Tuesday, December 16, 2014

Menziarahi Samsudin Wahab





Pada 15 Disember (Isnin) iaitu di sebelah petang, saya sekeluarga berkesempatan menziarahi Saudara Samsudin Wahab di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu. Sebagaimana yang kita sama-sama maklum, Saudara Samsudin sedang dirawat di hospital berkenaan kerana menghidapi sakit kanser. Sewaktu ketibaan kami, Saudara Samsudin sedang tidur. Beliau ditemani oleh adik perempuannya.



Menurut adiknya, Samsudin menghidapi penyakit kanser tahap 4. Setelah beberapa ketika saya di sisi beliau, Samsudin terjaga. Samsudin masih kenal dan ingat dengan saya. Beliau cuba sedaya upaya untuk bercakap dengan saya. Walau bagaimanapun, suaranya tersekat-sekat dan butir perkataannya agak sukar untuk saya faham. Bila saya kurang memahami tutur katanya, beliau akan mengulanginya dengan lebih kuat lagi. Memang ketara iaitu Samsudin ingin sekali berbual dengan saya. Katanya, datang dari jauh rugi kalau tak bercakap. Namun demikian, seperti yang saya katakan, keadaannya yang lemah membuatkan beliau sukar untuk bercakap dengan lancar. Jadi, untuk mengurangkan beliau daripada terus bercakap, saya lebih banyak berdiam diri sahaja.

Kata adiknya lagi, beberapa orang rakannya telah menziarahi Samsudin sebelum ini. Ada juga yang datang langsung dari KL semata-mata untuk menziarahi beliau. Inilah yang dikatakan erti persahabatan.

Adik perempuannya juga memberitahu saya, beliau bergilir-gilir dengan isteri Samsudin untuk menjaganya. Bila tiba giliran isteri beliau untuk menjaganya, maka anak-anak Samsudin yang seramai 3 orang itu akan dijaga pula oleh adik perempuannya. Demikianlah.

Menurut adiknya lagi, Samsudin pernah dibenarkan keluar dari hospital pada 25 November lalu. Namun demikian, apabila keadaan kesihatannya semakin lemah, maka pada 2 Disember lalu beliau dimasukkan semula ke hospital ini hinggalah ke hari ini.



Saya berada di hospital sekitar 25 minit lamanya. Sebelum saya meninggalkan beliau, kami sempat bermaaf-maafan. Esok dan lusa tiada siapa pun yang tahu apa yang akan berlaku.

Selaku orang yang mengenali Samsudin, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah akan memberikan kesihatan yang baik kepada beliau. Semoga Samsudin akan cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala, insha-Allah.




No comments: