Monday, May 2, 2011

Ole-ole Dari Kedah (Bahagian Pertama)



Semalam (1 Mei), selepas bersarapan, saya sekeluarga telah checked out dari hotel penginapan. Memang kasad kami sekeluarga untuk pulang ke KL hari ini juga. Walau bagaimanapun, sebelum pulang, dan oleh kerana ada waktu yang terluang di bumi jelapang padi ini, maka saya harus mencari ole-ole untuk dibawa pulang. Sebagaimana biasa, kalau boleh biarlah oleh-oleh berkenaan dapat saya kongsi bersama dengan pengunjung blog ini. Demikianlah. Setelah berbincang dengan isteri dan menimbang, akhirnya kami memutuskan untuk singgah di dua lokasi di sekitar alor Star.



Lokasi pertama yang menjadi tempat persinggahan kami ialah di sekitar kaki Gunung Keriang. Kata isteri dan Luqman, pemandangan di tempat ini memang indah dan menawan. Saya sendiri dapat merasakan betapa nyamannya udara di kawasan ini.





Di satu sudut, terdapat orang menjual, kata mereka, batu gunung. Menurut salah seorang penjual yang saya tanya, batu-batu yang dijual memang diperolehi daripada Gunung Keriang. Ia terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz.



Seorang penjual pula memberitahu kami, ada sepohon pokok yang berupa bentuk manusia. Setelah agak puas mencari, akhirnya kami menemui pohon yang dimaksudkan. Agak ramai juga orang yang melihat pohon berkenaan. Saya sekadar mendengar penerangan bentuk pokok berkenaan daripada Isteri saya sahaja.





Mulanya apa yang dikatakan bentuk manusia pada pohon berkenaan tidak jelas kelihatan. Walau bagaimanapun, setelah mengamatinya akhirnya isteri saya memberitahu, yang dikatakan bentuk manusia itu agak jelas kelihatan pada dahannya. Saya pun tak pasti apa nama sebenar pohon berkenaan.



Selain manusia, kawasan sekitar turut menjadi tempat tumpuan sebilangan monyet. Saya kurang periksa pula apa sebabnya habitat spesies ini agak banyak di sini. Mungkin untuk turut sama menyemarakkan industri pelancongan agaknya!





Tidak jauh dari kawasan kaki Gunung Keriang, terdapat pula muzium padi. Makklumlah Kedah adalah negeri jelapang padi. Jadi tidak hairanlah jika muzium sedemikian diwujudkan. Namun begitu, oleh kerana waktu yang sangat terbatas, kami sekeluarga tidak singgah di muzium berkenaan. Hanya tengok (bagi isteri dan Luqman) dari luar sahaja.



Dari kawasan kaki Gunung Keriang, kami bergerak menuju ke lokasi kedua pula, iaitu Langgar. Di sini terdapatnya kawasan permakaman Diraja Kedah. Kawasan ini agak sunyi. Mungkin pada ketika itu tiada penziarah agaknya.



Sewaktu kami hendak masuk ke kawasan yang menempatkan makam diraja, kami dapati ianya berkunci. Saya hampir berputus asa dibuatnya. Ketika saya sekeluarga hendak melangkah turun semula, tiba-tiba kami ditegur dari jauh oleh seorang lelaki. Setelah dia menghampiri kami, saya pun menerangkan tujuan kedatangan kami sekeluarga. Rupa-rupanya lelaki berkenaan ialah En. Daud, penjaga kawasan permakaman ini. Setelah berpuas hati dengan penerangan saya, beliau pun membuka pintu kawasan permakaman untuk membolehkan kami masuk. En. Daud juga turut serta masuk dan memberikan sedikit sebanyak penerangan serta menjawab soalan-soalan yang saya kemukakan. En. Daud turut menunjukkan beberapa makam yang saya ingin ziarah.



Antara makam-makam yang terdapat di sini dan yang sempat saya ziarah ialah makam (almarhum) Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu nenda kepada tuanku sultan sekarang; makam (almarhum) Sultan Badli Shah; makam (almarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (perdana menteri Malaysia yang pertama); makam (almarhumah) Sultanah Bahiyah dan lain-laiin lagi. Menurut En. Daud, Sultan Abdul Hamid Halim Shah mempunyai sekitar 40 orang putera. Tunku Abdul Rahman adalah salah seorang daripada mereka.

Selain itu, saya juga turut menziarahi makam (almarhumah) Manjalara. Beliau ialah bonda kepada (almarhum) Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Masih ramai yang mungkin tidak menyedari, dekat Kepong, Kuala Lumpur, ada tempat bernama Taman Manjalara. Ia adalah sempena dengan nama bonda (almarhum) Tunku Abdul Rahman Putera Alhaj. Beliau mangkat pada tahun 1941.



Menurut En. Daud lagi, kawasan permakaman diraja ini telah pun wujud sejak tahun 1706 lagi. Sebelumnya, makam raja-raja Kedah berada di merata tempat. Justeru, tidak menghairankan bilamana di kawasan permakaman ini terdapat banyak makam.



Di samping itu, di kawasan permakaman ini juga ada sebuah rumah rehat. Mulanya, kami menyangka itu adalah tempat istirehat orang-orang kenamaan bila mereka datang ke kawasan permakaman ini. Namun begitu, sangkaan kami meleset. Menurut En. Daud, sebelum perang dunia kedua, bila berlaku kemangkatan dalam kalangan kerabat diraja Kedah, jenazah mereka akan dibawa ke kawasan permakaman ini menerusi air, iaitu menerusi Sungai Langgar yang berada hampir dengan kawasan permakaman ini. Apabila jenazah berkenaan tiba, ia akan diangkat ke darat dan diletakkan di atas rumah rehat berkenaan sebelum upacara pengkebumian dilaksanakan. Demikianlah.

Sesungguhnya dari Dia (Allah) kita datang dan kepada Dia (Allah) kita semua akan kembali. Hari untuk kita kembali kepada dia semakin hari semakin hampir. Namun demikian, ramai yang terlupa akan hari berkenaan. Setiap yang bernama makhluk pasti akan kembali (mati), tidak kira sama ada raja mahupun hamba. Demikianlah secebis keinsafan yang pasti akan menyelinap dalam sanubari saya setiap kali saya menziarahi tempat-tempat seperti ini. Maka itulah saya gemar menziarahi ke tempat-tempat seperti inni jika ada peluang. Setidak-tidaknya saya dapat menemui pintu di mana hamba-hamba Allah yang berkenaan masuk untuk menuju ke negeri akhirat.

Setelah hampir 45 minit, saya sekeluarga pun meninggalkan kawasan permakaman Diraja Langgar. Berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kepada En. Daud yang telah meluangkan masanya dengan menemani kami menziarahi kawasan permakaman diraja Kedah. Segala penerangan daripada En. Daud kepada kami amat berguna sekali dan akan saya ingat sampai bila-bila, insha Allah.

Setelah menunaikan solat zohor dan asar secara jamak dan kasar di stesen Petronas yang berhampiran tol, tepat jam 1.45 tengah hari, kenderaan kami pun melintasi tol Alor Star Utara dan kami mengambil haluan ke arah selatan. Ada satu lagi tempat yang telah saya sekeluarga singgah di Sungai Petani. Insha-Allah ia akan saya kongsikan dalam bahagian kedua nanti.

No comments: