Harga Barang Semakin Naik
Hari ini, kalau kita ke mana-mana sahaja di bumi tercinta ini, kita pasti akan terdengar keluhan orang ramai mengenai kenaikan harga pelbagai jenis barang. Di kedai kopi, di warung, di stesen pengangkutan awam, di pejabat kerajaan dan swasta, di pejabat badan-badan bukan kerajaan, di kantin sekolah, di kampung dan di bandar, bahkan di mana sahaja di negara ini, orang akan bercakap mengenai kenaikan harga barang. Kalau sudah ramai yang bercakap dan mengeluh, saya rasa orang-orang besar terutama di Putrajaya sana tak boleh tidak kena buka telinga juga.
Ada barang yang harganya naik diberitahu. Tak kurang juga ada barang yang harganya naik senyap-senyap. Tak kiralah, sama ada kenaikan harga barang berlaku secara senyap atau kenaikannya dihebahkan, rakyat biasa tetap akan menanggung kesannya.
Seperti yang semua orang sudah duga, kalau harga minyak naik, harga barangan lain pasti akan turut sama naik. Walaupun siang tadi kerajaan memberi jaminan harga minyak ron 95 dan disel tidak akan naik, tapi tidak pula diberitahu sampai bila harga sekarang boleh bertahan. Ini menandakan paras harga yang ada sekarang tidak boleh bertahan lama. Soalnya, sampai bila?
Selalu sangat kita dengar orang-orang politik cakap, walaupun harga naik tapi ia masih tidak membebankan rakyat. Betul ke? Habis, yang orang ramai semakin mengeluh di sana sini tu apa dia? Bukan beban ke tu? Ke, orang-orang di Putrajaya tersalah tafsir, orang mengeluh dikatakan menyanyi?
Sesetengah orang politik suka sangat buat perbandingan bodoh. Konon katanya, harga sesetengah barang di negara kita terpaksa dinaikkan kerana harga barang tertentu sampai seringgit lebih rendah bila dibandingkan harga barang yang sama di negara-negara jiran. Katanya lagi, kalau harga tidak dinaikkan, ia akan mengakibatkan berleluasanya penyeludupan. Jadi, sebagai langkah mencegah penyeludupan, maka harga barang tertentu perlu dinaikkan.
Kalau penyeludupan yang menjadi masalahnya, tentulah jalan penyelesaian utama ialah dengan melakukan penambahbaikan kepada agensi yang berkaitan dengan anti penyeludupan. Kalau agensi berkenaan tidak cukup kakitangan, tambah sajalah kakitangan. Satu lagi, kena pastikanlah agar agensi anti penyeludupan berfungsi semaksimumnya. Kalau ini dapat dilaksanakan, saya rasa rakyat biasa tidak perlu dibebankan dengan kenaikan harga barang kononnya untuk mencegah penyeludupan.
Sudah menjadi lumrah agaknya, bila harga barang naik, ia sukar untuk turun semula. Oleh itu, orang seperti Encik Mail harus memastikan supaya harga barang, terutamanya barangan keperluan tidak naik. Kalau ia naik, payah untuk turun semula!
Seperkara lagi, kalau harga barang naik tapi gaji masih di takuk lama, ia akan menyebabkan golongan pekerja tertentu melakukan kerja-kerja sampingan di luar. Tujuannya satu, untuk menambah pendapatan keluarga. Maklumlah, harga kebanyakan barang keperluan sudah naik!
Di sini, saya pun tak tahu apakah cadangan yang patut dikemukakan untuk elakkan menjadi mangsa kenaikan harga barang. Hendak dipulau, Kebanyakan harga barang yang naik adalah barang keperluan. Hendak tambah kakitangan di bahagian penguatkuasa pengguna, saya belum ada kuasa lagi untuk berbuat demikian. Hendak menghukum orang tengah yang suka membuat untung berlebihan, saya masih tak tahu orang yang mana satu.
Akhirnya, rakyat biasa juga yang sering dinasihatkan supaya jangan membazir, sentiasa berjimat, harus bersabar, dan macam-macam lagi.
Saya sekadar menyembang saja sementara nak berpindah sekejap ke alam mimpi.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Ingat lagu "bangau oh bangau"?... Kalau tiada ular, tiada yang mahu makan katak, kalau tiada yang mahu makan katak, katak tak akan panggil hujan, kalau katak tak panggil hujan, hujan tak akan timpa kayu, kalau hujan tak timpa kayu, kayu api tak akan basah, kalau kayu api tak basah, nasi tak akan mentah, kalau nasi tak mentah, perut kerbau tak sakit, kalau perut tak sakit, rumput tak panjang sangat, kalau rumput tak panjang sangat, kerbau akan makan rumput, kalau kerbau makan rumput, ikan akan timbul, kalau ikan timbul, bangau tak akan kurus...
Jika bangau (semakin kurus) itu rakyat, siapakah ular itu yang menjadi punca segala masalah kenaikan harga barang?....
Post a Comment