Osama Bin Ladin
Hari ini, cerita kematian Osama Bin Ladin masih hangat dan panas. Pelbagai reaksi dan persepsi muncul ekoran tersebarnya berita kematian musuh nombor wahid Amerika Syarikat dan Zionis itu. Bagi Amerika Syarikat dan puak zionis, sudah tentulah mereka begitu gembira dengan berita kematian Osama Bin Ladin. Mungkin inilah kejayaan terbesar mereka bagi separuh pertama kurun ke-21. Dengan kematian Osama, Amerika Syarikat dan Zionis beranggapan dan berharap ancaman yang selama ini menghantui mereka siang dan malam akan berakhir. Justeru, tidak hairanlah apabila mereka mempropagandakan bahawa dunia akan aman dengan terbunuhnya Osama Bin Ladin.
Rupa-rupanya propaganda Amerika Syarikat termakan juga oleh sebilangan pemimpin di beberapa buah negara umat Islam. Mereka juga seolah-olah sependapat dan senada dengan Amerika Syarikat mengenai kononnya dunia akan lebih aman tanpa Osama Bin Ladin. Tak perlulah saya ketengahkan di sini siapa antara pemimpin yang telah membuat kenyatan yang senada dengan Amerika syarikat. Buka sahaja surat khabar beberapa hari selepas berita kematian Osama Bin Ladin, maka akan terpampanglah maklumat tentang pemimpin mana dan kenyataan yang telah dibuatnya ekoran tersebarnya berita kematian Osama Bin Ladin.
Masih ada sebilangan umat Islam yang terus berkeyakinan bahawa Osama Bin Ladin masih hidup. Kata golongan ini, kematian Osama hanya merupakan propaganda Amerika Syarikat semata-mata. Golongan ini juga masih menanti-nanti kalau-kalau muncul klip video ucapan Osama yang menafikan kematiannya dan membuat pengakuan bahawa beliau masih lagi hidup. Nampaknya setakat ini, harapan golongan ini masih umpama menanti buah yang belum mahu gugur.
Walau bagaimanapun, setelah lebih daripada seminggu peristiwa pembunuhan ke atas Osama dan klip video yang dinanti-nantikan itu masih tidak muncul, saya percaya bilangan golongan yang tidak percaya mengenai kematian Osama semakin berkurangan. Sebaliknya, mereka mula redha dengan nasib yang menimpa Osama Bin Ladin. Namun begitu, saya berkeyakinan, sebilangan besar umat Islam percaya bahawa Osama Bin Ladin benar-benar sudah mati.
Peristiwa pembunuhan Osama Bin Ladin turut memaparkan satu lagi sikap kejam Amerika Syarikat apabila jenazah Osama dikatakan telah dibuangkan ke laut. Benarkah Amerika Syarikat telah membuang jenazah Osama ke laut? Jika ia benar-benar berlaku, ia menunjukkan betapa takutnya Amerika Syarikat kepada Osama, kerana itu jenazahnya harus disemadikan di dalam laut. Mungkin antara tujuannya untuk menghalang hantu Osama daripada naik ke daratan dan mengganggu pula keamanan di dunia ini!
Benarkah selama ini Osama Bin Ladin yang telah menjadi ancaman kepada keamanan dunia? Bagaimana pula dengan kekejaman Israel terhadap rakyat Palastin? Siapakah yang berada di belakang Israel selama ini? Bukankah Amerika Syarikat? Hakikatnya, selagi rejim di Amerika Syarikat dan Israel yang ada sekarang masih berkuasa, maka sebenarnya dunia ini tidak akan aman sepertimana yang kita sama-sama idamkan.
Berikutan penyebaran berita mengenai kematian Osama Bin Ladin, pelbagai pihak telah mengecam Amerika Syarikat. Bagi Amerika Syarikat pula, kecaman, kutukan, cacian dan sebagainya sudah jadi perkara biasa. Bahkan rejim yang ada sekarang sudah lalu sangat dengan pelbagai kecaman daripada pelbagai pihak. Amerika Syarikat tak pernah kisah dengan semua itu. Bagi saya, mengeji dan mengecam Amerika Syarikat adalah kerja sia-sia dan membuang masa sahaja. Daripada kerja mengecam Amerika Syarikat, rasanya lebih baik dikecam sahaja mereka yang telah membuat kenyataan yang senada dengan Amerika Syarikat. Mengerjakan musuh di depan mata jauh lebih bermanfaat daripada mengata-ngatta musuh yang hampir pasti tak terjangkau oleh kita.
Lihatlah apa yang sedang berlaku ke atas Erial Sharon, bekas perdana menteri Israel yang sangat angkuh dan amat kejam. Hendak kata hidup pun tidak, hendak dikatakan mati pun tidak. Dia sedang menjalani siksaan gara-gara kekejamanya sendiri. Dia pernah bersorak riang apabila berjaya membunuh Sheikh Ahmad Yasin, seorang pemimpin dan pejuang Palastin pada satu subuh. Oleh kerana kekejamanya yang sudah melampaui batas, Allah telah menyegerakan balasan siksaannya ke atas erial Sharon.
Sepatutnya apa yang sedang menimpa Sharon jangan disembunyikan. Ia perlu didedahkan kepada umum supaya menjadi pengajaran kepada semua orang. Baru mereka tahu tinggi rendahnya langit yang sedang terbentang di atas. Hairan sungguh saya bila terbaca satu tulisan yang pernah tersiar di surat khabar Melayu beberapa tahun lalu yang masih mengagungkan Sharon. Si penulisnya juga orang Melayu, tapi kata orang ada campur darah Siam sedikit.
Saya dan kita semua pun tak tahu, esok lusa, siapa pula yang akan mengikut jejak langkah Erial Sharon!
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment