Saturday, January 31, 2009

Sekadar Celoteh

Kasihan YB Murugiah!

 

            Tiba-tiba sahaja saya merasa kasihan dan simpati kepada YB Senator T. Murugiah setelah membaca berita yang bertajuk Murugiah Sedih Disalah Erti yang tersiar melalui Utusan Online hari ini.  Berita tersebut adalah mengenai rasa kecewa senator berkenaan kerana tindakannya hadir di rumah mayat di Serdang tempoh hari untuk urusan yang berkaitan dengan mendiang A. Kugan telahdisalahertikan oleh para pemimpin BN yang lain.

 

            Menurut Senator Murugiah, kehadiran beliau di sana atas kapasiti seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal masyarakat India gagal difahami oleh para pemimpin BN yang lain.  Bagi saya, sepatutnya Senator Murugiah kena bawa sekali surat pelantikan sebagai TimbalanMenteri di Jabatan Perdana Menteri.  Saya rasa tentu dalam surat tersebut ada diterangkan tugas dan tanggungjawab YB selaku seorang timbalan menteri, barulah pemimpin lain akan faham.  Tak kan YB tak tahu, zaman sekarang semua kena bersurat dan didokumenkan!  Kalau sekadar guna lidah dan gigi saha, siapa pun tak akan percaya.

 

            Memang benar kata senator itu, selepas peristiwa di rumah mayat tersebut, beliau telah menerima pelbagai kritikan.  Ada menteri yang mengatakan beliau boleh diambil tindakan undang-undang kerana sesiapa pun tidak boleh mengatasi undang-undang.  Dalam hal ini, terdetik juga pertanyaan dalam hati ini, apakah seorang yang bertaraf timbalan menteri tak ada sedikit keistimewaan pun?  Apatah lagi kehadiran beliau katanya untuk memastikan agar para pengunjung lain di rumah mayat itu tidak emosional.  Nampaknya hasrat Murugiah untuk menjadi wira bukan sahaja tidak kesampaian, bahkan dikutuk pula oleh rakan-rakan se-BN.  Kasihan!  Kasihan!

 

            Dalam hal ini, saya suka mengingatkan kepada YB Senator Murugiah supaya banyak-banyak bersabar.  Kalau nak jadi wira, itulah antara dugaan dan cabaran yang mesti ditempuh.  Saya rasa, lain kali, kalau nak bertindak seperti itu, kena pandang kanan dan pandang kiri dahulu, kena ambil restu dahulu, baru buka langkah.  Lagipun, YB Senator kena faham, mereka yang mengkritik YB tu sekarang sedang pening kepala dengan pelbagai keserabutan yang sedang melanda UMNO sekarang!

 

Bicara Antarabangsa

Syabas Erdogan

 

            Hari ini, akhbar-akhbar perdana melaporkan peristiwa pertikaman lidah antara Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan presiden Israel, Shimon Peras.  Pertikaman lidah tersebut berlaku di persidangan ekonomi dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, Switzerland.  Tindakan Erdogan tidak terhenti setakat itu sahaja.  Apabila pengerusi persidangan tidak memberi beliau peruntukan masa yang sama sebagaimana yang telah diberikan kepada presiden Israel dari segi masa berucap (masa yang diberi kepada Erdogan dikatakan 50% kurang daripada masa yang telah diberikan kepada presiden Israel), Erdogan telah bertindak meninggalkan persidangan dan terus pulang ke Istanbol.  Perbuatan Erdogan disaksikan oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu dan Setiausaha Agung Liga Arab.  Persidangan berkenaan juga turut dihadiri oleh ramai tokoh politik, ahli perniagaan serta ahli-ahli akademik.

 

            Dalam ucapannya,Erdogan telah menyelar tindakan Israel yang menyerang dan membunuh ribuan umat Islam dan rakyat Palestin di Gaza.  Beliau juga turut menyelar Peres yang cuba menegakkan benang basah dalam peristiwa serangan Israel ke Gaza.  Erdogan juga menyelar sikap peserta persidangan yang memberi tepukan gemuruh kepada ucapan Peres, seolah-olah merestui apa yang telah dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan Gaza.  Sudah tentulah tindakan Erdogan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan perwakilan dari negara-negara Barat dan Israel.  Kebetulan, pengerusi persidangan ketika itu seorang rakyat Amerika Syarikat.  Justeru, tidak hairanlah jika Erdogan tidak dilayan secara adil dalam persidangan tersebut.  Seperkara yang perlu kita ingat ialah, Turki merupakan antara segelintir negara Islam yang masih mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. 

 

            Bagi saya, tindakan Erdogan merupakan satu tindakan yang berani.  Keberanian beliau semakin terserlah kerana Erdogan ialah seorang bangsa Turki dan bukannya Arab.  Walhal Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Musa (rakyat Mesir) turut hadir dan langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyuarakan sesuatu bagi pihak bangsa Arab secara keseluruhannya atau bagi rakyat Palestin secara khususnya.  Inilah realiti kerapuhan bangsa Arab dan umat Islam masa kini.  Saya pun kurang faham, entah apa yang ditakutkan oleh amr Musa.  Sepatutnya, apabila Erdogan meninggalkan majlis, Amr Musa dan seluruh perwakilan dan peserta beragama Islam harus melakukan perkara yang sama, setidak-tidaknya sebagai sokongan moral kepada Erdogan.  Nampaknya Erdogan keseorangan!

 

            Setibanya di Istanbol, Erdogan telah diberi sambutan selaku wira negara.  Bendera Turki dan Palestin dikibarkan secara sebelah-menyebelah tanda kukuhnya kesatuan persaudaraan antara bangsa Turki dengan rakyat Palestin yang berbangsa Arab.  Keutuhan rasa persaudaraan antara mereka adalah berkat siraman perasaan ukhwah islamiyah yang mendalam.  Demikianlah.

 

            Dalam realiti kelemahan umat Islam dan negara Islam, keberanian Erdogan seharusnya dipuji dan patut juga dicontohi.  Tindakan Erdogan meninggalkan persidangan sebelum waktunya bukanlah suatu tindakan yang biadab.  Beliau mungkin telah melanggar protokol, tetapi bukan melanggar dan memusnahkan negeri orang.  Walaupun beliau telah meninggalkan persidangan, itu tidak bermakna beliau telah meninggalkan perjuangan.  Keberanian yang telah ditunjukkan oleh Erdogan mungkin telah membuatkan dunia Barat tersentak.  Ini kerana Turki merupakan antara negara Islam yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Barat.  Untuk pengetahuan bersama, Turki juga merupakan negara anggota Perjanjian Atlantik Utara (NATO).  Justeru, tidak hairanlah jika pangkalan tentera Amerika Syarikat masih ada di bumi Turki.

 

Syabas Erdogan!

 

Bicara Politik

Isu Lompat Parti: Sekadar Satu Singkapan Semalam

 

            Awal minggu ini, politik negara sedikit tersentak apabila ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dato' Nasaruddin Hashim, mengumumkan keluar dari UMNO/BN dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).  Dari sudut perundangan, perbuatan Dato' Nasaruddin tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedia ada.  Dari sudut etika politik pula, ia amat subjektif sekali.  Bagi pihak yang mendapat habuan keuntungan politik dari tindakan tersebut, ia sudah tentu dikatakan tidak melanggar etika.  Manakala bagi pihak yang menerima kerugian politik, sudah tentulah apa yang dilakukan oleh ADUN Bota itu digambarkansebagai tidak beretika, tidak bermoral dan macam-macam lagi!

 

            Dalam politik negara kita, isu lompat parti bukanlah suatu perkara baru.  Sekitar tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu tumbang akibat daripada perbuatan lompat parti.  Pada dekad 70-an, Chan Teik Chan, ahli parlimen Kota Melaka telah melompat dari DAP ke MCA/BN.  Pada tahun 1994, kerajaan PBS Sabah juga telah ditumbangkan menerusi peristiwa lompat parti oleh beberapa orang ADUNnya ke BN.  Pada awal dekad 90-an juga, Wan Najib Wan Muhamad dan Haji Nordin Salleh, iaitu 2 ADUN Kelantan telah melompat dari parti Angkatan Perpaduan Ummah ke UMNO/BN.  Beberapa tahun lalu, 2 ADUN Negeri Sembilan dari DAP juga telah melompat ke BN.  Bahkan, pada awal dekad 70-an juga, Gerakan dan PAS secara berjemaah (the whole party) telah melompat daripada pembangkang kepada BN.  Masih segar dalam ingatan saya beberapa bulan lepas, puak BN amat mengharapkan agar PAS melompat dari Pakatan Rakyat kepada BN.

 

            Seingat saya, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan PAS di Kelantan pernah cuba meluluskan undang-undang antilompat parti di peringkat negeri masing-masing, tetapi pelaksanannya terhalang kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.  Siapakah yang menjadi penghalang pada ketika itu?  Sudah tentulah kerajaan yang diterajui oleh BN di peringkat Persekutuan.  Mengapa BN menghalang usaha untuk mewujudkan undang-undang antilompat parti ketika itu?  Kerana hampir kesemua peristiwa lompat parti ketika itu menguntungkan BN.  Justeru, mereka yang melompat dari lain-lain parti ke BN, tidak dipersoalkan etika dan moral politik mereka, bahkan mereka dianggap wira pula.

 

            Apa yang berlaku hari ini tak ubah umpama senjata makan tuan.  Hari ini, BN mula mempersoalkan tindakan lompat parti.  Bagi sesetengah pemimpin BN, mereka yang melompat parti dianggap tidak beretika, tidak mempunyai moral politik dan golongan pelompat itu diminta mengosongkan pula kerusi berkenaan bagi membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.  Selagi lompat parti masih halal di sisi perlembagaan, maka semua perkara di atas tidak perlu dan tidak relevan!

 

            Mengapa sekarang BN baru mempersoalkan kredibiliti, etika dan moral golongan pelompat parti?  Agaknya, inilah yang dikatakan politik berkepentingan.  Saya amat bersetuju dengan kenyataan Datuk V. K. Liew, presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang juga merupakan TimbalanMenteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, pada 29 Januari lalu yang antara lain mengatakan pada masa ini sukar bagi kerajaan BN untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkenalkan satu undang-undang untuk menghalang lompat parti.  Ini adalah kerana kerajaan BN di peringkat Persekutuan hari ini tidak lagi menguasai dua pertiga dalam Dewan Rakyat, satu jumlah yang diperlukan untuk meminda mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mudah.  Mungkin, inilah yang dikatakan nasi sudah menjadi bubur.  Para pemimpin BN khususnya UMNO yang mula menyuarakan betapa perlunya satu undang-undang antilompat parti diperkenalkan, sepatutnya membuka helaian lembaran sejarah semalam agar mereka benar-benar mengetahui dan menyedari hakikat sebenar apa yang disuarakan mengenai lompat parti.

 

            Cara serta gaya UMNO dan BN dalam menangani isu lompat parti menampakkan betapa mereka gagal untuk melihat kesan sesuatu tindakan secara jangka panjang.  Pada bulan Mac 2008 yang lalu, iaitu sekitar seminggu selepas PRU 12, YAB Perdana Menteri yang juga presiden UMNO merasa yakin tidak ada ahli BN yang akan melompat parti.  Pada bulan Septermber lalu, Dr. Maximus Ongkili juga melahirkan keyakinan yang sama.  Nah, sekarang apa sudah jadi!  Sekiranya pada masa lalu mereka tidak terlalu bersifat politik berkepentingan dan menerima undang-undang antilompat parti yang pernah dicadangkan oleh PAS dan PBS, maka saya kira ketidakstabilan yang melanda UMNO hari ini mungkin dapat dielakkan.

 

            Sama ada suka atau tidak, UMNO harus menerima hakikat iaitu parti tersebut semakin tidak stabil.  Walau bagaimanapun, saya masih optimis keadaan yang sedia ada masih boleh diperbaiki dan dipulihkan dengan syarat usaha tersebut hendaklah dilakukan secara ikhlas, bersungguh-sungguh dan jangan memilih bulu.  UMNO juga hendaklah belajar untuk memahami dan mendengar rintihan golongan marhaen secara terus, tulus dan tidak bermusim.  UMNO juga hendaklah menghapuskan golongan pengampu kerana mereka merupakan duri dalam daging.  Sekiranya ketidakstabilan dalam UMNO gagal dipulihkan, saya khuatir dalam masa yang terdekat UMNO hanya mampu berbangga dengan sejarahnya sahaja.

 

Salam dari Melaka.

 

Thursday, January 29, 2009

Kisah Dan Teladan

Masjid Oh Masjid

 

            Isnin lalu, ketika saya dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuantan, saya singgah di sebuah masjid.  Selain dari ingin menunaikan kewajipan sebagai umat Islam, tujuan saya dan keluarga singgah juga adalah untuk memenuhi tuntutan hajat semula jadi.  Alangkah mendukacitakan apabila keperluan tuntutan hajat itu gagal saya penuhi.  Kegagalan itu adalah kerana persekitaran tempat saya sepatutnya menyempurnakan hajat itu amat tidak mesra pengguna.  Secara tiba-tiba dan tanpa dipaksa terbantut semuanya!  Rupa-rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut mengalami situasi yang sama walaupun di ruang yang berbeza.  Rumusanya, memang di masjid berkenaan tempat untuk menyempernakan hajat semula jadi sedemikian sememangnya tidak mesra pengguna.

 

            Di ruang yang saya singgahi, memang ia menimbulkan bau yang sungguh kurang menyenangkan.  Saya yang "begini" pun tersangat mampu untuk mengesannya!  Manakala ahli keluarga saya yang lain pula memberitahu, di ruang tempat mereka singgah, airnya bertakung.  Baunya menyesakkan hidung.  Beberapa ketulan kelihatan terapung-apung.  Akhirnya, hasrat untuk menyempurnakan hajat dan bersolat di situ terpaksa dibatalkan.  Kami terpaksa mencari tempat yang lain nampaknya.

 

            Di sebuah masjid lain pula, sebuah lagi kenderaan yang membawa ahli keluarga saya juga telah singgah dan ingin melakukan hal dan tujuan yang sama.  Harap-harapnya di sini semuanya akan sempurna.  Lagipun masjid berkenaan merupakan antara masjid terkenal dan menjadi tumpuan pelancong pula.  Malangnya perkara yang hampir serupa juga terjadi.  Sungguh mengecewakan!

 

            Kisah ini saya paparkan kerana ini bukan kali pertama saya sekeluarga mengalami perkara yang sama.  Saya masih ingat lagi hampir setahun yang lalu, kami turut melalui pengalaman yang hampir serupa di negeri yang sama.  Ini bermakna, walaupun sudah hampir setahun berlalu, situasi seperti ini masih lagi tidak berubah.  Hampir-hampir saya membuat satu generalisasi!

 

            Dalam hal ini, bagi saya, dua pihak harus sama-sama bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan. Pihak yang saya maksudkan ialah pengguna dan pengurusan masjid.

 

            Golongan pengunjung dan pengguna merupakan golongan yang paling utama yang harus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan di tempat seperti masjid.  Jika kita selaku pengguna mengharapkan keselesaan, maka kita seharusnya turut memberikan keselesaan kepada pengguna lain.  Jumlah pengguna yang ramai sepatutnya tidak menjadi alasan jika semua pengguna sama-sama bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan pengguna lain.  Apabila ada seorang dua pengguna yang kurang bertanggungjawab dan kurang pandai untuk menjadi pengguna yang baik, yang akan tercemar bukan pengguna yang berkenaan, tetapi akan melibatkan imej agama dan bangsa sendiri juga.  Bak kata peribahasa, kerana seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semua terpalit. 

 

            Sikap sedemikian amat bertentangan sekali dengan apa yang telah diajarkan oleh agama Islam.  Dalam Islam, kebersihan merupakan elemen yang sangat penting.  Ia selaras dengan Firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: ".... sesungguhnya Allah amat mengasihi golongan yang bertaubat dan golongan yang suci bersih" (Albaqarah, ayat 222, juzuk 2).  Oleh itu, selaku pengunjung dan pengguna, marilah sama-sama kita menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan peka kepada keselesaan orang lain.

 

            Pihak pengurusan masjid pula tidak seharusnya membiarkan keadaan sedemikian berlarutan dan berpanjangan.  Apabila hal ini terus dibiarkan, yang akan mendapat nama yang tidak baik ialah masjid dan qariah yang berkaitan juga.  Apabila masjid di qariah kita menjadi tempat tumpuan awam atas apa jua sebab sekalipun, maka suatu perancangan yang praktikal harus difikirkan dan dilaksanakan agar kebersihan di kawasan masjid termasuklah tandasnya sentiasa terpelihara sepanjang masa.  Jika difikirkan perlu untuk meletakkan papan peringatan mengenai penjagaan kebersihan penggunaan tandas, maka tiada salahnya untuk ia dilakukan asalkan papan peringatan sedemikian diletakkan di tempat yang benar-benar sesuai dan ia tidak mengganggu pandangan dan pemandangan.  Bahkan, pihak pengurusan masjid sepatutnya melipatgandakan usaha menjaga kebersihan kawasanmasjid bilamana kita ketahui di sesuatu musim masjid di kawasan kita akan menjadi tempat tumpuan awam.

 

            Oleh itu, jika kedua-dua pihak, pengunjung/pengguna dan pengurusan masjid sama-sama memahami tanggungjawab masing-masing, saya yakin keadaan seperti di atas akan dapat diperbaiki.  Dengan itu, barulah imej Islam sebenar akan terserlah.  Jika ini dapat dicapai, maka tujuan kita ke masjid untuk beribadat akan lebih sempurna lagi.  Ini kerana darjah kekhusyukan akan bertambah baik kerana mungkin tiada lagi rungutan sepi tatkala kita sedang mengadap-Nya.

 

            Saya yakin masalah yang serupa juga berlaku di tandas-tandas awam yang lain.  Apabila ia berlaku di tandas awam dan tidak melibatkan masjid, ia hanya melibatkan masyarakatnya sahaja.  Bila ia turut melibatkan tandas di masjid, maka ia akan turut memberi inej yang tidak baik kepada masyarakat dan agama Islam itu sendiri.  Marilah sama-sama kita pelihara kebersihan seluruh persekitaran masjid sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

 

Monday, January 26, 2009

Catatan Dari KB

Celoteh Orang Letih

 

            Sesak!  Sesak!  Sesak!  Ikut jalan sana melekat!  Ikut jalan sini tersekat!  Ikut jalan situ tak bergerak!  Ikut jalan yang lain tersangkut pula!

 

            Begitulah yang saya sekeluarga hadapi seharian semalam di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Sebelum ini memang saya pernah dengar mengenai kesesakan di Kota Bharu, tetapi kali ini saya dan keluarga mengalaminya sendiri.  Keadaan bertambah kritikal apabila isteri saya memang tidak biasa langsung memandu di sekitar bandar raya ini.  Ketabahan dan kesabaran beliau yang terus memandu tanpa rungutan panjang membuatkan saya begitu bersyukur kerana dia telah ditakdirkan sebagai suri hidup saya.

 

            Akhirnya, kesesakan yang begitu menyesakkan mengakibatkan kami sekeluarga terpaksa membuat sedikit perubahan terhadap rancangan asal.  Kami sepatutnya mengunjungi 5 buah rumah di sepanjang hari semalam, tetapi hanya 3 buah rumah sahaja yang sempat kami kunjungi.  Hasrat untuk ke Pasar Siti Khadijah terpaksa ditangguhkan.  Rancangan untuk ke kawasan pantai di sebelah petangnya juga terpaksa diketepikan buat sementara.  Bahkan rancangan asal untuk ke satu majlis akad nikah di Pasir Puteh pada sebelah malamnya terpaksa juga dibatalkan.

 

            Seorang penduduk setempat memberitahu saya, kesesakan sebegini kebiasaannya berlaku pada musim perayaan dan juga pada musim cuti persekolahan.  Katanya lagi, kesesakan berkenaan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  Ada yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan yang merantau pulang untuk bercuti.  Ada juga yang mengatakan kesesakan ini kerana semakin ramai pelancong luar Kelantan yang mengunjungi Kelantan terutamanya sewaktu musim cuti persekolahan dan musim perayaan.

 

            Bagi saya, pendapat yang mengatakan kesesakan ini disebabkan ramai orang Kelantan di perantauan pulang bercuti boleh dipersoalkan.  Kesesakan berlaku di sekitar Bandaraya Kota Bharu dan jalan-jalan yang menuju ke bandar raya tersebut.  Sedangkan pada masa yang sama, saya tidak mendapat maklumat bahawa di kawasan-kawasan lain di Kelantan turut dilanda kesesakan sebagaimana di sekitar Bandaraya Kota Bharu.  Kalau pun mungkin ada, ia pastinya tidak seteruk Kota Bharu.  Adakah hanya orang sekitar Bandaraya Kota Bharu sahaja yang tinggal dan mencari rezki di perantauan?  Setakat yang saya ketahui, tiada fakta ilmiah yang dapat mengesahkannya.  Lagipun, pada musim perayaan dan musim cuti persekolahan, kebanyakan hotel di sekitar Kota Bharu kebiasaannya akan penuh.  Sudah tentulah hotel-hotel berkenaan dipenuhi oleh para pelancong dari luar Kelantan dan bukannya penduduk setempat.  Setakat yang saya ketahui juga, kebiasaannya para perantau dari Kelantan bila pulang, mereka tidak menginap di hotel-hotel.  Sebaliknya mereka akan terus pulang ke kampung dan rumah keluarga masing-masing.  Walau bagaimanapun, saya tidak menafikan mungkin ada segelintir perantau Kelantan yang pulang dan menginap di hotel sahaja.  Namun bagi saya mungkin jumlahnya kecil sahaja dan tidak mempengaruhi kesesakan di sekitar Bandaraya Kota Bharu.

 

            Oleh itu, bagi saya, kesesakan ini kemungkinan besar disebabkan pertambahan jumlah pelancong luar yang datang ke Kelantan.  Ia juga bermakna industri pelancongan di negeri ini sedang berkembang pesat.  Kepelbagaian keunikan serta daya tarikan lain yang ada di Kelantan tidak menghairankan bagi fenomena sebegini terus pesat berkembang.  Oleh kerana mereka ini bukannya pelancong politik, maka mereka tidak pernah mengambil kisah siapa dan parti politik mana yang sedang memerintah Kelantan.  Justeru, dari awal lagi saya telah menjangkakan apa jua usaha untuk melakukan sebarang bentuk pemulauan politik pasti akan berakhir dengan kegagalan.  Sudah terbukti, bukan!

 

            Seperkara yang boleh dijadikan perbandingan, jika kesesakan seperti semalam berlaku di Kuala Lumpur, orang ramai mempunyai alternatif lain untuk lari dari kesesakan tersebut.  Kemudahan pengangkutan lain seperti LRT, KTM komuter serta sistem monorel akan menjadi pilihan lain kepada orang ramai untuk ke destinasi masing-masing.  Pilihan seperti ini masih belum ada lagi di bandar-bandar lain, termasuklah di Bandaraya Kota Bharu.  Dengan itu, bila dilanda kesesakan yang melampau seperti semalam, maka orang ramai tidak mempunyai pilihan lain.  Bersabar sahajalah nampaknya!

 

            Bagi saya, pihak berkuasa di Bandaraya Kota Bharu tidak boleh membiarkan keadaan sebegini berlarutan dan berpanjangan.  Sesuatu harus dilakukan.  Kepesatan industri pelancongan harus diseimbangkan dengan kepesatan penyediaan prasarana yang bersesuaian.  Saya khuatir kesan jangka panjangnya nanti, sedikit demi sedikit orang luar akan mula berpandangan kalau musim perayaan atau cuti persekolahan jangan ke Kota Bharu.  Jem!  Jem!  Jem!

 

            Namun demikian, saya yakin pihak yang berkenaan sudah pun mempunyai rancangan jangka panjang untuk memperbaiki fenomena kesesakan yang sering berlaku.  Hanya pelaksanaannya sahaja yang sedang atau akan diusahakan.

 

            Kalau sudah letih, macam-macamlah celotehnya!!!

 

Sunday, January 25, 2009

Catatan Dari KB

Sekilas Pandangan Mengenai Kelantan

 

            Syukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana lebih kurang jam 6.00 petang semalam saya sekeluarga telah selamat tiba di Bandaraya Islam Kota Bharu.  Kawasan bandarnya memang sesak macam KL juga.  Saya pun tak berapa pasti ini kunjungan kali ke berapa ke negeri ini.  Kalau bukan kali kelima, mungkin kali ketujuhlah agaknya.  Lebih kurang jam 7.00 petang baru urusan check in kami selesai.  Hasrat untuk membuat catatan dan menulis yang begitu membuak terpaksa saya ketepikan kerana selepas solat maghrib kami terpaksa bergegas untuk memenuhi satu undangan.

 

            Sebaik sahaja saya menjejakkan kaki di bumi Cik Siti Wan Kembang, bermula dari Gua Musang lagi, berbagai perkara mengenai Kelantan melintas minda saya.  Perkara-perkara tersebut saya kutip dari pembacaan, pengajian di bilik kuliah, pengalaman, kunjungan serta persahabatan saya dengan rakan-rakan dari Kelantan sejak 34 tahun yang lalu.  Bagi saya, Kelantan mempunyai keunikannya yang tersendiri.  Keunikan itu merangkumi pelbagai aspek pula.

 

            Dari sudut keagamaan (Islam), peranan negeri Kelantan selaku peneraju tradisi keislaman di negara ini memang sudah tersohor.  Memang sejak dahulu lagi Kelantan terkenal dengan jolokan "Serambi Makkah".  Nilai-nilai hidup, budaya, politik, norma masyarakat dan sebagainya yang berteraskan Islam sememangnya telah lama berkembang, subur dan mekar di negeri ini.  Justeru tidak menghairankan jika negeri ini telah melahirkan ramai tokoh ulamak yang terkenal.  Antara mereka termasuklah Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdul Majid, Ahmad Maasum Pergau, Tuan Guru Haji Abdul Kadir, dan tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nikmat.  Di negeri ini juga terdapat banyak pondok pengajian Islam yang terkenal seperti di Pasir Tumbuh, Dusun Raja, Wakaf Zain dan sebagainya.  Hari ini pun, kita dapat lihat betapa agama Islam dijadikan teras dan asas kepada pelbagai nilai kehidupan masyarakatnya.

 

            Dari sudut politik pula, Kelantan adalah negeri yang paling lama berada bukan di bawah pemerintahan parti Barisan Nasional (BN).  Dari tahun 1959 hingga tahun 1978 Kelantan diperintah oleh Parti Islam Semalaysia (PAS).  Pada tahun 1990 sekali lagi PAS berjaya menjadi parti pemerintah di Kelantan hinggalah ke hari ini.  Hanya pada tahun 1978 hingga tahun 1990 Kelantan telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).  Mungkin disebabkan kuatnya tautan antara Islam dan politik di negeri ini, maka boleh dikatakan setiap penceramah politik harus memetik satu atau dua ayat Alquran dalam ceramah mereka.

 

            Antara ahli politik Kelantan yang ternama termasuklah Dato' Haji Ishak Lutfi dan bapa saudaranya Dato' Haji Muhammad Asri Muda, Tan Sri Nik Ahmad Kamil, Dato' Haji Muhammad Nasir, Tengku Razaleigh Hamzah (seorang ahli politik yang belum dimamah zaman) dan sekali lagi tidak ketinggalan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat.  Antara ahli politik Kelantan yang sedang meningkat naik termasuklah Dato' Usam Musa dan Dato' Alwi Che Ahmad.  Kelantan juga turut melahirkan seorang ahli politik yang tak tahu apa pendirian sebenarnya!

 

            Kelantan juga merupakan negeri yang kaya denga seni dan budaya.  Hasil seni pertukangannya memang tidak perlu diperkatakan lagi.  Ia merangkumi hasil pertukangan kayu, perak, seni ukiran, tenunan batik dan sebagainya.

 

            Acap kali juga saya mendengar orang berkata, Kelantan mempunyai keindahan alam semula jadi yang cukup menarik. Agaknya kata orang itu ada benarnya.  Sebab itulah kelantan menerima ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.  Bandaraya Kota Bharu sering sesak dengan pengunjung luar.

 

            Perjuangan Tok Janggut di Kelantan merupakan antara gerakan nasionalisme yang masyhur di negara kita.  Dalam perjuangan tersebut, Tok Janggut telah terkorban.  Mayatnya telah dibawa ke Kota Bharu dan digantung seperti orang tidak bertamadun oleh bangsa yang mengaku kononya mempunyai tamadun yang tinggi.

 

            Kelantan juga menjadi tempat pendaratan terawal tentera Jepun di Tanah Melayu dalam perang dunia kedua.  Tentera Jepun telah mendarat di Kampung Padang Pak Amat berhampiran Kota Bharu.  Peristiwa berkenaan telah berlaku pada awal Disember 1941.

 

            Kelantan Turut melahirkan golongan OKU yang ternama dan berwibawa.  YB Senator Prof. Dato' Dr. Haji Ismail Md Salleh adalah contoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi.  Beliau merupakan OKU yang pertama dalam banyak perkara di negara ini.  Beliau merupakan orang pertama yang memperolehi ijazah doktor falsafah (phD), OKU pertama yang menjawat jawatan pensyarah, oku pertama yang dilantik sebagai ahli Dewan Negara, OKU pertama yang menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah ISIS, dan mungkin juga OKU pertama yang bakal dilantik untuk menganggotai kabinet satu hari nanti.  Mungkin!

 

            Selain itu, Kelantan telah melahirkan ramai golongan hafiz dalam kalangan golongan cacat penglihatan.  Antara mereka termasuklah Rosli Md Dahan, Nazri Salleh, Zainuddin Mustafa, Mohd Zulkifli Mamat, Mohd Salleh Yaacob, Ahmad Hafizu Hassan dan lain-lain lagi.

 

            Sekali-sekala, kedengaran juga pandangan sebilangan orang dari tempat lain yang mengatakan orang Kelantan mendokong semangat kenegerian yang sangat kuat.  Bagi saya, bila dilihat dari aspek sejarah dan pengalaman sendiri, saya tidak dapat menemui sebarang fakta untuk menyokong pendapat sebegini.  Prof. Zulkifli Muhammad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy bukan anak Kelantan tetapi telah mendapat tempat yang baik dan sanjungan yang tinggi di negeri ini.  Hari ini pun, sekurang-kurangnya 4 kawasan parlimen negeri ini diwakili oleh mereka yang bukan anak Kelantan.  Bersandarkan pengalaman sendiri yang telah bergaul selama 34 tahun dengan rakan-rakan dari Kelantan, saya tidak temui semangat sedemikian dipraktikkan di sepanjang pergaulan kami.  Bagi saya, tidak semestinya mereka mempunyai semangat kenegerian yang tebal hanya kerana mereka sering kecek Klate.

 

            Sebuah negeri lain pernah memulaukan negeri ini selama bertahun-tahun.  Akhirnya baru-baru ini pemulauan tersebut telah ditarik balik secara rasmi.  Penarikan balik pemulauan tersebut dilakukan mungkin kerana negeri tersebut terasa terpulau akibat pemulauan yang dilakukan!

 

            Demikianlah antara keunikan negeri Kelantan pada pandangan, pemerhatian dan pengalaman saya.

 

            Salam dari Kota Bharu.

 

Thursday, January 22, 2009

Kisah Dan Teladan

Tomiyoki Wesugi: Satu Pengalaman

 

            Tomiyoki Wesugi adalah seorang warga Jepun.  Saya mengenali beliau kira-kira 21 tahun lalu.  Waktu itu saya baru sahaja di tahun pertama pengajian ijazah pertama di Universiti Malaya.  Tomiyoki  Wesugi, atau lebih mesra dengan panggilan Tomi merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (phD).  Bidang kajian beliau ialah mengenai sejarah dan kebudayaan bangsa Murut di Sabah.

 

            Saya rasa, mungkin kita semua juga maklum, dari segi kemahiran bahasa Inggeris, rasanya rata-rata orang Malaysia lebih baik daripada orang Jepun khususnya dari aspek pronounciation.  Begitulah juga pemahaman dan persepsi saya ketika itu.  Memang, bila saya mendengar Tomi berbahasa Inggeris, aspek pronounciation beliau tidaklah sebaik orang Malaysia.  Pada masa yang sama, Tomi juga boleh dan agak fasih berbahasa Melayu.  Bila berinteraksi, kami lebih banyak menggunakan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris.  Kebetulan pula kami tinggal di asrama kediaman yang sama dan duduk pula di tingkat yang sama.  Jadi, memang kami kerap berinteraksi antara satu sama lain.

 

            Sekali peristiwa, saya ke bilik Tomi yang tidak jauh dari bilik saya.  Bila Tomi membuka pintu biliknya, saya terus duduk di kerusi yang tidak jauh dari beliau.  Saya bertanya, apa yang sedang beliau lakukan.  Beliau menjawab, sedang membaca buku mengenai orang Murut.  Saya bertanya lagi, adakah buku tersebut berbahasa Melayu.  Jawab Tomi, buku tersebut adalah sebuah buku Inggeris yang ditulis oleh seorang pengkaji Eropah.

 

            Mendengar jawapannya, saya mungkin secara spontan terus ketawa.  Rupa-rupanya reaksi saya yang sedemikian telah mengundang rasa kurang senang pada Tomi.  Beliau terus meletakkan buku yang sedang dibacanya.  Kemudian dengan nada yang serius terus bertanya kepada saya: "Apa salahnya saya baca buku bahasa Inggeris?"  Bila saya sedar, saya mungkin sudah silap, saya pun berkata lagi: "Bukan saya ketawakan awak baca buku bahasa Inggeris, tapi .... " belum sempat saya menghabiskan ayat, Tomi terus memotong kata-kata saya "Memang kami orang Jepun kalau cakap Inggeris tidak sebagus orang Malaysia.  Tapi tengoklah orang Malaysia, walaupun bagus cakap Inggeris tapi dari segi teknologinya taklah sebagus orang Inggeris.  Kami orang Jepun walaupun tak bagus bila cakap Inggeris tapi teknologi yang kami ada sama taraf atau lebih baik daripada orang Inggeris."

 

            Tomi meneruskan lagi, antara lain katanya: "Saya nampak, orang Malaysia bila pandai cakap Inggeris mereka tidak ambil teknologi orang Inggeris tapi yang mereka ambil ialah budayanya sahaja.  Orang Jepun pula, kami tak ambil budayanya tapi kami ambil teknologi mereka kemudian kami sesuaikan dengan keperluan di Jepun.  Selepas saya berada di sini beberapa bulan, saya rasa tak perlu ke Eropah untuk melihat budaya Eropah, cukup di sini sudah dapat lihat budaya Eropah dipraktikkan oleh orang Malaysia.  Ini termasuklah pakaian, pertuturan, muzik, makanan dan sebagainya."

 

            Tomi menyambung lagi: "Kami orang Jepun, ketepatan pronounciation tidak penting sangat asalkan kami boleh faham dengan tepat, bila baca buku Inggeris kami betul-betul faham isinya dan boleh ambil ilmunya, itu yang penting.  Tidak ada maknanya kalau cakap bagus dan fasih tapi tak dapat ambil ilmu dan teknologi mereka."

 

            Akhir sekali, Tomi menyarankan: "Kalau orang Malaysia hendak maju seperti Jepun, kena ubah cara, gunakan bahasa untuk ambil teknologinya bukan setakat ambil budaya bangsanya semata-mata".

 

            Kalau hendak diikutkan hati, mahu sahaja saya lari dari Tomi, tapi apa yang beliau katakan itu bagi saya adalah realiti orang kita.  Apa yang beliau perkatakan memang benar.  Sebilangan orang kita akan merasa tinggi diri, berlagak dan berbangga tak tentu sebab  hanya kerana mereka boleh berbahasa Inggeris dengan fasih.  Pada masa yang sama mereka tidak sedar kegagalan yang sedang dilalui apabila gagal memanfaatkan apatah lagi untuk memindahkan sebarang ilmu, kemahiran mahupun teknologi daripada bangsa berkenaan kepada kita melalui kefasihan kita dalam bahasa bangsa tersebut.

 

            Sehingga hari ini, dan sampai bila-bila pun kisah ini akan terpahat kukuh dalam ingatan saya.  Ia memang begitu memberi kesan kepada saya.  Bukan setakat itu, kisah ini turut menjadi pencorak kepada prinsip hidup saya untuk hari-hari seterusnya.

 

            Jika ditinjau dari sudut sejarah, apa yang diperkatakan Tomi ada benarnya.  Antara sebab penting Kerajaan Abbasiyah dan Andalusia dahulukala berjaya muncul sebagai sebuah empayar yang masyhur dan agung khususnya dalam bidang intelektual ialah kerana peranan golongan yang mahir dalam bahasa di mana golongan tersebut telah menjalankan aktiviti menterjemahkan hasil karya berbentuk akademik dari bahasa seperti Rom, Yunani dan sebagainya ke dalam bahasa Arab untuk dimanfaatkan oleh umat Islam.  Jumlah buku yang telah diterjemahkan pula bukannya sedikit.

 

            Begitu juga sebaliknya, kejayaan Eropah keluar dari Zaman Gelap (Dark Ages) ialah peranan golongan penterjemah ini yang telah menterjemahkan berbagai buku dan karya akademik daripada bahasa Arab ke dalam beberapa bahasa utama Eropah.  Usaha sebegini dilakukan secara berterusan dan berpanjangan.  Akhirnya Eropah telah muncul sebagai satu kuasa yang kemudiannya berjaya mengatasi umat Islam dalam pelbagai bidang.

 

            Hari ini, saya sendiri tidak tahu di mana Tomi berada. Namun begitu, kata-kata beliau seakan baru sekejap tadi diucapkan.  Masih terngiang-ngiang lagi di telinga ini bagaimana seriusnya nada suara beliau tatkala menghunus hujah untuk menyerlahkan pandangan bernasnya.

 

Terima kasih Tomi!

 

Tuesday, January 20, 2009

Menungan Malam

Mereka Adalah Anak-anak Kita

 

            Petang semalam, tatkala duduk sambil berehat seorang diri di hadapan rumah, tiba-tiba lalu segerombolan bebudak sambil  berbasikal agaknya.  Pada masa yang sama, gerombolan bebudak berkenaan mungkin sedang berkelahi sesama mereka.  Bukan sekadar hingar dan bingit, tetapi yang tak sedap didengar ialah kalimah yang keluar dalam perkelahian tersebut.  Antara yang sempat saya ingat dan catat kemudiannya ialah:

 

            " ... Bodoh, ... emak kau, ... babi, ... p.....k, ... sial, ... "

 

            Walaupun gerombolan bebudak tersebut terus berlalu, tetapi mereka berlalu sambil menghingarkan kalimah-kalimah tersebut, seolah-olah sedang menjajanya di seluruh taman perumahan ini.  Saya dapati fenomena sebegini semakin kerap berlaku dan di merata tempat pula.  Bila ia terjadi, tak ada seorang pun khususnya orang dewasa yang berani menegur gelagat bebudak tadi.  Saya sendiri tak tahan hati mendengarnya, tapi ... mereka cepat sangat berlalu.

 

            Mengapa fenomena sebegini semakin kerap berlaku?  Mengapa orang dewasa zaman ini sudah tak berani lagi menegur kelakuan seperti gerombolan bebudak tadi?  Siapakah yang bersalah sehingga gerombolan bebudak tadi berkelakuan sedemikian?  Mengapa gerombolan bebudak tadi seolah-olah telah hilang perasaan malu kepada masyarakat sekeliling?

 

            Bila berhadapan dengan gelagat seperti ini, terus terlintas dalam minda saya kata-kata Imam Ghazali yang antara lain berbunyi: "Kalau kita ingin tahu apa yang akan terjadi kepada negara pada masa depan, lihatlah pemudanya pada hari ini".  Demikianlah.

 

            Adakah pewaris dan pemimpin negara kita di masa depan akan terdiri daripada golongan seperti gerombolan bebudak tadi?  Apakah peranan kita dan masyarakat untuk membendung fenomena seperti di atas?  Apa sudah jadi dengan sistem kekeluargaan dan pendidikan kita?

 

            Bagi saya, semua pihak mesti memainkan peranan dengan cara yang betul supaya keadaan yang ada dapat diperbetulkan.  Para ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai budi bahasa dan agama sepanjang masa.  Di sekolah pula, para pendidik harus menunjukkan teladan yang baik setiap ketika.

 

            Selain itu, jika anak-anak kita atau murid-murid kita mengeluarkan kalimah-kalimah yang tidak sopan, teguran serta-merta harus dibuat supaya mereka tahu kalimah yang digunakan tidak sesuai dan kurang sopan.  Teguran serta-merta itu sangat perlu agar ia memberi kesan mendalam kepada si pelakunya.  Kalau perlu dihukum, maka hukumlah mereka dengan hukuman yang sesuai dan dengan niat untuk mendidik.

 

            Di samping itu, para ibu bapa khasnya, harus memberi peluang kepada masyarakat untuk menegur anak-anak mereka jika anak-anak tadi mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan di khalayak ramai.  Masyarakat mungkin tidak berani menegur perbuatan sumbang seperti gerombolan bebudak tadi kerana tak mahu "cari fasal" dengan ibu bapa bebudak tadi.  Jika semua pihak faham peranan yang harus dimainkan dalam mengatasi gejala di atas, maka saya yakin masalah dan fenomena ini akan dapat di atasi sedikit demi sedikit.

 

            Marilah kita sama-sama membentuk anak-anak kita dengan acuan yang betul kerana mereka adalah pewaris negara pada masa hadapan.  Budak-budak tadi bukannya orang lain, mereka adalah anak-anak kita juga .... Renung-renungkanlah!!!

 

Sunday, January 18, 2009

Bicara Politik

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Satu Tinjauan Awal Dari Jauh

 

            Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu telah pun berakhir semalam.  Kemuncak kepada amalan demokrasi tersebut ialah apabila pada jam 9.30 malam pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan kemenangan kepada calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) YB Mohd Abdul Wahid Endut yang telah menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN) Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

 

            Menurut pengumuman tersebut, YB Mohd Abdul Wahid Endut memperoleh 32,883 undi.  Manakala Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula mendapat 30,252 undi.  Ini membolehkan YB Mohd Abdul Wahid menang dengan majoriti 2,631 undi.  Calon bebas, Azaharuddin Mamat pula hanya memperoleh 193 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.  Jumlah undi rosak pula adalah sebanyak 665 undi.  Jumlah peratusan pengundi yang mengundi pula adalah sebanyak 79.09%, iaitu rendah sedikit jika dibandingkan dengan peratusan pengundi pada PRU Ke-12 yang lalu.  Pada masa yang sama, YB Mohd Abdul Wahid juga merupakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, salah sebuah kawasan yang terletak di bawah kerusi parlimen Kuala Terengganu.

 

            Dalam pilihanraya ke-10 pada tahun 1999, kerusi parlimen Kuala Terengganu telah dimenangi oleh Dr. Syed Nor Azman Syed Ahmad Nawawi dari PAS.  Dalam pilihanraya ke-11 pada tahun 2004 pula, kerusi tersebut telah dimenangi oleh Dato' Razali Ismail (Allahyarham) dengan menewaskan penyandang sebelumnya.  Manakala dalam pilihanraya ke-12 tahun 2008 lalu, Dato' Razali Ismail sekali lagi berjaya mempertahankan kerusi tersebut setelah menwaskan Haji Muhammad Sabu dari PAS dengan majoriti 628 undi.

 

            Jika ditinjau daripada majoriti yang diperoleh oleh calon PAS dalam pilihanraya kecil semalam, ia seakan menunjukkan PAS bukan sahaja berjaya merampas kerusi berkenaan, bahkan jumlah undi majoriti yang diperolehinya juga besar.  Menurut tinjauan awal beberapa pemerhati politik, golongan muda sekali lagi telah berperanan besar dalam menentukan kemenangan calon PAS tersebut.

 

            Keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu semalam tetap akan memberi kesan kepada perkembangan politik negara khususnya pada masa yang terdekat ini.  Sama ada BN mahupun PAS tetap melihat kemenangan masing-masing dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu mempunyai significant yang tersendiri.  Bagi saya, BN berada dalam keadaan lebih tertekan kerana penyandang sebelumnya bagi kerusi berkenaan adalah dari parti tersebut.  Jika BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut di bawah penguasaannya, maka sekurang-kurangnya untuk setakat ini ia tidak mengubah komposisi kerusi yang ada di dewan rakyat.  Sebaliknya, bila calon PAS yang menang, sudah tentulah ia akan mengubah jumlah kerusi yang dikuasai oleh BN dan Pakatan Rakyat di parlimen.  Di peringkat dewan undangan negeri, ia tidak mengubah kedudukan kerusi sebagaimana yang ada sekarang.

 

            Di peringkat parlimen pula, ia telah mengurangkan jumlah kerusi yang masih dikuasai oleh BN.  Dalam pilihanraya ke-12 lalu, BN telah memperolehi 140 kerusi.  Manakala Pakatan Rakyat pula telah memperoleh 82 kerusi.  Selepas pilihanraya kecil semalam, BN hanya menguasai 137 kerusi sahaja lagi.  Manakala Pakatan Rakyat pula telah menguasai 85 kerusi.  Jumlah kerusi yang dikuasai BN berkurangan bukan sahaja disebabkan kekalahannya di Kuala Terengganu semalam, tetapi ia juga disebabkan sebelumnya Parti Maju Sabah (SAPP) telah pun keluar dari BN dan ini melibatkan 2 kerusi parlimen iaitu Tawau dan Sepanggar.  Persoalannya kini, adakah keputusan ini akan memudahkan lagi usaha Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya?

 

            Bagi saya, terdapat beberapa sebab yang membawa kepada kemenangan kepada calon PAS.  Salah satu sebab ialah faktor calon.  YB Mohd Abdul Wahid Endut merupakan seorang calon yang sudah pun dikenali ramai di kawasan itu.  Rekod beliau yang berjaya mempertahankan kerusi bagi DUN Wakaf Mempelam selama 5 penggal berturut-turut harus diambil kira.  Wakaf Mempelam pula merupakan salah satu kerusi DUN yang terletak dalam parlimen Kuala Terengganu.

 

            Dato' Wan Ahmad Farid pula banyak digambarkan seorang yang tidak mesra rakyat.  Ada pemerhati politik yang masih menggambarkan beliau sebagai seorang elitis yang kadangkala sukar untuk didekati oleh golongan bawahan.  Mungkin secara peribadi beliau mudah dihampiri, tetapi secara penampilannya beliau mungkin sukar untuk didekati khasnya oleh golongan bawahan.  Dalam situasi pilihanraya, semua orang (pengundi) mempunyai darjah kepentingan yang sama rata.  Sebab itulah tiada bezanya nilai undi daripada pengundi berada dengan pengundi marhaen.  Hakikat ini seharusnya difahami dengan mendalam oleh setiap calon.

 

            Secara peribadi, saya berpendapat salah satu faktor penting Dato' Razali Ismail berjaya merampas kerusi tersebut dari tangan PAS dalam pilihanraya umum pada tahun 2004 dan berjaya mempertahankannya pula dalam pilihanraya ke-12 lalu ialah kerana keperibadian beliau yang tinggi.  Beliau seorang yang mesra rakyat, mudah didekati dan cepat mesra.  Hal ini saya sandarkan kepada pengalaman sendiri serta pengalaman beberapa rakan se-OKU yang turut sependapat.  Menurut pengalaman rakan yang lain pula, dalam pergaulan seolah-olahnya tiada "hijab" antara beliau (Allahyarham) dengan semua pihak.  Cara beliau yang sebegini bukan bermusim dan dibuat-buat, bahkan ia serupa sepanjang masa.  Justeru tidak menghairankan jika ada penyokong parti lawan turut memberi undi kepada beliau dalam 2 pilihanraya yang lepas.

 

            Satu lagi faktor kekalahan calon BN yang perlu diberi perhatian ialah peranan media prokerajaan nampaknya tidak lagi berkesan seperti masa lalu.  Hal ini mungkin disebabkan peranan media itu sendiri pada masa lalu yang mula memberi kesan pada masa kini.  Hari ini, tidak dapat dinafikan lagi, sebahagian rakyat merasakan  media tertentu yang prokerajaan lebih dikenali sebagai media pemutar belit, memberi liputan berat sebelah, suka menggembar-gemburkan isu-isu yang kurang relevan dan sebagainya.  Hari ini, golongan berkenaan mungkin akan membaca, mendengar dan menonton media tertentu yang dianggap prokerajaan, tetapi tidak semestinya mereka akan menelan bulat-bulat berita dan maklumat yang disampaikan oleh media berkenaan.  Dengan erti kata lain, peranan dan keberkesanan media prokerajaan semakin tumpul.  Sekiranya anjakan paradigma dalam aspek ini tidak berlaku, ia pasti akan memberi kesan yang lebih parah lagi pada masa yang akan datang.

 

            Ketidakberkesanan media prokerajaan diburukkan lagi dengan peranan internet dan blog.  Apabila rakyat sudah mula hilang kepercayaan kepada media kerajaan dan prokerajaan, mereka sudah pasti akan beralih kepada alternatif lain untuk mendapatkan maklumat.  Jalan yang paling mudah dan cepat ialah menerusi internet dengan melungsuri banyak blog yang dirasakan lebih nutral atau propembangkang.  Justeru, tidak menghairankan jika isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka yang propembangkang lebih mendapat perhatian.

 

            Beberapa isu yang ditimbulkan dalam pilihanraya kecil itu juga turut menjadi penyebab kepada kekalahan calon BN.  Antaranya ialah isu yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud.  PAS sudah lama menyatakan rancangannya untuk melaksanakan hukum hudud jika mereka berkuasa.  Usaha BN untuk menjadikan isu tersebut bagi memecahkan pakatan parti-parti pembangkan khususnya antara PAS dan DAP ternyata sia-sia.  Komposisi pengundi di Kuala Terengganu yang meletakkan pengundi Melayu (Islam) sebagai pengundi terbesar tidak memungkinkan isu pelaksanaan hukum hudud dapat dimanipulasikan dengan berkesan.  Bahkan ada antara pengundi yang berpendapat seolah-olah UMNO dan BN adalah penghalang kepada pelaksanaan hukum hudud.  Demikianlah pendapat mereka.

 

            Sebagaimana dalam pilihanraya yang lepas-lepas, politik wang banyak dikaitkan dengan BN dan UMNO.  Hal yang serupa juga berlaku dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.  Kononnnya ada yang kecewa kerana dapat tak cukup wang. Ada yang kecewa kerana tak dapat wang langsung.  Ada juga maklumat kononnya wartawan juga diberi wang RM 300.  Sebenarnya, sampai bila pun wang tidak akan mengenyangkan walaupun habis daratan dan lautan menjadi wang.

 

            Sogokan pembangunan juga dirasakan kurang sesuai untuk kawasan seperti Kuala Terengganu.  Rata-rata Kuala Terengganu adalah kawasan bandar dan di situ juga terletaknya ibu negeri.  Oleh itu, semakin ramai penduduk dan pengundi yang percaya walau siapa pun yang menjadi wakil mereka, pembangunan pasti akan berlaku.  Bahkan ada yang percaya mereka memilih wakil bukan sekadar untuk membawa pembangunan tetapi untuk bercakap dengan lebih berkesan bagi pihak mereka (pengundi).

 

            Sesungguhnya kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu merupakansatu tamparan hebat khasnya kepada UMNO. Apatah lagi ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut kepada UMNO dalam pilihanraya kecil selepas PRU ke-12 lalu.  Pada Ogos lalu, BN juga tewas dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.  Kekalahan BN kali ini lebih mendukacitakan kerana ia turut mengubah komposisi kerusi antara BN dengan Pakatan Rakyat di dewan rakyat.

 

            Sekiranya BN ingin bangkit semula, sesuatu perlu dilakukan dari sekarang.  BN perlu mendekati dan memahami golongan bawahan dan marhaen dalam erti kata yang sebenar.  Jangan turun padang secara bermusim semata-mata.  Jangan terlalu bergantung kepada "orang tengah" untuk mendapatkan maklumat daripada golongan bawahan.  Hindarkan daripada golongan pengampu kerana golongan tersebut merupakan duri dalam daging.  Golongan pengampu ini hanya akan menyampaikan khabar yang baik-baik sahaja sedangkan khabar dan realiti sebenar disembunyikan.  Amat penting untuk BN khasnya UMNO menghapuskan politik wang.  Jadikan media (sama ada cetak mahupun elektronik) lebih beretika, adil, tidak berat sebelah dan tulus ketika membuat liputan.  Beri ruang yang lebih luas kepada pihak pembangkang dalam setiap liputan media supaya kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap media kerajaan dapat dikembalikan.  Bagi saya, yang terpenting sekali ialah UMNO harus meletakkan Islam sebagai keutamaan yang tertinggi sesuai dengan kata-kata: "Islam itu tinggi dan tiada ketinggian yang boleh mengatasinya".

 

            Akhir sekali, saya amat tertarik dengan seruan oleh Murshidul Amr PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nikmat yang meminta supaya PAS dan komponen Pakatan Rakyat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh melukakan hati pihak yang kalah.  Inilah antara methodologi dakwah yang perlu diamalkan oleh semua pihak.