Tuesday, May 3, 2011

"Tahniah Z"

Pagi tadi, sekitar jam 10.13 pagi, saya menerima panggilantelefon daripada seorang kenalan lama. Saya memang telah mengenali si hamba Allah ini sejak 18 tahun lalu, iaitu ketika beliau menuntut di Universiti Malaya (UM). Sebelum masuk ke UM, beliau merupakan seorang guru. Selepas tamat pengajiannya, beliau telah menjawat beberapa jawatan. Kalau tak silap saya, pada masa ini beliau merupakan orang kuat salah seorang menteri. Saya pun sudah sedia maklum sejak dahulu lagi beliau sememangnya merupakan seorang UMNO totok luar dan dalam. Warna biru yang selama ini merupakan warna rasmi hatinya sudah melimpahi tubuhnya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Apabila panggilannya saya jawab, kalimah pertama yang meluncur dari mulutnya ialah: “Tahniah Z. Tahniah!” Saya agak terpinga mendengar ucapan tahniah yang tak semena-mena begitu. Lalu saya bertanya: “Tahniah kenapa?” Rakan saya itu menjawab: “Tahniah kerana nama dan blog Z telah tersenarai sebagai antara blog penyokong pembangkang.” Saya tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau, lalu bertanya lagi: “Bagaimana nama dan blog saya disenaraikan begitu dan siapa yang menyenaraikannya?” Rakan saya itu menjawab: “Kan hari tu Z ada bersama dengan MSO? Jadi, lanjutan daripada itu, ada blog lain (pembangkang) telah menyenaraikan nama Z dan juga blog Z sebagai penyokong mereka .... Saya gembira kerana walaupun Z berlainan pendapat dengan saya, tapi masih sudi untuk berkawan dan bertukar fikiran dengan saya.”

Selanjutnya, beliau bercakap pula mengenai video lucah yang sedang hangat masa kini yang melibatkan Datuk seri Anwar Ibrahim. Beliau meluahkan keyakinannya bahawa pelaku dalam video berkenaan sememangnya Anwar Ibrahim. Katanya lagi, Anwar memang pandai menggunakan kepintarannya untuk bercakap sebagai escapisme. Pada masa yang sama, rakan saya itu mengakui bahawa fitnah merupakan dosa besar. Saya mengagak, tujuan beliau bercakap mengenai Anwar Ibrahim dan video lucah yang mengaitkannya adalah untuk meyakinkan saya bahawa gerakan siasah yang didokongnya berada di pihak yang benar.

Perbualan kami beliau tamatkan kerana kononnya beliau hendak menghadiri ke satu mesyuarat. Sebelum perbualan berakhir, beliau beriya sangat untuk bertemu saya untuk bercerita dengan lebih panjang. Saya bersetuju dan minta supaya beliau menetapkan tarikh dan tempatnya.

Persepsi beliau terhadap saya pada masa ini mungkin bertitik tolak daripada satu majlis yang dinamakan Majlis Bicara Siber yang telah diadakan pada 23 April lalu. Saya akui, peristiwa majlis tersebut telah pun dimuatkan dalam beberapa blog, termasuklah blog MSO dan juga blog ini. Dalam majlis berkenaan, bukan saya seorang yang bersama-sama dengan MSO. Boleh dikatakan seluruh yang hadir yang seramai hampir 30 orang turut bersama dengan MSO, termasuklah 2 orang anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dari Bukit Aman.



Majlis berkenaan sebenarnya membicarakan undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan siber dan juga etika ketika menulis menerusi siber. Apa yang telah disampaikan oleh Tuan Inspektor Mohd Faizal amat bermanfaat kepada saya dan juga kepada para pengguna siber. Bahkan MSO sendiri teruja dengan maklumat yang telah diketengahkan oleh Inspektor Faizal menerusi ceramahnya.

Manakala ceramah MSO pula langsung tidak menyentuh mengenai politik. Beliau mengutarakan etika yang harus dipatuhi selaku penulis blog. Beliau juga turut berkongsi cara untuk menjadikan satu-satu blog itu sentiasa dikunjungi oleh penjenguk lain. Bagi saya, tips yang telah dikongsikan oleh MSO amat berguna kepada yang hadir.



Kuat sungguh aura MSO kerana sesiapa sahaja yang bersama dengan beliau boleh disenaraikan sebagai penyokong pembangkang. Kalau saya seorang sahaja yang disenaraikan sebagai penyokong pembangkang kerana pernah bersama-sama dengan MSO walaupun ia merupakan buat kali pertama, rasanya itu tidak cukup adil. Seeloknya sesiapa sahaja yang pernah bersama-sama dengan MSO disenaraikan juga sebagai penyokong pembangkan, termasuklah sebilangan orang politik UMNO sendiri yang juga akrab dengan MSO dan pernah bersama-sama beliau entah berapa kali dan dalam pelbagai majlis pula.

Memang benar, sekali-sekala saya ada menulis mengenai politik menerusi blog ini. Tetapi itu sekadar pandangan peribadi saya sahaja. Lagipun tok guru saya dalam ilmu politik ketika di universiti dahulu kemudiannya telah menjawat jawatan timbalan menteri. Maknanya tok guru politik saya merupakan orang UMNO.

Saya bukannya pengampu dan pembodek yang akan melontarkan pujian setinggi-tingginya yang turut disertai dengan harapan dan keinginan tersirat. Saya juga tidak akan melontarkan kritikan tanpa kewajaran yang munasabah. Sejak kebelakangan ini dan atas nasihat daripada beberapa orang rakan termasuklah seorang bekas pensyarah saya, saya pun sudah kurang menulis mengenai politik walaupun adakalanya minda dan jejari saya begitu kuat rontaannya untuk menulis mengenai sesuatu isu politik. Saya juga teramat sedar, selagi saya masih penjawat awam, maka saya tidak boleh berpolitik, apatah lagi jikalau politik itu dipersepsikan cenderung kepada politik pembangkang. Sesungguhnya berpolitik dan berpengetahuan politik adalah dua perkara yang jauh berbeza.

Kalau ada pihak yang mendakwa saya sebagai penyokong pembangkang hanya kerana saya telah bersama-sama MSO, maka pihak yang berkepentingan juga boleh menyenaraikan saya dan blog ini sebagai penyokong pemerintah kerana saya juga pernah makan semeja, berjabat tangan dan berbual mesra dengan seorang dua menteri. Bahkan pada 26 april 2008 (Sabtu), saya telah makan semeja dengan “boss” kepada rakan saya ini yang mana pada masa itu beliau adalah seorang menteri dan masih lagi berjawatan menteri pada hari ini. Bukankah orang tua-tua pernah berpesan, berkawan biar seribu!

Inilah malangnya orang Melayu, dek kerana tak pandai berpolitik, mereka berpolitik sepanjang waktu. Cuba-cubalah contohi rakan-rakan kita dari bangsa Cinna kerana mereka tidak berpolitik sepanjang masa. Sebaliknya mereka tahu bila hendak berpolitik dan mereka cukup tahu bila masa patut bersatu padu.

No comments: