Dari lebuh raya Utara Selatan, kami mengambil susur keluar tol Sungai Petani Selatan. Kami memang tidak begitu mahir dengan kawasan sekitar Sungai Petani. Pernah sampai ke sini, tetapi amat jarang. Seingat saya, kali akhir saya singgah di Sungai Petani ialah pada tahun 2007, iaitu ketika menyertai rombongan perkahwinan sepupu saya di Sungai Lalang. Oleh itu, selain dari signboard kami harus rajin bertanya kepada orang tempatan. Begitulah cara kami kalau berkelana di tempat orang. Orang tua-tua pernah berpesan, kalau malu bertanya, nanti sesat jalan.
Berdasarkan maklumat orang setempat, tempat yang hendak kami tuju berada tidak jauh daripada Kuala Ketil. Oleh itu, kami telah mengambil jalan ke Kuala Ketil.
Setelah entah berapa kilo meter, akhirnya isteri saya ternampak signboard Mukim Sidam Kiri. Walaupun kenderaan kami memusing ke sebelah kanan, nama tempat ini tetap Sidam Kiri juga. Setelah beberapa ketika bergerak, kami berhenti di satu tempat untuk bertanya lagi. Kata orang berkenaan, tempat yang kami hendak tuju tidak berapa jauh lagi. Kata orang itu lagi, selepas lalu di hadapan sekolah, kalau hendak ke makamnya jalan terus; kalau hendak berjumpa dengan orang-orangnya (keturunannya), ambil kiri.
Apabila kenderaan kami tiba di persimpangan yang dimaksudkan, isteri saya hendak jalan terus (ke makam) kerana memang niat asal kami untuk menziarahi makamnya sahaja. Tetapi naluri hati saya kuat agar kami mengambil jalan ke kiri. Lalu saya meminta supaya isteri saya mengambil jalan ke kiri. Akhirnya kenderaan kami pun tibalah di Kampung Ekor Lubuk.
Kami berhenti pada satu rumah dan bertanyakan mengenai anak cucu kepada makam yang kami ingin ziarahi. Orang berkenaan terus menunjukkan kepada kami sebuah rumah yang agak besar yang tidak jauh dai rumahnya. Kepada hamba Allah yang berkenaan (terlupa saya hendak bertanya akan namanya) saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.
Kedatangan kami di rumah berkenaan telah disambut mesra oleh tuan rumah. Saya sekeluarga telah dipersilakan masuk dengan penuh sopan. Tuan rumah turut menghidangkan kepada saya sekeluarga makan dan minum. Beginilah adat istiadat kalau orang dari keturunan orang yang ternama dan berbangsa.
Setelah bertanya khabar dan berkenal-kenalan secara ringkas, saya pun terus memberitahu tujuan kedatangan saya. Saya memaklumkan, memang sudah lama saya berhasrat untuk mencari makam Daeng Parani. Bila saya dengar di sini masih ada lagi keturunannya, maka itulah saya dan keluarga memberanikan diri dan dengan kehendak Allah juga saya sekeluarga pun hadirlah ke rumah ini. Demikian saya memberitahu kepada tuan rumah. Setelah tuan rumah dan keluarganya mendengar penerangan saya, mereka sungguh gembira. Masih tergambar lagi kepada saya betapa gembiranya mereka bila mendengarkan maksud dan tujuan saya datang ke rumah mereka. Apatah lagi bila mereka mendapat tahu saya sekeluarga datang dari KL.
Dari perkenalan kami, orang yang banyak bercerita kepada saya namanya Liza (Roshazliza Abdul Razak). Menurutnya, beliau ialah generasi kelapan daripada Daeng Parani. Liza tidak lagi boleh berbahasa Bugis, bahkan beliau bercakap dialek Kedah pekat.
Sebagai memulakan, saya pun bercerita serba sedikit mengenai Opu Daeng Bugis lima bersaudara serta keturunan mereka. Saya juga turut berkongsi pengalaman saya sekeluarga ke Pulau Bintan dan Pulau Penyengat pada hujung tahun lepas serta hasil dapatan daripada pengalaman tersebut. Liza dan keluarganya amat suka dengan cerita dan pengalaman saya sekeluarga. Kata Liza lagi, dia sendiri masih belum berkesempatan untuk sampai ke Kepulauan Riau. Sebagai cenderamata daripada saya sekeluarga, saya turut menyerahkan gambar-gambar sewaktu kami ke Kepulauan Riau hujung tahun lepas buat kenangan untuk mereka sekeluarga.
Setakat yang saya maklum dan menurut Tuhfat An-Nafis, Daeng Parani memang pernah datang dan berperang di Kedah iaitu membantu sultan Kedah ketika itu untuk mempertahankan takhtanya daripada diambil oleh adindanya. Dalam peperangan itulah Daeng Parani telah terbunuh. Walau bagaimanapun, Tuhfat An-Nafis tidak menyatakan secara terperinci dimana Daeng Parani telah dimakamkan.
Syahadan maka tiada berapa antaranya maka kelengkapan Yang Dipertuan Muda pun serta Opu-opu itu mudiklah hendak melanggar kubu Raja Kecik sebelah hulunya pada rumah-rumahnya. Maka apabila sampai ke kota hulunya itu maka lalulah berperang yang sangat ramainya, serta gegak gempita berbedil-bedilan dengan meriam rentaka dan sorak tempiknya. Maka dengan takdir Allah Taala serta dengan sudah sampai janjinya, maka Opu Dahing Parani pun kenalah peluru meriam tentang dadanya. Maka ia pun mangkatlah di atas beranda gurabnya dengan nama laki-laki, kerana waktu ia berperang besar itu ia bersiar-siar di atas beranda gurabnya kerana memerintahkan segala orang-orangnya berperang itu.
(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 223).
Sementara itu, adinda sultan Kedah yang cuba merebut takhta telah meminta bantuan daripada Raja Kecil Siak. Permusuhan di antara Opu Daeng Bugis lima bersaudara dengan Raja Kecil Siak sudah pun berlarutan beberapa tahun sebelumnya. Pertemuan kedua-dua belah pihak di Kedah hanya merupakan rentetan siri peperangan di antara kedua-dua belah pihak.
Liza memberitahu saya, beberapa kajian telah dibuat dan telah mengesahkan bahawa makam yang dimaksudkan (tidak jauh dari rumah Liza) adalah makam Daeng Parani. Sebagai memperkukuhkan pendapatnya, Liza turut menunjukkan kepada saya dan isteri hasil kajian yang telah dibuat oleh beberapa pengkaji. Salah seorang pengkaji yang dimaksudkan termasuklah seorang profesor dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, yang juga pernah mengajar saya dahulu.
Sewaktu berperang itu dan sebelum terbunuh, Daeng Parani telah dikahwinkan dengan Tengku Aishah, iaitu adinda kepada sultan Kedah. Hasil perkahwinan itu Daeng Parani kemudiannya beroleh seorang anak. Menurut Tuhfat An-Nafis, anak Daeng Parani dengan Tengku Aishah adalah seorang perempuan. Manakala menurut Liza pula, anak yang dimaksudkan adalah seorang lelaki. Katanya lagi, jantina sebenar anak Daeng Parani sengaja disembunyikan demi keselamatan anak itu sendiri.
Pada masa yang sama juga, menurut Tuhfat An-nafis, Raja Kecil Siak juga telah beristeri dengan kerabat diraja Kedah juga. Antara lain, Tuhfat An-Nafis menukilkan:
Maka Raja Kecik pun datanglah ke negeri Kedah hendak membantu raja Kedah yang muda itu. Maka di dalam hal itu maka Raja Kecik pun diberi oleh raja Kedah yang muda itu isteri, iaitu saudaranya. Maka nikahlah Raja Kecik dengan saudara raja Kedah yang Muda itu betapa adat raja-raja nikah kahwin.
(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 222).
Dengan ini, kerabat diraja Kedah telah menjalin tali perkahwinan dengan kedua-dua belah pihak, Daeng Parani di satu pihak, dan Raja Kecil Siak di pihak yang lain.
Saya turut bertanya, mengapa keturunan Daeng Parani yang ada di Kedah masa ini tidak menggunakan perkataan “Daeng” atau “Raja” pada pangkal nama masing-masing? Kalau di Kepulauan Riau terutamanya, keturunan Opu Daeng Bugis ini akan menggunakan perkataan “Daeng” atau “Raja” pada pangkal nama masing-masing. Liza memberitahu saya, ia juga berkaitan dengan keselamatan keturunan Daeng Parani sendiri. Katanya lagi, musuh Daeng Parani telah bersumpah untuk menghapuskan keturunan Daeng Parani. Oleh itu, demi keselamatan, anak cucu Daeng Parani dan keturunan mereka tidak menggunakan perkataan “Daeng” pada pangkal nama masing-masing. Demikianlah.
Di samping itu, saya juga turut bertanya mengenai 15 bahara wang yang masih berbaki 12 bahara wang lagi. Pertanyaan saya berasaskan kepada petikan berikut yang juga dipetik daripada Tuhfat An-Nafis:
Maka apabila sampai ke Kedah, berjumpalah ia dengan raja Kedah yang tuanya itu. Maka lalu berjanji raja Kedah dengan Opu-opu itu apabila hasil maksudnya itu, maka ia pun hendak memberi hadiah kepada Opu-opu itu yang membantunya 15 bahara wang. Maka jawab Opu-opu itu, “Mana-mana suka raja Kedah, kerana saya semua ini ke mari tiada lain hanyalah akan menolong raja Kedah jua adanya.”
(Sumber: Tuhfat An-Nafis, halaman 218-219).
Berdasarkan buku yang sama, 3 bahara telah dijelaskan. Manakala baki 12 bahara masih berbaki lagi. Menurut Liza, beliau serta keluarganya tiada niat untuk menyentuh perkara berkenaan. Katanya lagi, tujuan beliau adalah sekadar untuk mengumpulkan zuriat daeng Parani. Itu sahaja.
Liza turut menunjukkan kepada saya salsilah keturunannya. Selain itu, beberapa barangan lama juga turut ditunjukkan kepada saya sekeluarga. Barangan lama itu termasuklah beberapa catatan seperti jadual pelayaran, senjata lama, serta barangan lama yang lain. Bagi saya, kesemua barangan lama yang ada dalam simpanan Liza dan keluarganya sangat berharga dan mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi.
Di samping itu, beberapa dokumen lain turut ditunjukkan kepada saya. Ini termasuklah geran tanah, dokumen cukai, beberapa surat, dokumen daripada beberapa jabatan kerajaan dan sebagainya. Namun begitu, demi menghormati permintaan Liza sendiri, maka di sini saya tidak dapat menyatakan dan memaparkan foto dokumen yang dimaksudkan.
Sebenarnya panjang lagi Liza bercerita kepada saya. Sesetengah fakta yang dikemukakan kepada saya tidak dapat saya kongsikan menerusi blog ini buat masa ini kerana ia masih berstatus sensitif. Lagi pun, ia melibatkan ramai orang dan juga golongan ternama di negara ini. Dengan sedikit latar belakang pendidikan sejarah yang ada pada saya, saya dapat memahami butir dan maksud di sebalik cerita, fakta dan data yang dikemukakan oleh Liza.
Setelah hampir 2 jam setengah saya sekeluarga di rumah Liza, kami pun dipelawa oleh Liza untuk menziarahi makam Daeng Parani. Walaupun hujan, ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya sekeluarga untuk menziarahi makam tersebut.
Makam Daeng Parani letaknya tidak jauh dari rumah keluarga Liza. Setelah berada beberapa ketika di tepi makam berkenaan, saya dapat merasai akan auranya. Mungkin benar makam ini adalah makam Daeng Parani. Walau bagaimanapun, barang diingat, kalau setakat aura semata-mata, ia tidak boleh dijadikan kayu ukur kebenaran satu-satu fakta sejarah.
Liza turut memaklumkan kepada saya, ada orang kenamaan tertentu turut pernah menziarahi makam ini. Saya juga dimaklumkan, selain makam Daeng Parani, terdapat beratus lagi pusara lain yang mana kesemuanya kerabat dan zuriat Daeng Parani belaka, kecuali 4 kubur sahaja yang merupakan orang luar.
Sekitar jam 6.30 petang, baru saya sekeluarga meninggalkan Kampung Ekor Lubuk, Mukim sidam Kiri, Sungai Petani untuk meneruskan perjalanan kembali ke Kuala Lumpur.
Kepada Liza dan keluarganya, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan di atas sambutan mesra serta kerjasama baik yang diberikan kepada saya. Sesungguhnya info yang telah saya perolehi daripada Liza sekeluarga amat berguna dan amat saya hargai.
Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pembaca sukarela saya semasa saya di kampus dahulu. Di antara buku yang pernah kalian bacakan kepada saya ialah Tuhfat An-nafis. Hingga kini pun buku tersebut tidak ada dalam bentuk tulisan Braille. Dengan kesudian serta keikhlasan kalian membacakan buku berkenaan kepada saya, bukan sahaja saya khatam membaca buku berkenaan, bahkan sehingga hari ini pun saya masih lagi ingat sebahagian daripada kandungan buku tersebut. Alhamdulillah!
Pertemuan, pengalaman serta pengetahuan yang tidak saya duga ini tidak akan berlaku tanpa izin dari Allah jua.
2 comments:
assalamualaikum...cikgu dan kelurga.
apa khabar?
syukur alhamdulillah , kami telah membaca tulisan cikgu bkenaan ketibaan cikgu sklga di kampung semadinya almarhum Opu Dahing Parani dan di pondok buruk kami.
jutaan terima kasih pihak kami ucapkan , semoga kita akan bertemu lagi insyaAllah , salam dari kami seluruh ahli klga. wassalam.
Assalamualaikum....
Masa zaman kecil dulu....apabila Hari Raya Pergi ziarah Makam Tok Nek Saya si Kawasan perkuburan tersebut ada sebatang pokok Sena yang besar...
Di tengah Dahan pokok yang terbelah ada seutas kain kuning....saya tak tahu apa sebabnya....bapa saya melarang saya bermain di kawasan tersebut katanya kubur Tok Nek....
Saya nak tau dengan lebih lanjut tentang ini.....
safr
Post a Comment