Thursday, December 11, 2014

Mengunjungi Prof. Madya Dr. Mustaqim Di USIM




Baru-baru ini, saya berkesempatan mengunjungi Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM(, Nilai, Negeri Sembilan. Pertemuan berlangsung sekitar sejam setengah lamanya. Antara ciri-ciri Dr. Mustaqim yang menarik perhatian saya ialah, beliau seorang yang berpenglihatan; beliau fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab; di samping berkemahiran dalam tulisan Alquran biasa, beliau juga berkemahiran tinggi dalam tulisan Alquran Braille; beliau mempunyai koleksi Alquran Braille daripada beberapa buah negara lain; beliau juga sudah banyak menulis mengenai Alquran Braille berdasarkan kajiannya sama ada dalam bentuk buku, kertas seminar dan sebagainya.

Dalam pertemuan tersebut, kami banyak bertukar-tukar fikiran tentang Alquran Braille itu sendiri. Dr. Mustaqim kebetulan baru pulang dari membentangkan kertas kerja mengenai Alquran Braille di Arab Saudi.

Menurut Dr. Mustaqim, persoalan ketidakseragaman dalam kaedah penulisan Alquran Braille masih menjadi isu yang belum selesai di dunia Arab. Soal sama ada Alquran Braille perlu ditulis sama ada secara imla’i ataupun dalam bentuk rasam Uthmani masih belum ada penghujungnya. Walaupun masih wujud perbezaan dalam kaedah penulisan Alquran Braille di sana, tetapi seperkara yang menjadi titik persamaan ialah kesemua Alquran Braille ditulis lengkap dengan huruf dan barisnya. Maknanya tidak timbul langsung soal Alquran Braille ditulis dalam bentuk apa yang kita kenali sebagai tulisan Braille gred dua (ringkas). Apa yang menariknya, saranan Dr. Mustaqim tengang penggunaan rasam Uthmani sebagai cadangan untuk menyeragamkan kaedah penulisan Alquran Braille telah mendapat perhatian positif daripada pihak yang berkenaan di Arab Saudi.

Untuk pengetahuan bersama, setakat apa yang telah saya temui hari ini, kaedah penulisan Alquran Braille yang dikeluarkan oleh kementerian pendidikan Arab Saudi sudah pun menjurus kepada kaedah rasam Uthmani. Namun demikian ia bukanlah kaedah rasam Uthmani yang lengkap. Manakala kaedah penulisan Alquran Braille di lain-lain negara masih belum lagi menjurus ke arah itu termasuklah Alquran Braille cetakan PERTIS di Malaysia.

Untuk maklumat bersama, Dr. Mustaqim ada menghasilkan kaedah penulisan Alquran Braille rasam Uthmani yang beliau cadangkan di mana beliau sendiri telah menulis surah Mariam dalam bentuk Braille. Beliau pernah menunjukkan hasil tulisannya itu kepada saya. Dalam pembentangan kertas kerjanya di Arab Saudi baru-baru ini, beliau turut mengemukakan hasil tulisannya dan telah mendapat perhatian daripada pihak yang berkaitan di Arab Saudi.



Dalam kunjungan itu juga, saya turut berkesempatan untuk meneliti beberapa koleksi Alquran Braille yang ada dalam simpanan Dr. Mustaqim. Antaranya saya berkesempatan meneliti secara rambang Alquran Braille yang diterbitkan oleh negara Jordan terbitan tahun 1999. Saya dapati, kaedah penjilidannya cukup kemas dan cantik. Ia dibahagikan kepada 6 jilid. Manakala pembahagian jilidnya pula berasaskan kepada surah dan bukannya juzuk sepertimana Alquran Braille cetakan PERTIS.

Di samping itu, saya juga sempat meneliti secara rambang Alquran Braille yang dihasilkan oleh Wyata Guna, Bandung, Indonesia, terbitan terkini (2010). Apa yang menariknya, Alquran Braille terbitan Wyata Guna diterbitkan dalam 30 jilid iaitu satu jilid untuk 1 juzuk. Setiap jilid/juzuk itu pula turut dilengkapi dengan terjemahan dalam bahasa Indonesia yang ditulis dalam tulisan Braille Indonesia, tetapi bagi kita di Malaysia kita masih boleh membacanya kerana tulisan gred 2 Bahasa Indonesia tidaklah sekompleks tulisan Braille gred 2 Bahasa Melayu di Malaysia. Setiap jilid/juzuk pula akan terbahagi kepada dua bahagian, bahagian awal merupakan teks Alquran manakala halaman-halaman di belakangnya merupakan tulisan terjemahan untuk juzuk yang berkenaan. Demikianlah.

Kami juga turut bertukar-tukar fikiran mengenai permasalahan dan cabaran penulisan Alquran Braille di negara sendiri. Saya menyimpulkan, jalannya masih panjang dan cabarannya masih sangat banyak. Namun demikian, usaha untuk menyeragamkan kaedah penulisan Alquran Braille sama sekali tidak boleh terhenti begitu sahaja. Ia harus diteruskan walaupun pada masa ini usaha berkenaan kelihatannya masih sukar dan penuh berliku.

Di negara kita, sebahagian besar pengguna Alquran Braille masih belum terdedah dengan apa yang dikenali sebagai kaedah rasam Uthmani. Justeru, bila ada di antara mereka membaca buku Iqra’ Braille yang telah dihasilkan, ramai yang memberi ulasan kononnya banyak kesalahan pada buku Iqra’ Braille berkenaan. Semasa saya masih YDP PERTIS, saya pernah cuba untuk menganjurkan sesi penerangan tentang penulisan Iqra’ Braille dengan tujuan untuk menghapuskan kekeliruan yang timbul, malangnya sambutannya amat dingin sekali. Seingat saya, hanya seorang sahaja yang mendaftar untuk sesi berkenaan. Akhirnya sesi tersebut terpaksa dibatalkan.

Pada hemat saya, insha-Allah dan mudah-mudahan ada keberkatan apa yang sedang diusahakan oleh Prof. Madya Dr. Mustaqim dan rakan-rakannya di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM. Antaranya ia mungkin disebabkan beliau dan rakan-rakannya di USIM tidak pernah sama sekali mencuri soft copy orang lain untuk kepentingan peribadi diri sendiri. Beliau dan rakan-rakannya juga tidak pernah sama sekali memperdayakan orang lain untuk mendapatkan apa jua soft copy tanpa kerelaan pemilik asalnya. Dr. Mustaqim dan rakan-rakannya sama sekali tidak pernah menggunakan Alquran Braille untuk tujuan dan atas kepentingan ekonomi. Demikianlah ikhlasnya mereka.



Dalam pertemuan itu juga, Dr. Mustaqim turut memberi satu salinan kertas kerja terbarunya kepada saya. Ia ditulis dalam tulisan cetakan biasa dan dalam bahasa Arab. Kalau Dr. Mustaqim yang membacanya, memanglah bunyi lahjah Arabnya mantap. Bila isteri saya yang membacanya, ada bunyi lahjah Arabnya sedikit-sedikit. Bila saya yang membacanya, ia langsung tak ada bunyi.

Apabila Dr. Mustaqim sudah diundang untuk membentangkan kertas kerjanya tentang Alquran Braille di luar negara, ia bermakna kebolehan dan kemampuan beliau dalam bidang berkenaan sudah diiktiraf di peringkat global. Justeru, bagi saya adalah tidak masuk akal bilamana ada pihak tertentu yang cuba mempertikaikan usaha beliau untuk menyeragamkan kaedah penulisan Alquran Braille di Malaysia. Usaha ke arah menyeragamkan kaedah penulisan Alquran Braille di Malaysia pula tidak boleh dilaksanakan oleh satu pihak sahaja. Ini bermakna golongan yang berkemahiran dalam Alquran Braille dalam kalangan mereka yang tidak berpenglihatan harus berganding bahu dengan mereka yang juga berkemahiran tinggi dalam bidang Alquran Braille dalam kalangan mereka yang berpenglihatan. Saya sentiasa berdoa semoga Dr. Mustaqim dan rakan-rakannya di USIM sentiasa istikamah dengan usaha mereka serta akan beroleh keberkatan daripada Allah buat selama-lamanya.




No comments: