Harga Gula Naik Lagi
Hari ini, harga gula naik lagi. Jika sebelum ini harganya RM 2.10, mulai hari ini, harganya dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM 2.30. Menerusi berita radio dan TV, reaksi rakyat diperdengarkan dan dipertontonkan. Apa yang hendak dikatakan lagi?
Wakil pengusaha restoran memberi jaminan, harga makanan yang dijual tidak akan dinaikkan. Persoalannya, sampai bila jaminan tersebut boleh bertahan? Menurut satu lagi saluran radio yang saya sempat dengar, wartawannya telah membuat tinjauan di sekitar Kuala Lumpur hari ini dan mendapati harga makanan tidak naik. Peniaga yang berniaga masa kini bukanlah dungu sangat. Hari ini, mereka tidak naikkan harga, tapi belum tentu lagi kita boleh mendapat harga yang sama pada esok atau lusa.
Kalau pun harganya masih kekal pada harga lama, tetapi kebiasaannya saiz dan kuantiti makanan yang dijual akan berkurangan. Alasannya biasa didengar, kerana kos naik. Bukankah gula sebahagian daripada kos? Demikianlah yang sering terjadi. Sesetengah peniaga pun cerdik juga. Kalau naikkan harga nanti KPDNHEP marah. Tetapi kalau mereka kurangkan saiz atau kuantiti, KPDNHEP tidak akan buat apa-apa kerana fokus utamanya ialah jangan naikkan harga dan bukannya jangan kurangkan kuantiti dan saiz makanan.
Lagi satu, bila harga gula naik, ia pasti akan membawa kesan kepada makanan lain. Sayugia difahami bukan minuman sahaja yang menggunakan gula. Banyak lagi makanan lain yang turut melibatkan penggunaan gula.
Ada juga rakan yang memberitahu saya, tujuan kerajaan menaikkan harga gula kerana untuk mengurangkan pengidap sakit kencing manis. Selama ini kerajaan sudah menaikkan harga rokok beberapa kali, tetapi rasanya jumlah penagih rokok belum turun lagi. Jadi, bila harga gula naik sedangkan pesakit kencing manis itu sendiri yang tak mahu mendisplinkan diri, saya rasa ia tidak akan memberi sebarang kesan. Sebaliknya mereka yang tidak mengidap kencing manis pula yang turut sama terlibat dan menerima kesan daripada kenaikan harga gula.
Walau bagaimanapun, sebagai rakyat biasa, sama ada kita suka atau tidak, kita harus terima keputusan pihak berkuasa untuk menaikkan harga gula. Tidak gunanya kita mengeluh, merungut, bersungut atau bermonolog. Harganya tetap naik dan tak akan turun lagi mungkin juga buat selama-lamanya.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment