keluarga terdekat saya yang ada di JB. Jadi beliau sering melawat saya di PES setiap bulan. Kebetulan saya merupakan dari keluarga yang tidak berada. Jadi ketika itu jarak kampung saya di Melaka dengan JB terasa jauhnya. Dalam sebulan sekali atau dua kali beliau akan datang melawat saya. Beliau tidak datang dengan tangan kosong. Sebelum pulang, RM5 atau RM10 akan dihulurkannya kepada saya. Itu sekali datang. Pada ketika itu (dekad 70-an) wang sebanyak itu sudah cukup besar. Begitulah yang Pak Lang Usup lakukan sehinggalah saya tamat pendidikan rendah di JB dan berpindah ke KL untuk pendidikan menengah pula.



Sewaktu saya belajar di PES juga, kebetulan hari raya puasa jatuh dalam musim persekolahan. Jadi tiada cuti panjang selain cuti hari raya sahaja. Maka itu, hampir seluruh murid PES ketika itu akan menyambut hari raya di PES sahaja. Maknanya berhari raya di tempat orang sudah menjadi lumrah bagi murid-murid PES ketika itu. Walau bagaimanapun, setiap kali menjelang hari raya Pak Lang Usup akan membawa saya pulang untuk menyambut hari raya di kampung. Realitinya, saya tidak pernah menyambut hari raya puasa di tempat orang sehinggalah saya berumah tangga. Demikianlah.

Satu lagi jasa Pak Lang Usup kepada saya ialah beliau telah membelikan mesin Braille (Perkin’s Brailler) untuk saya iaitu pada tahun 1977. Saya masih ingat lagi, harga sebuah mesin Braille ketika itu ialah RM450.63. Seingat saya juga, ketika itu, hanya tiga orang sahaja yang ada mesin Braille sendiri di PES termasuklah saya. Ketika itu, mesin Braille dianggap barangan mewah dan hampir semua murid termasuk saya tidak mampu memilikinya jika tidak dibelikan oleh Pak Lang Usup. Mesin Braille berkenaan terus saya jaga hingga ke hari ini.

Pak Lang Usup juga aktif dengan kerja-kerja sukarela di PES terutamanya sewaktu saya masih belajar di sana. Saya masih ingat dalam kejohanan sukan tahunan PES, beliau pasti datang untuk menjadi pelepas atau pengadil.

Dengan pertolongan Pak Lang Usup, saya tidak pernah mengalami kesempitan wang terutama semasa belajar di PES. Walhal saya bukannya dari keluarga yang senang. Mungkin kerana saya tidak perlu memikirkan tentang wang ketika di PES kerana ia cukup buat saya, maka itulah agaknya saya dapat lebih fokus kepada pelajaran.

Setelah saya berpindah ke KL untuk pendidikan menengah, pertemuan saya dengan Pak Lang Usup tidak lagi sekerap seperti sebelumnya. Maklumlah saya sudah di KL sedangkan beliau tetap bermastautin di JB. Walau bagaimanapun, kami pasti bertemu ketika hari raya puasa. Begitulah hubungan kami selepas itu.

Kini, setelah masa bersilih ganti beberapa musim, Pak Lang Usup masih menetap di JB. Secara umumnya beliau masih sihat tapi sihat orang berusia. Layanannya kepada saya tidak pernah berubah. Tetap seperti dahulu juga.

Petang tadi, saya berkesempatan melawat Pak Lang Usup di rumahnya. Bahkan setiap kali saya ke JB dan bila ada kesempatan saya pasti akan melawat beliau. Saya maklum jasanya tidak dapat saya balas dengan apa cara pun. Maka itu, sebagai tanda ingat, saya akan meluangkan masa untuk melawat beliau dam Mak Lang. Selain itu, saya sering beritahu kepada anak saya inilah antara orang yang telah berjasa kepada abahnya suatu ketika dahulu. Saya juga berpesan kepada anak saya agar ingat dan sentiasa hormat kepada orang-orang seperti ini.



Saya tidak lupa untuk mendoakan semoga Pak Lang Usup, Mak Lang serta keluarga sentiasa dalam rahmat dan pelihara Allah sepanjang masa, dunia dan akhirat. Jasa kalian sentiasa segar dalam ingatan saya buat selama-lamanya. Dengan adanya kasih sayang dan keprihatinan orang seperti Pak Lang Usup, ia membuatkan saya semakin redha dengan kecacatan yang saya alami.


No comments: