Petang semalam (30 April), saya sekeluarga telah mengunjungi Cikgu Shafiee Mohd Isa di rumahnya di Alor Star. Ini kali pertama saya dan keluarga sampai di rumah beliau. Kebetulan pula, kunjungan ke Alor Star kali ini turut disertai oleh isteri dan Luqman. Jadi elok benarlah jika saya dapat mengunjungi Cikgu Shafiee.
Jika diimbas kembali, saya mula mengenali Cikgu Shafiee pada tahun 1979, iaitu ketika kami sama-sama menyertai kejohanan sukan (saya lupa nama kejohanan tersebut) pada bulan Mac di Kuala Lumpur. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah rendah di Johor Baru. Manakala Cikgu Shafiee pula menuntut di sekolah rendah di Pulau Pinang. Masih saya ingat, ketika itu kejohanan sukan olah raga berlangsung di Stadium Merdeka. Manakala sukan permainan seperti catur dan ping-pong berlangsung di Kolej Kedua, universiti Malaya. Saya masih ingat lagi, ketika itu saya mengambil bahagian dalam acara lari 1500 meter dan juga catur. Pingatnya pun masih ada lagi tersimpan di kampung. Pegawai dan peserta sukan juga menginap di Kolej Kedua, Universiti Malaya. Selepas tamat kejohanan sukan berkenaan, tiada lagi kontak antara kami berdua.
Kami bertemu semula pada akhir bulan Jun 1988 iaitu ketika kami sama-sama menjejakkan kaki di menara gading (Universiti Malaya). Sejak itu, kami menjadi sahabat baik. Walaupun kami menjurus dalam bidang pengajian yang berbeza, saya menjurus dalam bidang sejarah manakala Cikgu Shafiee pula menjurus dalam bidang Sosialogi dan Antropologi, namun persahabatan kami tetap baik. Kebetulan, kami tinggal di kolej yang sama (Asrama Za’ba) ddan juga di floor (tingkat) yang sama. Hanya jadual kuliah dan tutorial sahaja yang berbeza. Demikianlah kami.
Selepas tamat pengajian, kami telah bekerja dalam bidang yang sama tetapi di syarikat yang berlainan. Selain itu, kami juga telah tinggal di rumah sewa yang sama iaitu di Brickfields terutamanya sewaktu zaman bujang.
Beberapa tahun kemudian, kami juga telah sama-sama berjaya masuk maktab perguruan dan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Oleh kerana bidang pengajian kami berbeza, maka maktab perguruan yang kami masuk juga berbeza. Cikgu Shafiee ke Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) di Kuala Lumpur. Manakala saya pula masuk Maktab Perguruan Raja Melewar di Seremban.
Selepas tamat pengajian di maktab, kami telah bertugas di tempat yang berlainan. Cikgu Shafiee telah bertugas di SMPK Setapak, Kuala Lumpur. Manakala saya pula telah dihantar bertugas di SMK Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang. Pada 4 Januari 2000, saya telah berpindah ke SMPK Setapak, Kuala Lumpur. Ini bermakna, saya telah berpindah dan bertugas di sekolah yang sama dengan Cikgu Shafiee.
Walau bagaimanapun, pada pertengahan tahun 2001, Cikgu Shafiee telah berpindah dan bertugas pula di Alor Star. Kedah adalah negeri kelahiran beliau. Hari ini, sudah hampir 10 tahun Cikgu Shafiee bertugas di negeri kelahirannya. Walaupun sudah hampir 10 tahun juga kami bertugas di tempat yang berlainan, hubungan silatul rahim dan persahabatan antara kami tetap berjalan sebagaimana biasa.
Satu perbezaan ketara antara saya dengan Cikgu Shafiee ialah, beliau pandai menyanyi dan juga pandai main gitar. Bahkan di kampus dahulu, Cikgu Shafiee mempunyai peminatnya yang tersendiri dek kerana beliau pandai menyanyi dan bermain gitar. Manakala saya pula, kalau menyanyi, belum sempat lagu habis, hujan sudah turun dengan lebatnya.
Apa yang lebih manis dan mungkin menjadi faktor hubungan antara kami sentiasa baik ialah isteri saya dan isteri Cikgu Shafiee merupakan rakan baik semasa sama-sama menuntut di Universiti Malaya dahulu. Kedua-dua mereka menuntut di fakulti dan pada tahun yang sama. Bahkan sudah ditakdirkan agaknya, saya dan Cikgu Shafiee juga telah menemui bakal pasangan hidup masing-masing sewaktu kami sama-sama menuntut di tahun akhir. Hari ini, kami masih berkongsi satu perkara yang sama, iaitu saya dan Cikgu Shafiee dikurniakan anak tunggal (setakat ini). Demikianlah.
Kunjungan saya sekeluarga ke rumahh Cikgu Shafiee telah disambut mesra. Bila bertemu semula antara empat orang sahabat baik, sudah tentulah pelbagai cerita dan kisah lama terbongkar kembali.
Di sebelah malamnya pula, Cikgu Shafiee dan isterinya datang dan mengambil kami di hotel penginapan untuk makan malam sama-sama pula. Kali ini mereka membawa saya sekeluarga makan di Hijrah Kafe. Makanannya memang sedap dan menyelerakan. Pada pendengaran saya, para pengunjung di tempat ini juga ramai.
Kepada Cikgu Shafiee sekeluarga, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas layanan baik yang telah diberikan kepada saya sekeluarga. Saya sentiasa berdoa semoga hubungan baik ini akan terus berkekalan sampai bila-bila, insha-Allah.
Salam dari Alor Star.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment