Friday, December 19, 2014

Mohd Fauzi Mansor




Baru-baru ini, ketika saya di Kuala Terngganu, saya telah berkesempatan mengunjungi pusat urut refleksologi MF Mekar Niaga di Kuala Terengganu. Secara spesifiknya, pusat urut ini terletak di A656, Kampung Baru Seberang Takir, Kuala Terengganu. Rasanya kurang sempurna jika saya di Kuala Terengganu jika tidak mengunjungi pusat urut refleksologi ini. Untuk maklumat bersama, pusat urut ini dikendalikan oleh En. Mohd Fauzi Mansor. Beliau juga merupakan pengerusi Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu sejak tahun 2007 hingga kini.




Sebenarnya inilah antara punca rezeki utama bagi En. Mohd Fauzi. Pendapatan daripada mengurut secara refleksologi digunakan untuk menyara keluaganya yang seramai 4 orang. Oleh kerana pusat refleksologi ini merupakan kendalian beliau secara berseorangan, maka waktu operasinya akan bergantung kepada permintaan daripada para pelanggannya. Lazimnya, di sebelah paginya pusat urut refleksologi ini akan beroperasi awal iaitu sebelum beliau ke pusat kegiatan PERTIS Terengganu yang kebetulan letaknya tidak jauh dari rumahnya. Manakala di sebelah petang dan malamnya, ia boleh bermula seawal jam 3 petang dan boleh berlarutan hingga sebelum jam 12.00 tengah malam.

Untuk maklumat bersama, En. Fauzi asalnya merupakan seorang yang berpenglihatan. Beliau merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan kepujian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM). Tatkala itu, beliau masih merupakan seorang yang berpenglihatan. Memang tidak pernah terfikir sedikit pun bahawa suatu hari nanti beliau akan hilang penglihatannya. Mungkin inilah yang dikatakan takdir. Kebetulan beliau pula bukan seorang yang suka melawan takdir.

Beliau mula hilang penglihatannya ketika sedang bertugas sebagai juruaudit dalaman di Jabatan Canselori di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Apa yang lebih malang lagi, kehilangan penglihatan tersebut berlaku tatkala beliau belum lagi disahkan dalam jawatan. Setelah beliau disahkan tidak lagi mampu untuk meneruskan tugasnya, akhirnya beliau terpaksa meninggalkan kerjaya yang amat diminatinya dan cocok pula dengan kelulusan beliau.

Sewaktu En. Mohd Fauzi mula hilang penglihatannya, beliau sudah pun bertunang dengan salah seorang siswi di UUM juga. Di sini nasibnya agak baik kerana tunangnya yang juga seorang yang berpenglihatan tidak meninggalkan beliau walaupun amat menyedari bahawa bakal suaminya sedang mula hilang penglihatannya. Setelah En. Fauzi kian hilang penglihatannya, beliau telah mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah keluarganya kekal bahagia hingga ke hari ini dan insha-Allah akan berterusan dunia dan akhirat. Inilah barakah namanya.

Berbalik kepada En. Fauzi, setelah terpaksa meninggalkan kerjayanya di USM, beliau telah kembali semula ke Kuala Terenganu. Beliau mula membina penghidupan baru dalam keadaan penghilatannya yang sudah hilang. Beliau mula mengenali masyarakat cacat penglihatan khasnya di Kuala Terengganu melalui satu siaran radio yang menyiarkan kempen penambahan ahli oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM). Melalui penyertannya dalam SBM beliau mula mengenali golongan cacat penglihatan secara lebih dekat lagi. Setelah menyertai SBM, beliau mula menyertai Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu pula. Dari sinilah bermulanya penglibatan beliau dalam PERTIS secara lelbih aktif lagi.

Bermula tahun 2002, sebagai usaha untuk mencari pendapatan untuk keluarganya, En. Mohd Fauzi telah mula mengusahakan urut refleksologi. Di pperingkat awal, beliau telah menyewa sedikit ruang di pejabat PERTIS Terengganu. Bermula dari situlah usaha yang beliau lakukan mula berkembang sedikit demi sedikit. Kini setelah hampir 12 tahun berkecimpung dalam bidang urut refleksologi, beliau sudah pun berjaya mempunyai ruangnya sendiri iaitu di bahagian hadapan rumah kediamannya. Beliau mengusahakan urut refleksologi secara bersendirian. Para pelanggannya pula terdiri dalam kalangan pelbagai ahli masyarakat sama ada yang tidak berpenglihatan mahupun yang berpenglihatan. Di samping itu, para pelanggannya juga terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi. Kalau ke Kampung Baru Seberang Takir, tanya sahaja pusat urut tapak kaki, orang kampung akan menunjukkan kediaman En. Fauzi. Pada masa terluang, beliau akan menabur bakti pula untuk badan bukan kerajaan khasnya PERTIS Terengganu. Inilah untungnya kalau bertugas sebagai juruurut, dapat bergaul dengan ramai orang dan pelbagai jenis pula. Khabarnya juga, ada juga dalam kalangan juruurut cacat penglihatan yang lain, walaupun hanya sebagai juruurut tapi biasa keluar masuk istana raja. Moralnya, janganlah kita pandang orang lain dengan sebelah mata sahaja. Satu lagi, janganlah kita gemar sangat pandang orang lain dengan hanya memandang kepada matanya sahaja.



Latar belakang Fauzy yang pernah hidup sebagai seorang yang berpenglihatan penuh suatu ketika dahulu banyak mempengaruhi cara dan corak beliau berfikir, bertindak serta mengatur hidup dan organisasi yang sedang dipimpinnya. Ini ditambah lagi dengan latar belakang pendidikannya iaitu pemegang ijazah peringkat sarjana muda. Pandangan dan idea yang sering beliau utarakan lebih terbuka dan kebiasaannya akan mencakupi kedua-dua kelompok masyarakat, iaitu golongan yang berpenglihatan dan juga mereka yang tidak berpenglihatan. Beliau juga bijak berkomunikasi terutamanya dengan mereka yang berpenglihatan. Justeru, tidak menghairankan bilamana beliau berjaya membawa PERTIS Terengganu merentasi tema yang pernah saya ketengahkan ketika masih berkedudukan YDP PERTIS kebangsaan dahulu iaitu “memasyarakatkan PERTIS”.



Selaku pemimpin nombor wahid PERTIS Terengganu, Fauzi berjaya menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta. Beliau berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan pelbagai badan bukan kerajaan di Terengganu. Selain itu, PERTIS Terengganu juga mempunyai reputasi yang baik dengan pelbagai agensi kerajaan di Terengganu. Selain itu, PERTIS Terengganu melalui gaya kepimpinan Fauzi juga berjaya menjalinkan hubungan mesra dengan beberapa institusi pengajian tinggi di sekitar Terengganu seperti UITM, UNIZA dan UMT. Menerusi hubungan erat ini, pelbagai kegiatan dapat dilaksanakan oleh PERTIS Terengganu. Antaranya termasuklah aktiviti memanah, silat, dan sebagainya.

Kalau ditanya kepada semua orang, hatta kepada mereka yang sudah hilang penglihatannya, rasanya tiada siapa pun yang mahu hidup dalam keadaan tiada penglihatan. Hanya mereka yang tidak berpenglihatan sahaja yang merasai adakalanya hidup seperti ini perit dan pahit. Namun demikian sesuatu yang dinamai takdir itu tiada siapa pun yang mampu mengubahnya walaupun sebesar zarrah. Apa yang lebih penting ialah kita redha dengan apa yang telah ditakdirkan untuk kita dengan sepenuhnya. Bagi saya, kunci utama Fauzi berjaya menjalani hidup seperti sediakala setelah hilang penglihatannya kerana beliau berjaya menerima realiti dan takdir yang telah ditentukan untuknya. Memanglah pada peringkat awalnya ia cukup perit dan pahit untuk diterima. Namun demikian, situasi sedemikian tidak boleh dibiarkan berterusan untuk selama-lamanya. Berbekalkan kekuatan diri serta sokongan daripada isteri, beliau berjaya bangkit semula untuk meneruskan hidup tanpa bergantung kepada simpati orang lain.

Kini Fauzi seharusnya banyak bersyukur kerana laluan hidupnya lebih sempurna. Beliau boleh berdikari. Gaya kepimpinannya pula bukan sahaja untuk diri dan keluarganya, tetapi turut mencakupi PERTIS Terengganu yang sedang dipimpinnya. Pada hemat saya, situasi yang dilalui oleh Fauzi pasti berbeza sekiranya beliau melawan takdir, gagal menerima realiti yang ada dan tidak cukup kuat untuk memulakan penghidupan yang baru.


No comments: