Monday, May 16, 2011

Cebisan Pengalaman Guru Lama

Bila tibanya hari guru seperti hari ini, saya pasti akan teringat pengalaman guru-guru saya yang terdahulu yang pernah diceritakan kepada saya. Ada yang pernah melalui pengalaman manis dan tak kurang juga yang pernah melalui pengalaman yang tidak manis. Perlu saya nyatakan di sini, sebahagian besar guru-guru saya dahulu merupakan mereka yang berpenglihatan, termasuklah guru yang pernah mengajar saya membaca dan menulis Alquran Braille. Seingat saya, di sepanjang saya bersekolah rendah dan menengah, hanya 2 orang guru sahaja yang tidak berpenglihatan. Apa yang saya pasti, kesemua guru yang pernah mengajar saya dahulu boleh membaca dan menulis tulisan Braille (guru-guru dalam aliran pendidikan khas) walaupun tidak semua di antara mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Demikianlah.

Salah seorang guru pendidikan khas dahulu ada menceritakan kepada saya, suatu hari beliau telah membawa beberapa orang muridnya ke luar sekolah untuk menjalani latihan orientasi dan mobiliti yang berkaitan dengan keselamatan di jalan raya. Sayugia dinyatakan di sini, murid-murid yang dibawa untuk tujuan sedemikian bukannya semuanya berpenglihatan terhad (rabun), malahan kebanyakan mereka merupakan murid yang tiada penglihatan langsung. Pada ketika itu, guru berkenaan sudah pun cukup berpengalaman dalam bidang berkenaan. Oleh itu, sudah tentulah beliau lebih arif mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu beliau ambil untuk memastikan keselamatan semua muridnya, dan itu pun yang telah beliau lakukan. Antara latihan yang telah beliau jalankan ketika itu termasuklah cara melintas jalan, cara berjalan di jalan raya yang selamat bagi murid yang tidak berpenglihatan, kaedah supaya murid lebih peka dengan aliran kenderaan dan yang seumpamanya.

Perlu saya nyatakan di sini, latihan berkenaan telah dilaksanakan di jalan raya sebenar. Oleh itu sudah tentulah apa yang sedang berlaku sedikit sebanyak mendapat perhatian daripada orang awam. Kebetulan pula, tidak jauh dari lokasi guru berkenaan sedang melatih murid-muridnya, ada seorang penjual sate yang sedang menjalankan perniagaannya. Mungkin berlaku salah faham bagi penjual sate berkenaan di mana beliau beranggapan guru tersebut sedang mendera murid-muridnya. Begitulah agaknya. Apa yang berlaku kemudiannya, penjual sate berkenaan telah datang ke lokasi di mana latihan sedang berjalan dan memarahi guru tersebut. Walaupun guru berkenaan cuba menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya, ia sama sekali tidak dapat diterima oleh penjual sate berkenaan. Baginya, guru tersebut tetap dilihat sedang “menyusahkan” anak-anak muridnya.

Ketika sesi latihan sudah berakhir dan tatkala murid-murid yang terlibat hendak berjalan pulang semula ke asrama, penjual sate tersebut telah memanggil murid-murid yang ada lalu memberi mereka makan sate secara percuma. Malangnya, guru yang telah melatih murid-murid tadi tidak dipelawa langsung. Jadi, guru berkenaan hanya melihat sahaja anak-anak muridnya makan sate percuma. Agaknya begitulah caranya penjual sate tadi melepaskan geramnya. Manakala bagi guru berkenaan, beliau sedikit pun tidak berkecil hati. Kebetulan pula, peristiwa sedemikian bukanlah pengalaman pertama untuknya. Guru yang saya maksudkan masih lagi bersama kita pada hari ini. Beliau sekarang menetap di Kuala Lumpur. Beliau telah pun hampir 15 tahun bersara. Peristiwa yang diceritakan kepada saya berlaku pada awal dekad 70-an lalu di Johor Baru.

Guru yang lain pula ada menceritakan kepada saya, iaitu pada masa lalu seseorang guru yang hendak memasuki bidang pendidikan khas harus mematuhi beberapa syarat tertentu. Antaranya, guru berkenaan haruslah sudah berkhidmat di sekolah biasa sekurang-kurangnya 5 tahun. Manakala program latihan untuk pendidikan khas pula berlangsung selama 1 tahun (kalau tak silap saya) di Maktab Perguruan Ilmu Khas. Di antara latihan yang perlu dilalui oleh semua bakal guru untuk pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan ialah latihan orientasi dan mobiliti.

Suatu hari, sekumpulan 3 atau 4 orang guru yang sedang menjalani latihan pendidikan khas telah dihantar ke luar maktab iaitu di tempat awam sebagai sebahagian daripada program latihan. Mereka pula harus menutup mata masing-masing di sepanjang menjalani latihan berkenaan. Bayangkanlah mereka yang selama ini berpenglihatan terang, tiba-tiba mata mereka harus ditutup. Lalu bergeraklah kumpulan guru-guru berkenaan ke lokasi yang telah ditetapkan. Ketika inilah mereka harus mempraktikkan kemahiran orientasi dan mobiliti yang telah dipelajari secara teori selama ini. Ketika sesi latihan seperti inilah pelbagai pengalaman pahit manis sering mereka lalui. Ada di antara mereka yang hampir jatuh longkang. Bahkan beberapa kali, ada orang awam yang telah menghulurkan wang kepada kumpulan guru-guru yang sedang menjalani latihan tersebut. Pernah juga kumpulan guru berkenaan yang kena marah dengan orang awam kerana mereka kononnya berpura-pura buta untuk mendapat simpati. Walau bagaimanapun, menurut apa yang telah diceritakan kepada saya oleh salah seorang guru yang pernah melalui pengalaman sedemikian, kesan daripada pengalaman berkenaan, beliau lebih menjiwai anak-anak muridnya. Justeru, simpatinya terhadap anak-anak muridnya bertempat dan marahnya kepada anak-anak muridnya juga bersebab. Saya pun tidak pasti sama ada latihan kental sedemikian bagi bakal guru-guru pendidikan khas untuk murid-murid cacat penglihatan masih ada lagi atau tidak.

Sesungguhnya, pelbagai pengalaman manis, pahit dan getir telah dilalui oleh guru-guru pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan pada masa lalu. Walaupun apa yang saya ketengahkan ini Cuma secebis, namun ia sangat berharga terutamanya bagi mereka yang pernah mengalaminya. Sepertimana yang pernah saya utarakan, pengalaman itu mungkin pahit ketika dilalui, tetapi semakin manis setelah ia berjaya kita lalui.

Kepada mereka yang pernah menjadi guru kepada saya, tiada lain yang saya sering lakukan selain berdoa semoga cikgu-cikgu semua sentiasa dalam peliharaan Allah jua dan akan beroleh kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat nanti. Walaupun cikgu-cikgu semua tidak mencelikkan mata saya, tetapi cikgu-cikgu semua telah membuatkan hidup saya terang-benderang.

Terima kasih cikgu!

No comments: