Monday, May 30, 2011

Anugerah Emas Dan Perak Untuk Inovasi Panel E-Braille

Saya pernah memaklumkan menerusi blog ini, pada 20 hingga 22 Mei yang lalu, satu pameran yang dikenali sebagai 22nd INVENTION, INNOVATION, INDUSTRIAL DESIGN AND TECHNOLOGY EXHIBITION 2011 (ITEX11) telah berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre. Pasukan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah turut serta dalam pameran berkenaan. Sudah tentulah kalau FKM UTM, inovasi yang mereka akan pamerkan ialah panel E-Braille.

Serentak dengan pameran tersebut juga, pertandingan inovasi dan kreativiti turut diadakan. Bagi pasukan penyelidik dari FKM UTM, mereka telah mempertandingkan 2 inovasi yang telah mereka hasilkan menerusi panel E-Braille. Inovasi pertama ialah kegunaan panel E-Braille sebagai penyimpan dan alat yang boleh digunakan untuk membaca Alquran Braille. Manakala inovasi kedua pula ialah kegunaan panel E-Braille sebagai alat untuk pelaksanaan pengajaran dan pembalajaran bagi mereka yang cacat penglihatan.



Untuk inovasi yang pertama, kumpulan penyelidik berkenaan telah menerima anugerah pingat perak. Manakala untuk inovasi kedua pula, kumpulan berkenaan telah menerima anugerah pingat emas. Bagi saya, dengan kedua-dua anugerah yang telah diterima oleh kumpulan penyelidik berkenaan, bermakna inovasi teknologi yang telah dihasilkan menerusi penghasilan panel E-Braille telah mendapat pengiktirafan.

Di sini, saya selaku bakal pengguna panel E-Braille suatu hari nanti, ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kumpulan penyelidik daripada FKM UTM di atas kejayaan merangkul kedua-dua anugerah tersebut. Walaupun alat ini masih lagi baru, tetapi ia telah berjaya sekurang-kurangnya menarik perhatian para juri pertandingan berkenaan.



Saya penuh yakin, antara sebab kumpulan penyelidik FKM UTM telah berjaya menggondol anugerah perak dan emas ialah kerana inovasi yang telah mereka hasilkan dan ketengahkan merupakan inovasi yang terhasil daripada kreativiti dan usaha penyelidikan yang berterusan dan tak kenal jemu dan putus asa. Ia juga bukannya inovasi yang dicuri daripada orang lain untuk kepentingan perut dan poket masing-masing.

Salam dari JB.

Sunday, May 29, 2011

Virtual SMPK Setapak semakin bersemarak

Sebentar tadi, saya berkesempatan untuk memeriksa email saya. Sesuatu yang amat mengkagumkan saya ialah laman sesawang interaktif smpksetapak@googlegroups.com semakin bersemarak. Mengikut kiraan saya, di antara jam 8.54 pagi sehingga jam 2.55 petang hari ini (29 Mei), sebanyak 18 posting pelbagai bahan telah diuploadkan. Bahannya juga pelbagai, sama ada dalam negeri mahupun luar negara.

Agaknya hari ini, ada antara ahli kumpulan laman sesawang di atas yang kerjanya menghadap komputer sahaja. Sebab itulah pelbagai bahan telah diuploadkan. Baguslah begitu. Lagipun bahan-bahan yang dikongsikan mempunyai nilai pengetahuan yang baik dan amat berguna. Rasanya rugi kalau tidak melanggannya. Kalau hendak cari sendiri mungkin tidak begitu berkesempatan. Jadi, bila maklumat datang sendiri seperti ini, alangkah baiknya.

Kepada ahli kumpulan ini, teruskan berkongsi maklumat seperti ini. Biarlah orang lain nak buat apa jua tanggapan, asalkan apa yang kita lakukan ini tidak mengganggu dan tidak menggugat mana-mana pihak.

Bila diteliti pelbagai sumbangan daripada ahli kumpulan yang lain, malu juga saya dibuatnya, kerana setakat ini saya baru menyumbang satu bahan sahaja secara langsung kepada lamansesawang ini.

Kepada golongan murid tidak kira di mana sahaja, saya sangat berharap agar bahan-bahan yang telah dikongsikan itu tidak tinggal dalam email semata-mata. Sebaiknya bahan-bahan berkenaan dimasukkan terus umpamanya ke dalam thumbdrive masing-masing. Jika perlu, buat satu folder khas untuk menyimpan bahan-bahan berkenaan. Bagi saya, amat rugilah jika maklumat yang telah datang kepada kita dibiarkan tanpa dimanfaatkan. Itu sekadar pandangan dan cadangan saya sahaja.

Salam dari JB.

Friday, May 27, 2011

Sembang Malam

Ragam Pengguna Jalan Raya Kita

Sekitar jam 5.15 petang tadi, saya sekeluarga bertolak dari rumah. 15 minit kemudian, kenderaan kami masuk ke Jalan Tun Razak. Di sinilah kenderaan kami tersekat dan melekat gara-gara kesesakan jalan raya yang kronik. Namun begitu, bagi saya dan mungkin sebahagian besar penghuni ibu kota, keadaan sebegini sudah biasa. Bagi kebanyakan pemandu terutamanya di ibu kota, cukai jalan dan bayaran tol yang dibayar bukan untuk keselesaan di jalan raya, tetapi lebih merupakan untuk menyesakkan lagi jalan yang ada.

Tatkala kenderaan kami bergerak macam semut kudung nak habis nyawa, tiba-tiba saya terdengar bunyi siren kenderaan lain. Bunyinya memanglah membingitkan, apatah lagi dalam keadaan kesesakan sebegini. Bila saya suruh isteri saya tinjau-tinjau kenderaan yang bersirin tadi, rupa-rupanya ia adalah kenderaan orang kenamaan. Geram juga saya dibuatnya. Macam dia seorang sahaja yang ada urusan penting. Apalah salahnya rasai sama kesesakan di jalan raya sebagaimana yang sedang dirasai oleh pengguna jalan raya yang lain termasuklah saya! Sudahlah bunyi sirennya cukup membingitkan, pemandu jalan raya lain terpaksa pula memberi laluan semata-mata untuk keselesaan si kenamaan yang seorang ini. Belajarlah sedikit untuk menjiwai golongan marhaen. Oleh kerana awak tu tak pernah rasai kesesakan, sebab itulah awak tu tak tahu betapa perit dan jerihnya orang yang tersangkut dalam kesesakan.

Dari Jalan Tun Razak, saya sekeluarga mengambil masa sekitar 1 jam setengah untuk tiba di tol Sungai Besi. Itu pun kami telah memilih laluan Terowong SMART. Dalam terowong memanglah jalannya lancar dan tidak sesak langsung. Tapi sebelum dan sesudah terowong, jalannya begitu menyesakkan. Sekitar jam 7.00 malam, barulah kenderaan kami dapat melepasi tol Sungai Besi.

Sewaktu kenderaan kami sedang meluncur laju (tapi ikut had laju yang dibenarkan), tiba-tiba ada seorang pemandu lori yang tak ada otak membuang puntung rokoknya di atas jalan raya. Nasib baiklah tak kena kenderaan kami. Saya katakan pemandu semacam ini bodoh kerana dia tak pernah memikirkan langsung bahaya gara-gara perbuatan bangangnya itu. Kalau apa-apa yang tak diingini berlaku, dia dan kenderaannya terus meluncur pergi. Yang mungkin kena bahaya ialah kenderaan dan orang lain.

Saya tak dapat nak selidik siapa nama dan apa nombor kad pengenalan pemandu bodoh tu, tapi yang masih segar dalam ingatan saya ialah nombor pendaftaran lorinya iaitu JFY***. Nombor pendaftarannya mudah untuk saya ingat kerana nombornya ialah 3 dijit kedua nombor telefon tangan saya.

Selain itu, golongan pemandu yang gemar potong kiri di jalan raya kita memang berlambak dan berbondong-bondong. Rasanya sudah terlalu acap kali pihak yang berwajib mengingatkan supaya jangan potong kiri, kalau nak memotong juga ambil lorong yang betul dan dengan cara yang selamat, tapi apakan daya, sebilangan pemandu kita bertelinga kuali, maka itulah perbuatan yang membahaya dan menyusahkan pemandu lain terus-terusan berleluasa. Bila bahayanya terkena pada batang hidung sendiri baru padan muka mereka.

Agaknya, sebilangan pemandu di negara kita lebih takut dengan polis dan JPJ daripada malaikat maut.



Salam dari JB.

Selamat Bercuti

Bagi kebanyakan negeri di Malaysia, hari ini adalah hari terakhir persekolahan untuk semester ini. Manakala bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah hari ini pula merupakan hari pertama cuti untuk tempoh dua minggu.

Bagi murid, saat ini antara saat yang menggembirakan. Maklumlah mereka akan bercuti selama 14 hari. Manakala bagi murid yang tinggal di asrama, ia tentunya lebih menggembirakan. Mereka tidak sabar untuk pulang ke tempat asal masing-masing untuk bertemu ibu bapa serta kaum keluarga masing-masing setelah sekitar 10 minggu berjauhan dari mereka.

Saya yang berpengalaman tinggal di asrama sejak berusia 8 tahun lagi tentunya telah meniti pelbagai pengalaman tatkala hari seperti hari ini menjelang tiba. Kegembiraan memang tak tersembunyi lagi. Keadaan sebaliknya pula berlaku bila menjelangnya hari terakhir cuti persekolahan. Fenomena sebeginilah yang saya alami dari sejak bersekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah. Maklumlah sama ada di sekolah rendah mahupun semasa di sekolah menengah, antara sekolah/asrama dengan kampung halaman jaraknya beratus batu. Semasa saya di alam kampus, situasinya mula berubah.

Kepada seluruh murid di negara ini, diucapkan selamat bercuti. Biar apa pun aktiviti semasa bercuti kelak, berhati-hatilah. Jangan kerana kecuaian sendiri, lewat pula datang semula ke sekolah nanti.

Kepada rakan pendidik, selamat bercuti juga saya ucapkan. Ada sebilangan di antara kita yang harus bertugas dalam masa cuti sekolah. Hal inilah yang kurang dimaklumi oleh sebilangan mereka yang bukan terlibat sebagai pendidik.

Selamat bercuti semua!

Thursday, May 26, 2011

Virtual SMPK Interactive

Sekumpulan murid dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Setapak telah pun memulakan laman sesawang interaktif di bawah Google Groups. Kalau tak silap saya, laman sesawang berkenaan baru sahaja beroperasi hampir sebulan.



Seramai 5 orang murid yang juga merupakan moderator laman sesawang berkenaan. Mereka ialah:


  1. Kaveinthran A/L Pulanthran;

  2. Ahmad Danial bin Mohd Sani;

  3. Amiruddin bin Abdullah;

  4. Teh Yong Shing;

  5. Krshmann A/L Vijayakumaran.



Selain daripada 5 murid di atas, mereka turut disertai oleh Cikgu Tang Lai Shin yang juga merupakan guru ICT di sekolah berkenaan.



Antara objektif laman sesawang berkenaan ialah sebagai medium untuk menyalurkan pelbagai artikel bercorak ilmiah. Laman sesawang berkenaan juga bertujuan sebagai saluran bertukar-tukar bahan dan nota yang berkaitan mata pelajaran. Ia juga bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan kegunaan ICT khasnya dalam pelajaran. Selain itu, ia juga bermatlamat untuk mendidik para pelanggannya (subscribers) supaya menggunakan kemudahan ICT dengan cara yang bermanfaat dan berhemah.

Bagi saya, kewujudan laman sesawang interaktif seumpama ini di sekolah seperti SMPK Setapak, walaupun agak sudah terlewat, tetapi ia masih berguna dan bermakna khasnya kepada para pelajar itu sendiri. Ia menunjukkan kesedaran dalam kalangan murid pendidikan khas terhadap kepentingan ICT tetap ada.

Bagi saya, perkara yang sepatutnya dilakukan oleh jabatan/bahagian yang berkaitan dengan pendidikan khas ialah melonjakkan lagi kesedaran, keupayaan dan kemahiran ICT dalam kalangan murid dan guru di sekolah-sekolah pendidikan khas. Hal seumpama ini saya tekankan kerana penggunaan ICT dalam kalangan murid-murid cacat penglihatan memerlukan kemahiran khas, selain daripada beberapa peralatan dan perisian khas. Selama ini, kebanyakan pengguna ICT di sekolah-sekolah khas terpaksa mengambil inisiatif sendiri jika ingin ke hadapan dalam bidang iCT.

Saya dimaklumkan, laman sesawang interaktif ini bukan sahaja untuk murid SMPK Setapak semata-mata, bahkan ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat dan objektif yang sama. Oleh itu, sesiapa yang berminat untuk menyertai kumpulan ini, bolehlah melayari laman sesawang sebagaimana di bawah ini.

smpksetapak+subscribe@googlegroups.com

Berdasarkan kepada pemerhatian saya setakat ini, terdapat beberapa orang penyumbang yang aktif. Bahan yang telah disumbangkan juga agak pelbagai. Oleh kerana bahan yang disumbangkan diambil daripada sumber lain, maka seeloknya di hujung bahan tersebut nyatakan sekali sumber asal bahan berkenaan. Ia sekaligus dapat mengelakkan kita dicap sebagai plagiat.

Antara penyumbang paling aktif ialah Saudara Teddybear Cute. Selain sumbangan yang kerap, bahan yang beliau sumbangkan juga berkualiti dan ada nilai info yang baik. Terima kasih Cute!

Oleh itu, marilah kita sama-sama sokong laman sesawang interaktif ini kerana yang akan mendapat manfaatnya nanti ialah murid-murid dalam kalangan kita juga. Besarlah harapan saya dan juga harapan semua agar tiada pihak yang akan menyalahgunakan laman sesawang interaktif yang masih bayi ini.

Tentu Kaveinthran berpuas hati dengan posting kali ini!

Wednesday, May 25, 2011

Sembang Malam

Harga Barang Semakin Naik

Hari ini, kalau kita ke mana-mana sahaja di bumi tercinta ini, kita pasti akan terdengar keluhan orang ramai mengenai kenaikan harga pelbagai jenis barang. Di kedai kopi, di warung, di stesen pengangkutan awam, di pejabat kerajaan dan swasta, di pejabat badan-badan bukan kerajaan, di kantin sekolah, di kampung dan di bandar, bahkan di mana sahaja di negara ini, orang akan bercakap mengenai kenaikan harga barang. Kalau sudah ramai yang bercakap dan mengeluh, saya rasa orang-orang besar terutama di Putrajaya sana tak boleh tidak kena buka telinga juga.

Ada barang yang harganya naik diberitahu. Tak kurang juga ada barang yang harganya naik senyap-senyap. Tak kiralah, sama ada kenaikan harga barang berlaku secara senyap atau kenaikannya dihebahkan, rakyat biasa tetap akan menanggung kesannya.

Seperti yang semua orang sudah duga, kalau harga minyak naik, harga barangan lain pasti akan turut sama naik. Walaupun siang tadi kerajaan memberi jaminan harga minyak ron 95 dan disel tidak akan naik, tapi tidak pula diberitahu sampai bila harga sekarang boleh bertahan. Ini menandakan paras harga yang ada sekarang tidak boleh bertahan lama. Soalnya, sampai bila?

Selalu sangat kita dengar orang-orang politik cakap, walaupun harga naik tapi ia masih tidak membebankan rakyat. Betul ke? Habis, yang orang ramai semakin mengeluh di sana sini tu apa dia? Bukan beban ke tu? Ke, orang-orang di Putrajaya tersalah tafsir, orang mengeluh dikatakan menyanyi?

Sesetengah orang politik suka sangat buat perbandingan bodoh. Konon katanya, harga sesetengah barang di negara kita terpaksa dinaikkan kerana harga barang tertentu sampai seringgit lebih rendah bila dibandingkan harga barang yang sama di negara-negara jiran. Katanya lagi, kalau harga tidak dinaikkan, ia akan mengakibatkan berleluasanya penyeludupan. Jadi, sebagai langkah mencegah penyeludupan, maka harga barang tertentu perlu dinaikkan.

Kalau penyeludupan yang menjadi masalahnya, tentulah jalan penyelesaian utama ialah dengan melakukan penambahbaikan kepada agensi yang berkaitan dengan anti penyeludupan. Kalau agensi berkenaan tidak cukup kakitangan, tambah sajalah kakitangan. Satu lagi, kena pastikanlah agar agensi anti penyeludupan berfungsi semaksimumnya. Kalau ini dapat dilaksanakan, saya rasa rakyat biasa tidak perlu dibebankan dengan kenaikan harga barang kononnya untuk mencegah penyeludupan.

Sudah menjadi lumrah agaknya, bila harga barang naik, ia sukar untuk turun semula. Oleh itu, orang seperti Encik Mail harus memastikan supaya harga barang, terutamanya barangan keperluan tidak naik. Kalau ia naik, payah untuk turun semula!

Seperkara lagi, kalau harga barang naik tapi gaji masih di takuk lama, ia akan menyebabkan golongan pekerja tertentu melakukan kerja-kerja sampingan di luar. Tujuannya satu, untuk menambah pendapatan keluarga. Maklumlah, harga kebanyakan barang keperluan sudah naik!

Di sini, saya pun tak tahu apakah cadangan yang patut dikemukakan untuk elakkan menjadi mangsa kenaikan harga barang. Hendak dipulau, Kebanyakan harga barang yang naik adalah barang keperluan. Hendak tambah kakitangan di bahagian penguatkuasa pengguna, saya belum ada kuasa lagi untuk berbuat demikian. Hendak menghukum orang tengah yang suka membuat untung berlebihan, saya masih tak tahu orang yang mana satu.

Akhirnya, rakyat biasa juga yang sering dinasihatkan supaya jangan membazir, sentiasa berjimat, harus bersabar, dan macam-macam lagi.

Saya sekadar menyembang saja sementara nak berpindah sekejap ke alam mimpi.

Tuesday, May 24, 2011

Jangan Bersubahat

Agaknya sudah menjadi sebahagian daripada keangkuhan makhluk yang bernama insan, selagi dia tidak ditimpa azab daripada Allah, maka selagi itulah dia akan terus-terusan melakukan sesuatu yang salah sedangkan pada masa yang sama dia tahu perkara itu adalah salah. Kalaulah ditimbang dengan naluri iman yang masih berbaki, saya yakin dia akan mengakui bahawa perkara yang dilakukannya adalah salah. Apakan daya, pertimbangan lain telah mengatasi pertimbangan imanya,maka itulah golongan tersebut masih bongkak melakukan perkara yang sudah terang salahnya itu. Demikianlah sombongnya sesetengah makhluk yang bernama manusia.

Pihak yang telah mencuri soft copy Alquran Braille daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sedang berusaha untuk membuat semakan terhadap hard copy Quran Braille yang telah dicurinya itu. Konon khabarnya, pihak pencuri berkenaan telah menghubungi beberapa orang golongan hafiz dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan untuk membantunya bagi melaksanakan tujuan berkenaan.

Sehingga kini, saya amat yakin dengan ayat 9 dari surah Al-Hijr yang antara lain mafhumnya: “Sesungguhnya, Kami (Allah) yang telah menurunkan Alquran, dan sesungguhnya Kami (Allah) yang akan memeliharanya”. Sesungguhnya keyakinan saya yang ini insha-Allah tidak akan berubah sampai bila-bila.

Justeru, saya amat yakin, Alquran (walaupun ia Cuma Alquran Braille) juga akan tetap terpelihara sebagaimana Alquran cetakan biasa. Saya juga turut berkeyakinan penuh, oleh kerana mereka yang telah hafaz Alquran juga berada dalam pemeliharaan Allah dengan berkat Alquran yang telah mereka hafaz itu, maka itu golongan tersebut juga tidak akan terheret, insha-Allah, dengan kerja-kerja yang dilarang oleh Allah. Sesungguhnya mengambil yang bukan hak kita adalah ditegah oleh Allah, dan sesungguhnya bekerjasama dengan orang yang telah mengambil hak orang lain tanpa hak subahat namanya. Ia juga dibenci oleh Allah. Demikianlah sedikit ilmu yang ada pada saya.

Pada 22 Disember 2010 (Rabu) yang lalu, seorang hamba Allah iaitu ********* telah memberitahu kononnya Alquran Braille (Alquran Braille curian) yang ada pada beliau telah disemak oleh si anu dan si fulan. Walau bagaimanapun, apabila saya bertanya sendiri dengan si anu dann si fulan yang dimaksudkan, jawapan yang saya terima ialah mereka tidak pernah terlibat dengan penyemakan Alquran Braille sebagaimana yang didakwa oleh *********. Kita harus sama-sama ingat, semua perbualan dan dialog yang telah diluahkan dalam pertemuan pada 22 Disember 2010 yang lalu telah terakam rapi dalam pengetahuan Ilahi. Pada 25 Disember 2010, saya ada menulis mengenai pertemuan yang saya maksudkan. Tulisan berkenaan bertajuk “Alquran Braille: Jangan Tegakkan Benang Basah”.

Satu lagi, kalau Alquran Braille curian itu telah disemak sebagaimana yang didakwa, mengapa sekarang masih ada usaha untuk menghubungi golongan hafiz tertentu dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan? Alquran Braille curian itu masih tak habis disemak lagi ke?

Mungkin antara lain tujuan usaha penyemakan tersebut adalah bagi mengabui mata pihak-pihak tertentu. mungkin setelah naskah Alquran Braille curian itu selesai disemak nanti, naskah berkenaan akan diajukan pula kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan pengiktirafan. Mungkin itu yang sedang dirancangkan.

Ingatlah “Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan perancangan Allah itu adalah sebaik-baik rancangan” (ayat 54, Ali Imran, juzuk 3).



Foto di atas adalah tulisan yang terdapat pada kulit hadapan naskah Alquran Braille curian berkenaan. Tulisan berkenaan telah terpampang dalam sebuah akhbar arus perdana pada 19 Disember 2010 (Ahad). Bagi mereka yang mahir dengan tulisan Alquran, tentunya dengan mudah dapat menemui kesalahaan ejaan yang sememangnya jelas. Kalau tulisan pada kulitnya sudah salah, bagaimana pula dengan isinya? Jika Datin Seri Rosmah tidak perasan (saya tidak bermaksud mengatakan beliau tidak tahu) kesalahan yang ada, saya masih boleh maafkan, tetapi yang ajaibnya, Dr. Mashitah pun tidak perasan sama.

Memang benar, soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan PERTIS tidak dipatenkan mengikut undang-undang yang ada. Itu tidak bermakna mana-mana pihak boleh sewenang-wenangnya mencuri soft copy berkenaan. Ingatlah, paten hanyalah peraturan duniawi semata-mata. Tetapi dosa dan kesalahan mengambil sesuatu yang bukan hak kita adalah dosa dan kesalahan yang telah ditetapkan oleh Allah di dunia bawa ke akhirat.

Sebenarnya, sehingga ke saat ini pun saya masih hairan dan tertanya-tanya, apakah kewajarannya bagi individu yang berkenaan untuk menyedut soft copy Alquran Braille daripada komputer PERTIS secara tidak sah. Walhal individu berkenaan langsung tidak terlibat dengan penyalinan soft copy Alquran Braille berkenaan. Individu berkenaan juga tidak terlibat langsung ketika soft copy berkenaan masih di tahap pembetulan. Setakat yang saya maklum, keterlibatan individu berkenaan hanyalah menghadiri mesyuarat-mesyuarat tertentu dengan pihak-pihak tertentu bagi mewakili PERTIS ketika itu bilamana perbincangan mengenai Alquran Braille diadakan. Jika individu berkenaan berpendapat, dia juga turut berhak untuk menyedut soft copy Alquran Braille daripada komputer PERTIS hanya semata-mata dia adalah pemimpin atasan PERTIS, bagi saya pendapat itu adalah salah sama sekali. Bahkan jika kewajaran itulah yang dipegang, maka individu berkenaan adalah orang yang tidak amanah dan tidak bermoral.

Sudah beberapa kali saya nyatakan, jika mana-mana pihak telah berjaya menghasilkan soft copy Alquran Braille sebagaimana kaedah penyalinan yang telah dilakukan oleh Tuan Haji Muhammad Lee, maka saya memberi jaminan, saya, Tuan Haji Muhammad Lee dan PERTIS langsung tidak ada masalah dan halangan untuk bekerjasama dengan pihak berkenaan untuk apa tujuan sekalipun. Tetapi apabila kita bekerjasama dengan pihak yang melakukan pencurian, kita sebenarnya telah menghalalkan pencurian yang telah dilakukan.

Kepada mana-mana pihak yang telah dipelawa untuk bekerjasama dengan mana-mana golongan yang telah melakukan pencurian atau penipuan, saya syorkan agar lakukanlah solat istikharah terlebih dahulu sebelum menerima atau menolak pelawaan berkenaan. Sesungguhnya petunjuk dari Allah adalah yang paling benar dan hakiki. Ingatlah peringatan Allah dalam kitab suci-Nya yang antara lain mafhumnya: “Dan bertolong-tolonganlah kamu pada perkara kebaikan dan takwa, dan jangan sekali-kali kamu bertolong-tolongan pada perkara dosa dan permusuhan” (ayat 3, Al-Ma’idah, juzuk 6).

Saya sekadar memberikan peringatan dan nasihat semata-mata khususnya kepada mereka yang ingin berkongsi peringatan dan nasihat. “Dan ingat-mengingatilah, maka sesungguhnya peringatan itu amat bermanfaat kepada mereka yang beriman” (ayat 55, Az-Zariat, juzuk 27).

Saya tidak khuatir kalau kena saman di dunia ini, tetapi saya sangat takut dan amat gerun jika Allah saman saya di akhirat nanti.

Sunday, May 22, 2011

Panel E-Braille Quran Di Kuala Lumpur Convention Centre



Semalam (21 Mei) merupakan hari kedua pameran Itex yang berlangsung di Kl Convention Centre. Manakala untuk kunjungan awam pula, semalam merupakan hari pertama. Kehadiran saya di sini adalah merupakan sebahagian daripada kumpulan E-Braille Quran For Teaching Aid. Upacara perasmian telah pun disempurnakan oleh YB Datuk Mohd Fadilah Yusuf selaku timbalan menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Upacara perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat.



Bagi kumpulan E-Braille, sudah tentulah kesemua ahli kumpulan penyelidiknya (kecuali saya) adalah daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. Sebagaimana biasa, bahan yang dipamerkan ialah panel E-Braille. Terdapat beberapa lagi ciri menarik yang telah ditambah oleh ahli kumpulan penyelidik ini.



Antaranya ialah, tahap pergerakan titik-titik Braille secara automitik telah ditambah daripada 3 sebelum ini kepada 5 tahap. Selain itu, bagi saya, sistem audionya juga sudah semakin baik. Bahkan yang lebih menarik lagi, kumpulan ini juga telah mula memperkenalkan modul pengajaran matematik mudah yang sangat menarik. Buat masa ini, kumpulan ini telah memperkenalkan sistem pelajaran sifir. Walaupun ia masih di tahap permulaan, tetapi kreativiti dan inovasi kumpulan penyelidik ini amat membanggakan.



Antara kreativiti yang terdapat pada pelajaran sifir yang saya maksudkan ialah titik-titik Braille tertentu yang membawa maksud sifir tertentu akan timbul di atas panel berkenaan. Pada masa yang sama, suara (audio) turut berfungsi dengan memaklumkan maksud setiap titik Braille yang timbul. Sebagai contoh, bila titik-titik Braille yang membawa maksud 1 darab 2 timbul di atas panel berkenaan, serentak dengan itu juga sistem audionya akan berfungsi dengan memperdengarkan “1 darab 2”. Demikianlah.



Sama-samalah kita doakan semoga kumpulan penyelidik ini akan terus maju demi manfaat orang seperti kita juga. Marilah kita terus berdoa semoga kumpulan penyelidik ini akan mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkenaan supaya usaha mereka tidak terhenti di pertengahan jalan. Saya rasa, kalaulah kumpulan penyelidik ini berada di Amerika Syarikat atau di Eropah, sudah lama mereka akan mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak-pihak yang sepatutnya. Apakan daya, kumpulan penyelidik ini berada di sini, jadi merekalah yang harus pening kepala sendiri untuk memikirkan ke manakah hasil penyelidikan mereka harus dihalakan selepas ini.



Walaupun pameran Itex ini saya maklumkan menerusi blog ini kurang daripada 12 jam daripada masa untuk kunjungan awam, ia tetap dikunjungi oleh seorang dua ahli PERTIS. Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Rosmadi dan Saudara Amat yang telah datang berkunjung ke booth yang menempatkan panel E-Braille.



Selain daripada panel E-Braille, terdapat banyak lagi booth yang menempatkan pelbagai hasil inovasi teknologi daripada pelbagai agensi, dan jabatan kerajaan, pihak swasta, pusat-pusat pengajian tinggi dan sebagainya. Kesempatan yang ada turut saya gunakan dengan mengunjungi beberapa gerai pameran lain.

Saya dan PERTIS memang tidak ada kabel politik. Sebab itulah kami tidak berpeluang untuk menyalurkan maklumat kepada timbalan-timbalan menteri tertentu apa yang selama ini menjadi hak dan kepunyaan kami yang telah pun dicuri. Kami pun masih belum tergamak untuk memukul canang siapakah si pencuri itu.

Barisan Pemimpin Baru SBM Cawangan KL/Selangor

Sebagaimana yang telah saya maklumkan semalam, pada hari ini telah berlangsung mesyuarat agung tahunan SBM Cawangan KL/Selangor. Oleh kerana saya pun tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, maka hingga ke saat ini pun saya masih tak dapat mengingati mesyuarat kali ini entah mesyuarat yang ke berapa. Saya rasa, Cikgu Jais mungkin masih ingat mesyuarat hari ini mesyuarat yang ke berapa walaupun kini beliau hanya berstatus mantan sahaja.

Di sini, saya dengan penuh sukacita ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada mereka yang telah tepilih sebagai ahli jawatankuasa SBM Cawangan KL/Selangor untuk tempoh 2 tahun.

Di bawah ini, saya senaraikan barisan pemimpin baru SBM Cawangan KL/Selangor bagi tahun 2011-2013:


  1. Pengerusi: En. Abbas Ashaari.

  2. Naib Pengerusi: Pn. Rosnah Ahmad.

  3. Setiausaha: Pn. Romainum Zakaria.

  4. Bendahari: En. Mohd Yusuf Abdullah.

  5. AJK Biasa: Mohd Ali Ahmad.

  6. AJK Biasa: En. Abyan Jambot.

  7. AJK Biasa: En. Isa Taib.



Kepada mereka yang telah terpilih, selamat menjalankan tugas. Kita berkhidmat untuk rakan-rakan senasib kita juga. Maka itulah juga, saya penuh yakin, tiada seorang pun di antara barisan pemimpin baru yang telah terpilih akan menjadikan SBM khususnya cawangan KL/Selangor sebagai sumber periuk nasi masing-masing kerana jika itu yang terjadi maka amat malanglah pertubuhan yang kita pimpin dan dua kali malanglah orang yang telah memilih kita sebagai pemimpin.

Satu lagi, janganlah hendaknya ada di antara mereka yang baru terpilih sebagai pemimpin di SBM Cawangan KL/Selangor akan meletakkan jawatan di pertengahan musim. Jika ini yang berlaku, orang yang berbuat kerja tak senonoh itu hanya sekadar mempermain-mainkan orang yang telah memilihnya. Perletakan jawatan di pertengahan musim juga akan menyusahkan AJK yang masih kental menjalankan tugas. Walaupun AJK yang meletakkan jawatan itu beribu kali mengutarakan kalimaah “maaf”, beban tugas yang ditinggalkannya tetap tidak berubah.

Seperkara lagi, bila kita sudah di barisan pemimpin, tugas kita bukan sekadar untuk menjadi pengarah semata-mata. Berdasarkan kepada nama AJK baru yang tersenarai di atas, saya yakin sifat sedemikian tiada kepada seorang pun di antara mereka. Baguslah kalau begitu.

Tuan Haji Nazari mungkin sudah boleh mula mencongak kedudukannya dalam mesyuarat agung dwitahunan SBM peringkat kebangsaan tahun hadapan.

Saturday, May 21, 2011

Sembang Dinihari

Siapa Setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor Selepas Ini?

SBM ialah Society Of The Blind In Malaysia. Ia merupakan salah sebuah badan bukan kerajaan yang berdaftar secara sah untuk golongan cacat penglihatan di negara kita. Antara ciri unik dalam SBM ialah ia ditadbirkan sendiri oleh mereka yang cacat penglihatan. Pertubuhan ini telah pun ditubuhkan sejak tahun 1964 lagi. Hari ini, SBM mempunyai cawangannya di hampir setiap negeri di Malaysia. Keahliannya pula terdiri daripada pelbagai bangsa dan kepercayaan, asalkan warganegara Malaysia. Panjang sebenarnya kisah SBM kalau hendak diperikan. Kalau hendak tahu lebih lanjut khususnya mengenai sejarah awal pertubuhan tersebut, bolehlah jumpa dengan Ivan Ho. Saya sendiri pun banyak mengetahui banyak fakta sejarah awal SBM daripada beliau.

Pada hari esok (22 Mei), SBM Cawangan KL/Selangor akan mengadakan mesyuarat tahunannya. Saya pun tak pasti ini merupakan mesyuarat tahunannya kali yang ke berapa. Kali akhir saya menghadiri mesyuarat tahunan SBM Cawangan KL/Selangor ialah pada tahun 1999. Walau bagaimanapun, saya masih merupakan ahli SBM hingga hari ini. Bayar yuran tak pernah bertangguh semenjak nombor keahlian saya ada huruf A di hujungnya. Kalau tak percaya, tanyalah sendiri pada Cikgu Jais.

Sejak beberapa minggu belakangan, berita yang semakin mendapat perhatian daripada ahli-ahli KL/Selangor dari segenap ceruk rantau ialah siapakah yang akan menjadi setiausaha bagi SBM cawangan tersebut. Untuk pengetahuan bersama, dalam mesyuarat agung tahunan SBM Cawangan KL/Selangor kali ini, semua jawatan ahli jawatankuasa akan dipertandingkan. Antara jawatan yang paling tidak popular untuk ditandingi ialah jawatan setiausaha.

Untuk pengetahuan bersama juga, penyandang jawatan setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor sekarang ialah Cikgu Mohd Jais. Beliau telah pun memegang jawatan tersebut sejak tahun 1997 lagi. Masa itu, beliau pun masih lagi bujang. Kini, Cikgu Jais sudah pun beristeri, tapi masih seorang, dan sudah punya anak tiga. Anaknya yang tua sudah pun masuk ke alam sekolah menengah. Demikianlah panjangnya usia Cikgu Jais sebagai setiausaha cawangan. Selama 14 tahun menjawat setiausaha cawangan KL/Selangor, beliau pernah dicabar hanya sebanyak dua kali sahaja. Salah seorang daripada pencabarnya sudah pun kembali ke alam arwah. Sebab itulah juga tadi saya katakan jawatan setiausaha merupakan jawatan yang paling tidak popular untuk ditandingi.



Perkhabaran mengenai siapa yang akan menjadi setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor mula mendesas-desus apabila penyandangnya sekarang mula menyuarakan hasratnya untuk tidak bertanding lagi untuk jawatan berkenaan. Setakat yang saya maklum, sehingga ke saat ini pun Cikgu Jais masih lagi tidak mengisi borang pencalonan untuk jawatan berkenaan. Nampaknya beriya sungguh Cikgu Jais. Ada juga yang memaklumkan kepada saya, perkhabaran mengenai jawatan setiausaha SBM Cawangan Kl/Selangor sudah mendapat liputan luas di PTT (push-to-talk). Saya sekadar mendengar maklumat daripada orang lain sahaja, maklumlah saya sendiri tak ada perkhidmatan PTT.

Setakat yang saya maklum, antara sebab Cikgu Jais berhasrat tidak ingin bertanding lagi ialah beliau sudah terlalu lama memegang jawatan tersebut, 14 tahun beb! Selain itu, katanya, beliau ingin berehat buat sementara. Di samping itu, beliau juga ingin memberi peluang kepada generasi yang lebih muda untuk memegang jawatan tersebut, kalau ada. Cikgu Jais juga ada meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan AJK tertentu di SBM Pusat. Kalau hendak tahu lebih lanjut, tanyalah sendiri pada Cikgu Jais.

Memandangkan Cikgu Jais semakin serius untuk tidak bertanding lagi, maka beberapa orang mula melobi beberapa nama sebagai persediaan jika jawatan berkenaan benar-benar kosong nanti. Setakat ini, empunya nama yang telah dilobi telah menolak untuk menyandang jawatan setiausaha. Alasannya macam-macam. Kesimpulan alasan yang diutarakan ialah, mereka tidak berkemampuan untuk melaksanakan tugas sebagai setiausaha. Kalau sedar diri dari awal semacam ini memang bagus. Jangan ambil jawatan tapi di pertengahan musim letak jawatan pula. Ini cukup menyusahkan orang lain. Saya memang ada pengalaman dengan orang sebegini.

Pada hemat saya, keadaan ini masih boleh diselamatkan lagi. Saya telah mengenali Cikgu Jais bukannya setahun dua. Kami telah kenal antara satu sama lain sejak sebelum Cikgu Wan Suhaimi lahir ke dunia lagi. Dalam mesyuarat esok, jika jawatan berkenaan kosong dan tiada siapa yang hendak bertanding, ahli-ahli secara beramai-ramai boleh merayu kepada Cikgu Jais agar meneruskan khidmatnya. Hati dan budi bicara Cikgu Jais bukanlah keras macam batu. Ada ketikanya, beliau masih boleh membuat pertimbangan yang waras dan wajar. Selain itu, En. Abbas Ashaari dan Tuan Haji Mohd Nazari selaku rakan lama Cikgu Jais juga boleh berperanan untuk menyelamatkan keadaan. Saya rasa, dengan kewibawaan serta keakraban persahabatan di antara Cikgu Jais dengan kedua-dua mereka ini, En. Abbas dan Tuan Haji Nazari mampu untuk memujuk Cikgu Jais agar meneruskan perkhidmatannya selaku setiausaha SBM Cawangan KL/Selangor sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi. Pada masa yang sama, selaku presiden SBM kebangsaan masa ini, Tuan Haji Nazari juga boleh berperanan lebih berkesan untuk membetulkan keadaan di SBM Pusat yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati oleh Cikgu Jais. Insha-Allah, jika ini dapat dilaksanakan, keadaan harmoni ini akandapat dikekalkan.

Kepada rakan-rakan SBM Cawangan KL/Selangor, saya ucapkan selamat bermesyuarat esok.

Friday, May 20, 2011

Panel E-Braille Quran Di KL Convention Center

Bermula hari ini, Panel E-Braille Quran dipamerkan di Kuala Lumpur Cponvention Center. Pameran ini adalah di bawah anjuran Malaysian Industrial Development Society. Pameran ini akan diadakan sehingga esok (Sabtu). Pameran ini dibuka bermula jam 10.00 pagi sehinggalah jam 6.00 petang.



Oleh itu, sesiapa yang berkesempatan, dipersilakan untuk mengunjungi booth 6 dan 7 bagi melihat sendiri inovasi terkini oleh kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kepada mereka yang tidak nberkesempatan semasa ia dipertontonkan di Hotel Legend pada bulan Februari lalu, inilah masanya untuk anda melihat panel yang telah diwar-warkan selama ini.

Maklumat ini mungkin agak lewat diwar-warkan, tetapi ia tidaklah terlalu lambat. Jangan lepaskan peluang yang masih berbaki!

Tuesday, May 17, 2011

Menghadiri Ceramah Ustaz Zawawi Anjuran PERTIS

Petang tadi, saya telah berkesempatan menghadiri satu ceramah yang telah disampaikan oleh Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusuf. Ceramah berkenaan adalah anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Ceramah berkenaan telah berlangsung bertempat di dewan utama, Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur.



Sebelum ceramah bermula, saya selaku Yang Dipertua PERTIS telah menyampaikan sedikit ucapan alu-aluan.



Selepas itu, kumpulan nasyid Al-Raudhah pula mengambil giliran dengan mempersembahkan dua buah lagu. Kumpulan ini merupakan kumpulan nasyid yang berada di bawah naungan PERTIS. Selepas itu baru tiba giliran Datuk Zawawi menyampaikan ceramahnya.

Datuk Mohd Zawawi merupakan seorang pendakwah bebas. Suaranya sering berkumandang dalam program motivasi di Radio IKIM. Beliau juga pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum tercebur sepenuh masa selaku pendakwah bebas. Menurutnya, iini kali pertama beliau bersama-sama dengan program yang dianjurkan oleh PERTIS.



Tema ceramah beliau ialah mengenai memperkasakan golongan belia. Kebetulan pula, ceramah beliau merupakan sebahagian daripada aktiviti yang berkaitan belia di bawah anjuran PERTIS. Menurut pendengaran saya serta maklumat daripada sumber yang sangat dipercayai, jumlah yang hadir memang ramai.



Sebagai seorang motivator, Datuk Zawawi mempunyai kaedah yang tersendiri untuk menarik perhatian audiennya. Walaupun cedramah beliau disampaikan secara spontan dan agak santai, tetapi kesan dan mesejnya begitu mendalam sekali. Boleh dikatakan, mereka yang mendengarnya tidak ada rasa bosan apatah lagi mengantuk. Antara kelebihan Datuk Zawawi ketika mengutarakan ceramahnya ialah beliau pandai menarik perhatian audiennya. Beliau sentiasa memastikan agar minda audien yang mendengar ceramahnya sentiasa berada bersama-sama beliau. Demikianlah antara kekuatan Datuk Zawawi selaku penceramah dan juga motivator.

Antara intipati ceramah beliau ialah, Datuk Zawawi menegaskan mengenai kepentingan solat, terutamanya solat yang wajib. Katanya, beliau yang perkasa adalah golongan belia yang sentiasa menjaga akan solatnya. Menurutnya lagi, ramai belia hari ini yang boleh terjebak dengan perbuatan yang tidak bermoral kerana mereka tidak menjaga solat, terutamanya solat wajib.

Selain itu, Datuk Zawawi juga menegaskan kepentingan sifat sabar. Katanya, sifat tersebut harus ada pada setiap orang, apatah lagi golongan belia. Kata Datuk Zawawi lagi, di antara tanda-tanda seseorang itu dikasihi Allah ialah apabila orang berkenaan banyak menerima ujian daripada Allah dan dia bersabar dengan ujian tersebut.



Selanjutnya, Datuk Zawawi juga menekankan tentang kepentingan berdoa. Katanya, bila kita berdoa kita jangan berputus asa apabila kita merasakan Allah tidak mengabulkan doa kita. Menurutnya, ada beberapa sebab mengapa doa kita belum terkabul. Yang penting, kita harus terus berdoa dan juga bersabar.

Bagi saya, Datuk Zawawi memang pandai berceramah. Beliau juga pandai menarik perhatian penonton/pendengarnya.



Di sini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada seluruh hadirin yang telah hadir pada majlis ceramah petang tadi. Kepada yang telah hadir, tentu kalian semua bersetuju dengan saya, iaitu banyak ilmu yang sama-sama dapat kita timba menerusi ceramah yang telah disampaikan oleh Datuk Zawawi tadi.

Monday, May 16, 2011

Cebisan Pengalaman Guru Lama

Bila tibanya hari guru seperti hari ini, saya pasti akan teringat pengalaman guru-guru saya yang terdahulu yang pernah diceritakan kepada saya. Ada yang pernah melalui pengalaman manis dan tak kurang juga yang pernah melalui pengalaman yang tidak manis. Perlu saya nyatakan di sini, sebahagian besar guru-guru saya dahulu merupakan mereka yang berpenglihatan, termasuklah guru yang pernah mengajar saya membaca dan menulis Alquran Braille. Seingat saya, di sepanjang saya bersekolah rendah dan menengah, hanya 2 orang guru sahaja yang tidak berpenglihatan. Apa yang saya pasti, kesemua guru yang pernah mengajar saya dahulu boleh membaca dan menulis tulisan Braille (guru-guru dalam aliran pendidikan khas) walaupun tidak semua di antara mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Demikianlah.

Salah seorang guru pendidikan khas dahulu ada menceritakan kepada saya, suatu hari beliau telah membawa beberapa orang muridnya ke luar sekolah untuk menjalani latihan orientasi dan mobiliti yang berkaitan dengan keselamatan di jalan raya. Sayugia dinyatakan di sini, murid-murid yang dibawa untuk tujuan sedemikian bukannya semuanya berpenglihatan terhad (rabun), malahan kebanyakan mereka merupakan murid yang tiada penglihatan langsung. Pada ketika itu, guru berkenaan sudah pun cukup berpengalaman dalam bidang berkenaan. Oleh itu, sudah tentulah beliau lebih arif mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu beliau ambil untuk memastikan keselamatan semua muridnya, dan itu pun yang telah beliau lakukan. Antara latihan yang telah beliau jalankan ketika itu termasuklah cara melintas jalan, cara berjalan di jalan raya yang selamat bagi murid yang tidak berpenglihatan, kaedah supaya murid lebih peka dengan aliran kenderaan dan yang seumpamanya.

Perlu saya nyatakan di sini, latihan berkenaan telah dilaksanakan di jalan raya sebenar. Oleh itu sudah tentulah apa yang sedang berlaku sedikit sebanyak mendapat perhatian daripada orang awam. Kebetulan pula, tidak jauh dari lokasi guru berkenaan sedang melatih murid-muridnya, ada seorang penjual sate yang sedang menjalankan perniagaannya. Mungkin berlaku salah faham bagi penjual sate berkenaan di mana beliau beranggapan guru tersebut sedang mendera murid-muridnya. Begitulah agaknya. Apa yang berlaku kemudiannya, penjual sate berkenaan telah datang ke lokasi di mana latihan sedang berjalan dan memarahi guru tersebut. Walaupun guru berkenaan cuba menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya, ia sama sekali tidak dapat diterima oleh penjual sate berkenaan. Baginya, guru tersebut tetap dilihat sedang “menyusahkan” anak-anak muridnya.

Ketika sesi latihan sudah berakhir dan tatkala murid-murid yang terlibat hendak berjalan pulang semula ke asrama, penjual sate tersebut telah memanggil murid-murid yang ada lalu memberi mereka makan sate secara percuma. Malangnya, guru yang telah melatih murid-murid tadi tidak dipelawa langsung. Jadi, guru berkenaan hanya melihat sahaja anak-anak muridnya makan sate percuma. Agaknya begitulah caranya penjual sate tadi melepaskan geramnya. Manakala bagi guru berkenaan, beliau sedikit pun tidak berkecil hati. Kebetulan pula, peristiwa sedemikian bukanlah pengalaman pertama untuknya. Guru yang saya maksudkan masih lagi bersama kita pada hari ini. Beliau sekarang menetap di Kuala Lumpur. Beliau telah pun hampir 15 tahun bersara. Peristiwa yang diceritakan kepada saya berlaku pada awal dekad 70-an lalu di Johor Baru.

Guru yang lain pula ada menceritakan kepada saya, iaitu pada masa lalu seseorang guru yang hendak memasuki bidang pendidikan khas harus mematuhi beberapa syarat tertentu. Antaranya, guru berkenaan haruslah sudah berkhidmat di sekolah biasa sekurang-kurangnya 5 tahun. Manakala program latihan untuk pendidikan khas pula berlangsung selama 1 tahun (kalau tak silap saya) di Maktab Perguruan Ilmu Khas. Di antara latihan yang perlu dilalui oleh semua bakal guru untuk pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan ialah latihan orientasi dan mobiliti.

Suatu hari, sekumpulan 3 atau 4 orang guru yang sedang menjalani latihan pendidikan khas telah dihantar ke luar maktab iaitu di tempat awam sebagai sebahagian daripada program latihan. Mereka pula harus menutup mata masing-masing di sepanjang menjalani latihan berkenaan. Bayangkanlah mereka yang selama ini berpenglihatan terang, tiba-tiba mata mereka harus ditutup. Lalu bergeraklah kumpulan guru-guru berkenaan ke lokasi yang telah ditetapkan. Ketika inilah mereka harus mempraktikkan kemahiran orientasi dan mobiliti yang telah dipelajari secara teori selama ini. Ketika sesi latihan seperti inilah pelbagai pengalaman pahit manis sering mereka lalui. Ada di antara mereka yang hampir jatuh longkang. Bahkan beberapa kali, ada orang awam yang telah menghulurkan wang kepada kumpulan guru-guru yang sedang menjalani latihan tersebut. Pernah juga kumpulan guru berkenaan yang kena marah dengan orang awam kerana mereka kononnya berpura-pura buta untuk mendapat simpati. Walau bagaimanapun, menurut apa yang telah diceritakan kepada saya oleh salah seorang guru yang pernah melalui pengalaman sedemikian, kesan daripada pengalaman berkenaan, beliau lebih menjiwai anak-anak muridnya. Justeru, simpatinya terhadap anak-anak muridnya bertempat dan marahnya kepada anak-anak muridnya juga bersebab. Saya pun tidak pasti sama ada latihan kental sedemikian bagi bakal guru-guru pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan masih ada lagi atau tidak.

Sesungguhnya, pelbagai pengalaman manis, pahit dan getir telah dilalui oleh guru-guru pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan pada masa lalu. Walaupun apa yang saya ketengahkan ini Cuma secebis, namun ia sangat berharga terutamanya bagi mereka yang pernah mengalaminya. Sepertimana yang pernah saya utarakan, pengalaman itu mungkin pahit ketika dilalui, tetapi semakin manis setelah ia berjaya kita lalui.

Kepada mereka yang pernah menjadi guru kepada saya, tiada lain yang saya sering lakukan selain berdoa semoga cikgu-cikgu semua sentiasa dalam peliharaan Allah jua dan akan beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat nanti. Walaupun cikgu-cikgu semua tidak mencelikkan mata saya, tetapi cikgu-cikgu semua telah membuatkan hidup saya terang-benderang.

Terima kasih cikgu!

Selamat Hari Guru 2011

Bersempena dengan hari guru hari ini ((16 Mei), saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada seluruh warga pendidik di negara kita. Ucapan istimewa saya tujukan kepada semua guru saya yang telah mencurahkan ilmu kepada saya dari sejak di bangku sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti dan seterusnya ke peringkat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban (ketika itu). Sesungguhnya budi kalian takkan lapuk dek hujan dan takkan lekang dek panas.

Kalau berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Kalau berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Ikhlas daripada

Zakaria bin Yahya.

Sunday, May 15, 2011

Kembalikan Semula Perpaduan Melayu

Hari ini, sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita suka atau tidak, realitinya bangsa Melayu semakin menuju ke arah perpecahan. Apa yang dikatakan sebagai perpaduan bangsa semakin jauh. Hari ini, umat Melayu lebih kerap bercakaran antara sesama mereka. Yang peliknya, Masing-masing pihak amat sedar percakaran di antara sesama kita hanya akan menguntungkan orang lain. Namun begitu, percakaran terus-terusan berleluasa dek kerana masing-masing lebih mementingkan kepentingan diri dan peribadi daripada kepentingan bangsa sendiri. Sudah banyak yang terlepas dari genggaman kita gara-gara percakaran sesama sendiri. Sayangnya ia tidak cukup untuk menyedarkan bangsa Melayu akan semuanya itu. Adakah kita perlu dijajah sekali lagi? Adakah kita harus melalui sekali lagi tempoh pahit dan getir sebagaimana zaman sebelum merdeka dahulu? Barang diingat, jika ianya berlaku sekali lagi, ia tidak berlaku untuk tempoh sehari dua, atau sebulan dua, mungkin ia akan berlarutan sehingga beberapa abad lamanya. Adakah itu yang kita inginkan sekali lagi?

Hari ini, sudah ada dalam kalangan orang Melayu yang takut untuk bercakap mengenai Melayu kononnya takut akan mencalarkan semangat 1 Malaysia. Bila hal sebegini sudah mula berlaku, maka bangsa Melayu sedang menuju ke arah penghapusan identitinya sendiri. Layakkah kita berkorban sehingga ke tahap ini? Lupakah kita dengan pesan nenek moyang sendiri, keran di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.



Di sini, saya tidaklah berhasrat untuk menghurai secara terperinci faktor dan sebab-musabab perpaduan Melayu itu semakin luput dari genggaman. Saya rasa, mereka yang bijak pandai khasnya dalam kalangan orang Melayu sendiri sudah maklum dengan perkara tersebut. Apatah lagi, dalam kalangan orang Melayu kini sudah ramai golongan cendekiawan yang bijak bestari lagi alim dan arif. Justeru, golongan berkenaan boleh mengutarakan fakta dan data mengenai sebab-sebab perpaduan Melayu kini semakin terhapus. Bahkan golongan berkenaan juga berkemampuan untuk mengenengahkan analisis dan cadangan ke arah mengembalikan semula perpaduan Melayu.

Apa yang mustahaknya, golongan cendekiawan Melayu haruslah mengemukakan fakta, data dan analisis yang berlandaskan asas-asas ilmiah. Jangan sesekali data, fakta dan analisis sedemikian dikemukakan secara biast dan untuk kepentingan kumpulan Melayu yang tertentu semata-mata. Kita harus ingat, perpaduan yang ingin dicapai ialah perpaduan untuk bangsa Melayu secara keseluruhannya dan bukannya untuk satu-satu kumpulan Melayu semata-mata.



Fenomena yang kian menggerunkan dalam kalangan orang Melayu kini ialah, sudahlah kita semakin berpecah kepada beberapa kumpulan khususnya dari aspek siasah, pada masa yang sama kita semakin bergantung pula kepada orang lain untuk memperkukuhkan kumpulan siasah masing-masing. Jika fenomena sebegini berlarutan, ia akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri. Untuk jangka pendek, memanglah sesetegah kumpulan Melayu akan beroleh kekuasaan politik kerana sokongan daripada bukan Melayu, tetapi untuk jangka panjang, ia akan mengakibatkan kuasa politik Melayu itu sendiri kian lemah. Pada masa yang sama, kumpulan yang menjadi penyokong kepada sesetengah kumpulan Melayu akan menjadi semakin kuat. Maka pada masa itulah nanti bangsa Melayu terpaksa melepaskan sedikit demi sedikit identiti dan kepentingan bangsa hanya semata-mata untuk survival kumpulan berkenaan. Sama ada kita sedar atau tidak, sekarang pun fenomena sebegini sudah mula berlaku. Adakah kita masih ingin menanti sehingga nasi menjadi bubur? Ingat, sesal kemudian tidak berguna!

Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, perpecahan yang hampir serupa pernah berlaku. Satu puak menyokong Tun Perak, manakala satu puak lagi menyokong Tun Ali. Sultan Melaka ketika itu amat menyedari perpecahan sedemikian jika berterusan akan merosakkan negara dan orang Melayu. Lalu baginda bukan sahaja telah bertindak bijak, bahkan telah mengorbankan kepentingan peribadinya demi perpaduan bangsa. Ternyata apa yang telah dilakukan oleh baginda itu tidak sia-sia. Orang Melaka telah bersatu semula. Maka itulah juga, Melaka telah berjaya mengatasi ancaman dan serangan tentera Siam.



Hari ini, orang Melayu melalui semula pengalaman perpecahan yang hampir serupa. Peranan sebahagian besar tokoh-tokoh Melayu hampir sudah tidak boleh diharapkan lagi. Mereka lebih mengutamakan kumpulan masing-masing daripada perpaduan bangsa secara keseluruhannya. Justeru, pada pandangan saya, sudah tiba masanya ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu pula berperanan dengan lebih aktif dan berkesan untuk menyatukan semula bangsa Melayu. Bagi saya, ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu merupakan benteng terakhir kepada keutuhan orang Malayu. Saya tidaklah sampai memohon ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu mengorbankan permasuri atau puteri masing-masing sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Sultan Muzaffar Syah di Melaka hampir setengah millennium yang lalu, tetapi lakukanlah apa sahaja asalkan bangsa Melayu kembali bersatu semula. Bagi saya, ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu harus berperanan dengan lebih nyata dan terbuka supaya hamba rakyat marhaen seperti saya dapat merasakan bahawa ke bawah duli tuanku raja-raja Melayu masih merupakan payung dan penaung kepada kami semua.

Fakta sejarah dengan jelas membuktikan, apabila orang Melayu bersatu, kita tidak pernah menjadi penggugat dan mengambil hak orang bukan Melayu. Sebaliknya, apabila orang bukan Melayu kuat dan menjadi penguasa, belum tahu lagi hak dan kepentingan Melayu akan terjamin. Lihatlah sendiri nasib yang menimpa bangsa kita di seberang tambak sana. Ingat, jika kita gagal belajar dari sejarah, nescaya kita akan dihukum dengan mengalaminya semula. Adakah itu yang kita idam-idamkan?

Kita perlu sedar, kemakmuran dan keamanan bangsa dan negara yang sedang kita kecapi hari inni adalah hasil usaha dan pengorbanan nenek moyang kita sejak berkurun lamanya. Bahkan mereka sendiri tidak sempat untuk merasai apa yang sedang kita rasai kini. Namun demikian, dek kerana gara-gara kerakusan kita sendiri, apa yang sedang kita kecapi tidak mustahil akan hilang dengan sekelip mata. Janganlah hendaknya kerana kesilapan kita hari ini, anak cucu kita pula yang akan mermpat dan merintih di bumi sendiri di kemudian hari.

Kita perlu ingat, kalau pun orang Melayu sudah berjaya melahirkan pemimpin yang bijak pandai, tanpa perpaduan yang gitu, kebijaksanaan yang ada tidak akan memberikan manfaat walau sebesar zarrah sekalipun.



Bila kita bercakap mengenai orang Melayu, kita juga bercakap mengenai orang Islam, kerana secara keseluruhannya bangsa Melayu adalah juga orang Islam.

Salam dari Kuantan.

Saturday, May 14, 2011

Ole-ole Dari Kedah (Bahagian Kedua)

Catatan ini masih lagi berlingkar pada 1 Mei 2011 (Ahad).

Dari lebuh raya Utara Selatan, kami mengambil susur keluar tol Sungai Petani Selatan. Kami memang tidak begitu mahir dengan kawasan sekitar Sungai Petani. Pernah sampai ke sini, tetapi amat jarang. Seingat saya, kali akhir saya singgah di Sungai Petani ialah pada tahun 2007, iaitu ketika menyertai rombongan perkahwinan sepupu saya di Sungai Lalang. Oleh itu, selain dari signboard kami harus rajin bertanya kepada orang tempatan. Begitulah cara kami kalau berkelana di tempat orang. Orang tua-tua pernah berpesan, kalau malu bertanya, nanti sesat jalan.

Berdasarkan maklumat orang setempat, tempat yang hendak kami tuju berada tidak jauh daripada Kuala Ketil. Oleh itu, kami telah mengambil jalan ke Kuala Ketil.

Setelah entah berapa kilo meter, akhirnya isteri saya ternampak signboard Mukim Sidam Kiri. Walaupun kenderaan kami memusing ke sebelah kanan, nama tempat ini tetap Sidam Kiri juga. Setelah beberapa ketika bergerak, kami berhenti di satu tempat untuk bertanya lagi. Kata orang berkenaan, tempat yang kami hendak tuju tidak berapa jauh lagi. Kata orang itu lagi, selepas lalu di hadapan sekolah, kalau hendak ke makamnya jalan terus; kalau hendak berjumpa dengan orang-orangnya (keturunannya), ambil kiri.

Apabila kenderaan kami tiba di persimpangan yang dimaksudkan, isteri saya hendak jalan terus (ke makam) kerana memang niat asal kami untuk menziarahi makamnya sahaja. Tetapi naluri hati saya kuat agar kami mengambil jalan ke kiri. Lalu saya meminta supaya isteri saya mengambil jalan ke kiri. Akhirnya kenderaan kami pun tibalah di Kampung Ekor Lubuk.



Kami berhenti pada satu rumah dan bertanyakan mengenai anak cucu kepada makam yang kami ingin ziarahi. Orang berkenaan terus menunjukkan kepada kami sebuah rumah yang agak besar yang tidak jauh dai rumahnya. Kepada hamba Allah yang berkenaan (terlupa saya hendak bertanya akan namanya) saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.



Kedatangan kami di rumah berkenaan telah disambut mesra oleh tuan rumah. Saya sekeluarga telah dipersilakan masuk dengan penuh sopan. Tuan rumah turut menghidangkan kepada saya sekeluarga makan dan minum. Beginilah adat istiadat kalau orang dari keturunan orang yang ternama dan berbangsa.

Setelah bertanya khabar dan berkenal-kenalan secara ringkas, saya pun terus memberitahu tujuan kedatangan saya. Saya memaklumkan, memang sudah lama saya berhasrat untuk mencari makam Daeng Parani. Bila saya dengar di sini masih ada lagi keturunannya, maka itulah saya dan keluarga memberanikan diri dan dengan kehendak Allah juga saya sekeluarga pun hadirlah ke rumah ini. Demikian saya memberitahu kepada tuan rumah. Setelah tuan rumah dan keluarganya mendengar penerangan saya, mereka sungguh gembira. Masih tergambar lagi kepada saya betapa gembiranya mereka bila mendengarkan maksud dan tujuan saya datang ke rumah mereka. Apatah lagi bila mereka mendapat tahu saya sekeluarga datang dari KL.

Dari perkenalan kami, orang yang banyak bercerita kepada saya namanya Liza (Roshazliza Abdul Razak). Menurutnya, beliau ialah generasi kelapan daripada Daeng Parani. Liza tidak lagi boleh berbahasa Bugis, bahkan beliau bercakap dialek Kedah pekat.

Sebagai memulakan, saya pun bercerita serba sedikit mengenai Opu Daeng Bugis lima bersaudara serta keturunan mereka. Saya juga turut berkongsi pengalaman saya sekeluarga ke Pulau Bintan dan Pulau Penyengat pada hujung tahun lepas serta hasil dapatan daripada pengalaman tersebut. Liza dan keluarganya amat suka dengan cerita dan pengalaman saya sekeluarga. Kata Liza lagi, dia sendiri masih belum berkesempatan untuk sampai ke Kepulauan Riau. Sebagai cenderamata daripada saya sekeluarga, saya turut menyerahkan gambar-gambar sewaktu kami ke Kepulauan Riau hujung tahun lepas buat kenangan untuk mereka sekeluarga.

Setakat yang saya maklum dan menurut Tuhfat An-Nafis, Daeng Parani memang pernah datang dan berperang di Kedah iaitu membantu sultan Kedah ketika itu untuk mempertahankan takhtanya daripada diambil oleh adindanya. Dalam peperangan itulah Daeng Parani telah terbunuh. Walau bagaimanapun, Tuhfat An-Nafis tidak menyatakan secara terperinci dimana Daeng Parani telah dimakamkan.


Syahadan maka tiada berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda pun serta Opu-opu itu mudiklah hendak melanggar kubu Raja Kecik sebelah hulunya pada rumah-rumahnya. Maka apabila sampai ke kota hulunya itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya, serta gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam rentaka dan sorak tempiknya. Maka dengan takdir Allah Taala serta dengan sudah sampai janjinya, maka Opu Dahing Parani pun kenalah peluru meriam tentang dadanya. Maka ia pun mangkatlah di atas beranda gurabnya dengan nama laki-laki, kerana waktu ia berperang besar itu ia bersiar-siar di atas beranda gurabnya kerana memerintahkan segala orang-orangnya berperang itu.


(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 223).

Sementara itu, adinda sultan Kedah yang cuba merebut takhta telah meminta bantuan daripada Raja Kecil Siak. Permusuhan di antara Opu Daeng Bugis lima bersaudara dengan Raja Kecil Siak sudah pun berlarutan beberapa tahun sebelumnya. Pertemuan kedua-dua belah pihak di Kedah hanya merupakan rentetan siri peperangan di antara kedua-dua belah pihak.



Liza memberitahu saya, beberapa kajian telah dibuat dan telah mengesahkan bahawa makam yang dimaksudkan (tidak jauh dari rumah Liza) adalah makam Daeng Parani. Sebagai memperkukuhkan pendapatnya, Liza turut menunjukkan kepada saya dan isteri hasil kajian yang telah dibuat oleh beberapa pengkaji. Salah seorang pengkaji yang dimaksudkan termasuklah seorang profesor dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, yang juga pernah mengajar saya dahulu.





Sewaktu berperang itu dan sebelum terbunuh, Daeng Parani telah dikahwinkan dengan Tengku Aishah, iaitu adinda kepada sultan Kedah. Hasil perkahwinan itu Daeng Parani kemudiannya beroleh seorang anak. Menurut Tuhfat An-Nafis, anak Daeng Parani dengan Tengku Aishah adalah seorang perempuan. Manakala menurut Liza pula, anak yang dimaksudkan adalah seorang lelaki. Katanya lagi, jantina sebenar anak Daeng Parani sengaja disembunyikan demi keselamatan anak itu sendiri.



Pada masa yang sama juga, menurut Tuhfat An-nafis, Raja Kecil Siak juga telah beristeri dengan kerabat diraja Kedah juga. Antara lain, Tuhfat An-Nafis menukilkan:



Maka Raja Kecik pun datanglah ke negeri Kedah hendak membantu raja Kedah yang muda itu. Maka di dalam hal itu maka Raja Kecik pun diberi oleh raja Kedah yang muda itu isteri, iaitu saudaranya. Maka nikahlah Raja Kecik dengan saudara raja Kedah yang Muda itu betapa adat raja-raja nikah kahwin.


(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 222).

Dengan ini, kerabat diraja Kedah telah menjalin tali perkahwinan dengan kedua-dua belah pihak, Daeng Parani di satu pihak, dan Raja Kecil Siak di pihak yang lain.



Saya turut bertanya, mengapa keturunan Daeng Parani yang ada di Kedah masa ini tidak menggunakan perkataan “Daeng” atau “Raja” pada pangkal nama masing-masing? Kalau di Kepulauan Riau terutamanya, keturunan Opu Daeng Bugis ini akan menggunakan perkataan “Daeng” atau “Raja” pada pangkal nama masing-masing. Liza memberitahu saya, ia juga berkaitan dengan keselamatan keturunan Daeng Parani sendiri. Katanya lagi, musuh Daeng Parani telah bersumpah untuk menghapuskan keturunan Daeng Parani. Oleh itu, demi keselamatan, anak cucu Daeng Parani dan keturunan mereka tidak menggunakan perkataan “Daeng” pada pangkal nama masing-masing. Demikianlah.



Di samping itu, saya juga turut bertanya mengenai 15 bahara wang yang masih berbaki 12 bahara wang lagi. Pertanyaan saya berasaskan kepada petikan berikut yang juga dipetik daripada Tuhfat An-Nafis:



Maka apabila sampai ke Kedah, berjumpalah ia dengan raja Kedah yang tuanya itu. Maka lalu berjanji raja Kedah dengan Opu-opu itu apabila hasil maksudnya itu, maka ia pun hendak memberi hadiah kepada Opu-opu itu yang membantunya 15 bahara wang. Maka jawab Opu-opu itu, “Mana-mana suka raja Kedah, kerana saya semua ini ke mari tiada lain hanyalah akan menolong raja Kedah jua adanya.”


(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 218-219).

Berdasarkan buku yang sama, 3 bahara telah dijelaskan. Manakala baki 12 bahara masih berbaki lagi. Menurut Liza, beliau serta keluarganya tiada niat untuk menyentuh perkara berkenaan. Katanya lagi, tujuan beliau adalah sekadar untuk mengumpulkan zuriat daeng Parani. Itu sahaja.



Liza turut menunjukkan kepada saya salsilah keturunannya. Selain itu, beberapa barangan lama juga turut ditunjukkan kepada saya sekeluarga. Barangan lama itu termasuklah beberapa catatan seperti jadual pelayaran, senjata lama, serta barangan lama yang lain. Bagi saya, kesemua barangan lama yang ada dalam simpanan Liza dan keluarganya sangat berharga dan mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi.



Di samping itu, beberapa dokumen lain turut ditunjukkan kepada saya. Ini termasuklah geran tanah, dokumen cukai, beberapa surat, dokumen daripada beberapa jabatan kerajaan dan sebagainya. Namun begitu, demi menghormati permintaan Liza sendiri, maka di sini saya tidak dapat menyatakan dan memaparkan foto dokumen yang dimaksudkan.



Sebenarnya panjang lagi Liza bercerita kepada saya. Sesetengah fakta yang dikemukakan kepada saya tidak dapat saya kongsikan menerusi blog ini buat masa ini kerana ia masih berstatus sensitif. Lagi pun, ia melibatkan ramai orang dan juga golongan ternama di negara ini. Dengan sedikit latar belakang pendidikan sejarah yang ada pada saya, saya dapat memahami butir dan maksud di sebalik cerita, fakta dan data yang dikemukakan oleh Liza.





Setelah hampir 2 jam setengah saya sekeluarga di rumah Liza, kami pun dipelawa oleh Liza untuk menziarahi makam Daeng Parani. Walaupun hujan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya sekeluarga untuk menziarahi makam tersebut.





Makam Daeng Parani letaknya tidak jauh dari rumah keluarga Liza. Setelah berada beberapa ketika di tepi makam berkenaan, saya dapat merasai akan auranya. Mungkin benar makam ini adalah makam Daeng Parani. Walau bagaimanapun, barang diingat, kalau setakat aura semata-mata, ia tidak boleh dijadikan kayu ukur kebenaran satu-satu fakta sejarah.

Liza turut memaklumkan kepada saya, ada orang kenamaan tertentu turut pernah menziarahi makam ini. Saya juga dimaklumkan, selain makam Daeng Parani, terdapat beratus lagi pusara lain yang mana kesemuanya kerabat dan zuriat Daeng Parani belaka, kecuali 4 kubur sahaja yang merupakan orang luar.

Sekitar jam 6.30 petang, baru saya sekeluarga meninggalkan Kampung Ekor Lubuk, Mukim sidam Kiri, Sungai Petani untuk meneruskan perjalanan kembali ke Kuala Lumpur.



Kepada Liza dan keluarganya, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan di atas sambutan mesra serta kerjasama baik yang diberikan kepada saya. Sesungguhnya info yang telah saya perolehi daripada Liza sekeluarga amat berguna dan amat saya hargai.



Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pembaca sukarela saya semasa saya di kampus dahulu. Di antara buku yang pernah kalian bacakan kepada saya ialah Tuhfat An-nafis. Hingga kini pun buku tersebut tidak ada dalam bentuk tulisan Braille. Dengan kesudian serta keikhlasan kalian membacakan buku berkenaan kepada saya, bukan sahaja saya khatam membaca buku berkenaan, bahkan sehingga hari ini pun saya masih lagi ingat sebahagian daripada kandungan buku tersebut. Alhamdulillah!



Pertemuan, pengalaman serta pengetahuan yang tidak saya duga ini tidak akan berlaku tanpa izin dari Allah jua.

Thursday, May 12, 2011

Minum Petang Bersama MSO

Petang tadi, saya telah berkesempatan untuk minum petang bersama-sama En. Mohd Sayuti Omar (MSO). Saya turut ditemani isteri dan Luqman. Manakala MSO pula ditemani oleh isterinya, Pn. Naimah. Kami minum petang di sebuah restoran yang letaknya tidak jauh dari rumah saya. Bagi kebanyakan orang, minum petang merupakan rutin biasa. Jadi, apa perlu catatan mengenainya dimuatkan ke dalam blog seperti ini?



Pertemuan saya dengan MSO petang tadi telah ditakdirkan ekoran daripada satu tulisan MSO yang telah dipostingkan ke blognya malam tadi. Walau bagaimanapun, saya lebih melihatnya sebagai asbab semata-mata. Hal ini demikian kerana perbualan kami lebih banyak menyentuh isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan politik. Saya bukannya hendak berpolitik, tetapi sekadar memenuhi rasa ingin tahu saya dalam beberapa perkara yang berkaitan politik semata-mata.

Mengenai tulisan MSO yang bertajuk “Warkah Biru Yang Membangga Dan Mengharukan Jiwa”sebagaimana yang tersiar dalam blognya pada 11 Mei (semalam), setelah membacanya, saya dapat mengagak siapa penulis warkah berkenaan. Agakan saya berdasarkan beberapa kriteria mengenai penulis warkah berkenaan seperti sedang membuat phD; menjadi pensyarah sambilan; pernah mendapat tajaan pengajian daripada KPT dan sebagainya. Lalu tengah hari tadi saya telah menghubungi orang yang saya rasa merupakan penulis warkah berkenaan.

Usaha saya tidak sia-sia. Saya memang kenal dengan penulis warkah berkenaan. Beliau turut mengakui bahawa warkah berkenaan memang beliau yang menulisnya. Selepas mendapat penerangan daripada rakan saya itu, maka terongkailah beberapa teori yang muncul ekoran daripada tersiarnya tulisan MSO sebagaimana di atas.

Sambil menjamu selera, saya menerangkan kepada MSO mengapa kos perbelanjaan bagi golongan cacat penglihatan yang sedang melanjutkan pengajiannya di peringkat pasca siswazah lebih tinggi daripada biasa. Barang diingat, hampir kesemua bahan kajian bertulis bukan dalam bentuk Braille. Oleh itu, penuntut cacat penglihatan seperti rakan saya itu memerlukan seseorang yang berpenglihatan untuk membantunya. Keperluan sedemikian tidak akan mampu dipenuhi tanpa dana yang mencukupi. Di samping itu, golongan penuntut berkenaan juga turut memerlukan peralatan lain seperti komputer, alat perakam, alat pengimbas (scanner), dan macam-macam lagi. Selain itu, kajian yang sedang dilakukan juga memerlukan seseorang penuntut itu bergerak ke sana dan ke mari. Itu juga memerlukan dana yang besar. Untuk melancarkan pergerakan, kalau sekadar dengan bas memang tidak memadai.

Saya masih ingat lagi, sewaktu saya menuntut di Universiti Malaya sekitar 20 tahun dahulu, bilik saya bukan dipenuhi oleh buku-buku, tetapi dipenuhi dengan ratusan pita kaset. Bagi rakan yang hanya datang ke bilik saya sekali-sekala, mereka akan membuat persepsi awal iaitu saya suka mendengar lagu. Sebenarnya apa yang terkandung dalam pita kaset berkenaan ialah rakaman bahan pengajian saya seperti buku-buku, artikel daripada pelbagai sumber dan sebagainya.

Pun begitu, mungkin yang menjadi persoalan bagi sesetengah pihak ialah jumlah perbelanjaan keseluruhan yang dikemukakan oleh rakan baik saya itu sebagaimana yang tersiar dalam tulisan MSO.

Peluang yang ada bersama MSO turut saya gunakan dengan mengemukakan beberapa persoalan mengenai tulisan-tulisan beliau yang lain. Alhamdulillah penjelasan yang saya terima memang memuaskan.



Di samping itu, kami juga turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa sama ada isu sesebuah gerakan siasah, kepimpinan tokoh-tokoh tertentu dan sebagainya. Selain mudah untuk diajak berbicara, bagi saya, MSO juga seorang yang berpandangan terbuka, terbuka untuk menerima pandangan orang lain dan tidak kedekut pengetahuan.

Kata orang tua-tua, berkawan biar seribu. Sebab itulah juga, saya ingin berkawan dengan sesiapa sahaja yang sudi berkawan dengan saya.

Ada lagi ke orang yang akan menyenaraikan saya dan blog ini sebagai penyokong pembangkang?